Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Friday, May 22, 2020

Pengalaman saya pula, pernah saya tergolong dalam kelompok 'pro wahabi'

Pengalaman saya pula, pernah saya tergolong dalam kelompok 'pro wahabi' walaupun tidak berguru dengan ustaz-ustaz wahabi.

Saya jenis orang yang tak suka perkara yang ada ketetapan. Perkara yang pada pandangan saya tidak perlu dibuat dalam aturan, maka tiada keperluan ia dilakukan dalam ketetapan tertentu. Ketika remaja, saya memandang aneh pada zikir lepas solat.

Pada saya ketika itu, kenapa perlu ada ketetapan turutan zikir? Kenapa perlu dihafal setiap zikir yang imam sebut lepas solat? Nak zikir, ikut sukalah nak zikir apa pun. Zikir yang mudah-mudah, sudahlah.

Kemudian saya dengar pula orang sebut pasal baca yaasin malam jumaat bid'ah. Orang tu bagi alasan Nabiy tak buat, maka kenapa kita nak buat? Kalau kita betul nak ikut Nabiy, maka jangan buat. Begitulah kesimpulan orang tersebut.

Akal cetek saya masa tu rasa 'make sense' juga kata-katanya. Ketika muda pula kononnya semangat nak buat amal tu tinggi. Maka bila balik kampung, saya beritahu ayah saya sendiri, baca yaasin malam jumaat tu bid'ah, Nabiy tak buat (selamba betul saya bid'ahkan bapak sendiri. Saya pun tak pasti ayah saya masih ingat atau tidak kejadian ini).

Pendekkan cerita, apabila saya belajar ilmu agama mengikut lunas yang dianjurkan agama, barulah saya bertemu sinar. Berbeza keadaan sebelum dan selepas belajar. Sebelum belajar rasa diri sudah mantap dengan amal. Semua pakat ikut cara sendiri, baca majalah, baca kitab, baca kitab sahih bukhari dan muslim (tu diaa baq hang, tapi baca hat ada terjemahan. Kelakau pula bila ingat balik). Semua dibuat sendiri tanpa ada guru.

Selepas belajar terus lain jadinya. Terasa diri hina sangat, ditambah lagi mengenang kejahilan masa silam. Perasaan itu seolah-olah mahu benamkan kepala dalam tanah. Malu dengan orang, malu dengan diri sendiri. Rasa macam bayi. Bila dengar pula kisah-kisah ulama bertambah lagi rasa kerdil. Allah... Bersyukur betul bila dapat nikmat belajar ilmu dengan cara yang ulama ajar. Langkah demi langkah, kefahaman pun terbina sesuai dengan peringkat pembelajaran.

Selepas itu barulah saya faham apa perlunya aturan yang telah digariskan ulama dan orang-orang soleh pada zaman dahulu. Aturan itu untuk memudahkan masyarakat. Islam sudah berkembang dan ada dalam kalangan masyarakat yang bergelar muslim kerana keluarganya. Maka apabila disusun aturan, ia memudahkan masyarakat muslim beramal dengan agama, memudahkan si ayah dan ibu untuk mendidik anak.

Cuma tinggal ayah dan ibu juga perlu berusaha mantapkan pemahaman anak selari dengan tuntutan agama, lorongkan anak tersebut mengikuti langkah daripada asas ke peringkat seterusnya dalam mendalami agama Islam itu sendiri. Apa yang ulama telah aturkan itu bersandarkan kepada nas-nas syarak, hadith-hadith Rasulullah tentang kelebihan zikir-zikir tertentu. Mereka himpunkan agar memudahkan masyarakat. Yang penting amal. Bila beramal dapat kelebihan dan pahala. Mudah.

Ulama tidak memberatkan masyarakat dengan perbahasan-perbahasan yang luas, kerana tujuan utama ialah beramal, bukan berdebat lagi pula perbahasan yang berat tidak sesuai untuk umum.  Ulama-ulama Nusantara, kebanyakan mereka mengarang kitab fardhu ain yang nipis-nipis, tidak diberatkan tentang perbahasan dalil dan huraian yang luas kerana tujuan asal, masyarakat celik fardhu ain, tahu yang wajib dan yang haram, amal. Yang penting beramal.

Inilah kecerdikan ulama dalam memastikan masyarakat dapat memenuhi tuntutan yang fardhu dengan mudah tanpa mengambil masa yang lama. Biar mereka habiskan usia pada perbahasan yang dalam, sampai kepada kita mereka sediakan kesimpulan. Yang penting golongan kebanyakan dapat beramal.

(Panjang pula saya tulis, ingat nak sambung lagi tapi takpa lah)

Menjadi 'pro wahabi' ini adakalanya bukan kerana memang nak jadi wahabi tetapi kerana seseorang itu tiada panduan bagaimana mahu mulakan langkah untuk menjadi muslim yang lebih baik. Pendekatan wahabi memang mudah 'memancing' orang yang tiada ilmu, yang masih tiada panduan bagaimana mahu mula.

Ikut cara wahabi memang mudah, apa-apa rujuk Al-Quran dan Hadith, Al-Quran kata lagu mana, Hadith kata apa? Kita ikut. Sedangkan orang kebanyakan bukanlah ahli yang boleh faham nas syarak sebegitu mudah. Tok guru kata apa, tengok al-Quran kata apa pula. Wahabi ajar orang awam merendahkan darjat keilmuan para alim ulama.

Cara wahabi menjadikan orang yang jahil bahkan tiada kelayakan membuat penilaian sendiri. Orang kebanyakan seperti zaman sekarang, sangatlah ramai yang tidak belajar fardhu ain, tetapi wahabi menghidangkan bagi masyarakat perbahasan yang tiada hajat, tiada keperluan. Menjerumuskan masyarakat ke dalam perbahasan khilaf yang sebenarnya telah diselesaikan oleh para ulama.

Sedang ramai yang masih terumbang-ambing pengamalan agama mereka, wahabi tambah kekeliruan dan kekacauan dengan mengatakan maulidurrasul, tahlil, talkin, ziarah kubur hari raya, selawat antara tarawih, baca yasin malam jumaat dan lain-lain hal sebagi bid'ah sesat masuk neraka kerana tak ikut Nabiy.

Wahabi juga kadangkala memomokkan masyarakat dengan mengatakan nak ikut Nabiy atau amalan nenek moyang? Sedangkan nenek moyang kita sudah bergelar muslim berabad. Nenek moyang kita yang dekat bukanlah penganut agama hindu lagi bahkan ramai ulama Nusantara yang sangat alim sehingga dibenarkan mengajar di masjidil haram suatu ketika dahulu. Dakwaan sebegini menyebabkan masyarakat merendahkan ulama seolah-olah ulama tidak mengikut Nabiy. Habis kucar kacir masyarakat.

Itulah sedikit coretan saya, kalau teruskan nanti habis masa pula 😅. Alhamdulillah, syukur Allah mengeluarkan saya daripada kejahilan. Moga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada saya dan kalian. Kenalilah ulama kita agar kita terpandu. Tidak kenal maka tidak tahu.

Bagi mereka yang mahu belajar kitab ringkasan bagi ringkasan (kitab paling ringkas) dalam ilmu fardu ain boleh ikuti pengajian online di laman ini https://www.facebook.com/AsyariAlfadhli/

In shaa Allah habis PKPB nanti boleh cari pondok Baitussaadah yang mesra orang awam untuk sambung pengajian.

No comments: