Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, November 9, 2020

Mengenal Alam Syurga


Ada 5 alam yang akan ditempuhi oleh roh manusia. 2 alam akan dilalui oleh roh sahaja sementara untuk 3 alam lagi roh akan bersama jasad.

Alam Roh (Azali) - roh sahaja

Alam Dunia - roh dan jasad

Alam Kubur (Barzakh) - roh sahaja

Alam Masyar - roh dan jasad

Alam Syurga /  Alam Neraka - roh dan jasad

Alam yang kelima itu adalah alam terakhir bagi umat manusia. Inilah alam yang kekal yang dijanjikan ALLAH swt. Alam Syurga untuk manusia beriman dan Alam Neraka untuk manusia kufur, ingkar dan durhaka.

Alam Syurga

Dalam surah an-Najm ayat 13 - 15, ALLAH berfirman yang maksudnya; "Sesungguhnya ia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) sekali lagi. Iaitu di Sidratul Muntaha. Dan di dekatnya ada Syurga, tempat kembali."

Melalui ayat-ayat ini ALLAH menerangkan bahawa Syurga itu dekat dengan Sidratul Muntaha. Di manakah Sidratul Muntaha itu? Sidratul Muntaha adalah tempat berhenti Nabi Muhammad saw ketika dimikrajkan ke langit. Ia adalah sempadan terakhir yang boleh dilalui oleh Malaikat Jibril kerana perjalanan melepasi Sidratul Muntaha hanya boleh dilalui oleh Nabi saw seorang sahaja. Menurut Malaikat Jibril jika ia ikut melepasi Sidratul Muntaha maka akan terbakarlah tubuhnya.

Di Sidratul Muntaha, Malaikat Jibril membawa Nabi saw berjalan-jalan melihat Syurga. Syurga adalah salah satu berita sami'yat yang disampai Nabi Muhammad saw yang wajib diimani (percaya) oleh setiap orang beriman. Berita sami'yat ialah berita tentang perkara ghaib yang tidak dapat dibuktikan kewujudannya di Alam Dunia. Nabi saw menyampaikan berita Syurga melalui wahyu yang diterimanya (al-Qur'an) serta dari apa yang telah dilihatnya di Sidratul Muntaha semasa mikraj (naik ke langit) Baginda. Maka Alam Syurga itu adalah benar dan wajib kita percayai akan adanya.

Alam Syurga itu bertingkat-tingkat. Dan setiap Syurga di setiap tingkat luasnya adalah seluas langit dan bumi (alam semesta dunia). Dari Hadith Rasulullah saw yang bermaksud; "Syurga terdiri dari 100 tingkat. Jarak antara satu tingkat dan tingkat yang berikutnya adalah seperti jarak antara bumi dan langit." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap tingkatan Syurga itu adalah berlainan antara satu sama lain. Semakin tinggi tingkatan sebuah Syurga maka semakin cantik Syurga itu dan semakin banyak nikmat yang disediakan untuk para penghuninya. Syurga ditingkatan tinggi adalah untuk mereka yang tinggi darjatnya di sisi ALLAH swt. Syurga yang teratas adalah Syurga Nabi Muhammad saw. Walau bagaimana pun, serendah-rendah Syurga itu adalah berjuta-juta kali lebih baik dari kehidupan di Alam Dunia. Maka tatkala memasuki Syurga masing-masing dan melihat betapa indahnya ia, ramai manusia akan merasa menyesal kerana tidak membuat amal baik yang lebih banyak supaya dapat Syurga yang lebih bagus.

Alam Syurga dikatakan mempunyai 8 pintu. Penghuni-penghuni Syurga akan memasuki Syurga masing-masing melalui pintu yang telah ditetapkan bagi mereka.

Dari Hadith Rasulullah saw yang bermaksud; "Di Syurga ada 8 pintu. Salah satu pintunya bernama ar-Raiyan yang hanya boleh dimasuki oleh orang-orang yang melakukan ibadah puasa sahaja."

Di dalam kitab al-Qur'an pula terdapat 8 nama Syurga yang disediakan untuk hamba-hamba ALLAH yang telah melaksanakan amal-amal tertentu. Nama-nama Syurga dalam al-Qur'an adalah seperti berikut:-

Jannatul Firdaus

Jannatun Na'im

Jannatul Ma'wa

Jannatu 'Aden

Jannatus Salam

Jannatul Khuld

Jannatul Muqomah

Jannatul Jalai

Siapakah yang akan mewarisi Syurga-Syurga ini?

Maksud firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 25; "Gembirakanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka adalah Syurga-Syurga yang mengalir di bawahnya sungai."

Maksud firman ALLAH dalam surah al-Buruj ayat 11; "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan mendapat Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."

Dua ciri penting untuk dapat memasuki Alam Syurga ialah iman dan amal soleh. Orang yang beriman adalah orang yang percaya kepada ALLAH, Nabi-Nabi ALLAH, Malaikat-Malaikat ALLAH, Kitab-Kitab ALLAH, Hari Kiamat dan Qadak dan Qadr ALLAH. Orang yang beriman adalah orang yang taat akan segala perintah ALLAH sama ada yang disuruh buat atau yang dilarang buat. Orang beriman akan melakukan amal-amal soleh yang disukai ALLAH dan menjauhi maksiat zahir dan batin yang dimurkai ALLAH. Inilah orang-orang yang akan mewarisi Syurga-Syurga ALLAH yang dijanjikan itu.

Penghuni Syurga

Alam Syurga adalah balasan yang disediakan bagi manusia yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Dalam surah al-Waqi'ah diterangkan dengan jelas bahawa di Hari Akhirat umat manusia akan menjadi tiga golongan. Dua golongan akan memasuki Alam Syurga dan satu golongan akan memasuki Alam Neraka.

Dua golongan yang akan memasuki Alam Syurga digelar :-

Asyabul-Maimanah (golongan kanan)

As-Sabiqun / Al-Muqarabun (golongan terdahulu / golongan yang didekatkan)


Menurut beberapa tafsir, golongan kanan adalah golongan orang beriman yang berat timbangan amal baiknya (lebih banyak amal baik dari amal buruk). Mereka adalah dari golongan manusia biasa. Mereka ramai dari orang-orang dahulu (zaman para Nabi) dan ramai juga dari golongan kemudian (akhir zaman termasuk zaman kita sekarang).

Sementara golongan sabiqun atau mukarabun adalah golongan manusia terpilih dan diberi darjat yang tinggi di sisi ALLAH swt. Kedudukan mereka adalah tinggi dan dimuliakan. Mereka adalah dari golongan para Nabi, wali-wali ALLAH, para sahabat, tabiin, tabiin-tabiin, para syuhadak, para alim ulama, ahli sufi dan orang-orang soleh yang dipilih ALLAH. Mereka ramai dari orang-orang dahulu dan sedikit sekali dari orang-orang kemudian.

Ketika kedua-dua golongan ini dibawa ke masuk ke Alam Syurga mereka akan disambut oleh para Malaikat penjaga Syurga. Pintu-pintu Syurga akan dibuka kepada mereka dan dikatakan kepada ahli-ahli Syurga itu dengan kata-kata aluan; "Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya." - akhir ayat 73, surah az-Zumar.

Lalu mereka pun masuk ke dalam Syurga dan melihat dengan rasa takjub akan keajaiban sebenar Alam Syurga itu.

Keajaiban Syurga.

Alam Syurga dan segala isinya tidak dapat digambarkan dengan sebenar-benar gambaran yang terdapat di Alam Dunia ini. Alam Dunia adalah fana (menunggu binasa) sedangkan Alam Syurga itu kekal adanya. Segala yang wujud di Alam Dunia akan menjadi buruk, lemah, rosak, tua, sakit, kotor dan akhirnya binasa. Sedangkan Alam Syurga itu tiada keburukan, tiada kekotoran, tiada kerosakan, tiada kelemahan dan  tiada kebinasaan. Syurga dan segala isinya akan kekal dengan Kehendak ALLAH jua. Inilah kehidupan yang sebenar-benarnya.


Tidak dapat digambarkan keindahan sebenar Alam Syurga itu.

Al-Qur'an menggambarkan Alam Syurga itu sebagai sebuah taman yang sangat cantik dan dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan redup rendang dan air sungai yang mengalir di bawahnya serta mata air yang terpancar. Bayangan tumbuh-tumbuhan serta air  memberi perasaan nyaman, tenteram dan sangat santai. Ini yang biasanya dicari manusia apabila berlibur ketika di Alam Dunia. Gambarannya ialah Alam Syurga itu adalah sebuah tempat untuk bersantai, bersenang-senang, bergembira-ria, tanpa ada yang mengganggu fikiran.

Ciri utama Alam Syurga yang sering diulang-ulang dalam kitab al-Qur'an ialah sungai-sungai yang mengalir serta mata air yang terpancar. Terdapat banyak ayat sedemikian yang terdapat di dalam kitab suci al-Qur'an yang menggambarkan bahawa di Alam Syurga ada sungai yang mengalir airnya dan mata air yang memancarkan airnya. Air adalah lambang kehidupan dan diperlukan oleh makhluk yang hidup di Alam Dunia. Namun di Alam Syurga manusia tidak memerlukan air untuk hidup tetapi manusia hidup di Alam Syurga adalah untuk menikmati ganjaran yang yang dijanjikan ALLAH. Sungai-sungai di Syurga dan mata air adalah nikmat ALLAH kepada ahli Syurga. Sungai-sungai Syurga tidak sama dengan sungai-sungai di Alam Dunia.

Dalam surah Muhammad ayat 15 ALLAH swt menerangkan bahawa di Alam Syurga terdapat 4 batang sungai yang tidak wujud di Alam Dunia.

"Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa; ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya (jernih bersih); dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya; serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya; dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih; ...."

Bayangan Alam Syurga sangat menakjubkan akal fikiran orang-orang yang hendak berfikir. Dapatkah dibayangkan sungai air susu atau air madu atau arak? (Arak di Alam Syurga tentu tidak sama dengan arak di Alam Dunia). Dalam sebuah Hadith Rasulullah saw mengatakan bahawa apa jua yang kita gambarkan tentang keadaan Syurga itu adalah tidak sama dengan apa yang sebenarnya ada di sana.

Antara contoh-contoh keajaiban Alam Syurga:-

* Dari Hadith Rasululluh saw yang bermaksud; "Sesungguhnya dalam Syurga terdapat bilik-bilik yang dibuat dari permata-mata yang kelihatan zahirnya dari batinnya dan batinnya dari zahirnya (tembus dipandang mata seperti kaca)."

* Dari Riwayat at-Tabrani dari Abdullah bin Ammar; telah bersabda Rasulullah saw yang maksudnya; "... baunya Syurga itu adalah amat harum yang dapat dihidu dari perjalanan 100 tahun."

* Dari yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Ahmad pula menerangkan tentang firman ALLAH kepada Syurga supaya menjadi lebih baik bagi penghuni-penghuninya; maka Syurga pun menjadi sentiasa bertambah bagus dan bertambah cantik. Tidak ada proses kebinasaan di dalam Alam Syurga.

Banyak lagi keajaiban-keajaiban di Alam Syurga yang hanya akan diketahui apabila kita sendiri melihatnya kelak. Insya-ALLAH.

Perbezaan hidup Alam Dunia dan Alam Syurga

Oleh kerana Alam Syurga itu penuh dengan keajaiban, kehidupan di sana sudah tentulah berbeza dari kehidupan kita sekarang ini di Alam Dunia.

** Makan dan minum

Alam Syurga adalah alam yang tiada kebinasaan (ertinya tiada mati). Manusia tidak memerlukan kepada makan atau minum untuk hidup. Mereka makan dan minum bukan kerana lapar atau haus. Ahli Syurga tidak akan merasa haus buat selama-lamanya kerana merek telah diberi minum dari telaga Haud sebelum masuk ke Alam Syurga itu. Ahli Syurga makan dan minum kerana ia adalah nikmat. Mereka tidak akan merasa kekenyangan yang akan membawa kemudaratan seperti di dunia. Maka mereka akan terus menerus makan dan minum tanpa hentinya dan terus menerus merasakan kenikmatan rasa makanan dan minuman itu. Apa yang dimakan dan diminum tidak akan menjadi najis kerana di Alam Syurga tiada setitik pun kekotoran, apa lagi najis. Makanan dan minuman itu akan keluar menjadi angin yang wangi sekali.

** Berjimak

Manusia hidup sama seperti di dunia iaitu berpasang-pasangan suami-isteri. Jika suami-isteri itu pasangan yang beriman ketika hidup di dunia mereka akan disatukan sebagai suami-isteri juga di Syurga. Atau mereka akan mendapat passangan bidadari atau bidadara bagi yang tiada pasangan hidup. Mereka akan mengadakan hubungan intim suami-isteri seperti di dunia namun tujuannya bukan untuk mendapat zuriat kerana tiada kelahiran akan terjadi di Alam Syurga. Tujuannya adalahs semata-mata kerana nikmat itu sendiri.

** Perhiasan dan pakaian

Penghuni Syurga akan memakai perhiasa emas baik lelaki dan perempuan. Begitu juga bekas-bekas makan dan minum adalah diperbuat dari emas dan perak. Semasa kita hidup di dunia, bekas makan dan minum dari emas dan perak adalah haram dalam hukum Islam. Tetapi di Syurga segala pingan-mangkuk dan cawan serta gelas adalah dari emas dan perak bermutu tinggi.

Pakaian ahli Syurga ialah sutera halus dan sutera bersulam berwarna hijau. Sutera adalah pakaian termahal di Alam Dunia dan diharamkan bagi kaum lelaki Islam memakainya. Namun di Syurga semua penghuni Syurga akan berpakaian sutera yang amat halus yang tidak terdapat di dunia ini.

** Sentiasa muda

Ahli Syurga tidak akan menjadi tua kerana tua akan membawa kepada kematian. Ia adalah sifat duni. Sedangkan hidup di Alam Syurga adalah kekal selamanya. Manusia yang dimasukkan ke dalam Syurga adalah pada usia dara dan teruna. Dan mereka akan terus menerus menjadi dara dan teruna walau sentiasa mengada hubungan suami-isteri. Malahan keadaan diri ahli Syurga akan menjadi bertambah cantik, sihat dan muda.

Segala yang ada di Alam Syurga akan sentiasa bertambah baik dan sempurna. Makanan dan minuman akan sentiasa ada tidak akan berkurang. Buah-buahan yang dipetik akan segera tumbuh kembali dengan lebatnya. Air minuman yang lazat akan disajikan tanpa batas. Manusia akan menjadi bertambah cantik, muda dan berghairah terhadap pasangannya. Ahli Syurga tidak akan melakukan apa-apa pekerjaan selaian bersantai dan bergembira sepanjang masa.

Cerita kehidupan di Alam Syurga dari al-Qur'an.

Al-Qur'an menceritakan bagaimana penghuni-penghuni Syurga menjalani kehidupan mereka:-

Dari surah al-Waqi'ah ayat 15 - 26;

"(Golongan As-Sabiqun) duduk di atas singgahsana kebesaran bertahtakan permata. Sambil berbaring di atasnya berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (sentiasa muda); yang sentiasa berlegar disekitar mereka. Dengan membawa bejana-bejana minuman dan teko-teko serta gelas-gelas berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya (arak itu). Dan juga dibawa kepada mereka buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih. Serta daging burung yang mereka ingini. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang parasnya. Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Ini) sebagai balasan bagi (amal-amal) yang telah mereka kerjakan. Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan 'Selamat! Selamat!'

Dari surah al-Waqi'ah ayat 27 - 38;

"Dan golongan kanan; alangkah bahagianya golongan kanan itu. Mereka bersenang-senang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon-pohon pisang yang tersusun rapi buahnya. Dan naungan (lindungan) yang tetap terbentang. Dan air yang sentiasa mengalir. Serta buah-buahan yang banyak. Yang tidak habis dan tidak terlarang (untuk dimakan).

No comments: