Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Wednesday, March 22, 2017

Allah tidak menghimpunkan Ummatku atau umat Muhammad atas kesesatan. Dan tangan Allah bersama ‘Jama’ah’.

JAMA’AH-CENTRIC DI ZAMAN MILENIUM SIRI 3: SIKAP BERJEMA’AH ADALAH BERTEGUR KE ARAH KEBENARAN DAN KEBAIKAN

Perkataan jama’ah disebut oleh nabi Muhammad s.a.w. dengan bahasa Arab standard/fusha. Perkataan jama’ah yang keluar dari mulut nabi adalah wahyu, lebih-lebih lagi jikalau berkaitan dengan akidah dan hukum-hakam Syariah.
Hadis Jama’ah berkaitan dengan akidah adalah hadis yang diriwayatkan al-Tirmizi (2159) daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

إن الله لا يجمع أمتي أو قال: أمة محمد صلى الله عليه وسلم على ضلالة، ويد الله مع الجماعة

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan Ummatku atau umat Muhammad atas kesesatan. Dan tangan Allah bersama ‘Jama’ah’.
Berkata al-Tirmizi, taraf hadis ini adalah hasan gharib.
Hadis ini mempunyai makna berkaitan dengan akidah. Pandangan ini dipelopori oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi dan beliau menyebut hadis ini berkaitan dengan ahli Islam atau Muslim. Pandangan ini sangat berkaitan dengan lafaz dan maksud hadis di atas yang berkaitan umat Islam atau umat nabi Muhammad s.a.w.
Penggunaan ‘al-Jama’ah’ sangat ketara dalam buku-buku fikah yang membincangkan umat Islam dalam permasalahan sembahyang jumaat, sembahyang raya, harta warisan, tanggungan diyat, harta rampasan perang, hak terhadap hamba, mengkafankan mayat.
Oleh demikian, tidaklah salah meletakkan nama jama’ah terhadap kumpulan individu-individu dan organisasi-organisasi dari umat Islam dan Muslimin seluruhnya. Mereka adalah jama’ah selagi mereka bersama-sama atas kebenaran.
Golongan ‘jama’ah’ yang bermaksud Muslimin adalah merupakan kumpulan yang bersatu-padu atas kebenaran. Mereka ini pasti tidak akan menyetujui kebatilan. Walaupun sebahagian mereka terjerumus dalam kebatilan, pasti ada sebahagian mereka bangkit menentang kebatilan yang sedia ada.
Inilah sikap yang diangkat oleh Imam Ibnu Qayyim apabila membicarakan mengenai jama’ah. Pandangan beliau ini sangat berkaitan dengan Athar dari Ibnu Mas’ud:

‎الجماعة ما وافق الحق وإن كنت وحدك

Maksudnya:
‘Jama’ah’ adalah sesuatu bersepakat dengan kebenaran walaupun kamu berseorangan.
Justeru itu, sikap jama’ah di laman media sosial akan menegur ke arah kebenaran dan menentang kebatilan. Maka tidak seharusnya, pemilik akaun Facebook dan Tweeter berdiam diri melihat kebatilan disebut-sebut di alam maya. Jikalau benar pemilik akaun ini adalah Muslim, pastilah kebatilan ditolak semahu-mahunya.
Sementelah pemilik akaun Facebook dan Tweeter berdiam diri apabila ada ‘friend’ yang ‘tag’ dan ‘share’ kebatilan dan kemaksiatan sehingga menjelma dalam ‘wall’ facebooknya. Pemilik akaun ini hendaklah menegur agar kebenaran terserlah dan menegah kebatilan dan kemungkaran.
Jikalau tidak mampu berbuat demikian, pemilik akaun boleh membuat pilihan me’remove’ ‘share’ dan komen yang tidak enak. Atau mungkin sahaja tindakan drastik boleh diambil dengan me’remove’ friend tersebut.
Ahli jama’ah adalah golongan yang sedar dan ‘alert’ terhadap kebatilan dan kemaksiatan agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah dan dosa di alam maya. Tindakan ini merupakan tegur menegur ke arah kebaikan. Begitu juga, tindakan ini merupakan sikap hidup berjema’ah.
Dengan cara hidup berjema’ah ini, pasti mendapat pertolongan dari Allah s.w.t. dan dapat menghindar dari malapetaka yang tidak diingini. Inilah kehidupan yang dapat mendapat keredhaan Allah sebagaiman dalam hadis di atas menyebut, “Dan tangan Allah bersama ‘Jama’ah’”
Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal penulis. Tulisan ini juga sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

No comments: