Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, November 9, 2020

Fitnah Di Bumi Jawi Dari Kelompok Pengaku Sufi




# Fitnah Di Bumi Jawi Dari Kelompok Pengaku Sufi #

Berkata  al allamah Syeik Zainul Abidin al Fathoni dikenali dengan Tuan Minal , dalam karya beliau Aqidatun Najin :

(( Faedah ))

Ini suatu faedah. Adalah sesetengah daripada negeri jawi banyak kedatangan bala' dan fitnah yang amat besar pada membinasakan agama islam, dan beberapa manusia yang sudah murtad masuk agama kafir, istimewa pula kebanyakan orang yang jahil yang mendakwa dirinya alim lagi sufi, yang mengajar ia akan manusia akan ilmu batin.

Maka yang sebenarnya tiada dinamakan dia sufi sufi, hanya dinamakan kafir dan mulhid.

Maka murad ( kehendak maksud ) daripada jahil itu orang yang tiada mengenal ia akan iktikad yang sebenar, seperti tiada dapat dibezakan iktikad Ahli Sunnah dan iktikad Jabariyah dan Qodariyah.

Istimewa pula jahil ia akan barang yang wajib bagi Allah dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya.

Dan jika tiada ia mengenal akan sifat Ketuhanan maka betapa ia tawajuh kepada Tuhan yang ia tiada kenal sekali-kali.

Maka setengah mereka itu mendakwa akan makhluk ini sifat Allah. Maka tiadakah ia masuk kepada kufur dan meninggalakan yang sebenarnya ?.

Dan jikalau benar takwil mereka itu sekalipun tiada sunyi daripada jatuh didalam bid'ah yang haram lagi berdosa besar kerana perkataan yang demikian itu syubhat, dan banyaklah pengajaran yang mekhalif ( menyalahi ) dengan syariat Muhammadiyah.

Maka jangan kamu ikut pengajaran mereka itu kerana mereka sesat lagi menyesatkan akan manusia.

Dan setengahnya menegahkan orang yang menyebut nama ALLAH kerana berpegang pada perkataan sesetengah ahli Sufi :

انا تبت من قول لا اله الا الله

( Aku bertaubat dari mengucapkan la ilaha illallah )

Pada hal berpegang mereka itu atas zahirnya semata-mata, dan tiada mengetahui mereka itu akan makna yang dikehendaki oleh sufi itu.

Dan setengahnya mengkufurkan orang yang menafikan dengan لا اله itu akan الإله الباطل ( tuhan yang bathil ).

Dan setengahnya mengkufurkan orang yang menafikan dengan لا اله itu sekalian alam.

Dan lainya daripada perkara yang munkar.

intaha ... ms 85

________________________________

Kesimpulan dari kenyataan di atas :

1. Antara fitnah dan bala dalam agama iaitu wujudnya kelompok jahil yang bertopengkan nama sufi, lalu mereka ini merosakkan kemurnian ilmu sufi dengan huraian yang jauh menyimpang dari tafsiran sufi sebenar.

2. Antara punca kerosakan ini adalah jahil mereka mengenai imu fardhu ain ( ilmu akidah ) sehinggakan mereka tidak dapat membezakan yang perkara yang wajib dan mustahil serta harus terhadap ketuhanan. Lantaran itu hal tersebut membawa kepada kesesatan. Bagaimana mereka ingin menghambakan diri kepada ketuhanan sedangkan mereka sendiri tidak kenal Tuhan.

3. Jahil mereka membezakan antara pegangan Ahli Sunnah dan pegangan kelompok lain sepert Jabariah dan Qodariyah.

4. Antara kesan ketempangan kelompok ini , sebahagian mereka mendakwa bahawa alam ini merupakan sifat bagi Tuhan, sedangkan sebagaima yang dipegang oleh ahli sunnah bahawa sifat tidak akan sama sekali berpisah dari zat. Kenyataan kelompok jahil ini boleh menyebabkan tergelincir kepada lembah kekufuran. Sekalipun mereka punyai takwilan tersebut maka tidak sunyi hal ini kepada bid'ah yang haram.

5. Berlaku ghuluw yang jelas pada sebahagian kelompok tersebut sehinggakan mereka seolah menafikan dan menolak tafsiran dan hurain zohir dan syariat bagi lafaz dua kalimah syahadah.

6. Kenyataan musonnif ( pengarang kitab ) tidaklah bermakna beliau menafikan ilmu sufi yang lain seperti perbincangan martabat tujuh kerana pada ruang yang lain beliau mengiktiraf ilmu tersebut.

7. Punca sebenar kesesatan kelompok tersebut    kerana mereka bukan ahli yg padan bagi membicarakan perbincangan sufi yang dalam-dalam , kesannya mereka akan memahami teks pada sufi secara zahir,

Yang lebih malang sekali apabila ada juga mereka yang pengaku sebagai ahli ilmuan juga mengikut rentak gaya pengaku sufi sebegeni sehinggakan mereka memahami teks para sufi tidak bertepatan dengan apa yang ditujukan oleh para sufi .

Wallahualam Bis sawab wa ilaihil marjie wal ma'ab

al jahilul Juhala'

ARMA

No comments: