Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, August 9, 2021

JAWAPAN IMAM AL-ASH’ARI TERHADAP PARA PENGKRITIK ILMU KALAM DULU DAN KINI

JAWAPAN IMAM AL-ASH’ARI TERHADAP PARA PENGKRITIK ILMU KALAM DULU DAN KINI

Muhamad Hakim Ismail Al-Azhari
Felo Muda ISSI
(Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Falsafah, Universiti Al-Azhar)

Risalah fi al-Istihsan al-Khawd Fi Ilm al-Kalam (Risalah Tentang Kebaikan Mendalami Ilmu Kalam) merupakan karya Al-Imam Abu Hassan al-Ash’ari bagi menjawab kritikan kelompok-kelompok umat Islam yang menolak disiplin Ilmu Kalam. Kritikan terhadap Ilmu Kalam ini telah wujud sejak dari awal perkembangan disiplin ilmu ini sendiri sehingga ke hari ini dengan penghujahan yang sama dikitar semula sepanjang lebih 1000 tahun! 

Justeru penting untuk kita memperhalusi jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh al-Imam al-Ash’ari dalam menjawab segala kritikan terhadap Ilmu Kalam dengan beliau mengintegrasikan hujah naqli (wahyu) dan hujah aqli (rasional) sekaligus membuktikan kepentingan dan keutamaan serta kebaikan mendalami Ilmu Kalam.

Kritikan Terhadap Ilmu Kalam: Apakah hujah-hujahnya dari dahulu sehingga sekarang?
Al-Imam al-Ash’ari memulakan Risalah ini dengan jawapan yang keras dan tegas terhadap kelompok yang mencela Ilmu Kalam sebagai kelompok yang menjadikan kejahilan sebagai modal pemikiran mereka, culas dalam berfikir dan malas mengkaji agama dengan lebih mendalam, malah mereka lebih cenderung untuk bermudah-mudahan serta bertaqlid buta. Sudahlah begitu, kelompok ini juga lebih gemar menyesat dan membid’ahkan umat Islam yang menekuni dan berkhidmat kepada kefahaman mendalam terntang usul-usul agama Islam itu sendiri. 

Sebelum menjawab satu persatu tohmahan terhadap Ilmu Kalam, Imam al-Ash’ari menyenarai tuduhan-tuduhan yang biasa digunakan untuk menolak Ilmu Kalam, dan kemudiannya beliau menjawab setiap salah faham dan kesilapan yang timbul pada tohmahan para pengkritik Ilmu Kalam. Ini juga sebenarnya merupakan kaedah yang turut digunakan oleh para mutakallim lain seperti al-Imam al-Ghazali ketika mematahkan hujah-hujah ahli falsafah Neoplatonisme Muslim dalam kitab beliau Tahafut al-Falasifah.

Antara tuduhan-tuduhan sepanjang zaman bagi penolakan Ilmu Kalam adalah:

1-Tuduhan pengkritik Ilmu Kalam bahawa perbincangan tentang harakah (gerak) dan sukun (diam), jisim, aradh, al-akwan (kejadian), al-alwan (warna-warna), al-juz’ wa al-tafrah juga perbincangan berkenaan sifat-sifat Allah SWT itu adalah bid’ah dan sesat.

2-Tuduhan pengkritik Ilmu Kalam sekiranya perbincangan Ilmu Kalam tersebut adalah sebahagian dari agama, ia juga telah diperkatakan oleh Nabi SAW, para khalifah dan juga sahabat baginda. Ini kerana Nabi SAW telah menerangkan kesemua perkara berkaitan agama dan baginda tidak meninggalkan suatu pun persoalan yang perlu diperjelaskan lagi oleh umat Islam berkaitan urusan agama mereka selepas kewafatan baginda.

3- Berdasarkan tuduhan-tuduhan tersebut, maka pengkritik Ilmu Kalam menyimpulkan: “Oleh kerana tidak ada seorangpun dari para sahabat meriwayatkan tentang perbincangan tersebut, maka kesimpulannya ia adalah bid’ah lagi menyesatkan, jika tidak, ia pasti akan dibincangkan oleh baginda dan sahabat. Tambah pengkritik Ilmu Kalam lagi, perkara tersebut tidak terkeluar dari dua andaian, samada Nabi SAW dan Sahabat tahu dan berdiam diri dari memperkatakannya ataupun mereka tidak tahu akan hal ehwal perbahasan tersebut malah jahil akannya.”

4-Maka jelas dalam kedua-dua situasi itu, pengkritik Ilmu Kalam menyimpulkan bahawa perbincangan dalam Ilmu Kalam adalah perkara baharu yang mungkar dan mendalaminya adalah suatu kesesatan!

Jawapan Imam al-Asha’ri Kepada Pengkritik Ilmu Kalam
Al-Imam al-Ash’ari menjawab tohmahan-tohmahan pengkritik Ilmu Kalam berdasarkan tiga perspektif:

Pertama: Mengarahkan kembali tohmahan tersebut kepada pengkritik Ilmu Kalam dengan mengatakan Nabi SAW  juga tidak pernah mengatakan bahawa orang yang meneliti dan membincangkan perkara-perkara yang telah dinyatakan diatas akan tergolong dalam golongan yang bid’ah dan sesat. Maka secara jelas sebaliknya, pengkritik Ilmu Kalam yang telah melakukan bida’ah kerana memperkatakan sesuatu yang tidak diperkatakan oleh baginda Nabi SAW dan menghukum sesat kepada mereka yang tidak dihukum sesat oleh Nabi SAW.
Jadi, di sini kita melihat bagaimana Imam al-Ashari  menggunakan tohmahan pengkritik Ilmu Kalam semula untuk menjerut ungkapan mereka sendiri berkaitan persoalan bid’ah iaitu memperlakukan sesuatu yang tidak diperlakukan oleh Nabi SAW. 

Kedua: Dalam bahagian ini, Imam al-Ashari  membentangkan secara jitu bahawa segala perbahasan berkaitan Ilmu Kalam itu ada sandarannya daripada wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Ini untuk menjawab kritikan bahawa perbahasan Ilmu Kalam direka-reka dalam Islam malah diambil dari sumber Yunani/Greek. Imam al-Ashari  memulakan tentang perbahasan al-Harakat wa Sukun (Gerak dan Diam) dengan rujukan peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran melalui kisah Nabi Ibrahim berdialektik i.e bersoal-jawab di minda (thought experiment) terhadap pergerakan matahari dan bulan, maka akhirnya menatijahkan pengesahan pencipta alam semesta ini adalah Allah SWT. 

Perbahasan asas dalam Pengesaan Allah SWT  melalui Prinsip Tamanu’ wa Taghalub berkaitan kemustahilan tuhan berbilang-bilang yang digunapakai oleh para mutakallimun adalah berdasarkan dalil dari surah al-Anbiya (21:22), surah al-Mu’minun (23:91) dan surah al-Ra’d (13:6). Ketiga-tiga dalil yang dibawakan Imam al-Ashari  ini adalah cukup menjelaskan Allah SWT itu Esa, dan tiada sekutu bagiNya, dan dihuraikan dengan lebih berstruktur dalam Ilmu Kalam. 

Seterusnya, Imam al-Ashari  meneruskan perbahasan keharusan berlakunya Hari Kebangkitan. Di sini, Imam al-Ashari  mengerahkan segala kudrat dan kepakaran beliau dalam Ilmu Kalam, Mantiq dan Falsafah bagi menjawab tuduhan dari dua kelompok yang menolak Kebangkitan di Hari Kiamat iaitu golongan yang mengatakan kemustahilan kebangkitan kali kedua daripada  kehancuran jasad dan golongan kedua dari Falasifa yang mendirikan hujah alam itu Qadim (Tiada Permulaan) dan tidak diciptakan. 

Perkara yang menarik yang ditonjolkan oleh Imam al-Ashari adalah bagaimana kemampuan beliau menggunakan hujah aqli antaranya konsep dua perkara berlawanan tidak akan berhimpun (al-diddan la yajtami’an), prinsip unsur bagi hidupan iaitu panas-kering ( harah ratbah) juga sejuk-lembab (baridah yabisah), kemudian mengkritik hujah dari gologan Ateis (al-Dahriyyun) dengan menggunakan konsep al-Tasalsul – Infinite Regress, segala hujahan ini membuktikan penguasaan beliau dalam ilmu-ilmu aqliyat/nazariyyat. 

Tidak sekadar itu, dalam masa yang sama Imam al-Ashari menselang- selikan dengan dalil naqli dari al-Quran dan al-Sunnah bagi bagi setiap hujahan beliau. Secara tidak langsung, Imam al-Ashari menunjukkan bahawa inilah kaedah yang dipraktikkan oleh para mutakallim bagi menjawab syubhat dalam aqidah, tidak sesekali memisahkan antara aqal dan wahyu.

Ketiga: Untuk jawapan ketiga, Imam al-Ashari menegaskan bahawa segala persoalan yang diperbincangkan dalam Ilmu kalam ini diketahui oleh Nabi SAW cuma permasalahan tersebut tidak diperkatakan pada zaman baginda secara khusus biarpun asasnya jelas termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Malah apa sahaja perbincangan dalam Syari’ah yang diselidiki dan diperdebatkan zaman berzaman seperti isu tentang wasiat, pembahagian harta pusaka, pembebasan hamba, permasalahan tentang hudud, talak dan banyak lagi isu fiqhiyah yang berbangkit pada zaman tertentu, setiap satunya tidak didatangkan nas dari Nabi  SAW, kerana jika didatangkan nas yang jelas dari Nabi SAW maka tidak akan berlaku percanggahan pendapat sehinggalah ke zaman sekarang. 

Dari sini Imam al-Ashari menjelaskan tentang piawaian bagaimana berinteraksi dengan  isu semasa dimana jika permasalahan itu berpunca dari perkara furu’ maka perlu dikembalikan kepada hukum-hukum Syariat yang tidak dapat diketahui hukumnya melainkan melalui al-Sama’ dan Rasulullah SAW. Adapun, perkara yang berkaitan Usul agama,  umat Islam perlu mengembalikan hukumnya kepada asas yang disepakati iaitu dengan akal, pancaindera dan perkara badihi (intuitive tanpa inferens) serta selainnya. 

Dengan mengetahui letak duduk kaedah dalam menanggapi masalah berkaitan dengan agama samada usul mahupun furu’, kita dapat fahami sekiranya terdapat isu berkaitan kemakhlukan al-Quran pada zaman nubuwwah misalnya, sudah tentu Baginda  akan menjelaskan perkara tersebut sepertimana baginda memperjelaskan seluruh perkara yang berlaku pada zamannya.

Seterusnya bagi menjawab persoalan bahawa perbincangan mengenai Ilmu Kalam ini tidak diriwayatkan oleh para sahabat dan para tabiin, maka Imam al-Ashari mewujudkan persoalan berbalik iaitu seperti itu juga tiada riwayat yang sahih daripada Nabi SAW bahawa al-Quran itu makhluk atau bukan makhluk, maka kenapa pengkritik Ilmu Kalam membicarakan tentang persoalan yang tidak dibincangkan oleh Nabi? Adapun jika mereka mengatakan, kami tidak menentukan bahawa al-Quran itu mahkluk atau tidak, kami hanya bertawaquf, maka persoalan yang sama dilontarkan, tiada riwayat  yang sahih juga daripada Nabi SAW bahawa baginda bertawaquf dalam isu ini, maka pengkritik Ilmu Kalam tetap melakukan perbuatan(bertawaquf) yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Maka tidakkah itu juga perkara bid’ah?

Demikian juga Nabi SAW tidak menulis kitab sepertimana dilakukan oleh Imam Malik, al-Thawri, al-Shafi’I dan Abu Hanifah, maka menurut logic dan analogi pengkritik Ilmu Kalam ini, para aimmah ini juga pelaku bid’ah kerana memperlakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW, mengarang sesuatu yang tidak dikarang oleh RasulullahSAW. 

Penutup
Imam al-Asha’ri menutup perbahasan dengan menyatakan bahawa segala hujah-hujah beliau di dalam Risalah ini sudah membuktikan kepentingan mendalami Ilmu Kalam bagi orang yang berakal dan bukan bagi mereka yang degil dan ingkar. Maka jelaslah kepada kita bagaiamana kekuatan hujah yang dihidangkan oleh Imam al-Ash’ari dengan sandaran al-Qur’an dan al-Sunnah bagi mempertahankan keabsahan Ilmu Kalam. Imam al-Asha’ri bukan sahaja menyebutkan secara teorikal, malah membuktikannya dengan mengaplikasikan terus Ilmu Kalam itu sendiri secara praktikal di dalam Risalah ini yang boleh digunapakai oleh semua pencinta Ilmu Kalam pada hari ini!

https://www.facebook.com/133210716753668/posts/5894731810601501/

No comments: