1. Ramai yang tidak memahami perbezaan akidah wahhabi dan akidah Ahl al-Sunnah Wa Al-Jama’ah dan mendakwa akidah wahhabi adalah akidah salaf kerana mengikut zahir ayat Al-Quran dan Al-Hadith yang mutasyabihah.
2. Sehingga tatkala dibawa perkataan para salaf ramai yang terpedaya termasuk pengikut Ahl al-Sunnah Wa Al-Jama’ah yang tidak mumpun pengajian akidah mereka. Bahkan saya pernah menemui dan berbahas dengan asatizah lulusan Al-Azhar yang keliru di dalam masalah ini.
3. Kunci untuk memahami perkara ini ialah dengan memahami perbezaan “ISBAT LAFAZ” (menetapkan lafaz sepertima yang warid) dan “ISBAT MAKNA” (menetapkan makna zahir bagi ayat mutasyabihah)
4. Isbat lafaz tidak menjadikan seseorang mujassimah dan musyabbihah tetapi isbat makna zahir kepada ayat mutasyabihah justeru membawa kepada tasybih dan tajsim.
5. Contoh ketikamana Para Salaf berhadapan dengan ayat-ayat mutasyabihah seperti ayat istiwa, yad dan lain-lain mereka menyerahkan maknanya kepada Allah. Ini disebut dengan manhaj tafwidh. Sepertima perkataan mereka yang masyhur ;
أمِرُّوها كما جاءت
Dan sesuai dengan firman Allah ;
وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ
“Dan tidak ada yang mengetahui tafsirnya/maknanya melainkan Allah” (ali imran : 7)
6. Berbeza dengan golongan wahhabi yang mengikut pemahaman Ibn Taimiyyah yang bukan ulama salaf, mereka menetapkan makna zahir kepada ayat-ayat mutasyabihah. Istiwa mesti dengan makna duduk. Yad mesti dengan makna tangan.
7. Maka di sinilah dikatakan mereka itu jatuh kepada tajsim dan tasybih. Menyamakan Allah dengan makhluk kerana zahir makna ayat mutasyabihah itu tidak layak bagi Allah dan zahir makna membawa penyamaan Allah dengan makhluk.
8. Adapun para ulama khalaf yang datang kemudian daripada salaf, mereka menetapkan makna yang layak bagi Allah. Dinamakan manhaj ini dengan manhaj takwil. Namun penetapan makna ini bukan di atas jalan qat’ie (mesti) tetapi atas jalan dzonni (ijtihadi) kerana hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui makna yang dikehendakiNya.
9. Ayat mutasyabihah itu sendiri bersifat dzonni. Bila dzonni maka boleh jadi makna ini dan makna itu tetapi zahir makna pasti bukan murad kerana zahir makna tidak layak bagi Allah dan membawa penyamaan Allah dengan makhluk. Sepertimana dita’rifkan sebahagian ulama ayat mustasyabihah ialah ayat yang mengandungi lebih dari satu makna. Kalau satu makna sahaja jadilah ia ayat muhkamah.
10. Tanbih! Kita menolak akidah wahhabi bukan kerana mereka nak ikut lafaz Al-Quran dan As-Sunnah tetapi kerana mereka inginkan makna zahir bagi ayat-ayat dan hadith-hadith yang mutasyabihah.
11. Walhasil, fahami ini dan kalian akan memahami mengapa para ulama Ahl al-Sunnah Wa Al-Jama’ah mengeluarkan wahhabi dari jalanan Ahl al-Sunnah Wa Al-Jama’ah.
12. Pegangilah benar-benar kaedah ini sepertimana tersebut di dalam matan jauharah at-tauhid ;
وكل نص أوهم التشبيها ... أوله أو فوض ورم تنزيها
Setiap nas (Al-Quran atau Al-Hadith) yang menyebabkan jatuh di dalam tasybih (Allah sama dengan makhluk) maka hendaklah kamu palingkan makna zahirnya (manhaj takwil para khalaf) atau serahkan maknanya kepada Allah (manhaj tafwidh para salaf) dan hendaklah kamu menyucikan Allah daripada sebarang persamaan dengan makhluk.
Sekian.
Pejuang akidah salaf,
Al-Faqir Mohd Al-Amin Bin Daud
No comments:
Post a Comment