Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, November 14, 2022

TAJASSUS ANTARA JENAYAH YANG PALING MERBAHAYA Siri

TAJASSUS ANTARA JENAYAH YANG PALING MERBAHAYA Siri 3 (DUNIA KEPOLISAN)

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Allah SWT dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari ini.

MAKSUD TAJASSUS DALAM AL-QURAN

Al-Quran melarang sekerasnya perbuatan mengintip bagi mencari maksiat dan kelemahan peribadi selain melakukan jenayah awam (Mencuri, Merompak, Membunuh dan lain-lain jenayah kekerasan dan harta benda) . Selain itu juga mengada-mengadakan cerita yang tidak benar merupakan satu fitnah sepertimana perbahasan saya pada siri (1) yang lalu. 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (12)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
 orang..”
(Hujarat 12)
 
Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya.

Kata Ibn ‘Abbas: “Allah melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain.
 
Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang Allah tutup”. 

Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya.

Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.

RUJUKAN: Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)

Menurut al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah, Tajassus dari sudut istilah bermaksud: "Mencari cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia." Lihat Tafsir al-Munir (26/247)

Hukum asal bagi perbuatan ini diharamkan berdasarkan firman Allah:
 

وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا

Kata al-Imam al-Maraghi: Tajassus adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah: Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya.
Lihat Tafsir al-Maraghi (13/6506)

Berdasarkan pernyataan tersebut, dapatlah kita faham bahawa mencari-cari kesalahan yang tersembunyi merupakan perbuatan yang dilarang dalam ayat tersebut. Sebaliknya, jika kesalahan dan keaiban itu jelas kepada kita maka bolehlah kita mengambil tindakan. Ini dijelaskan lagi dengan kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud R.anhu ketika beliau dibawakan kepadanya seorang lelaki yang terdapat titisan arak di janggutnya. Lalu Abdullah berkata: Sesungguhnya kita telah dilarang dari melakukan Tajassus. Akan tetapi, apabila jelas kepada kita sesuatu maka kita mengambil tindakan terhadapnya. 

Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah (9/86).

KENAPA KITA TIDAK BOLEH TAJASSUS. 

1) Apabila seseorang melakukan kebaikan adalah wajib kita membantu tanpa ada prasangka buruk (Tajassus) agar kebaikan itu menolong mereka dekat kepada Allah SWT. 

2) Apabila seseorang itu mahu berubah ke arah kebaikan maka hendaklah kita membantunya tanpa ada prasangka buruk (Tajassus) kerana ia adalah satu dakwah dan tuntutan agama. 

3) Apabila kita ada sikap Prasangka (Tajassus) hati kita telah dikuasai oleh Iblis bagi mewujudkan perpecahan dan pergaduhan. 

4) Tajassus membantutkan kecemerlangan dan kejayaan sesuatu organisasi dan keluarga. 

5) Tajassus adalah jenayah tersembunyi yang ada dalam hati seorang pengkhianat ibarat seperti menikam seseorang dari arah belakang. 

6) Tajassus adalah satu penyakit hati yang perlu di rawat dengan berzikir dan beristigfar kepada Allah SWT. 

7) Tajassus tiada sebarang faedah kepada mana-mana individu, melainkan melayan kepuasan hawa nafsu dan bisikan iblis.

KELEBIHAN KITA TIDAK TAJASSUS. 

1) Mendapat pahala dan ganjaran kebaikan daripada Alah SWT. 

2) Kita hidup dalam keadaan harmoni, tenang dan ceria. 

3) Apabila sangkaan baik kepada manusia (Tiada Tajassus), Allah SWT akan memelihara dan menjaga diri kita daripada sebarang musibah dan di berikan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat. 

4) Masyarakat akan lebih menghormati individu yang berprasangka baik (Tidak Tajassus) kerana prasangka baik adalah suatu keadilan dalam kehidupan. 

5) Orang yang tidak Tajassus sentiasa di campakkan cahaya keimanan dan berolehi kesenangan di dunia dan di akhirat. 

Berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) faedah di akhirat, maka Kami akan memberinya serta kami tambahkan pada faedah yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, maka Kami akan beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan). Dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun (di akhirat kelak)”. 
[al-Syura:20]

Maka oleh itu, marilah kita semua hidup dalam keadaan sentiasa ceria, aman dan harmoni. Kerana Tajassus adalah perosak Masyarakat, organisasi dan keluarga. Jadikan lah ibadah dan pembentukan ilmu sebagai asas utama kehidupan dan buangkan sikap Tajassus yang hanya membuang masa kita dan mewujudkan kesinambungan kerja-kerja Iblis tanpa kita sedari. 

#BAKA
#JIPS

Nukilan
Norsanizam Al-Dimasqi.

No comments: