Ayob Hussin
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan
PEMBELAAN BUAT IMAM GHAZALI : SIAPA YANG MENDAKWA 'IMAM GHAZALI TERMASUK GOLONGAN YANG TERTIPU' MAKA SEBENARNYA 'DIA' YANG TERTIPU
2 ke 3 hari ini kita mendengar ada penceramah yang lantang menghina Imam Ghazali, sebaiknya dinasihatkan mereka merenungi diri mereka sendiri adakah mereka ini setaraf atau tidak dengan Hujjatul Islam Imam Ghazali sebelum menghina Ulama' hebat ini
Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah memasukkan Imam Ghazali sebagai sumber rujukan bagi memahami 'Tasawwuf' seperti dibawah ini :
Tafsiran Pegangan dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
Tarikh Keputusan : 25 Februari 2016
Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan:
1. Aqidah dan Tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
2. Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
3. Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
Malah antara yang disebarkan adalah perkara-perkara buruk tentang Imam Ghazali berkenaan lemahnya Imam Ghazali dalam bidang hadis, tetapi benarkah dakwaan itu?
Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Ahli Panel Penyelidik Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan) menulis bagi menjawab dakwaan-dakwaan tersebut di bawah ini :
Status Imam al-Ghazali (450-505H) Dalam Ilmu Hadis
Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.
Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang daif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.
Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.
Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il amal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.
Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.
Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din
Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:
Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).
Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).
Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).
Sebanyak mana bilangannya? Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Is‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.
Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)
Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).
Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.
Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah
Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.
[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]
Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.
Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.
Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.
Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.
Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia
Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.
Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).
Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H): “Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. (Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).
Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi: “Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.
Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi: “Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari - Khawar Tabaran - rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).
Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H): “Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim” (Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).
Menurut Ibn Kathir : “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).
Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.
p/s Semoga Allah menjauhkan kita dari menghina Ulama' yang Haq
No comments:
Post a Comment