Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Tuesday, May 16, 2017

Ni manhaj mana pula ?

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=815430995287811&id=100004627532405

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=815409945289916&id=100004627532405

Aku dahulu menganuti fikrah Islamis tegar yang terkesan dengan slogan reformasi. Aku juga baca Fathi Yakan & Maududi & Qardawi. Aku kagum dengan Nik Aziz khususnya kebolehannya dalam Arabiah. Tetapi, disebalik itu, aku juga budak mengaji. Aku terjun dalam medan ilmu pengetahuan Islam sewaktu darah masih menggelegak anti establishment.

Tetapi Allah maha menyelamatkan aku daripada dogma Islamisme. Kebatilan akhirnya tak mampu bertahan bila berdepan dengan kebenaran. Faktor utama yang membuatkan aku mempersoalkan Islamisme adalah perbuatan & perilaku jelek pemimpin-pemimpin mereka sendiri. Daripada cerita bencinya mereka kepada Sūfiyyah, sehingga kepada kemelampauan almarhum Nik Aziz mengkristiankan pengamal perayaan maulid. Tetapi klimaksnya ialah apabila Nik Aziz meMAMATkan junjungan agung Nabi Muhammad SAW sebagai budak kampung yang biasa. Itu belum lagi isu Wahhabi–Syiah yang menjadi anutan beberapa pemimpin parti. Persoalan yang bermain di benak ku, adakah boleh suatu entiti yang kononnya memperjuangkan kesyumulan agama bercampur di dalamnya perkara hak & batil?

Maka di tengah keserabutan fikrah yang melanda, datang penyelamat jiwa dalam bentuk Habib Umar Ben Hafiz حفظه الله و رعاه. Di dewan yang mana beliau khitabkan tawjihat agung buat para asatizah sewaktu majlis pertama Muwasolah dengan kata duanya, "cabutlah ketaksuban anasir politik kalian mulai sekarang!" Pada saat itu, baru aku faham apa sebenarnya makna BILA ROSAK ULAMA ROSAKLAH UMAT.

Aku sebenarnya masih lagi kebingungan dengan tawjihat tersebut walaupun hakikatnya Habib Umar merupakan figur yang terpenting dalam hidupku kerana berjaya merobah perspektif dogmatik yang bersarang dalam benak ku, akan tetapi Ashab al Futuh bagi diriku secara majazinya adalah sahabat-sahabat seperjuangan ku Ust. Muhammad Hanif dan Ust. Abu-anis Ibn-tolib. Walaupun mereka tahu darah Islamis yang berwarna hijau masih pekat dalam diriku, mereka tak pernah berputus asa memperbaiki afkar ku yang telah rosak itu. Alhamdulillah aku berjaya dipulihkan dengan wasilah kitab al Ihya yang maha berkat, video-video penerangan daripada masyaikh khususan SAG yang amat besar impaknya pada diriku. Mulai dari situ aku perbanyakkan bacaan dan rujukan demi menjernihkan kekusutan yang menebal dalam mindaku.

Kemudian aku lanjutkan rehlah ilmuku di Jami' al Azhar. Arkian bertambah cerahlah penglihatan ku apakala jiwa diterjah keunggulan martabat keilmuan masyaikh al Azhar. Kerana itu hubungan ku dengan al Azhar amat intim, seintim si Majnun mengenangkan Layla, sekalipun aku bukan Azhari di atas kertas. Di situlah aku dididik dengan ilmu berdasarkan manhaj yang mustaqim, tidak lagi secara caca marba. Aku ke al Azhar bukan kosong, berbekalkan ilmu yang ku tuntut selama 14 tahun di tanah air. Kerana itu juga aku amat terluka apabila al Azhar diperlekehkan oleh mereka yang tak kenal rahsia Ilahi yang terkandung di dalam bumi al Azhar. Sirna lah segala kekusutan setelah aku menelusuri hakikat manhaj al Azhar. Akhirnya aku berani berdiri sendiri dengan prinsip yang teguh yang diteladani daripada a’immah al a'lam.

Kerana itu aku tidak lagi segan silu mengatakan kepada sesiapa pun, baik kawan atau lawan, guru atau murid...bahawa Islamiyyun dan harakiyyun tiada langsung habuan dan saham dalam manhaj sejati ASWJ.

So don't even try being a smart ass, I've been there and done that!

No comments: