Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Thursday, October 30, 2014

Ilmu Hadith serta Penjelasan Terhadap Hadith-hadith Di Dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin

Hujjatul Islam Imam Al Ghazali dan Ilmu Hadith serta Penjelasan Terhadap Hadith-hadith Di Dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni
Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.
Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang dacif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.
Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.
Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il acmal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.
Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.
Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din
Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:
Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).
Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).
Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).
Sebanyak mana bilangannya?
Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Is‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.
Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)
Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).
Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.
Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah
Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.
[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]
Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.
Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.
Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.
Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.
Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia
Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.
Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).
Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H):
“Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”.
(Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).
Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi:
“Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.
Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi:
“Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari – Khawar Tabaran – rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau”
(Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).
Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H):
“Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim”
(Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).
Menurut Ibn Kathir :
“Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih”
(Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).
Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

Wednesday, October 22, 2014

Himpunan Hadis Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman Petanda Kiamat





Himpunan Hadis Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman Petanda Kiamat

Untuk renungan bersama…

Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR Muslim)

Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW “Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]

Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR Tirmizi)

Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)

Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim)

Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Daud)

Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi)

Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim)

Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (HR Ahmad)

Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (HR Muslim)

Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud)

Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah)

Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim)

Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya” (HR Ibnu Majah)

Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah saw, “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram” (Riwayat Muslim)

Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian) mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi)

Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah)

Banyaknya Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim)

Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)

Perilaku Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)

Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi SAW menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat Muslim)

Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)

Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu” Di dalam riwayat lain disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum ]

Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu kilatan api” (HR Tirmizi)

Hilangnya Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim)

Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)

Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi SAW sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi SAW terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya” Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar pertanyaan itu” Sehingga apabila Nabi SAW selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah” Maka Nabi SAW bersabda “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi SAW menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari)

Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Punca Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi SAW menjawab “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi)

Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Golongan Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?” Nabi SAW menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)

Orang Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW “Islam mula berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” (HR Muslim)

Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah SAW bersabda ”Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi)

Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi)

Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang dikehendaki Allah SWT. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)

20 Rahsia Besar Berkaitan Al-Quran Al-Karim



20 Rahsia Besar Berkaitan Al-Quran Al-Karim

Matlumat terpenting berkaitan Al-Quran Al-Karim:

1-Al-Quran diturunkan dalam tempoh 23 tahun.

2-Ayat Al-Quran diturunkan di Mekah selama 13 tahun.

3-Ayat Al-Quran diturunkan di Madinah selama 10 tahun.

4-Jumlah Juzuk dalam Al-Quran 30 Juzuk.

5-Jumlah Hizib dalam Al-Quran 60 Hizib.

6-Jumlah Surah dalam Al-Quran 114 Surah.

7-Jumlah Rubuk dalam Al-Quran 240 Rubuk.

8-Al-Quran juga dikenali dengan 55 nama yang lain.

9-Bilangan patah perkataan dalam Al-Quran adalah 77439 patah perkataan.

10-Bilangan ayat dalam Al-Quran adalah 6236 ayat.

11-Bilangan huruf dalam Al-Quran adalah 321250 huruf.

12-Surah paling Agong dalam Al-Quran adalah surah Al-Fatihah.

13-Ayat paling Agong dalam Al-Quran adalah surah Al-Kursy.

14-Surah paling panjang dalam Al-Quran adalah surah Al-Baqarah.

15-Ayat paling panjang dalam Al-Quran adalah ayat berkaitan dengan hutang.

16-Perkataan paling panjang dalam Al-Quran adalah Faasiqoinakumuhu.

17-Perkataan paling pendek dalam Al-Quran adalah Toha.

18-Surah yang memiliki 1/3 daripada khasiat Al-Quran adalah surah Al-Ikhlas.

19-Surah yang menjadi Jantung atau Hati Al-Quran adalah surah Yasin.

20-Surah yang paling Indah dalam Al-Quran adalah surah Ar-Rahman.

*Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com

Sunday, October 19, 2014

Uwais Al-Qarni Tidak terkenal di bumi, terkenal di langit

Uwais Al-Qarni : Tidak terkenal di bumi, terkenal di langit
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali k.w.: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul.
Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”
Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."
Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji.
Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit).
Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan.
Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini."
Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."
Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (HR Muslim)
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.
Wallahua’lam.

Wednesday, October 15, 2014

Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas

Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas
ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.
Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.
Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.
Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:
(maksudnya)
Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Sunday, October 12, 2014

Doa dari seorang sufi



Doa dari seorang sufi

Kenapa amalan harian begitu dititikberatkan dalam jalan kerohanian?

TASAWWUF
Q. Kenapa amalan harian begitu dititikberatkan dalam jalan kerohanian?
A. Harus kita ingatkan bahawa jalan kerohanian bukan jalan teori tetapi jalan amali dan praktikal. Kita tidak mahu banyak berteori kerana teori hanyalah peringkat ilmu sahaja yang tidak mencecah ke hati sanubari dan tidak mampu meninggalkan bekas dan kesan pada nafsu. Tasawuf adalah ilmu amali yang membersihkan hati dan mengawal nafsu. Manusia hari ini ramai yang ada ilmu tetapi tidak ramai yang beramal dengan ilmunya. Hatta di kalangan para asatizah sendiri termasuk al-faqir. Umat Islam hari ini perlu beramal dengan ilmu yang dimiliknya barulah ada kesan. Mengamalkan ilmu yang dimiliki akan memberi bekas terhadap hatinya sehingga mampu menerima ilmu langsung dari Allah SWT atau yang sering disebutkan ‘ilmu ladunni’.
Sebab itu dikatakan “Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui, nescaya Allah akan mewariskan padanya ilmu yang dia tidak ketahui”. Oleh itu, bagi mereka yang menjalani mana-mana jalan tarekat muktabar, mereka akan diminta supaya melazimkan dengan amalan-amalan harian tertentu sehinggakan seolah-olahnya menjadi wajib atas diri mereka oleh para sheikh yang murshid. Ianya umpama seorang guru sekolah yang mewajibkan anak muridnya membuat kerja-kerja sekolah di rumah atau ringkasnya dipanggil “kerja rumah” sebagai suatu usaha latihan untuk beliau lebih mahir dan cekap dengan ilmu yang telah dipelajarinya di sekolah.
Walaupun mungkin dari segi bilangan yang ditetapkan itu tiada sandarannya dari mana-mana sumber, namun dari segi amalan itu sendiri ianya merupakan nas umum dan terdapat galakan menganjurkannya. Secara umumnya, kita pernah nyatakan sebelum ini bahawa para murid dikehendaki mengerjakan semua yang wajib, meninggalkan semua yang haram, ditambah lagi berusaha sedaya upaya mengerjakan sebanyak mungkin semua amalan yang sunat dan meninggalkan sebanyak mungkin amalan yang makruh. Ini termasuklah mendirikan Solat Fardhu dan bagi lelaki digalakkan berjemaah di masjid.
Mengqada’kan semua Solat Fardhu yang ditinggalkan dan mendirikan Solat-Solat Sunat yang dianjurkan. Solat Tahajjud merupakan amalan yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh mereka yang ingin mendekatkan diri dengan Allah SWT di mana anjurannya terlalu banyak antaranya mafhum hadith yang menyebut pada penghujung sepertiga malam, Allah SWT akan berkata: “Adakah sesiapa yang memanggil Aku, agar Aku menjawab panggilannya, adakah sesiapa yang meminta sesuatu dariKu, agar Aku penuhi permintaannya, adakah sesiapa yang memohon keampunan dariKu agar Aku mengampuninya” [Bukhari, 2.66:1145]. Bangkit di malam hari bermunajat kepada Allah SWT dan mengatakan kepadaNya bahawa kita cintakanNya, berterima kasih atas segala nikmatNya, dan memohon keampunan darinya. Apabila kita khuatir tidak mampu bangkit untuk Solat Tahajud di sepertiga malam atau ketika dalam musafir dan dikhuatiri kepenatan, maka solatlah sebelum tidur. Jangan sekali-kali meninggalkan Solat Tahajud bagi mereka yang ingin mendekatkan diri dengan Allah SWT kerana Solat Tahajut adalah kunci besar dan rahsia untuk taqarrub kepada Allah. Begitu juga Solat Dhuha, Solat Witir, Solat Hajat, Solat Istikharah dan lain-lain hendaklah dilazimkan dan bukannya dikerjakan sekali sekali sepertimana orang awam.
Q.? Apakah amalan harian turut melibatkan membaca al-Qur’an
A. Ya, sudah tentu. Hubungan akrab dengan Allah tidak mungkin terjalin tanpa kita meluangkan masa membaca “pesanan-pesanan” dan perintah yang diarahkan oleh Allah SWT. Membacanya bukan seperti orang awam membaca, tetapi dengan hati yang merendah diri dan takutkan Allah (tadarru’) dan khusyuk. Sesekali setelah berlalu satu atau dua muka surat, maka berhenti sejenak memohon keampunan dariNya, memohon ganjaran syurga dariNya dan dijauhi neraka. Bagi murid yang menjalani jalan tarekat, kebiasaannya sheikh akan mengarahnya membaca al-Qur’an bermula dari awal hingga akhir, dan bukannya “ditebuk-tebuk” hanya surah-surah tertentu sahaja. Ada riwayat yang menyebut baginda Rasulullah SAW menganjurkan agar al-Qur’an dikhatamkan sebulan sekali, bermakna satu juzuk sehari. Amalan ini mungkin agak mudah bagi mereka yang lancer membaca al-Qur’an khususnya di kalangan orang Arab atau mereka yang lancar bahasa Arabnya. Bagi mereka yang bukan berbangsa Arab, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Adhkar bahawa para Salaf mengkhatam al-Qur’an sekurangnya sekali dalam masa dua bulan – bermakna separuh juzuk sehari. Ada yang mencadangkan tidak kurang dari suku juzuk sehari. Namun apapun, yang penting adalah al-Qur’an hendaklah dibaca walaupun sedikit setiap hari. Sebanyak mana seseorang itu mampu membacanya, maka ianya bergantung kepada tawfiq yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT. Lanjutan dari itu juga, mereka yang menjalani jalan tarekat hendaklah mendalami ilmu tajwid agar mampu membacanya baik sepertimana ianya diturunkan. Selain dari itu, seseorang itu perlu turut memiliki naskhah tafsir atau terjemahan ringkas yang menerangkan tentang makna bacaan al-Qur’an tersebut sebagai contoh Tafsir al-Jalalayn oleh Imam al-Suyuti.
Q.Apakah lagi amalan harian lain bagi para pengembara jalan kerohanian?
A. Bagi mereka yang mengikut tarekat, maka selain menjaga solat fardhu dan turut mendirikan solat-solat sunat sebaik mungkin, membaca al-Qur’an yang kebiasaannya dituntut oleh semua tarekat, amalan lain pula bergantung kepada tarekat masing-masing. Di sana ada perbezaannya namun matlamatnya sama untuk menyucikan hati. Antara amalan-amalan yang biasa diamalkan khususnya bagi pengikut tarekat Shadhaliyyah , misalnya adalah seperti berikut:
· Selawat kepada Nabi SAW
· Istighfar
· La ilaha illallah
· Sheikh al-Hashimi dalam kitabnya Miftah al-Jannah misalnya menyarankan sepuluh zikir yang sepatutnya dibaca oleh setiap orang Islam sekurang-kurangnya sekali seumur hidup seperti‘Audhu billah mina sh-Shaytani rajim, Bismillah, Alhamdulillah, La ilaha illa Allah, Subhana -llah, La hawla quwwata illa bi Llah, Allahu Akbar, Astaghfirullah dan Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi SAW.
· Begitu juga melazimkan zikir-zikir harian yang mathurat yang dituntut misalnya apabila mahu keluar dari rumah, keluar/masuk tandar, memakai baju dan seumpamanya.
Q. Benarkah ada tuduhan yang mengatakan para sufi dan ahli tarekat juga sering beramal dengan hizib-hizib, doa-doa seperti Hizbul Bahr, Hizbul Nasr dan seumpamanya yang tidak warid dari baginda SAW, dan adakah ini dibenarkan?
A. Ya, benar. Para pengikut tarekat, selain beramal dengan doa-doa, wirid-wirid yang mathur dan jelas bersumberkan hadith dari Baginda SAW juga turut beramal dengan doa-doa, wirid-wirid atau hizib yang disusun oleh para ulama dan para imam atau sheikh tarekat mereka. Wirid-wirid atau hizib ini bukanlah suatu yang menyalahi syariat kerana kata-katanya terkandung dalam al-Qur’an atau al-Hadith cuma susunannya sahaja yang disusun oleh para ulama ini. Dalil yang membenarkan perkara ini adalah sepertimana hadith Buraydah r.a. yang menyebut:
“Ketika aku memasuki masjid bersama Baginda SAW, ada seorang lelaki sedang berdoa “Wahai Allah, aku bermohon kepadaMu dengan pengakuanku bahawa Engkaulah Allah, tiada tuhan melainkan Engkau, Yang Esa, Yang Perkasa, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak menyerupai sesuatu pun” lalu Baginda SAW bersabda “Demi nyawaku dalam genggamanNya, lelaki itu telah memohon dengan nama Allah Yang Maha Agung, yang sekiranya beliau meminta dengannya pasti akan diberi dan jika beliau berdoa dengannya pasti dikabulkan” [Ibn Hibban, 3:174:892.S]
Peristiwa ini menunjukkan bahawa para Sahabah r.anhum menyusun sendiri doa-doa atau wirid mereka selain dari doa atau wirid yang diajarkan oleh Baginda SAW dan Baginda SAW sama sekali tidak menegahnya bahkan menggalakkannya selama mana ianya tidak bercanggah dengan syariat. Berdasarkan dalil ini, para ulama berpendapat bahawa dibolehkan untuk menyusun sendiri doa-doa atau wirid-wirid dan perkara ini terbukti telah dilakukan oleh imam-imam besar termasuk Imam Nawawi, Imam al-Haddad dan lain-lain. Walllahu ‘alam.
Wa ma tawfiqi illa billah. Wallahu’alam.
[Rencana ini disiarkan dalam majalah Q&A siri 19 terbitan Galeri Ilmu Sdn.Bhd]

Kisah Sufi Asy-Syibli zikir hu hu hu

Kisah Sufi: Asy-Syibli
Ikutilah kisah waliyullah ini sebagai teladan….
AKU HANYA IKUT RENTAK BURUNG
Asy-Syibli yang sedang duduk di bawah sebatang pokok sambil berseru: “Hu..hu..hu..hu..hu..”
Akibatnya, orang ramai menyangka bahwa Asy-Syibli telah mengamalkan ajaran sesat kerana berzikir dengan kata-kata yang tidak ada nashnya. “Engkau telah berzikir yang tidak ada nashnya!” kata teman-temannya.
“Mana ada?” bantah Asy-Syibli.
“Engkau berzikir dengan hu hu hu hu hu…itu dari mana sumbernya?” tanya mereka.
“Burung merpati di atas pokok itu telah menyanyi dengan bunyi “ku..ku..ku…..” maka aku mengikuti rentaknya dengan hu..hu..hu..” jawab Asy-Syibli.
Beberapa orang teman Asy-Syibli telah datang mengunjungi beliau yang telah dimasukkan ke rumah orang sakit jiwa kerana telah dituduh gila.
“Siapa kalian?” tanya Asy-Syibli.
“Kami ini sahabat-sahabatmu…” jawab mereka.
Ketika itu juga Asy-Syibli membaling mereka dengan beberapa ketul batu, maka larilah lintang pukang teman-temannya. “Kalian pembohong! Apakah orang yang mengaku sahabat akan lari bertempiaran hanya kerana beberapa ketul batu? Sikapmu ini membuktikan bahwa kamu adalah sahabatmu sendiri, bukan sahabatku.” kata Asy-Syibli.

Syair Cinta Rabiatull Adawiyah

Syair Cinta Rabiatull Adawiyah yang menggetarkan hati dari seorang perempuan sufi :

Tuhanku, tenggelamkan aku dalam cintaMu
Hingga tak ada sesuatupun yang menggangguku dalam jumpaMu

Tuhanku, bintang-gemintang berkelap-kelip
Manusia terlena dalam buai tidur lelap
Pintu-pintu istana pun telah rapat tertutup

Tuhanku, demikian malampun berlalu
Dan inilah siang datang menjelang
Aku menjadi resah gelisah
Apakah persembahan malamku Kau Terima
Hingga aku berhak mereguk bahagia
Ataukah itu Kau tolak, hingga aku dihimpit duka,
Demi kemahakuasaanMu
Inilah yang akan selalu ku lakukan
Selama Kau beri aku kehidupan
Demi kemanusiaanMu,
Andai Kau Usir aku dari pintuMu
Aku tak akan pergi berlalu
Kerana cintaku padaMu sepenuh kalbu

Ya Allah, apa pun yang akan Engkau
Kurniakan kepadaku di dunia ini,
Berikanlah kepada musuh-musuhMu
Dan apa pun yang akan Engkau
Kurniakan kepadaku di akhirat nanti,
Berikanlah kepada sahabat-sahabatMu
Kerana Engkau sendiri, cukuplah bagiku

Aku mengabdi kepada Tuhan
Bukan kerana takut neraka
Bukan pula karena mengharap masuk Syurga
Tetapi aku mengabdi,
Kerana cintaku padaNya

Ya Allah, jika aku menyembahMu
Kerana takut neraka, bakarlah aku di dalamnya
Dan jika aku menyembahMu
Kerana mengharap Syurga, campakkanlah aku darinya
Tetapi, jika aku menyembahMu
Demi Engkau semata,
Janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajahMu
Yang abadi padaku

Ya Allah
Semua jerih payahku
Dan semua hasratku di antara segala
Kesenangan-kesenangan
Di dunia ini, adalah untuk mengingat Engkau
Dan di akhirat nanti, diantara segala kesenangan
Adalah untuk berjumpa denganMu
Begitu halnya dengan diriku
Seperti yang telah Kau katakan
Kini, perbuatlah seperti yang Engkau Kehendaki

Aku mencintaiMu dengan dua cinta
Cinta karena diriku dan cinta karena diriMu
Cinta karena diriku, adalah keadaan senantiasa mengingatMu
Cinta karena diriMu, adalah keadaanMu mengungkapkan tabir
Hingga Engkau ku lihat
Baik untuk ini mahupun untuk itu
Pujian bukanlah bagiku
BagiMu pujian untuk semua itu

Buah hatiku, hanya Engkau yang kukasihi
Beri ampunlah pembuat dosa yang datang kehadiratMu
Engkaulah harapanku, kebahagiaan dan kesenanganku
Hatiku telah enggan mencintai selain dari Engkau 

Hatiku tenteram dan damai jika aku diam sendiri
Ketika Kekasih bersamaku
CintaNya padaku tak pernah terbagi
Dan dengan benda yang fana selalu mengujiku
Bila dapat kurenungi keindahanNya
Dia akan menjadi mihrabku
Dan rahsiaNya menjadi kiblatku
Bila aku mati kerana cinta, sebelum terpuaskan
Akan terseksa dan lukalah aku di dunia ini

Oh, penawar jiwaku
Hatiku adalah santapan yang tersaji bagi mahuMu
Barulah jiwaku pulih jika telah bersatu dengan Mu
Oh, sukacita dan nyawaku, semoga kekallah
Jiwaku, Kaulah sumber hidupku
Dan dariMu jua berahiku berasal
Dari semua benda fana di dunia ini
Dariku telah tercerah
Hasratku adalah bersatu denganMu
Melabuhkan rindu 

Sendiri daku bersama Cintaku
Waktu rahsia yang lebih lembut dari udara petang
Lintas dan penglihatan batin
Melimpahkan kurnia atas doaku
Memahkotaiku, hingga hilanglah yang lain, sirna
Antara takjub atas keindahan dan keagunganNya
Dalam semerbak tiada tara
Aku berdiri dalam asyik-masyuk yang bisu
Ku saksikan yang datang dan pergi dalam kalbu
Lihat, dalam wajahNya
Tercampur segenap pesona dan kurnia
Seluruh keindahan menyatu
Dalam wajahNya yang sempurna
Lihat Dia, yang akan berkata
“Tiada Tuhan selain Dia, dan Dialah Yang maha Mulia.”

Rasa riangku, rinduku, lindunganku,
Teman, penolong dan tujuanku,
Kaulah karibku, dan rindu padaMu
Meneguhkan daku
Apa bukan padaMu aku ini merindu
Oh, nyawa dan sahabatku
Aku remuk di rongga bumi ini
Telah banyak karunia Kau berikan
Telah banyak..
Namun tak ku butuh pahala
Pemberian ataupun pertolongan
CintaMu semata meliput
Rindu dan bahagiaku
Ia mengalir di mata kalbuku yang dahaga
Adapun di sisiMu aku telah tiada
Kau biarkan dada kerontang ini meluas hijau
Kau adalah rasa riangku
Kau tegak dalam diriku
Jika aku telah memenuhiMu
Oh, rindu hatiku, aku pun bahagia.