Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, November 13, 2017

status asiah jalil tentang Nabi dan Isteri Isterinya

Page Liked · 1 hr 
 
OOPS SHE DID IT AGAIN..!

1. KATANYA: “Sejak zaman Nabi, wanita Islam sering ditakutkan dengan betapa buruknya status janda di sisi masyarakat”.

SANGGAHAN:
Fakta mana puan ambil?
Begitu banyak contoh Nabi SAW dan para sahabat mengahwini janda-janda untuk membantu mereka, bagaimana pula mereka ditakutkan?
Isteri-isteri Nabi SAW sendiri kesemuanya janda kecuali seorang. Betapa syarak menggalakkan berlaku mulia kepada para janda dan mengambil berat kebajikan mereka dan membela mereka dari tohmahan dan kezaliman tidak pula diambil kira??
Jangan kelemahan masyarakat melayu atau emosi peribadi ditempekkan pada agama yang sempurna..!

2. KATANYA: “Selepas kematian Khadijah, Nabi menikahi Saudah yang sudah tua, untuk menjaga anak-anak Nabi yang masih kecil. Beberapa tahun kemudian, Nabi bernikah dengan Aisyah yang masih anak dara, muda dan jauh lebih cantik. Pada waktu ini anak-anak Nabi sudah besar. Maka Nabi merasa tidak berkehendak lagi kepada Saudah. Ketika Nabi ingin menceraikan Saudah, Saudah merasa sangat sedih. Lalu Saudah membuat perjanjian dengan Nabi, untuk melepaskan segala haknya sebagai isteri, termasuk nafkah batin, asalkan tidak diceraikan”.

SANGGAHAN:
Disiplin hadis atau riwayat mana puan pakai?
Saya tidak mendapati satu pun hadis sahih berkaitan Sawdah RA melepaskan hak giliran harinya tatkala Nabi SAW ingin menceraikannya kerana beliau sudah tua, yang ada cuma fahaman sebahagian mufassirin semata. Apatah lagi riwayat-riwayat Sawdah RA melakukan sedemikian selepas diceraikan oleh Nabi SAW sebagaimana dalam riwayat al-Bayhaqiy kesemuanya lemah statusnya kerana masalah perawi dan kesambungan sanadnya.
Yang sahih berdasarkan riwayat Abu Daud dan al-Tirmidziy hanyalah Sawdah RA sendiri yang KHUATIR diceraikan Nabi SAW kerana merasakan dirinya sudah tua, BUKAN kerana Nabi SAW yang ingin menceraikannya!
Begitu juga kerana Sawdah RA ingin MENGGEMBIRAKAN Nabi SAW kerana tahu baginda SAW gembira bersama Aisyah RA sebagaimana dalam riwayat al-Bukhariy. Maka di saat Sawdah RA sudah tua dan hasratnya kepada lelaki telah berkurangan atau hilang, dengan kerisauan yang wujud sebagaimana lumrah wanita, dia tetap ingin menjadi sebahagian dari para isteri Nabi SAW dengan terus menggembirakan Nabi SAW dengan kemampuan yang dimilikinya.

Kemudian fakta mana puan kutip Nabi SAW berkahwin dengan Saudah demi menjaga anak-anak baginda SAW dengan Khadijah RA, dan kemudian bersikap seperti “habis madu sepah dibuang” setelah mengahwini ‘Aisyah RA?? Kelihatannya seperti “character assasination” terhadap Nabi SAW pada saya –والعياذ بالله-!
Barangsiapa yang mengkaji sirah baginda dan keluarga baginda SAW pasti tahu kebobrokan tohmahan dusta tersebut.
Bahkan baginda SAW berkahwin dengannya walaupun tahu keadaannya yang berusia dan sukar setelah suaminya yang mulia Sakran bin ‘Amr meninggal ketika proses hijrah ke Habsyah. Pasangan ini merupakan antara yang menyertai gelombang kedua hijrah ke Habsyah dan Sawdah RA merupakan antara wanita mulia yang terawal memeluk Islam.
Suaminya meninggal dalam keadaan tiada siapa yang menanggung Sawdah RA, sehingga Nabi SAW khuatir orang Quraisy Makkah akan menyeksa Sawdah yang telah pulang dari hijrah.

3. KATANYA: “Semasa ketiadaan Hafsah, senyap-senyap Nabi membawa masuk Mariah Al-Qibtiah dan Nabi menggauli Mariah di atas katil Hafsah. Nak jadi cerita Hafsah pulang awal ke rumah dan menyaksikannya”.

SANGGAHAN:
Sekali lagi, Nabi SAW digambarkan begitu “jelek” sikapnya dengan lemparan fakta yang auta!
Tiada satu hadis sahih dan sarih (jelas) pun yang menjelaskan puncanya secara spesifik mengapa Hafsah RA diceraikan oleh Nabi SAW.
Namun sebahagian para ilmuwan mengaitkannya dengan umum kisah ayat dalam surah al-Tahrim:
وَإِذۡ أَسَرَّ ٱلنَّبِىُّ إِلَىٰ بَعۡضِ أَزۡوَٲجِهِۦ حَدِيثً۬ا فَلَمَّا نَبَّأَتۡ بِهِۦ وَأَظۡهَرَهُ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ عَرَّفَ بَعۡضَهُ ۥ وَأَعۡرَضَ عَنۢ بَعۡضٍ۬‌ۖ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِۦ قَالَتۡ مَنۡ أَنۢبَأَكَ هَـٰذَا‌ۖ قَالَ نَبَّأَنِىَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡخَبِيرُ

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya) dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? Nabi menjawab: Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam Pengetahuan-Nya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi)”.

4. Demikianlah bahaya mereka yang tiada disiplin dalam menyampaikan maklumat atau riwayat sehingga apa sahaja yang dijumpai dan didengari yang menepati selera diri langsung ditelan dan diluah tanpa meneliti juadah tersebut halal atau haram, berbahaya atau tidak, beracun atau tidak, sehingga Nabi SAW kita yang tercinta pun “dilanggar”nya!

5. Sebagai mukmin (jika benar kita mempunyai sekelumit iman), kita seharusnya mengasihi, membela dan membersihkan Nabi SAW dari tohmahan barat dan musuh-musuh Islam yang sentiasa ingin mencemarkan imej baginda SAW, bukan terpengaruh dengan dakwaaan serta dakyah mereka yang rapuh...Pesan Allah SWT terhadap orang-orang yang beriman:
إِنَّآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ شَـٰهِدً۬ا وَمُبَشِّرً۬ا وَنَذِيرً۬ا لِّتُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya) dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan supaya kamu kuatkan agama-Nya serta memuliakan-Nya” [al-Fath: 8-9]. 

No comments: