Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Wednesday, May 5, 2021

DALIL BOLEHNYA MENGARANG SELAWAT

 

DALIL BOLEHNYA MENGARANG SELAWAT
Seorang Ulama Syam, Syeikh Yusuf bin Isma'il al-Nabhani (rah) menjelaskan dalam kitabnya Sa'adah al-Darayn Fi al-Salat 'Ala Sayyid al-Kawnayn (ms.370), selawat terbahagi kepada dua:
1. Selawat Ma’thurat
2. Selawat Ghayr Ma’thurat
Selawat Ma’thurat
Ia adalah selawat yang terdapat di dalam riwayat hadis Rasulullah ﷺ dengan lafaz yang disebutkan dan diajarkan oleh Baginda sendiri; contohnya selawat Ibrahimiyyah dan selawat Ummiy.
Selawat Ghayr Ma’thurat
Ia adalah selawat yang lafaznya tidak didapati dari sabdaan Rasul namun ia dikarang oleh orang lain selain Baginda ﷺ setelah kewafatannya ﷺ. Selain selawat-selawat yang ma’thur dari hadith Nabi Muhammad ﷺ, terdapat juga selawat-selawat yang lafaznya dikarang oleh selain Baginda ﷺ seperti yang pernah dilakukan oleh Sayyidina Ali (ra), Sayidina ‘Abdullah bin ‘Umar (ra), Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas (ra), Sayyidina ‘Abdullah bin Mas’ud (ra) dan lain-lain.
Selain itu, ramai Ulama dan Wali-Wali Allah yang mengarang selawat, antaranya ialah Selawat Fatih, Selawat Shifa’, Selawat al-Tafrijiyyah dan banyak lagi. Hendaklah dimaklumi bahawa setiap lafaz zikir, doa atau selawat adalah harus walaupun tidak ma'thur daripada Nabi Muhammad ﷺ dengan syarat lafaz atau sighah tersebut tidak bercanggah dengan yang ma'thūr (tidak bercanggah dengan syarak). Hal ini telah dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalāniy dalam Fath al-Bārī Sharh Sahīh al-Bukhārī (Maktabah Mālik Fahd, Riyad, 1421H/ 2001M, cet.1, j.2, hlm.335).
Seorang Ulama Tafsir, Imam al-Alusi dalam Tafsirnya menyatakan bahawasanya pelajaran yang dapat diambil dari sekumpulan para Sahabat Nabi dan selepas mereka bahawa kaedah berselawat tidak hanya terhenti kepada nas sahaja, bahkan sesiapa yang Allah rezekikan penguasaan ilmu bayan (cabang ilmu balaghah) yang mampu ia kuasai makna-makna lafaz (tersurat dan tersirat) dalam mengungkapkan kemuliaan dan keagungan Nabi ﷺ, maka ia boleh melakukannya. Mereka berhujjah dengan dengan dalil hadis mauquf (sanad hasan) dari Sayyidina Ibnu Mas’ud, Apabila kamu berselawat kepada Rasulullah saw, maka perelokkan selawat kamu kerana kamu tidak mengetahui boleh jadi ia akan ditunjukkan ke hadapan Nabi Muhammad ﷺ.
Berikut ini adalah selawat-selawat yang dikarang oleh para Sahabat Nabi ﷺ sekaligus menjadi dalil bolehnya mengarang selawat selain dari apa yang diajarkan oleh RasuluLlah ﷺ :
1. Selawat Sayyidina Ali bin Abi Talib (ra)
اللَّهُمَّ يَا دَاحِيَ الْمَدْحُوَّاتِ، وَيَا بَانِيَ الْمَبْنِيَّاتِ، وَيَا مُرْسِيَ الْمُرَسِّيَاتِ، وَيَا جَبَّارَ الْقُلُوبِ عَلَى فِطْرَتِهَا، شَقِيِّهَا وَسَعِيدِهَا، وَيَا بَاسِطَ الرَّحْمَةِ لِلْمُتَّقِينَ، اجْعَلْ شَرَائِفَ صَلَوَاتِكَ، وَنَوَامِي بَرَكَاتِكَ، وَرَأْفَاتِ تَحِيَّتِكَ، وَعَوَاطِفَ زَوَاكِي رَحْمَتِكَ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ، وَالْخَاتَمِ لِمَا سَبَقَ، وَفَاتِحِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَدَامِغِ جِيشَاتِ الْأَبَاطِيلِ كَمَا حَمَّلْتَهُ، فَاضْطَلَعَ بِأَمْرِكَ مُسْتَنْصِرًا فِي رِضْوَانِكَ، غَيْرَ نَاكِلٍ عَنْ قَدَمٍ، وَلَا مُئِنٍّ عَنْ عَزْمٍ، حَافِظٍ لِعَهْدِكَ، مَاضٍ لِنَفَاذِ أَمْرِكَ، حَتَّى أَرَى أَنْ أَرَى فِيمَنْ أُفْضِي إِلَيْكَ تَنْصُرُ بِأَمْرِكَ، وَأَسْبَابِ هُدَاةِ الْقُلُوبِ، بَعْدَ وَاضِحَاتِ الْأَعْلَامِ إِلَى خَوْضَاتِ الْفِتَنِ، إِلَى نَائِرَاتِ الْأَحْكَامِ، فَهُوَ أَمِينُكَ الْمَأْمُونُ، وَشَاهِدُكَ يَوْمَ الدِّينِ، وَبَعِيثُكَ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ، اللَّهُمَّ فَسِّحْ لَهُ مُفْسَحًا عِنْدَكَ، وَأَعْطِهِ بَعْدَ رِضَاهُ الرِّضَى مِنْ فَوْزِ ثَوَابِكَ الْمَحْلُولِ، وَعَظِيمِ جَزَائِكَ الْمَعْلُولِ، اللَّهُمَّ أَتْمِمْ لَهُ مَوْعِدَكَ بِابْتِعَاثِكَ إِيَّاهُ مَقْبُولَ الشَّفَاعَةِ، عَدْلَ الشَّهَادَةِ، مَرَضِيَّ الْمَقَالَةِ، ذَا مَنْطِقٍ عَدْلٍ، وَخَطِيبٍ فَصْلٍ، وَحُجَّةٍ وَبُرْهَانٍ عَظِيمٍ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا سَامِعِينَ مُطِيعِينَ، وَأَوْلِيَاءَ مُخْلِصِينَ، وَرُفَقَاءَ مُصَاحِبِينَ، اللَّهُمَّ بَلِّغْهُ مِنَّا السَّلَامَ، وَارْدُدْ عَلَيْنَا مِنْهُ السَّلَامَ.
Terjemahannya:
Ya Allah, Pencipta bumi yang menghampar, Pencipta langit yang tinggi, dan Pemimpin hati yang celaka dan yang bahagia pada ketetapan-Nya, jadikanlah selawat-Mu yang mulia, berkat-Mu yang tidak terbatas dan kasih sayang-Mu yang lembut pada Muhammad hamba dan utusan-Mu, pembuka segala hal yang tertutup, penutup yang terdahulu, penolong agama yang benar dengan kebenaran, dan penakluk bala tentera kebatilan seperti yang dibebankan padanya, sehingga dia bangkit membawa perintah-Mu dengan tunduk kepada-Mu, siap menjalankan redha-Mu, tanpa gentar dalam semangat dan tanpa kelemahan dalam kemahuan, sang penjaga wahyu-Mu, pemelihara janji-Mu, dan pelaksana perintah-Mu sehingga dia nyalakan cahaya kebenaran pada yang mencarinya, jalan-jalan nikmat Allah terus mengalir pada ahlinya, dengan Nabi Muhammad hati yang tersesat memperoleh petunjuk setelah menyelami kekufuran dan kemaksiatan, dia (Muhammad) telah memperindah tanda-tanda yang terang, hukum-hukum yang bercahaya, dan cahaya-cahaya Islam yang menerangi, dialah (Muhammad) orang yang jujur yang dipercayai oleh-Mu dan penyimpan ilmu-Mu yang tersembunyi, saksi-Mu di hari kiamat, utusan-Mu yang membawa nikmat, Rasul-Mu yang membawa rahmat dengan kebenaran.
Ya Allah, luaskanlah syurga-Mu baginya, balaslah dengan kebaikan yang berlipat ganda dari anugerah-Mu baginya, iaitu kelipatan yang mudah dan bersih, dari pahala-Mu yang dapat diraih dan anugerah-Mu yang agung dan tidak pernah terputus .
Ya Allah, berilah dia darjat tertinggi di antara manusia, muliakanlah tempat tinggal dan jamuannya di syurga-Mu, sempurnakanlah cahayanya, balaslah jasanya sebagai utusan-Mu dengan kesaksian yang diterima, ucapan yang diredhai, pemilik ucapan yang lurus, jalan pemisah antara yang benar dan yang batil dan hujah yang kuat.
Keterangan:
Hadis diatas diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur, Ibnu Jarir dalam Tahdhib al-Athar, Ibn Abi Asim, Ya’qub bin Syaibah dalam Akhbar ‘Ali, Ibn Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf (29520), At-Thabarani dalam Al-Mu’jam al-Ausath (9089) dan lain-lain. Hadis ini juga dikutip oleh ahli hadis sesudah mereka seperti al-Hafiz al-Qadi Iyad dalam al-Shifa', al-Hafidz as-Sakhawi dalam Al-Qawl al-Badi’, Ibn Hajar al-Haitami dalam Ad-Durr al-Mandud, al-Hafiz al-Ghummari dalam Itqan as-Shan’ah dan lain-lain.
Menurut al-Hafiz Ibnu Kathir, bacaan selawat ini popular daripada Sayidina Ali bin Abi Thalib (ra). Beberapa hujah yang tidak akan dapat ditolak tentang diperbolehkan mencipta selawat Nabi sendiri adalah selawat Sayidina Ali yang diriwayatkan oleh Salamah al-Kindi yang dinukil dari kitab Al-Syifa’ karya al-Qadi ‘Iyad . Dari Salamah al-Kindi, beliau berkata: “Sayidina Ali bin Abi Talib mengajarkan kami cara berselawat kepada Nabi ﷺ dengan berkata … (selawat seperti di atas).”
2. Selawat Sayyidina Abdullah bin Mas’ud r.a.
وَعَنِ أَبِنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قاَلَ: اِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاَحْسِنُوْا الصَّلاَةَ عَلَيْهِ فَاِنَّكُمْ لاَتَدْرُوْنَ لَعَلَّ ذَلِكَ يُعْرَضُ عَلَيْهِ فَقَالُوْا لَهُ: فَعَلِّمْنَا, قَالَ: اَللَّهُمَّ اجْعَلْ صَلَوَاتِكَ وَرَحْمَتَكَ وَبَرَكَاتكَ عَلَى سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ وَاِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ وَخَاتَمِ النَّبِيِّيْنَ مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اِمَامِ الْخَيْرِ وَقَائِدِ الْخَيْرِ وَرَسُوْلِ الرَّحْمَةِ , الَّهُمَّ ابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُوْدًا يَغْبِطُهُ بِهِ اْلاَوَّلُوْنَ وَاْلاَخِرُوْنَ.رواه ابن ماجه
Sayyidina Abdullah bin Mas’ud berkata: “Apabila kalian berselawat kepada Rasulullah ﷺ, maka buatlah karangan selawat yang bagus kepada Baginda, siapa tahu barangkali selawat kalian itu diberitahukan kepada Baginda.” Mereka bertanya: “Ajari kami cara selawat yang bagus kepada baginda.” Beliau menjawab: “Katakan, ya Allah jadikanlah segala selawat, rahmat dan berkat-Mu kepada penghulu para rasul, pemimpin orang-orang yang bertakwa, penutup para nabi, iaitu Muhammad hamba dan Rasul-Mu, pemimpin dan pengarah kebaikan dan rasul yang membawa rahmat. Ya Allah, anugerahilah Baginda maqam terpuji yang menjadi harapan orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian”.
Hadis sahih ini diriwayatkan oleh Ibn Majah (906), Abdurrazzaq (3109), Abu Ya’la (5267), at-Thabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir (9/115) dan Ismail al-Qadi dalam Fadl al-Salat (hal. 59). Hadis ini juga disebutkan oleh Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Jala’ al-Afham (hal. 36 dan hal 72). Selawat dikarang selepas kewafatan Rasulullah ﷺ.
3. Selawat Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Umar (ra)
Diriwayatkan oleh Ahmad bin Mani’ sebagaimana dalam al-Matalib al-‘Aliyah oleh al-Hafiz Ibn Hajar (3332) dan mengisyaratkannya sebagai sahih, dari Thawbah/Thuwayr mawla Bani Hasyim katanya: Aku bertanya Ibn ‘Umar RA: Bagaimana berselawat ke atas Nabi ﷺ? Maka jawab Ibn ‘Umar RA:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ صَلَوَاتِكَ وَبَرَكَاتِكَ وَرَحْمَتَكَ عَلَى سَيِّدِ الْمُرْسَلِينِ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينِ، وَخَاتَمِ النَّبِيِّينَ، مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، إِمَامِ الْخَيْرِ، وَقَائِدِ الْخَيْرِ، اللَّهُمَّ ابْعَثْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَقَامًا مَحْمُودًا يَغْبِطُهُ الْأَوَّلُونَ وَالْآخِرُونَ، وَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Kata Imam al-Busiri: Ia mempunyai sokongan dari hadis Ibn Mas’ud (ra) yang diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Umar, Abu Ya’la dan Ibn Majah dengan isnad yang hasan. Selawat dikarang selepas kewafatan Rasulullah ﷺ.
4. Selawat Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas (ra)
Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq, ‘Abd bin Humayd dan Isma’il al-Qadi dalam Fadl al-Salat ‘ala al-Nabi ﷺ dari Sayyidina Ibnu ‘Abbas (ra) beliau mengucapkan:
اللهم تقبل شفاعة محمد الكبرى، وارفع درجته العليا، وأعطه سُؤْلَه في الآخرة والأولى، كما آتيت إبراهيم وموسى، عليهما السلام
Kata Imam Ibn Kathir dalam Tafsirnya: Suatu isnad yang baik, kuat lagi sahih.
5. Selawat Arab Badwi
Nabi Muhammad ﷺ menegur seorang Arab Badwi yang berdoa dari ilhamnya secara salah, namun Baginda ﷺ hanya menunjukkannya cara yang betul dan tidak melarangnya berdoa dari ilhamnya. Dari Abu Hurayrah RA katanya: Pernah Rasulullah ﷺ berdiri dalam satu solat dan kami juga berdiri bersamanya. Lalu seorang Arab badwi berdoa dalam solatnya:
(اللَّهُمَّ ارْحَمْنِى وَمُحَمَّدًا ، وَلاَ تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا)
“Ya Allah, rahmatilah aku dan juga Muhammad, dan jangan Engkau rahmati bersama kami seorang pun”.
Maka di kala Nabi Muhammad ﷺ memberi salam baginda pun berkata kepada Arab Badwi berkenaan: “Sesungguhnya kamu telah menyempitkan yang luas”, maksud baginda rahmat Allah.
[Riwayat al-Bukhari (6010), Abu Dawud, al-Nasa’i dan al-Tirmizi]
Amat menyedihkan pada hari ini apabila segelintir umat Islam amat mudah melemparkan perkataan syirik kepada saudara Islamnya yang lain hanya kerana tersalah sangka mengenai amalan selawat dan kekurangan ilmu mengenai makna yang terkandung dalam selawat. Sedangkan sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh Allah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan".
(Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).
Perbanyakanlah berselawat wahai saudaraku sama ada yang lafaznya datang dari Rasulullah ﷺ atau selain Baginda ﷺ, agar terbuka pintu kecintaan dan petunjuk dalam perjalanan menuju Allah. Amin ya Rabb al-'alamin..
Pautan berkaitan:
1. Penjelasan mengenai Selawat Syifa’
2. Penjelasan mengenai Selawat Tafrijiyyiah/Nariyah/Kamilah
* Sebuah kajian terperinci dan mendalam mengenai Selawat Tafrijiyah/Nariyah telah dibuat oleh Dr.Alvian Iqbal Zahasfan lepasan Maghribi yang mana beliau telah menjadikan selawat tersebut sebagai penelitian utama untuk menyiapkan tesisnya. Buku tersebut boleh didapati secara atas talian sebagai berikut:
Disediakan oleh: iqbal zain al-jauhari