*ISTAWA BUKAN BERMAKSUD ALLAH MENETAP DI ATAS ARASY*
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217340245358752&id=1251877796
Kaedah ulama dalam berinteraksi dengan ayat mutasyabihat.
(ٱلرَّحۡمَـٰنُ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ ٱسۡتَوَىٰ)
Lafaz استوى dalam bahasa Arab ditanggung atasnya 15 makna dan ada ulama yang mengatakan ada 20 makna. Daripada 15 itu, ada makna yang layak bagi Allah dan ada yang tidak layak bagi Allah. Antaranya:
Contoh makna layak:
- Menguasai
- Menjaga
- Mengekalkan
- Memerintah
Contoh makna tidak layak:
- Lurus
- Masak
- Duduk
- berlabuh
- bersemayam (tinggal)
Perlu diketahui bahawasanya ayat Al-Quran yang ada padanya lafaz istawa merupakan ayat mutasyabihat. Maka ayat mutasyabihat ini, ia tidak boleh diambil secara literal kerana akan menjadikan ayat al-Quran saling bercanggah antara satu sama lain.
Ada ayat al-Quran mutasyabihat yang lain tentang Allah kalau diambil secara literal seolah-olah mengatakan Allah mengikut keberadaan hambaNya sedangkan ia bukanlah maksud yang dikehendaki bagi ayat tersebut.
Maka pengambilan makna ayat mutasyabihat secara literal ditegah kerana ia menyebabkan ayat al-Quran saling bercanggah.
Percanggahan tersebut pula membawa kepada penisbahan sifat berubah kepada Allah sedangkan perubahan merupakan sebesar-besar tanda makhluk dan Allah mustahil disifatkan berubah daripada suatu keadaan kepada keadaan yang lain.
Sesuatu yang berubah berhajat(memerlukan) kepada sesuatu yang lain untuk mengubahnya. Yang memerlukan kepada pihak lain itu lemah sementara yang lemah ternafilah sifat ketuhanan baginya.
Jadi, ulama ahlus sunnah waljamaah dalam berhadapan dengan ayat mutasyabihat terbahagi kepada 2 cara.
1. Cara kebanyakan ulama salaf.
Khilaf dikalangan ulama, ada yang mengatakan salaf adalah golongan yg hidup dizaman Rasulullah hingga tahun 300 Hijrah dan ada yang mengatakan sehingga 500 tahun hijrah. Mereka mengekalkan lafaz استوى(istiwa) , tanpa mereka tetapkan makna yang khusus bagi lafaz tersebut dan menyerahkan maknanya kepada Allah bahkam mereka menyucikan Allah daripada sifat makhluk.
Maksudnya, mereka beriman bahawasanya Allah bersifat dengan sifat demikian akan tetapi menyerahkan makna ayat tersebut kepada Allah tanpa memaknai sama sekali. Daripada makna-makna yang layak, mereka tidak tentukan mana satu yang Allah kehendak (sama ada menguasai, atau menjaga atau mengekalkan) tetapi mereka yakin secara pasti ia bukan dengan makna yang tidak layak seperti duduk atau masak atau lurus.
2. Cara kebanyakan ulama khalaf(golongan yang hidup lepas 300 hijrah dan pendapat lain mengatakan selepas 500 hijrah)
Mereka beriman dengan ayat استوى dan mereka memilih mentakwil lafaz tersebut dengan makna yang layak daripada makna-makna yang layak bagi lafaz istawa.
Maka, ada ulama yang memilih makna mengekalkan ada yang memilih dengan makna menguasai dan ada yang memilih dengan makna menjaga. Pilihan yang mereka buat ini bertujuan untuk menghalang daripada manusia jatuh ke dalam aqidah yang terpesong apabila mengambil makna yang tidak layak daripada lafaz istawa seperti duduk.
Walaupun mereka telah lakukan pilihan makna bagi lafaz istawa akan tetapi pada hakikatnya mereka tetap serahkan pada Allah apakah kehendak sebenar yang Allah ingin maksudkan bagi ayat ini.
Takwilan yang mereka lakukan bertujuan mengelakkan manusia jatuh dalam aqidah mengatakan Allah bertempat dan berarah kerana semakin ke hadapan generasi, semakin kurang penguasaan bahasa dalam kalangan manusia.
Ulama khalaf lakukan ini agar manusia tidak terjerumus ke dalam aqidah mujassimah dan musyabbihah, menyifatkan Allah itu berjisim dan menyamakan Allah dengan makhluk.
_____________________________________________
Kesimpulan:
ULAMA SALAF MENGGUNAKAN KAEDAH TAFWIDH ATAU TAKWIL IJMALI DALAM MEMAKNAI AYAT MUTASYABIHAT. MANAKALA ULAMA KHALAF MENGGUNAKAN KAEDAH TAKWIL TAFSILI DALAM MEMAKNAI AYAT MUTASYABIHAT.
_____________________________________________
Rujukan:
-Tajul Arus
-Kifayatul Awam
-Faridatul Faraid
-Hasyiyah Dusuki
Wallahua'lam
*BICARA AGAMA*
No comments:
Post a Comment