Kitab Bidayatul Hidayah (ﺑﺪﺍﻳﺔ ﺍﳍﺪﺍﻳﺔ)merupakan sebuah karya dalam bidang tasawuf yang disusun oleh Hujjatul islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H). Kitab ini dianggap sebagai ringkasan atau intipati kepada kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin (احياء علوم الدين), iaitu karya teragung Imam al-Ghazalisendiri.
Imam al-Ghazali membahagikan kandungan utama kitab Bidayatul Hidayah ini kepada tiga bahagian, yang didahului dengan sebuah muqaddimah dan diakhiri dengan sebuah khatimah (penutup). Bahagian pertama menerangkan adab-adab melaksanakan ketaatan kepada Allah dan bahagian kedua pula menerangkan cara-cara meninggalkan maksiat. Manakala bahagian ketiga menerangkan adab-adab pergaulan dan persahabatan dengan Khaliq (Allah) dan makhluk.
Intisari kandungan kitab Bidayatul Hidayah
Kitab Bidayatul Hidayah ini adalah antara karangan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali yang banyak diberi keberkatan oleh Allah Taala. Kitab ini telah banyak memberi faedah dan bimbingan bagi setiap orang yang mentelaahnya dengan niat yang ikhlas untuk mengamalkan isi kandungannya. Faedah dan manfaatnya sudah jelas dan tidak dapat diragukan lagi.
Apabila kita mempelajari dan mendalami kitab ini dengan tekun dan teliti, kita akan dapat merasakan bahawa Imam al-Ghazali sedang berinteraksi (berbicara) kepada kita dengan hati yang penuhrasa kasih sayang dan belas kasihan. Beliau berbicara dari hati ke hati, dari hati nurani seorang murabbi (pendidik) yang alim dan berpengalaman di bidang pembentukan ruhani dan penyucian jiwa.
Di dalam kitab ini, Imam al-Ghazali menggariskan amalan-amalan harian yang mesti kita lakukan setiap hari dan adab-adab melaksanakan amal ibadat tersebut, supaya ibadat tersebut dapat dilakukan dengan baik, penuh erti dan memberikan kesan yang mendalam. Begitu juga Imam al-Ghazali menunjukkan kepada kita bagaimana jalan yang mesti kita ikuti supaya kita dapat meninggalkan segala dosa dan maksiat sama ada zahir ataupun batin. Setelah itu, beliau menyebutkan adab-adab pergaulan seseorang dengan Allah Taala sebagai penciptanya dan semua lapisan makhluk yang ada di permukaan bumi ini.
Oleh itu, kitab ini sangat penting dan sangat sesuai untuk dijadikan panduan amalan harian bagi kehidupan seseorang muslim yang mahu menjadikan negeri akhirat, masuk ke dalam syurga dan mendapatkan keredaan Allah Taala sebagai tujuan hidupnya.
Karya huraian bagi kitab Hidayatul Hidayah
Antara kitab huraian (syarah) bagi kitab Hidayatul Hidayah ialah;
a) Kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah Syarh ‘ala Bidayah al-Hidayah (مراقي العبودية شرح على بداية الهداية), karya Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (1314H), seorang tokoh ulama terkenal dari Nusantara yang memenuhi hidupnya dengan aktiviti pengajaran dan penulisan ilmu agama Islam di kota Makkah al-Mukarramah. Kitab ini sangat popular di Nusantara, khusus sebagai teks pengajian fiqh dan tasawwuf di pondok-pondok pasantren.
b) Kitab Hidayah al-Salikin atau nama lengkapnya “Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin” (هداية السالكين في سلوك مسلك المتقين) dan terjemahan judulnya “Pedoman Bagi Orang Yang Berjalan Pada Perjalanan Orang Yang Takut Akan Allah Ta‘ala” merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh seorang tokoh ulama Melayu terbilang iaitu Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani ketika beliau berada di Makkah. Kitab ini merupakan terjemahan dan huraian bagi kitab Bidayatul Hidayah dalam bahasa Melayu.
Kitab Bidayatul Hidayah ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan Indonesia dan diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan.
Semoga bermanfaat.
Download kitab ﺑﺪﺍﻳﺔ ﺍﳍﺪﺍﻳﺔ
No comments:
Post a Comment