Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Wednesday, November 16, 2022

Waliyullah Ayah Man Serebeh


Waliyullah Ayah Man Serebeh ( 1929 - 1992 )

Oleh : Tengku Yusuff 

Nama sebenar beliau ialah Osman Bin Wahid dan beliau diperkirakan lahir pada tahun 1929 di Kampung Ganchong, Pekan, Pahang. Ibunya bernama Kundur Binti Lambak. Beliau sebenarnya pernah berkahwin suatu ketika dahulu.

Selain disebut dengan nama Ayah Man, antara gelarannya yang lain ialah :

1. Man Wali
2. Man Serabai @ Serebeh
3. Seman Wali
4. Ayah Man
5. Ayah Wa
6. Ayah Man Gila
7. Ayah Man Gancung

Allahyarham ketika zaman kecilnya pernah belajar di Pondok Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan dan juga beberapa pondok yang lain. Beliau kembali semula ke Kampung Ganchong pada tahun 1981.

Kehidupan Ayah Man sangat pelik dan kadang-kadang kelakuannya itu menimbulkan tanda tanya pada mereka yang melihat, sesetengah mengatakan bahawa beliau gila.

Ayah Man gemar berkaki ayam dan suka mengembara, berkelana berjalan kaki seorang diri. Namun beliau suka menziarahi makam-makam para auliya dan orang-orang soleh, seperti ada sesuatu hubungan dengan sohibul makam tersebut.

Beliau suka bercakap bersendirian namun tidak berbahaya. Beliau senantiasa berbaju kot khaki hitam dan berserban lilit gaya Pattani. Setiap kali membasuh pakaiannya di tempat wuduk, beliau akan menjemur atau menyidainya di pokok-pokok yang dijadikan pagar di tepi longkang di sekeliling masjid. Tapi pakaiananya tidaklah banyak, hanya sehelai dua baju dalam pagoda dan sehelai kain pelekat India.

Kalau pada hari-hari Jumaat, Ayah Man sering duduk di barisan belakang di ruang dalam masjid. Sewaktu khatib membaca khutbah, Ayah Man seolah-olah mengajar atau menyampaikan syarahan kepada entah siapa, kerana di sekelilingnya tiada orang, jemaah solat Jumaat selalunya tidam akan memperdulikannya. Percakapan Ayah Man tu jelas meskipun tidak kuat.

Ayah Man apabila menerima sedekah, beliau akan menepuk-nepuk belakang pemberi sedekah serta membaca doa-doa tertentu. Dan doa-doa ini kadangkalanya panjang juga.

Beliau juga disebut-sebut dikurniakan Allah Taala pelbagai jenis karamah yang mencarik adat. Kisah hidup beliau seolah-olah mirip dengan Syeikh Abdullah Harun di Sungai Korok, Kedah serta Wak Kandar di Kampung Linau, Johor.

Suatu hari seorang lelaki menceritakan tentang anak saudaranya yang hilang selama 4 atau 5 hari. Budak ini merupakan seorang budak yang tidak bermasalah di rumah atau di sekolah dan kehilangannya menghairankan kaum keluarga dan kawan-lawan. Setelah habis seluruh pelusuk bandar Kuantan dicari dan masih lagi tidak berjumpa, akhirnya terlintas di fikiran beliau untuk meminta pertolongan Ayah Man.

Pada petang hari kedua kehilangan beliau pergi berjumpa dengan Ayah Man yang ketika ditemui sedang bercakap-cakap bersendirian di serambi Masjid. Setelah diceritakan tentang masalah yang di hadapi oleh keluarganya, Ayah Man tak berkata apa-apa, hanya mengangkat tangan sambil melambai-lambai dan menjerit dengan lantang, "Haih, Awang. Balik." Selepas melakukan sedemikian Ayah Man pun kembali ke alamnya yang tersendiri dan lelaki itu pun pulanglah dengan perasaan sedikit hampa kerana tak ada apa-apa yang diceritakan oleh Ayah Man tentang masalahnya atau telahannya tentang keadaan budak yang hilang itu.

Keesokan harinya budak yang hilang itu, pulang kerumah. Dalam keadaan yang lesu dan seperti baru terbangun dari tidur. Apabila ditanya beliau menceritakan:

"Awang terdengar satu panggilan sewaktu melintasi stesen bas di bandar dan Awang pun terus menaikki bas. Tak teringat apa yang berlaku di atas bas, tetapi apabila tersedar, ternampak ada sungai dan masjid. Awang pun menuju ke masjid dan telah tinggal di situ. Tak ingat berapa hari di situ. Tapi pada satu petang, terdengar ada suara memanggil Awang dan menyuruh Awang pulang. Lantas Awang pun pergi ke stesen bas yang tak jauh dari masjid tadi dan tahu-tahu dah sampai di Kuantan."

Waliyullah ini akhirnya dijemput ke rahmatullah dalam usianya 63 tahun pada 1992. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu, Pekan, Pahang.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin 

*Sumber - Penulisan AF Ustaz Barkatullah Pondok Pak Kob yang menemubual waris serta anak murid Ayah Man & Penulisan Ku Keng di dalam blognya

https://www.facebook.com/100000020068230/posts/pfbid0u1emrZWApaYqVHJjGst77WYq32Hyk2VHXz6MQZ7JnWeEuUnNs3qf11vTxWkwHhyul/

#KenaliUlamak

No comments: