Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan redha manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan. (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)
Saya sungguh terkesan dengan Hikmah yang dipetik dari Kitab klasik Al-Hikam tulisan ulama sufi terkenal Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari. Hikmah ini mengingatkan saya kepada sebuah hadith yang dijadikan tajuk buku karangan ulama kontemporari terkemuka Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam salah sebuah bukunya bertajuk “Ihfazillah ha yahfazuka”terjemahannya “Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu”.
Dari Ibnu Abbas RA, berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudarat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah.”
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni mengupas hadith ini dengan terperinci dan cukup mengesankan jiwa sesiapa sahaja yang menekuninya. Kupasan hadith ini sungguh mendalam, sarat dengan nasihat ulama, kisah-kisah insan soleh, kisah-kisah manusia derhaka kepada Allah, wali-wali Allah, bentuk-bentuk pertolongan Allah dan macam-macam lagi.
Sesungguhnya terdapat persamaan antara mutiara kata Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari dan hadith ini. Hikmah Syeikh Atoillah menyentuh mengenai sikap sesetengah manusia di kalangan kita yang ghairah mencari redha manusia. Mereka melakukan sesuatu pekerjaan semata-mata untuk memuaskan hati orang lain. Lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah manusia yang berpengaruh dan berkuasa di kalangan mereka. Justeru, jika orang itu redha kepada mereka maka mereka akan merasa gembira dan terjamin. Sebaliknya jika orang itu membenci mereka, maka mereka akan merasa sedih dan merasa kehidupan tidak terjamin. Akhirnya mereka sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat redha manusia sekeliling sehingga melanggar batasan-batasan Allah. Jika mereka berjaya maka kejayaan mereka diukur dengan puji-pujian yang mereka terima dari masyarakat sekeliling sedangkan redha dan murka Allah mereka ketepikan.
Manakala orang yang menjalani kehidupan semata-mata untuk meraih redha Allah adalah orang yang paling beruntung sebenarnya. Mereka menjalani kehidupan dengan meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah. Bagi mereka redha Allah mengatasi segala-galanya kerana redha manusia itu tidak sampai ke mana cukup sebatas dunia ini sahaja. Puji-pujian manusia juga tidak akan kekal lama kerana akan lenyap ditelan masa. Bagi mereka, murka Allah lebih ditakuti daripada kemarahan dan kebencian manusia. Inilah sikap orang-orang yang beruntung.
Misalnya, ditakdirkan di tempat saya ada berlaku satu pesta minum arak oleh muda-mudi bagi meraikan kedatangan Hari Valentine. Sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab kepada agama, saya mengambil langkah mencegahnya dengan memberi nasihat kepada pelaku-pelaku maksiat tersebut. Rupa-rupanya tindakan pencegahan saya tidak disenangi oleh masyarakat sekeliling. Mereka sama sekali tidak dapat menerima tindakan amar ma’ruf nahi mungkar yang saya lakukan. Bagi mereka perlakuan yang saya anggap maksiat atau dosa besar itu telah diterima sebagai satu norma-norma kehidupan masyarakat setempat. Maka jadilah saya seperti seekor kera sumbang yang tidak mempunyai kawan kerana dipulau oleh masyarakat sekeliling.
Tetapi saya mempunyai keyakinan penuh bahawa tindakan saya ini mendapat keredhaan Allah kerana saya telah pun menjaga hak-hak Allah sebagai mana yang dianjurkan oleh hadith di atas biarpun orang di sekeliling membenci, mengumpat dan mencela dengan pandangan bahawa saya kolot dan konservatif. .
Dan jika mereka semua bersepakat dan bersatu hati untuk mendatangkan kemudaratan kepada saya melalui pelbagai tindak balas, maka ketahuilah bahawa mereka semua tidak akan mampu melakukan apa-apa jika tidak diizinkan Allah.
Itulah antara contoh yang dapat saya ketengahkan untuk menggambarkan bagaimana hikmah Syeikh Atoillah dan hadith tersebut dapat kita harmonikan dalam kehidupan yang serba mencabar ini. Sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan namun mempunyai ganjaran besar di sisi Allah.
Sebuah hadith lagi yang bermaksud:
Dari Anas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda “Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana mengenggam bara api.” Riwayat Tirmizi
Begitu juga sebuah hadith lain yang dipetik dari Kitab 40 Hadith Peristiwa Akhir Zamanyang disusun oleh Syeikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi:
Daripada Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda : ” Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Makaberuntunglah orang-orang yang asing”.
Huraian daripada kitab ini menukilkan seperti berikut:
Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat ada orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam akandipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan solat, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar kerana majlis masih berlangsung. Sedangkan orang yang tidak solat sambil bergurau senda ketika orang lain melakukan solat tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman yang akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri.
Jika kita benar-benar hidup menongkah arus, melawan kehendak orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dan menyokong tindakan kita yang berpandukan wahyu dan sunnah Nabi saw, maka jadilah kita seperti orang yang menggenggam bara api dan orang yang berdagang.
Orang berdagang akan dianggap asing dan pelik oleh masyarakat di sekeliling kerana tidak sehaluan dengan arus semasa.
Orang berdagang akan menggengam bara api biar pun tangannya cedera kerana menahan kepanasan bara api tetapi itu sebenarnya adalah lebih baik untuknya daripada menanggung siksaan neraka di akhirat.
Mereka menanggung azab dari manusia di dunia…
Mereka menerima umpat cela dari manusia di dunia..
Mereka ditekan, ditindas, dihina oleh manusia di dunia.
Hanya kerana mereka menjaga hak-hak Allah daripada dicerobohi.Hanya kerana mereka mencari redha Allah.
“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Hadith]
Firman Allah di dalam Surah At-Taubah : 100
Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
Ukurlah kehidupan kita dengan redha Allah..
Jagalah hak-hak Allah, nescaya Dia akan menjaga kita…
Perhatian, pujian dan redha manusia tidak akan kekal lama kerana redha Allah lebih bermakna.
Abu Wafi
No comments:
Post a Comment