NUR NABI MUHAMMAD ﷺ DAN KESEPAKATAN ULAMA
Telah datang pertanyaan kepada saya bagimanakah para Ulama dapat berkesimpulan bahawa Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah ciptaan pertama dan dari mana datangnya istilah Nur Nabi Muhammad ﷺ ini. Maka artikel ini akan tertumpu kepada bagaimana para Ulama sampai kepada kesimpulan tersebut.
Apabila telah sabit riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ sudah tercipta sebelum Nabi Adam sebagimana hal tersebut telah diakui oleh para Ulama Salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ishaq bin Rahwayh, Imam Abu Bakar al-Khallal, Imam Sahl al-Tustari dan lain-lain, yang mana mereka telah memahami hadith “kuntu nabiyyan wa Adam bayna al-ruh wa al-jasad” adalah bermakna ciptaan, bukan sekadar tulisan di taqdir semata.
Hal itu sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh anak murid kepada para pelajar Imam Ahmad bin Hanbal bernama Imam Abu Bakar al-Khallal dalam kitabnya al-Sunnah sebagai berikut:
أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ الْحَسَنِ، أَنَّ الْفَضْلَ حَدَّثَهُمْ قَالَ: قَرَأْتُ عَلَى أَبِي عَبْدِ اللَّهِ أَبُو النَّضْرِ قَالَ: ثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ الرَّازِيُّ، فَذَكَرَ حَدِيثَ الْأَسَدِيِّ، قَالَ: «وَجَعَلْتُكَ أَوَّلَ النَّبِيِّينَ خَلْقًا وَآخِرَهُمْ بَعْثًا، وَأَوَّلَهُمْ مَقْضِيًّا لَهُ» ، فَذَكَرَ الْحَدِيثَ، قَالَ الْفَضْلُ: قَالَ لِي أَحْمَدُ: " أَوَّلُ النَّبِيِّينَ يَعْنِي خَلْقًا، {وَإِذْ أَخَذْنَا مِنَ النَّبِيِّينَ مِيثَاقَهُمْ وَمِنْكَ وَمِنْ نُوحٍ} [الأحزاب: 7] فَبَدَأَ بِهِ ﷺ
Mengenai hadith di atas, Imam Ahmad bin Hanbal telah berkata kepada muridnya al-Fadl bin Ziyad bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi pertama yang diciptakan.
Kenyataan Imam Ahmad ini adalah penting kerana Mawlana Ahmad Zafar Uthmani dalam Qawa’id fi ‘Ulum al-Hadith (ms.57) berkata, “Apabila seorang Mujtahid mengambil dalil dari sesebuah hadith, menunjukkan bahawa dia mensahihkan hadith tersebut sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Humam dalam al-Tahrir dan Ulama lain selain beliau”.
Pandangan yang sama juga dipegang oleh anak murid Imam Ahmad bin Hanbal yang lain bernama Imam Ishaq bin Rahwayh bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah wujud sebelum Nabi Adam dicipta, yang juga direkod oleh Imam Abu Bakar al-Khallal dalam al-Sunnah sebagai berikut:
أَخْبَرَنِي حَرْبُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ الْكَرْمَانِيُّ، قَالَ: قُلْتُ لِإِسْحَاقَ يَعْنِي ابْنَ رَاهَوَيْهِ: حَدِيثُ مَيْسَرَةَ الْفَجْرِ قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَتَى كُنْتَ نَبِيًّا؟ قَالَ: «وَآدَمُ بَيْنَ الرُّوحِ وَالْجَسَدِ» ، مَا مَعْنَاهُ؟ قَالَ: «قَبْلَ أَنْ تُنْفَخَ فِيهِ الرُّوحُ، وَقَدْ خُلِقَ ﷺ »
Hadith di atas menunjukkan bahawa Imam Ishaq bin Rahwayh (w.238H/853M) memahami hadith “kuntu nabiyyan wa Adam bayna al-ruh wa al-jasad” adalah bermakna ciptaan bukan sekadar tulisan di taqdir semata.
Setelah kita memahami mengenai keawalan kejadian Nabi Muhammad SAW. Maka persoalan seterusnya ialah apakah bentuk kejadian Nabi Muhammad ﷺ ketika itu?
Jawapannya ialah dalam bentuk roh. Kerana Para Ulama mengatakan bahawa sebelum seluruh jasad manusia tercipta, manusia sudah wujud dalam bentuk roh (الارواح قبل الاجساد) sebagaimana hal tersebut ditulis oleh Imam al-Subki dalam al-Fatawa, Imam Ibrahim al-Laqqani dalam Umdah al-Murid, Imam Ibnu Qayyim dalam al-Ruh dan ramai lagi.
Imam Sahl bin Abdullah al-Tustari rahimahuLlah (w.283H/896M) dalam Tafsirnya, menyebutkan dalam Tafsirnya dibawah ayat “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (al-Baqarah:30), belia menyebutkan bahawa, “Dan Allah menciptakan Nabi Adam a.s. dari tanah kemuliaan yang berasal dari Nur Muhammad SAW" (wa khalaqa Adam min tin al-‘izzah min Nur Muhammad SAW).
Apabila sudah memahami bahawa roh telah wujud sebelum jasad, persoalan berikutnya ialah roh tersebut dalam bentuk apa, adakah dalam bentuk air atau nur atau api atau udara?
Imam Ibnu Qayyim dalam al-Ruh menjelaskan bahawa para Ulama berpendapat bahawa roh adalah ciptaan nur dengan berdalilkan hadith sahih ini bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إن الله عز وجل خلق الخلق في الظلام ثم ألقى عليهم من نوره
“Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya dalam kegelapan kemudian Dia memancarkan Nur-Nya kepada mereka” (Riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad).
Imam Abu Bakr Ibnu al-‘Arabi al-Ma’afiri al-Maliki rahimahuLlah (w.543H/1148M) dalam kitabnya ‘Aridah al-Ahwadhi, telah mengulas hadith “Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan makhlukNya di dalam kegelapan, maka Allah Ta’ala memancarkan atas diri mereka dari NurNya”, beliau menyebutkan bahawa hadith ini membuktikan bahawa setiap sesuatu di alam ini mendapat bahagian dari Nur sama ada secara umum atau khusus, secara zahir dan batin, dan secara jasmani mahupun rohani. (tabayyana bi hadha anna kulla ahadin yulqa min dhalika al-nur bi qadari ma wuhiba lahu min al-‘umum wa al-khusus wa al-jumlah wa al-tafsil wa fi al- qalbi wa al-jawarih)
Berdasarkan Firman Allah Ta’ala, “Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan kegelapan dan nur”,( Surah al-An’am:1), Imam al-Suyuti rahimahuLlah dalam Qatf al-Azhar fi Kashfi al-Asrar (al-Fatihah:1), menegaskan bahawa ayat ini menunjukkan kepada nikmat yang pertama ialah nikmat wujud, diikuti dengan tempat dan masa kewujudan.
Imam al-Tabari rahimahuLlah menegaskan bahawa kegelapan tetap diyakini sebagai yang mendahului cahaya kerana sesuai dengan turutan dalam FirmanNya, “Dan Dia menjadikan kegelapan dan nur”.
______________________
Muqaddimah 1: Nabi Muhammad ﷺ telah tercipta sebelum Nabi Adam a.s.
Muqaddimah 2: Roh telah tercipta sebelum jasad
= Natijah: Roh Nabi Muhammad ﷺ telah ada sebelum tercipta Nabi Adam a.s.
--------------------
Muqaddimah 1: Roh Nabi Muhammad ﷺ telah ada sebelum Nabi Adam a.s.
Muqaddimah 2: Roh adalah ciptaan nur
= Natijah: Nur Nabi Muhammad ﷺ telah wujud sebelum Nabi Adam a.s.
_____________________________
Oleh kerana itu, Mulla Ali Qari rahimahuLlah (w.1014H/1605M) dalam Mirqat al-Mafatih dan al-Mawrid al-Rawiy menjelaskan bahawa apabila disebut Nur Nabi Muhammad ﷺ, yang dimaksudkan ialah roh Baginda ﷺ.
Imam Ibnu Jarir al-Tabari rahimahuLlah (w.310H/923M) dalam kitab tafsirnya Jami’u al-Bayan, ketika menafsirkan ayat 7 Surah al-Ahzab, beliau meriwayatkan hadith bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Aku adalah Nabi pertama dalam penciptaan dan yang terakhir dalam pengutusan” (Kuntu awwal al-anbiya’ fi al-khalqi wa akhiruhum fi al-ba’thi).
Ketika menafsirkan ayat 1 Surah al-Isra’, beliau meriwayatkan bahawa dalam peristiwa al-Mi’raj, Nabi Muhammad ﷺ telah diseru oleh malaikat, “al-Salamu ‘alayka ya Awwal, wa al-Salamu ‘alayka ya Akhir” (Salam sejahtera ke atasmu wahai yang Pertama dan salam sejahtera ke atasmu wahai yang Akhir) dan Allah Ta’ala berbicara kepadanya, “…Dan Aku telah jadikanmu yang pertama dan yang terakhir ..dan Aku telah jadikan dirimu sebagai pembuka dan penutup” (wa ja’altuka awwal al-nabiyyin khalqan wa akhiruhum ba’than…wa ja’altuka fatihan wa khatiman).
Mulla Ali Qari dalam Sharh al-Shifa’ (Bab fima warada min sahih al-akhbār wa mashhuriha) mengatakan bahawa RasuluLlah ﷺ dipanggil sebagai ‘Awwal’ kerana Baginda ﷺ adalah yang pertama dicipta (wa huwa ﷺ summiya bi al-awwal wa al-akhir innama huwa min haithu kawnihi awwalan fi al-khalqi wa akhiran fi al-ba’thi).
Shaykh AbduLlah al-Ghumari rahimahuLlah (w.1993M) dalam al-Ahādith al-Muntaqāh fi Faḍā’il Sayyidina RasuliLlah SAW (ms.6), menyatakan bahawa makna gelaran Rasulullah SAW sebagai Fatih (pembuka) dalam hadith di atas ialah pembuka kepada penciptaan makhluk dan penutup kepada penzahiran kenabian (fātihan li khalqi al-mawjudāt khātiman li zuhur al-nubuwwah).
Imam al-Qurtubi rahimahuLlah (w.671H/1273M) dalam Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, pada ayat “Perumpamaan Nur-Nya” (al-Nur:35), beliau telah menukilkan dari Imam Ibnu al-Anbari bahawa maksud nur yang diumpamakan dengan Cahaya Ilahi yang menerangi langit dan bumi ialah Nur Nabi Muhammad ﷺ.
Selanjutnya ketika menafsirkan ayat, “Dan aku adalah orang yang pertama menyerah diri (Wa ana awwal al-muslimin)” (al-An’am:163), Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa tidak ada seorang pun dari kalangan makhluk yang layak menyandang gelaran “yang pertama” (laysa ahaduhum bi awwalihim illa Muhammad ﷺ), Baginda adalah yang paling terdahulu diciptakan Allah Ta’ala sebagaimana hadith yang menyebutkan “Aku adalah Nabi pertama dalam penciptaan dan yang terakhir dalam pengutusan (ke dunia)”.
Demikian itu adalah kefahaman para Ulama kepada keseluruhan nas, gabungan itu semua menyampaikan mereka kepada faham Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan pertama.
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sha'rawi al-Misri rahimahuLlah dalam kitabnya berjudul Anta Tas’al wa al-Islam Yujib (ms.38), beliau berkata:
"Adalah menjadi tanda Kesempurnaan Allah dan juga secara tabi’i, awal sesuatu kejadian bermula daripada yang tinggi (kedudukannya), kemudian baru dicipta yang rendah. Adalah tidak diterima akal bahawa tanah dicipta terlebih dahulu, kemudian dijadikan daripadanya Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana setinggi-tinggi perkara di sisi manusia ialah para Rasul manakala setinggi-tinggi darjat kerasulan itu ialah kerasulan Nabi Muhammad bin Abdullah ﷺ. Oleh itu, sudah pasti Nur Muhammad ﷺ yang mula-mula dicipta kemudian darinya tercipta seluruh alam ini kerana kejadian alam adalah bermula dengan nur dan hal tersebut tidak menyalahi penemuan terkini. Adapun perbicaraan Nur Nabi Muhammad ﷺ pada aspek kerohanian, ianya mempunyai perbahasan yang tersendiri".
Imam al-Subki menegaskan bahawa keawalan Kenabian Rasulullah ﷺ bukan hanya sekadar di dalam Ilmu Ilahi, akan tetapi keawalan pada kejadian yang nyata. Jika ia sekadar di Ilmu Ilahi atau suratan Taqdir semata-mata, nescaya semua manusia boleh mengatakan "kuntu insanan wa Adam bayna al-ruh wa al-jasad" (aku telah menjadi manusia ketika Nabi Adam antara roh dan jasad), maka jika demikian itulah keadaannya, maka hadith ini tidak menyerlahkan keistimewaan Nabi Muhammad ﷺ sedangkan tujuan hadith ini adalah untuk memberitahu keistimewaan Nabi Muhammad ﷺ.
Imam al-Zurqani dalam Sharh al-Mawahib mempunyai pandangan yang selari dengan Imam al-Subki kerana kalimah yang yang digunakan dalam hadith ialah “kuntu” yang berasal dari al-kawn (kejadian), bukan al-kitabah (tulisan) (kuntu min al-kawn ka al-awwal La al-kitabah).
Imam Muhammad al-Bakki al-Kumi al-Tunisi (w.916H/1510M) dalam kitabnya Tahrir al-Matalib dan Imam al-Munawi dalam Sharh al-Shama’il al-Tirmidhi bahawa Nur Nabi Muhammad ﷺ telah dijadikan Allah Ta’ala sebagai sumber kepada terpancarnya nur jasmani dan nur rohani.
Peringatan: Kedudukan Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan pertama di alam roh tidak menafikan kejadian Rasulullah ﷺ sebagai manusia di alam dunia yang mempunyai unsur tanah, air dan lain-lain. Maka tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa kalau Nabi Muhammad ﷺ dicipta dari nur maka Nabi Muhammad ﷺ adalah malaikat.
Demikian adalah kerana manusia itu dipanggil manusia apabila berkumpul 2 alam pada dirinya iaitu roh dan jasad. Jasad adalah dari unsur tanah, air, udara dan lain-lain, manakala roh manusia adalah berunsur cahaya yang tinggi. Roh manusia tetap roh dan bukan malaikat walaupun berkongsi sama unsur iaitu cahaya.
Bahkan banyak riwayat yang menyebutkan makhluk lain juga adalah berunsur cahaya namun tidak secara otomatik menjadi malaikat contohnya roh, Arash, Kursi, Lawh Mahfuz, Qalam, Sidrah dan lain2, segalanya itu adalah berunsur cahaya dan tidak menukar mereka semua menjadi malaikat.
Imam al-Qushayri rahimahuLlah dalam Kitab al-Mi’raj meriwayatkan hadith yang menyatakan bahawa Arash, Kursi, malaikat dan lautan di langit tinggi adalah diciptakan dari nur (khalaqa Allahu al-‘arsha min jawharah al-khadra’ min nur… wa khalaqa Allahu al-kursi min nur). Hadith tersebut juga diriwayatkan dengan sanad yang sahih oleh Imam Abu Nu’aym, Imam Ibnu Marduwayh dan Imam Ibnu Hibban.
Manakala Imam al-Razi rahimahuLlah dan Imam al-Qurtubi rahimahuLlah (w.671H/1273M) dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an ketika menafsirkan ayat yang sama, menukilkan kalam Sayyidina Abbas (ra) yang berkata bahawa al-Qalam adalah dari nur (huwa Qalam min nur).
_____________________________________
Senarai Ulama yang menyatakan bahawa Ulama telah bersepakat menetapkan keawalan Nur Nabi Muhammad ﷺ ialah:
1. Imam Ibnu Battah al-‘Akbari al-Hanbali (w.387H/997M) dalam al-Sharh wa al-Ibanah
2. Imam Mar’i al-Karami al-Maqdisi al-Hanbali (w.1033H/1621M) dalam Nuzhah Nufus al-Akhyar wa Matla’ Shawariq al-Anwar
3. Imam Ismail Haqqi al-Bursawi al-Hanafi (w.1137H/1725M) dalam Ruh al-Bayan
4. Imam al-Alusi al-Baghdadi al-Hanafi (w.1270H/1854M) dalam Ruh al-Ma’ani.
Selain itu, di bawah ini adalah senarai para Ulama yang telah bersepakat menetapkan bahawa pendapat yang muktamad dan mutlak mengenai ciptaan yang pertama ialah Nur Nabi Muhammad ﷺ manakala segala kejadian yang lain diciptakan adalah selepas ciptaan Nur Nabi Muhammad ﷺ:
1. Imam Sa’d al-Din al-Taftazani (w.792H/1390M) dalam Sharh al-Arba’in al-Nawawiyah
2. Imam al-Qustullani rahimahuLlah (w.923H/1517M) dalam al-Mawahib al-Ladunniyah
3. Imam Abd al-Wahhab al-Sha’rani (w.973H/1565) dalam Fara’id al-Qala’id fi ‘Ilm al-‘Aqa’id
4. Imam Ibnu Hajar al-Haytami al-Makki al-Ansari (w.973H/1566M) dalam Ashraf al-Wasa’il Fi Fahmi al-Shama’il
5. al-Hafiz al-Muhaddith Imam Najm al-Din al-Ghayti (w.982H/1574M) dalam Bahjah al-Sami’in wa al-Nazirin
6. Mulla Ali Qari rahimahuLlah (w.1014H/1605M) dalam al-Mawrid al-Rawiy
7. Imam Ibrahim al-Laqqani (w.1041H/1631M) dalam ‘Umdah al-Murid Sharh Jawharah al-Tawhid
8. Imam Ali bin Ahmad al-‘Azizi (w.1070H/1660M) dalam al-Siraj al-Munir sharh al-Jami’ al-Saghir li al-Suyuti
9. Imam al-‘Ajluni (w.1162H/1749M) dalam 'Iqd al-Jawhar al-Thamin
10. Imam Shihab al-Din Ahmad al-Jawhari (w. 1181H/1767M) dalam al-Jawhar al-Saniyyah ‘ala Sharh al-‘Aqidah al-Laqqaniyyah
11. Imam Ali al-Sa’idi al-Adawi (w.1189H/1772M) dalam Hashiyah ‘ala Sharh Jawharah al-Tawhid li ‘Abd al-Salam al-Laqqani
12. Imam Ahmad al-Dardir (w.1204H/1786M) dalam Mawlid Abi al-Barakat Ahmad Dardir
13. Imam Murtada al-Zabidi (w.1204H/1790M) dalam kitabnya Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin
14. Imam al-Amir al-Kabir al-Maliki (w.1232H/1817M) dalam Sharh Jawharah al-Tawhid
15. Imam Ahmad al-Sawi (w.1241H/1826M) dalam al-Asrar al-Rabbaniyyah
16. Imam Ibrahim al-Bayjuri (w.1276H/1860M) dalam kitabnya Tuhfah al-Bashar
17. Imam Shihab al-Din Ahmad al-Khaliji al-Hulwani al-Misri (w.1308H/1891M) dalam Mawakib al-Rabi’
18. Imam ‘AbduLlah bin Sa’id al-Lahji (w.1410H/1989M) dalam Muntaha al-Sul ‘ala Wasa’il al-Wusul ila Shama’il al-Rasul
Berdasarkan penelitian setakat ini, penetapan Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan yang pertama telah mencapai Talaqqi bil Qabul dikalangan Ulama yang muktabar.
Penjelasan yang saya tulis dalam artikel2 bukanlah untuk memaksa sesiapa ikut pandangan saya tapi saya hanya ingin mengetengahkan perbincangan yang difahami oleh para Ulama dalam kesimpulan mereka terhadap keawalan Nur Nabi Muhammad SAW lantaran kesedaran kepada betapa bahayanya menyesatkan sesuatu yang telah dipersetujui oleh para Ulama yang ramai.
Jika anda adalah seorang yang berjuang dalam membetulkan kefahaman2 orang yang memahami Nur Nabi Muhammad SAW dengan cara yang terseleweng, maka teruskanlah perjuangan anda, saya amat setuju dan menyokongnya. Namun janganlah anda memukul rata bahawa semua yang mengambil faham Nur Nabi Muhammad SAW dan keawalannya adalah sesat semua.
Anda boleh saja tidak setuju dengan Jumhur Ulama, jika anda mempunyai sandaran yang lain, akan tetapi jauhilah sikap saling menyesatkan antara satu sama lain. Semoga Allah kurniakan cahaya yang sempurna kepada kita semua. Amin ya Rabb al-'alamin.
iqbal Zain al-jauhari
https://www.facebook.com/100053481364433/posts/pfbid0RQL5tdM6JtHy7KAo4cnizpmhJdGNdrSzCvwtumdYT9G7yzrDUDmixxiqKnmM8qTAl/
No comments:
Post a Comment