Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Saturday, April 29, 2017

WAHHABI MODEN

WAHHABI MODEN

Sebenarnya banyak golongan yang berpangkat Dr, agamawan atau sesiapa pun yang ada penyakit Wahhabi ini tidak akan mengaku bahawa mereka mempunyai fahaman Wahhabi. Malah, mereka marah apabila diri mereka digelar sebagai WAHHABI.

Adakah Wahhabi ini ajaran sesat? Bukan saya yang berkata begitu. Tetapi para ulama' Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpendapat bahawa Wahhabi adalah satu fahaman yang sesat dari segi akidah, menyesatkan umat Islam dan tergelincir daripada fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

Syeikh Ahmad Zaini Dahlan al-Hasani, Mufti Mazhab Syafie di Makkah al-Mukarramah di zamannya menyatakan di dalam kitabnya, al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd 'ala al-Wahhabiyyah:

"Zahirnya Wahhabi merupakan bala  yang didatangkan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ia juga merupakan fitnah daripada sebesar-besar fitnah yang muncul dalam agama Islam yang mengganggu ketenteraman fikiran, menghangatkan orang-orang yang berakal dan mengelirukan orang-orang yang kurang berakal, lantaran diterjah oleh pemikiran dan ajaran mereka yang meragukan. Sedangkan mereka berselindung di sebalik label PENEGAK AGAMA".

Sesat jalan dan haluan tidak mengapa. Tetapi, jangan kita menjadi sesat dan keliru dalam pemikiran sehingga mengeluarkan satu hukum yang salah. Selepas itu, mengkafirkan dan mendatangkan dalil dengan alasan si pelaku masuk api neraka atau seorang yang sudah berdusta dalam agamanya.

Gempar seketika apabila seseorang yang ada jawatan dalam politik menjelaskan bahawa Wahhabi bukan ajaran sesat. Malah, dia bersungguh-sungguh mendatangkan beberapa enakmen dan pandangan daripada pihak tertentu untuk menyatakan Wahhabi tergolong dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Saya berpendirian bahawa sesiapa pun yang bergelar Muslim, tidak dibenarkan mengkafirkan dan membidaahkan sesuatu perkara jika ibadah atau amalan itu tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Kita juga bersetuju jika ibadah dan amalan itu dipandang baik. Malah, majoriti ulama' berpandangan bahawa ia tidak menjadi masalah dan boleh diamalkan.

Jadi, di manakah Wahhabi jika dikatakan sesat? Sesatnya mereka itu akibat tidak menemui sumber dalam pengeluaran hukum agama dan penjelasan ulama'. Maka selama itulah mereka sesat kerana tidak memahami dengan baik fiqh agama dan tidak menghormati pandangan ulama yang membenar dan memperakui jalan ibadah itu.

Seperkara lagi, bilakah WAHHABI dikatakan bersifat maksum dan tidak pernah bersalah? Mereka inilah punca berlakunya WABAK penyakit yang lebih teruk daripada penyakit kanser sehingga umat Islam berpecah-belah dan saling mencaci dan memaki sesama mereka. Adakah Wahhabi begitu maksum untuk dimuliakan dan diagung-agungkan?

Tidak ada ajaran yang lebih teruk daripada fahaman WAHHABI yang berani memaki dan menghina para ulama' terdahulu? Adakah Islam diajar menghina ulama' pewaris nabi? Adakah mereka ini layak untuk dikatakan tidak sesat dan melampaui batas dalam agama?

Apabila seseorang disyaki dan cenderung kepada penyakit ini, maka ia layak digelar sebagai WAHHABI MODEN. Gelaran ini terbuka untuk sesiapa yang ada ciri-ciri tidak menghormati pandangan ulama' walaupun anda seorang Mufti!

Jika benar kita adalah seorang yang adil dan wasatiyyah, kita tidak akan memberi ruang kepada anak-anak WAHHABI mendapat peluang, kedudukan dan jawatan di negara ini. Sedangkan merekalah sebenarnya siang dan malam melalui kuliah-kuliah mereka membawa perpecahan dan  juga fitnah di negara ini. Bahkan mereka yang memulakan dahulu budaya bercakap bohong dan mendabik dada seolah-olah mereka sahaja yang betul dan pendapat ilmuwan lain semuanya salah.

Tangan-tangan Ahli Sunnah juga perlu diperhatikan. Jangan kita sesekali terpalit dan turut berjasa menaikkan WAHHABI di negara ini. Janganlah kita merencatkan perjuangan sejati para pejuang sejati Ahlus Sunnah Wal Jamaah di negara ini. Sekian lama kita memberi; janganlah lupa dan cepat lupa diri.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah dahulu tidak pernah berhutang dengan pemerintah, orang-orang politik dan orang-orang yang ada kepentingan diri. Pondok dan madrasah  terbina teguh dengan keikhlasan tuan-tuan guru yang mengajarkan ilmu tauhid dan zikir terhadap pengenalan diri. Malah,  itulah juga benteng menolak bala daripada Ilahi.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah bukanlah jemaah atau pertubuhan untuk menonjolkan mereka sebagai yang terbaik. Tetapi Ahlus Sunnah adalah mereka yang berani mempertahankan nama Allah SWT dan agama-Nya. Jangan kita menjadi paku-pakis terlompat di sana-sini sehingga hilang identiti diri. Pening dan keliru anak-anak Islam memikirkan orang yang mengatakan WAHHABI ini benar ketika berada di majlis kita untuk berucap dan merasmikan sesuatu majlis. Sedangkan dalam masa yang sama, mereka ini juga memberi ruang dan bertepuk tampar sesama Pak Wahhabi ini. Adakah Ahlus Sunnah sudah terpesona dengan jawatan dan pangkat mereka?

Soalan yang perlu ditanya, bilakah masa PAK-PAK WAHHABI ada meminta maaf kepada Ahlus Sunnah? Sedangkan mereka tidak pernah minta maaf setelah menghina IMAM-IMAM kita. Di manakah keadilan untuk kita apabila WAHHABI disahkan sebagai ajaran murni, sedangkan kesalahan mereka amat ketara di media dan segala saluran mereka.

Kita boleh DUDUK dengan WAHHABI setelah mereka membuat pengakuan terbuka bahawa selama ini mereka tersilap berfatwa, lalu memohon maaf dengan ikhlas setelah melemparkan tuduhan dan fitnah kepada kita semua.

Saya adalah orang yang pertama yang akan bersalam dengan mereka dan berkata, "Jangan buat lagi, ya! Pening orang awam. Kami sudah ok di Malaysia dengan 1000 dalil."

Ahlus Sunnah tidak akan pernah berhutang dengan mereka melainkan orang-orang yang ada membina hubungan dan rangkaian dengan mereka. Guru sendiri difitnah, bermesra pula dengan tauke-tauke WAHHABI.

Ya Allah! Padamkan kesesatan dan kekeliruan di negara ini daripada tangan orang-orang yang keliru dan terhijab.

Kuatkanlah kesatuan para pejuang sejati Ahlus Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Sebagai penutup bicara, saya bawakan kisah taubat seorang ulama' Wahhabi.

Syeikh Muhammad Abdul Salam al-Kazimi al-Hasani, seorang ulama' di Jami'ah al-Ghauthiyyah Daka, Bangladesh berkata sambil menangis:

"Mazhab Wahhabi adalah mazhab yang berbahaya dan meruntuhkan masyarakat Islam. Akidah yang melencong ini mendatangkan fitnah. Golongan Wahhabi menyatakan bahawa kami mengikut al-Quran dan Sunnah, tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah mereka mengikut telunjuk syaitan".

Syeikh Muhammad Abdul Salam akhirnya bertaubat. Setelah beliau keluar daripada fahaman Wahhabi, beliau berkata:

"Aku adalah seorang Wahhabi, kemudian aku bertaubat".
(Manar al-Huda bil. 68 Rabiulakhir 1419H bersamaan Ogos 1998: 19.)

Mohon maaf atas segalanya...
Yang benar tetap benar...

Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab Al-Linggi
Jumaat 29 April 2016
11.03 pagi
Kota Damansara.

No comments: