Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, November 16, 2020

SULTAN ALANG ISKANDAR SHAH. MURSYID TARIQAH AN-NAQSYABANDIYAH




SULTAN ALANG ISKANDAR SHAH. MURSYID TARIQAH AN-NAQSYABANDIYAH (1876-1938)

Sultan Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Murshidul Azzam Shah. Sultan Negeri Perak ke-30, diputrakan di Kampar pada 10 Mei 1876.

Merupakan seorang sultan yang bertaraf ulama, sangat alim dan soleh.

Baginda berguru dengan beberapa orang ulama besar, Tuan Guru Syeikh Wan Muhammad, Tuan Guru Syeikh Muhd Nawawi Bin Hj Mohd Tahir, Syeikhul Islam Tuan Guru Hj Muhammad Zain Bin Muhammad Amin dan Syeikhul Islam Tuan Guru Hj Muhammad Salleh Bin Muhammad Taib.

Baginda telah mengarang sebuah kitab yang diberi nama Risalah Iskandar Shah.

RISALAH ISKANDAR SHAH

Antara isi Risalah Iskandar ialah; Baginda menamakan dirinya FAQIR.

".....Wahai sekalian saudara ku lelaki dan perempuan, dengarlah perkataan faqir yang tidak sepertinya ini, mudah mudahan akan menjadi kenang-kenangan saudaraku sekalian kepada faqir terutama sekali masa hilang hayat faqir di belakang hari dan tiada sekali niat faqir dengan bermegah-megah ataupun dengan menunjuk-nunjuk kepandaian melainkan hanya faqir berserah dan berpegang semata-mata kepada Tuhan kita..."

"....Maka adalah tujuan faqir menulis risalah kecil ini semata-mata niat faqir  ialah kerana mengikut menjunjung titah dan perintah Rasul kita iaitu hendaklah ingat dan beringat-ingat kita satu sama lain baik dengan sepatah perkataan sekalipun...."

Nasihat baginda lagi;

".... Apalah gunanya kita bermegah-megah dengan bangsa kita, asal kita daripada tanah, kejadian kita daripada benda yang cemar dan keluar kita daripada tempat yang kotor, kemudian kembali kita kepada tanah...."

".... Apalah gunanya kita berbimbang pada menghimpunkan harta benda dan sayang kita menafkahkan dia pada membuat ibadat, akan hal apabila kita mati diambil oleh orang harta itu...."

Baginda telah mewakafkan sebidang tanah, bangunan dan harta milik baginda sendiri untuk membina sebuah pusat pengajian agama Islam yang diberi nama Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan Kuala Kangsar pada tahun 1922.

Baginda juga mengarahkan alim ulama agar menyampaikan pengajaran Islam kepada setiap golongan masyarakat, tulis beliau;

".... Hai orang-orang alim, tolong doakan oleh mu kaum kita mudah-mudahan supaya dibukakan oleh Allah hati mereka itu membuat yang disuruh dan berhenti daripada tegahan yang dititahkan oleh Tuhannya dan tegur ajar oleh mu akan mereka itu.... Lagi hai orang-orang alim, jangan sekali-kali kamu menjadikan diri mu seperti pengayak tepung, yang halus-halus keluar dan yang kasar-kasar tinggal...."

"..... Hai kadi-kadi, tidur baring makan minum dan bersenang-senang kamu itu untuk apa? Bukankah kamu apa yang diharapkan oleh Nabi kamu dan raja kamu menyampaikan hukuman Tuhan kamu. Apa perkataan kamu yang sudah kamu sediakan pada masa hadapan Tuhan kamu di akhirat kelak. Adakah perkataan kamu itu pada fikiran kamu boleh melepaskan daripada orang-orang yang tiada menyampaikan titah Tuhannya? Jawab, jawab..."

".... Ya Allah, ya Rabbi, apabila kami naik di atas tahta Kerajaan Negeri Perak ini ada juga haji lebai yang bercerita di atas hal kelakuan waktu zaman sahabat sahabat dan kelakuan raja raja adil zaman zaman dahulu. Ma Sya Allah, apabila terdengar kami akan perkataan ini, baharulah kami tahu kesusahan yang besar dan bala yang besar terbeban di atas kami... Jadi kami bermohon kepada Allah bukakanlah hati kami melakukan sesuatu. Yang ada kami buat sedikit-sedikit pada masa ini...."

Sebahagian besar pengisian Risalah Iskandar ini adalah ilmu-ilmu pelajaran Tauhid, Fekah dan Tasauf. Selainnya ialah nasihat-nasihat dan arahan baginda kepada seluruh rakyatnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat Nya ke atas al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah. Dan meletakkan rohnya di kalangan hamba Nya yang disebut sebagai Imamul Aadil. Amin

Cc : Facebook Tholib Annur

No comments: