Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Thursday, January 29, 2015

SYEIKH ABDULLAH FAHIM

SYEIKH ABDULLAH FAHIM

Posted by epondok di Mac 21, 2009
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Dia ialah Datok kepada bekas perdana menteri Malaysia (Abdullah Ahmad Badawi) Ulama ini juga salah seorang Ulama PAS terdahulu
ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.
Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim’ yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham’.
Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.
Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.
Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.
Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.
Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I’anah at-Thalibin)
Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla’ al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum’ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).
Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.
Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy’ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.
Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.
Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.
Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.
Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.
Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.
Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.
Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.
Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.
Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.
Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).
Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.
Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:
“Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie … “
Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, “Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya … “
Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.
Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, “Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla’ al-Badrain dan lainnya”
Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, “Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy’ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah … “
Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, “Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.
Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.
Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.
Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, “Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya’ Ulumid Din …”
Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, “Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin”.
Abdullah Fahim menegaskan, “Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla’, diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.”

Tok Kenali Ulama’ Tersohor

Tok Kenali Ulama’ Tersohor


Posted by epondok di Februari 26, 2009

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?. Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.
Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.
Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.
Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).
Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

Soal Jawab Agama Dari Pondok Pasir Tumboh

http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=category&id=9&Itemid=25&limitstart=50


Soal Jawab Agama

Menghimpunkan soal jawab agama untuk kemudahan ramai

51Kedudukan hadis maudhu’Ust. Husin bn. Abdul Kadir2065
52Berzikir sambil menariDr Haron Din3347
53Penerangan berkenaan hadis dhaifUst. Husin bn. Abdul Kadir1731
54Objektif MAQASID SYARIAHOleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN2254
55Definisi harta pesakaUstaz Alias786
56Urusan jual beli yang ditegahUstaz Alias1045
57Adakah Anda Seorang Mujtahid?Ust. Husin bn. Abdul Kader1103
58Hukum berkaitan NazarUstaz Alias1466
59Makanan yang halal dan haramUstaz Alias1019
60Cara mengetahui kadar zakat simpananUstaz Alias1269
61Golongan yang menerima zakatUstaz Alias986
62Hukum berkaitan iddah perempuanUstaz Alias1598
63Hukum percaya ramalan Sains tentang QiamatDr Haron Din798
64Sujud Sejadah atau TilawahUstaz Alias1103
65Beza air mazi , air mani dan air wadiibnuatiq4515
66Musibah percampuran bebas lelaki perempuanNik Mohd Nazimuddin1555
67Penggunaan nama 'ALLAH' oleh agama lainNik Mohd Nazimuddin1163
68Benarkah Batu Terapung Di Masjidil Al Aqsa Wujud?Dr Haron Din9968
69Perkara Membatalkan PuasaUstaz Alias1141
70Puasa dan NiatUstaz Alias1282
71Hukum Berkaitan Tayammum Dengan Debu TanahUstaz Alias1793
72Hukum Talak SMSUstaz Alias1375
73Terus berdoa, sekalipun zahirnya seperti tidak dimakbulDato' Dr Haron Din1169
74Talak suami yang nyanyukUstaz Alias740
75Pahala Bacaan Yang Dihadiahkan Kepada SimatiUstaz Nik Nizamudin1443
76Hukum Berkaitan Kenduri ArwahUstaz Nik Nizamudin1793
77Hukum Binaan Di atas KuburUstaz Nik Nizamudin3856
78Hukum Ayam disembelih diselam air panasUstaz Alias826
79Bayar Fidyah Tinggal PuasaUstaz Alias5856
80Hukum Berjabat tangan Dengan Orang Halal NikahUstaz Alias914
81Dalil Sentuh Perempuan Batal Wudhu'Ustaz Alias1548
82Kenduri arwah dengan ditentukan masaUstaz Nik Nizamudin1156
83Hukum Kenduri ArwahUstaz Nik Nizamudin1717
84Hukum Angkat Tangan Doa KhatibUstaz Alias1194
85Niat 2 Ibadat Dalam Satu MasaUstaz Alias1562
86Hukum Berkaitan Darah HaidhUstaz Alias1297
87Perbuatan Rosakkan Imanibnuatiq721
88Perkara Yang Merosakkan Imanibnuatiq1346
89Perbezaan Mukjizat, Karamah dan SihirUstaz Alias1408
90Definisi MukallafUstaz Alias4154
91Hukum Berkaitan Ucapan SalamUstaz Alias2576
92Hukum Berkaitan Mandi WajibUstaz Alias3400
93Hukum Berkaitan BabiUstaz Alias1651
94Bahagian HukumUstaz Alias1667
95Hukum Memandang PerempuanUstaz Alias1395
96Hukum Berkaitan BerjunubUstaz Alias2653
97Istilah Pengiraan SyarakUstaz Alias1221
98Penerangan Hukum HududHaji Daud1923
 
<< Start < Prev 1 2 Next > End >>
Page 2 of 2

Wednesday, January 28, 2015

Siapakah Wahabi ? Video

Ridho Guntur Saya hidup d saudi... Demi allah wahhabi mengkafirkan sayyid muhammad alawi al maliki ulama besar ahli sunnah.,, d video ini katax tidak, asal kalian tau yg punya khazanah ini orang wahhabi Cahaya.FM | Demi Masa https://www.facebook.com/pendakwahsabah Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah 2:9)

Wednesday, January 21, 2015

Makna Ahlussunnah Waljamaah

Makna Ahlussunnah Waljamaah

http://pondokhabib.wordpress.com/2011/11/16/makna-ahlul-sunnah-waljamaah/

Ahlul Sunnah Waljamaah
Yang digelar Ahlul Sunnah Waljamaah ialah satu puak atau jemaah yang beriktikad dengan iktikad Nabi Muhammad SAW dan Jemaah Para Sahabat. Iktikad – iktikad ini telah termaktub dalam Quran dan Hadis. Namun begitu iktikad ini tidak pernah disusun dan diperincikan disebabkan sewaktu Nabi SAW dan para sahabat masih hidup sebarang permasalahan dapat dirujuk terus kepada Nabi SAW dan begitu juga halnya selepas wafatnya Nabi SAW, para sahabat baginda pula yang menjadi sumber rujukan di atas segala masalah hukum hakam Islam apabila terdapat sebarang kekeliruan. Seperti sabda baginda, “ Sahabatku umpama bintang dilangit, yang mana satu pun diikut pasti akan mendapat petunjuk”. Selepas kewafatan para sahabat, anak-anak murid mereka pula yang menjadi sumber rujukan di dalam kehidupan masyarakat Islam seharian yang kita kenali sebagai pengikut sahabat kemudian diteruskan pula oleh pengikut kepada pengikut sahabat. Zaman Inilah sebaik-baik zaman yakni zaman Para Sahabat, Tabiin(Pengikut Sahabat) dan Tabiit-tabiin(Pengikut kepada pengikut sahabat) iaitu 3 kurun (300 tahun) yang mengiringi nabi. Zaman inilah yang dinamakan sebagai salaf.
Feqah
Umat Islam diwaktu zaman Salaf ini, berpegang pada prinsip ‘kami dengar dan kami taat’ seperti mana yang dianjurkan dalam al-quran. Umat Islam diwaktu ini berpegang teguh pada segala ketetapan yang ditetapkan oleh ulama zaman mereka tanpa pertikaian apatah lagi mempersoal ketetapan hukum yang telah ditetapkan. Umat Islam diwaktu ini tidak mempertikai dan mempersoalkan segala ketetapan yang dibuat bukan kerana bodoh atau tidak memahami tetapi kerana cerdik dan sangat memahami. Mereka amat memahami ketinggian ilmu dan kewarakkan ulama mereka. Mereka amat menyedari ketelitian ulama mereka dalam menetapkan sesuatu hukum bukan hanya bergantung terhadap ilmu pengetahuan yang sangat tinggi sahaja tapi tunduk bermunajat kepada tuhan hingga jelas bagi mereka tentang sesutu hukum itu sebelum ditetapkan sebagi hukum tuhan. Termasuk juga dalam ulama salaf iaitu empat Imam Mazhab. Rujuk Kitab Jauharatul Tauhid :
“yang dimaksudkan salaf adalah mereka yang terdahulu dari golongan nabi, sahabat, tabiin dan tabiit-tabiin khususnya Imam Mujthidin yang empat yang telah terhitung ijmak atas larangan keluar dari mazhab mereka dalam hal fatwa dan hukum.”
Di sini bersyukurlah kita sesangat kepada Allah SWT yang maha bijaksana kerana telah memilih dan mentakdirkan para Imam Mujtahidin yang empat termasuk dalam ulama salaf dan dapatlah kita fahami bahawa para ulama telah ijmak yakni bersepakat bahawa umat Islam pada hari ini wajib berpegang kepada Imam yang empat ini, iaitu Imam empat mazhab yang lebih dikenal sebagai Imam Shafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hambali. Walaupun terdapat lebih 9 mazhab di zaman salaf, namun para ulama telah menetapkan wajib berpegang hanya kepada mazhab yang empat ini kerana memandangkan hanya mazhab yang empat ini sahaja mempunyai nas-nas dan dalil yang telah dibukukan. Sekiranya ketetapan wajib ini tidak dibuat maka Agama Islam boleh menjadi rosak kerana sesiapa sahaja boleh mendakwa tentang sesuatu hukum dengan mengisbatkan mengikut mana-mana ulama yang mazhabnya tidak jelas kerana tiada rujukan. Ini amat merbahaya kerana seperti yang kita tahu musuh-musuh Islam terutama para munafik yang sudah pun bertapak sejak zaman Nabi SAW sentiasa menunggu saat untuk menghancurkan Agama Islam. Untuk mengelakkan kekeliruan dan perpecahan Umat Islam ini maka para ulama yang bijaksana telah bersepakat hanya mazhab yang mempunyai kitab rujukan ini sahajalah yang perlu dianuti oleh umat Islam dan dihukumkan berdosa mereka yang tidak mengikut para Imam Mujthahidin ini. Selain itu ketetapan ini amat penting memandangkan Agama Islam bertambah pesat berkembang ke seluruh pelusuk dunia dan kesan dari perkembangan ini berlakulah pelbagai pertembungan budaya yang kesannya dapat dilihat sehingga sekarang. Perkembangan ini menjadikan jumlah Umat Islam semakin hari semakin ramai dengan pelbagai latar belakang. Dari sini lahirlah pelbagai masalah dalam kehidupan yang kita namakan permasalahan fiqah. Maka Amat pentinglah kitab-kitab rujukan yang disediakan oleh ulama mazhab ini bagi membolehkan seluruh ummat mengamalkan cara hidup Islam sebenar berpegang pada nas dan dalil dari al quran dan hadis.. Maka mereka yang mengikut susunan dan perincian imam shafie dipanggil pengikut mazhab shafie dan begitulah juga untuk tiga mazhab yang lain. Sejajar dengan perkembangan ini juga muncullah para Imam muktabar yang lain yang mana mereka memperincikan lagi hukum hakam Agama ini, mengikut mazhab anutan masing-masing iaitu samaada Mazhab Shafie, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki atau Mazhab Hambali.
Sekali lagi, segala puji bagi tuhan yang telah memilih empat imam mazhab ini termasuk dalam kalangan salaf bagi membolehkan kita mengikut mereka dalam perasaan penuh jaminan.
Hadis Nabi SAW :
“Sebaik-baik umatku adalah penghuni kurun yang mengiringi aku, kemudian yang mengiringi mereka kemudian lagi yang mengiringi mereka.”
Dari Hadis ini dan hadis-hadis lain lagi. dapatlah kita ketauhi bahawa sememangnya Imam mujthahidin yang empat ini paling layak diikut kerana mereka termasuk dalam ulama salaf yang mendapat jaminan dari Nabi SAW.
Maka dengan ini tertolaklah satu fahaman yang sedang bertiup dalam masyarakat bahawa tidak perlu berpegang pada mana-mana mazhab kerana kononnya mengikut ulama salaf. Tertolak atas hujah, pertama bahawa yang berpegang pada mazhab yang empat itulah pengikut ulama salaf memandangkan para Imam Mazhab yang empat kesemuanya merupakan Ulama Salaf. Kedua, Sekiranya telah ijmak ulama agar wajib berpegang pada mazhab yang empat dan kita menolak kerana kononnya berpegang pada pendapat Imam tertentu yang menganjurkan tidak berpegang pada mazhab, alasannya kononnya mengikut jejak Nabi dan sahabat maka kita sesungguhnya termasuk dalam mazhab Imam itu. Maknanya kita tetap mengikut satu mazhab yang mana mazhab itu mahukan pengikutnya tidak berpegang pada mana-mana mazhab. Ketiga, mereka menggelarkan orang yang berpegang pada satu mazhab adalah taksub kepada Imam tertentu walhal merekalah sebenarnya yang taksub kerana hanya menerima pendapat Imam mereka yang menolak daripada berpegang pada mazhab yang empat. Sedangkan tiada larangan untuk berpegang pada lain-lain mazhab dalam lain-lain masalah disisi mazhab yang empat. Keempat, mereka menyatakan orang-orang yang berpegang pada mazhab membawa kepada pepecahan kerana saling menegakkan faham masing-masing tetapi sebenarnya seperti yang kita dapat lihat merekalah yang membawa perpecahan kerana sering menghina, menolak dan menganggap sesetengah ibadah yang menjadi amalan masyarakat sebagai bidaah sesat tanpa melihat kebaikan yang terhasil daripada bidaah tersebut. Antara amalan yang dianggap sesat adalah mangadakan Tahlil, Wirid lepas solat, membaca doa qunut dan lain-lain lagi amalan yang sudah sebati dalam masyarakat. Sabda Nabi SAW “ Barangsiapa yang mengadakan satu sunnah yang baik maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutnya”.
Tetapi yang lebih menyedihkan, terdapat segelintir masyarakat yang langsung tidak faham apa yang berlaku mengajak mengambil jalan tengah kononnya dan malahan ada yang menyalahkan para pejuang yang sentiasa berjuang membela Agama Allah agar berpegang pada mazhab seperti umat terdahulu sebagai pemecah belah, tidak berfikiran terbuka dan lain-lain tuduhan. Sepatutnya kita tepuk dada dan tanya diri, setakat manakah aku memahami nas-nas dalam agama yang melayakkan aku menolak pandangan ulama yang termaktub sejak ratusan tahun dahulu atau sekadar idea kosong yang lahir dari kotak pemikiran semata. Ini membenarkan satu hadis panjang dari Nabi SAW yang antaranya menyebut “….. Akan datang satu masa di akhir zaman orang memandang perbuatan baik itu menjadi jahat dan perbuatan jahat itu menjadi baik….”
Di zaman Khalaf ini, pelbagai kekeliruan telah ditimbulkan dalam masyarakat. Kepercayaan terhadap ulama-ulama Islam terdahulu telah turut dihakis malah dipersoal dan dipertikai kewajarannya menetapkan sesuatu hukum seolah-olah yang mempertikai itu lebih layak digelar ulama besar Islam. Tulisan-tulisan mereka telah disalahfahami maksudnya samaada secara sengaja atau tidak sengaja dengan tujuan untuk menjatuhkan kewibawaan mereka dalam diri setiap umat Islam. Bila runtuhnya kewibawaan para ulama ini, umat Islam dengan mudahnya diracun dan dirosakkan aqidah mereka. Bagi menyemarakkan jiwa mereka yang dirosakkan, maka dibisikanlah bahawa mereka pejuang Islam sejati. Mereka dipinta oleh para peracun ini untuk besabar seperti mana sabarnya Para Sahabat Nabi SAW terdahulu memperjuangkan Islam. Maka makin asyiklah pejuang-pejuang mabuk tadi dibuai dengan pengorbanan-pengorbanan palsu. Sebagai contoh kita memetik ucapan ulama besar kita Imam Shafie yang telah disalahfahamkan maksudnya, lebih kurang begini:
“Sekiranya kalian mendapati apa yang ada di dalam mazhabku bertentangan dengan Quran dan Hadis campaklah mazhabku ke tepi dan peganglah Quran dan Hadis”.
Sekiranya kita melihat dengan jujur dan ikhlas, dapatlah kita melihat kebesaran jiwa ulama islam. Imam Shafie merupakan seorang mujtahid mutlak yang mana mereka yang sampai ke darjat ini berkemampuan mengeluarkan dan menetapkan hukum dari Quran dan Hadis secara bebas. Hukum hakam yang dikeluarkannya dianuti oleh ramai ulama muktabar seperti Imam Abu Hassan Assyari, Imam Nawawi, Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar, Imam Bukhari dan ramai lagi. Tetapi disebabkan kerendahan hati dan merendahkan diri tertulislah ucapan seperti di atas. Perlu diingat Imam Shafie termasuk dikalangan ulama salaf, beliau lahir pada tahun 150 hijrah dan wafat 204 hijrah, oleh kerana itu beliau termasuk dalam jaminan hadis nabi termasuk juga 3 Imam mazhab yang lain.
Hari ini mula ditafsirkan maksud tulisan imam shafie itu ialah untuk menunjukkan yang beliau sedar didalam mazhabnya masih terdapat yang salah, mengunakan tulisan beliau ini sebagai hujah bahawa imam shafie sendiri kononnya tidak menyuruh kita mengikut mazhab beliau sepenuhnya. Anggapan seperti ini berniat jahat dan terlalu buruk. Ianya bukan saja merendahkan imam shafie yang mana mazhabnya dianuti oleh sekalian ulama muktabar malah ingin menggugat ketenteraman masyarakat. Ada juga yang menggunakan hujah ini untuk menolak tentang ketetapan yang telah ijma iaitu wajib bertaqlid dengan salah satu daripada empat mazhab dengan beralasan bahawa imam-imam ini menegah taqlid pada mazhab mereka.
Di sini saya ingin mengketengahkan hujah akal yang selalu mereka gunakan untuk menarik kita agar bersetuju dan menyokong mereka.
Antara seruan mereka, “tidak perlu berpegang pada satu mazhab itu taksub, walhal imam-imam mazhab sendiri tidak menganjurkan berpegang pada mazhab mereka”; “Tidak perlu bermazhab sedangkan Nabi dan Sahabat tidak bermazhab itukan taksub”; “Mengapa perlu berpegang pada salah satu dari empat mazhab sahaja sedangkan masih terdapat banyak mazhab-mazhab yang lain itukan taksub”; “Umat Islam dahulu berpegang pada mazhab kerana hadis-hadis belum dibukukan, sekarang pelbagai kitab hadis sudah ada jadi kita boleh menimbangkan sendiri hadis mana yang lebih kuat, kita tidak perlu taksub” dan pelbagai lagi hujah mereka yang dikuatkan dengan dalil-dalil yang diambil dari perkataan ulama itu sendiri tetapi ditafsirkan secara sonsang mengikut akal fikiran mereka. Masyaalah, ini membawa kepada pecah belah umat. Ingatlah bahawa ulama itu barang pusaka para nabi. Nabi tidak pernah mempusakai harta mahupun pangkat yang diwariskan kepada kita hanyalah ulama. Berpeganglah pada ulama. Taatlah dengan ajaran nenek moyang kita yang dahulu ini. Jangan kita mengikut ajaran-ajaran baru yang bertopengkan Islam ini. Nenek moyang kita sesekali tidak tersesat tetapi kitalah yang tersesat kerana tidak berakidah seperti mereka. Sehingga dengan mudahnya kita diperdayakan oleh orang. Lihatlah, hanya dengan mengubah satu patah perkataan iaitu ‘Taat’ kepada ‘Taksub’ berjayalah ia meruntuhkan akidah umat Islam. Kalau kita benar-benar teliti dengan insaf, dapatlah kita lihat dengan jelas pengikut mazhab yang baru inilah layak digelar taksub. Jika telah Ijmak sekalian ulama ahlul sunnah waljamaah wajib berpegang salah satu daripada empat mazhab maka yang tidak berpegang pada ijmak inilah taksub. Rujuk Kitab Jauharatul Tauhid :
“yang dimaksudkan salaf adalah mereka yang terdahulu dari golongan nabi, sahabat, tabiin dan tabiit-tabiin khususnya Imam Mujthidin yang empat yang telah terhitung ijmak atas larangan keluar dari mazhab mereka dalam hal fatwa dan hukum.”
Tetapi lantaran terlalu taksub, ditegakkan juga fahamnya yang akhirnya akan memecahbelahkan kemurnian masyarakat Islam.
Masalah ini semua berlaku di zaman ini lantaran keegoan, kononnya berfikiran lebih terbuka, sangat cerdik dan pandai akhirnya semua ini merosakkan ummah. Ulama-ulama Islam yang benar di tolak, ulama-ulama palsu disanjung dan diikut. Benarkah ini boleh berlaku? Mustahil, kita tidak dapat mengenal baik dan buruk. Tidak mustahil saudara-saudara ku, kerana di zaman sekarang ini baik dan buruk dibezakan dengan logik akal bukan lagi dengan ilmu wahyu. Malah lebih teruk terdapat segelintir masyarakat Islam yang terdakyah dengan mereka berusaha membela mereka atas alasan mencari jalan tengah bagi mengelak perpecahan umat Islam. Sebenarnya merekalah punca perpecahan dan perlu segera disingkirkan. Wujudnya mereka dalam masyarakat bererti kehancuran kerana andainya kita dapat menerima mereka, Sudah tentu mereka sesekali tidak akan menerima kita hingga kita turut mengikut mereka lantaran itu mereka dengan lancangnya menghukum kita sesat dan bidaah.
Mengapa Perlu Bermazhab
Tafsir vs Terjemahan
Zaman dahulu masyarakat Islam sedar akan ketinggian kandungan Quran dan Hadis. Oleh itu hanya yang betul-betul tinggi ilmunya dapat faham dan tafsir dengan tepat kemahuan Ayat-ayat Quran dan Hadis. Tapi zaman sekarang lantaran kebodohan merasakan dirinya pandai, Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis bukan ditafsirkan tapi dimelayukan dan difahamkan maksud zahirnya dan diisytiharkan ini tafsir ayat al-Quran. Tidak cukup dengan itu diseru orang awam agar beriman dengan tafsiran mereka dan menolak tafsiran ulama dahulu dengan berhujah logik fikiran semata. Lebih menghairankan faham ini makin mendapat tempat dalam masyarakat. Ingatlah di waktu ini terdapat ramai bukan Islam pun sudah mampu mengajar tafsir quran dan hadis, mereka menjadi pendidik di universiti-universiti terkemuka mendapat pelbagai gelaran kononnya menunjukkan ketinggian faham mereka.Walhal merekalah punca penularan racun ini. Jika benar ilmu mereka lantaran apa masih didalam kekafiran. Kita tidak hairan jika mereka tidak faham dan menolak ulama Islam terdahulu tapi kita pelik dengan umat Islam yang mengikut faham mereka dan menolak ulama terdahulu.
Atas dasar itu ulama terdahulu tidak menggalakkan malah ada yang mengharamkan (Kitab Hayatus Zin) membaca ayat al-quran beserta terjemahan tanpa membaca bersama kitab tafsir kerana ini mendorong tafsiran akal fikiran sendiri dari segi zahir ayat ai-quran tanpa memahami maksud sebenarnya. Maka ditafsirlah ayat-ayat mutashabihat dengan akal kepalanya sendiri bagi membenarkan pendapatnya untuk dijadikan hujah kepada orang awam konon benarnya pendapat yang dibawa oleh mereka. Alangkah dustanya mereka.
Aqidah
Tuan-tuan yang dihormati,
Sesiapa saja boleh menggelarkan dirinya Ahlulsunnah Waljamaah; Sesiapa saja boleh menggelarkan dirinya Islam. Tetapi cukupkah dengan gelaran?. Islam itu tidak terletak pada gelaran dan nama tapi terletak pada keyakinan dan amalan. Amalan-amalan yang terkandung dalam rukun Islam. Begitu juga sesiapa saja boleh mengakui berakidah dengan aqidah Ahlulsunnah Waljamaah walaupun ianya jauh tersimpang dari landasan keyakinan yang didapati dalam rukun iman yang enam.
Enam rukun yang kita mungkin berjaya menghafalnya sejak kecil itu. Di atas kejayaan inilah kita dengan bangganya mengakui keimanan kita kepada Allah. Melalui enam rukun inilah kita mengatakan kita beriman dan yang lainnya kafir. Sesungguhnya saudara-saudaraku sememangnya sudah cukup dengan enam rukun ini, kita akan pasti ke syurga walau berbuat dosa sebesar gunung pun. Tapi ini tidak bermakna kita akan terlepas dari seksa api neraka yang sangat panas membakar itu, kerana tiap-tiap perbuatan yang telah kita lakukan pasti akan dihisab olehnya. Cuma yang berbeza orang yang berkeyakinan penuh dengan enam rukun ini pasti akan tetap ke syurga walaupun diseksa kerana mereka ini termasuk orang-orang yang beriman.
Dari sini tahulah kita betapa pentingnya enam rukun ini. Rukun-rukun yang membezakan agama anutan kita dengan agama-agama lain. Namun kita perlu berpegang teguh dengan rukun-rukun ini tanpa ragu atau was-was sedikitpun hingga ianya membentuk aqidah yang mantap bagi kita. Bagi memantapkannya kita perlu mengupas setiap rukun itu hingga kita dapat yakin dan teguh memegangnya. Enam rukun inilah yang telah diperincikan oleh Imam kita Abu Hassan As-syaari. Beliau digelar Imam Ahlul Sunnah Waljamaah
Di bahagian ini kita akan melihat secara ringkas mengenai imam besar kita yakni digelar Imam Ahlul Sunnah Waljaamaah. Jika dari sudut fekah kita berpegang pada mazhab shafie iaitu imam yang telah bertanggungjawab mengumpul, menyusun dan memperinci dalil-dalil dari quran dan hadis atas masalah fekah yang membolehkan hari ini kita menunaikan ibadah seperti solat, puasa, membayar zakat, menunaikan haji, berjual beli, bernikah dan menunaikan lain-lain ibadat seperti yang diperintahkan Allah. Maka dari segi tauhid pula beliaulah Imam Abul Hassan As-syaari. Imam yang bertanggungjawab mengumpul, menyusun dan memperincikan dalil-dalil dari quran dan hadis atas masalah Iman. Atas jasa beliaulah kita belajar mengenali dan beriman kepada tuhan. Perkara-perkara ini telah beliau bahagi kepada beberapa bahagian iaitu
a)Tentang Ketuhanan mengenai 20 Sifat Wajib Bagi Allah, 20 Sifat Mustahil Bagi
Allah, 1 Sifat Harus Bagi Allah
b)Tentang malaikat mengenai jumlah yang wajib diketauhi, nama dan tugas mereka
c)Tentang rasul mengenai Sifat, Nama, Jumlah dan sebagainya.
d)Tentang Kitab Suci
e)Tentang Hari Akhirat
f)Tentang Qada dan Qadar
Pelbagai lagi yang telah diterangkan oleh beliau dalam kitabnya yang lebih kurang 200
buah mengenai aqidah Islam. Menjadi mudahlah bagi orang-orang Islam mengetauhi
tentang tuntutan aqidah atas jasa beliau.
Aqidah yang beliau susun inilah yang kemudian disebarluaskan oleh ulama-ulama besar
kaum ahlul sunnah waljamaah seperti :
a) Imam Abu Bakar (wafat 365)
b) Imam Abu Ishak (wafat 411)
c) Imam Hafiz Baihaqi (wafat 458)
d) Imam Haramaim (wafat 460)
e) Imam qasim qushairi (wafat 465)
f) Imam Al ghazali (wafat 505)
g) Imam Fakruldinrazi (wafat 606)
h) Syeik Islam Syeik Abdul Syarqawi (wafat 1227)
i) Syeik Ibrahim Baijuri (wafat 1772)
j) Syeik Muhammad Nawawi Banten (wafat 1315)
k) Dan ramai lagi
Beliau mendapat gelaran Imam Ahlul Sunnah Waljamaah atas jasa besar beliau menegakkan hujah membela kebenaran menentang fahaman sesat yang popular di zaman beliau yakni Muktazilah dan fahaman-fahaman lain. Beliau jugalah yang memperkenalkan kaedah takwil tafsil ke atas Ayat-Ayat Al-Quran yang Mutasyabihat (samar) bagi memenuhi keperluan zaman, selepas kaedah takwil tahwid yang digunakan oleh ulama salaf telah dikelirukan oleh musuh-musuh Islam bagi merosakkan Aqidah umat Islam. Kini beliau pula menjadi sasaran kritikan kononnya tidak mengikut salaf dan menggunakan fikiran semata. Walhal beliaulah pengikut salaf sebenarnya, yang megikut mereka dalam erti mensucikan tuhan daripada sebarang sangkaan yang membawa kepada penyerupaan tuhan dengan makluk kerana akan menyebabkan berlakunya syirik. Telah berkata Imam Abu Jaafar Thahawi: “ Dan Sesiapa Menyifatkan Allah daripada sifat-sifat makluk maka kafirlah ia”. Di sini penulis ingin mengambil kesempatan untuk menerangkan iktikad ahlulsunnah waljamaah terutama permasalahan takdir.
Untuk membolehkan pembaca mudah memahami bab ini adalah dinasihat jangan mencampuradukkan antara permasalahan fikah dan tauhid. Untuk menerokai ilmu tauhid fikah perlu disimpan sementara. Seperti kita belajar tentang ilmu kereta untuk membahas masalah enjin kereta jangan dicampur aduk dengan badannya dahulu.
Ilmu tauhid adalah ilmu yang disimpan dalam hati membentuk keyakinan teguh manakala ilmu fikah untuk dizahir dan diamalkan. Ulama mengharamkan pembicaraan tauhid melainkan pada tempat belajar dan mengajar. Ketegasan ini diperlukan kerana permasalahan tauhid membawa kepada kekafiran. Jadi ingatlah, ilmu tauhid perlu dipahat dalam hati dan membentuk keyakinan bukan untuk dijadikan hujah permainan yang pasti akan membinasakan.
Allulsunnah Waljamaah beriktikad setiap perkara yang berlaku dalam alam ini samaada baik atau buruk, kecil atau besar atau apa-apa sahaja yang berlaku dalam alam ini adalah kerana perbuatan Allah semata dan kebiasaannya sesuatu yang berlaku itu dijadikan sebab, dan sebab musabab itu juga termasuk dalam perbuatan Allah, dan tidak mustahil jika sesuatu perkara berlaku tanpa sebab kerana sebab musabab itu sememangnya tidak mendatangkan manfaat dan mudarat melainkan dijadikan Allah jua. Contohnya jika kita melihat ‘sehelai kertas dibakar api’ maka wajib kita iktikadkan yang membakar itu Allah bukan api. Api hanya menjadi sebab musabab dan sesungguhnya tanpa api pun Allah dapat membakar. Bukankah Allah Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.
Begitulah juga seterusnya berjaya atau gagal, sakit atau sihat semuanya telah ditentukan Allah. Untuk dalil akalnya bayangkan jika Allah belum menentukan seseorang itu akan berjaya atau gagal maka perlulah Allah menunggu untuk melihat hambanya berusaha atau tidak atau bagaimana cara yang akan dilakukan oleh hambanya kemudian baru ditentukan. Jika ini berlaku jelas lemahnya Allah hanya mempunyai kemampuan seperti seorang guru yang melihat jika anak muridnya rajin berusaha grednya akan dinaikkan. Maha suci Allah dari kelemahan yang sedemikian rupa.
Begitulah juga halnya dengan iman atau kafir jika Allah tidak tahu dan tidak takdirkan perlulah dia menunggu untuk melihat hambanya hendak bertaubat ke tidak, hendak masuk Islam ke tidak dan pelbagai lagi masalah tanpa sebarang keputusan kerana perlu diteliti dahulu. Bukankah ini tidak layak bagi Allah penguasa sekalian alam. Dialah yang menjadikan segalanya dan menetapkan takdir untuk tiap-tiap sesuatu. Hendaklahlah kita semua ingat, setiap yang ada dalam alam ini adalah ciptaannya dan dialah yang menggerak dan mentakdirkan segalanya. Walaupun secara zahirnya kita merasakan kita berusaha dengan usaha sendiri, kita berfikir dan membuat keputusan sendiri tapi itu hanya zahir. Bagi seorang yang bergelar Islam dan beriman perlulah meyakini aqidah ini tanpa sebarang was-was dan jika mengingkari jadilah ia manusia yang Islam hanya pada nama dan sangkaannya saja tapi disisi tuhan mungkin ia telah kafir, nauzubillah….
Timbul persoalan, jika semua telah ditetapkan kenapa perlu berusaha, kenapa perlu berubat, kenapa perlu berdoa dan pelbagai kenapa lagi. Untuk makluman kita, semuanya telah ditakdirkan usaha seorang pengusaha, ubat seorang pesakit dan doa seorang pendoa semuanya telah ditentukan dalam ilmu Allah. Kita tidak akan dapat memaksa orang yang ditakdirkan bersolat berhenti solat dan kita tidak dapat mengajak orang yang ditakdirkan tidak bersolat agar solat.
Timbul persoalan lain pula, kalau macam itu tidak perlulah kita mengajak orang berbuat kebaikan dan mencegah mereka membuat kemungkaran. Kita jawab, takdir itu kan rahsia, tiada siapa yang tahu melainkan Allah sepatutnya kita gembira jika berbuat kebajikan dan selalu berdoa hingga mengalir air mata agar sentiasa kekal dalam buat kebajikan dan mengajak orang lain menyertai kita agar bertambah-tambah kebajikan yang kita langsung tidak mengetauhi takdirnya. Hari ke hari syukur kita akan bertambah kerana rahmat tuhan yang mentakdirkan kita berada di atas kebajikan kerana mengenangkan janjinya dalam al quran bahawa yang berbuat baik akan mendapat balasan baik didunia dan akhirat. Bersyukurlah kita jika hari ini kita ditakdirkan sebagai orang yang berbuat kebajikan kerana itu merupakan petanda mendapat rahmat. Jika kita berbuat jahat pula haruslah bersedih kerana takut kita ditakdirkan mungkin sebagai ahli neraka namun yang pasti jangan putus asa kerana takdir tiada siapa mengetauhinya sedarlah, insaflah, berdoalah agar kita dipilih sebagai orang yang berbuat baik.
Persoalan seterusnya, jika begitu kenapa al-quran memerintahkan kita berbuat baik dan larang kita buat jahat. Jawab kita, Perlulah dibezakan antara perintah dan takdir. Sememangnya ada yang tuhan perintah tapi tidak ditakdirkan. Persoalan lain, kalau semua Allah sudah tetapkan bagaimana orang yang tuhan sendiri tetapkan berbuat maksiat kemudian tuhan kata salah dan siksa dalam neraka pula inikan tidak adil. Jawab kita, itulah adil sebagai buktinya tunjukkan kepada kita apa yang ada pada diri awak sememangnya mutlak milik awak, tangan, kaki, hidung, badan, nyawa atau lain-lain. Sudah pasti tidak adakan oleh kerana itu jika Allah ingin membakar diri awak yan sememangnya miliknya, itu keadilannya dan jika ia masukkan ke syurga itulah rahmatnya. Banyak-banyak lah menangis hai saudaraku.. moga Allah merahmati kita semua. Seungguhnya jika seseorang itu beramal dengan amalan ahli syurga hingga jaraknya dengan syurga hanya tinggal sehasta tapi sudah dahulu catatannya ahli neraka maka akan beramallah ia dengan amalan neraka dan masuklah ia ke neraka kerana amal itu.
Berkata sesetengah orang yang telah dipengaruhi pemikirannya dengan racun sekular bahawa jika orang Islam percaya segalanya telah ditetapkan dan ditakdirkan oleh Allah ini boleh membawa kemunduran kerana tiada lagi yang akan berusaha bersungguh-sungguh, apa gunanya akal fikiran ini dijadikan jika tidak untuk digunakan.
Maka kita menjawab, sebenarnya jika umat Islam benar-benar berpegang pada aqidah ini umat Islam bukannya mundur malahan akan kembali menjadi gemilang buktinya suatu masa lalu dengan aqidah yang kukuh ini, 2/3 dunia pernah berada dibawah nanungan tamadun Islam.
Contohnya, cuba kita insafi betul-betul.. Saya telah dilahirkan tuhan melalui proses tertentu dan saya telah ditakdirkan Islam sejak kecil untuk itu saya sangat-sangat menghargainya, saya mendalami dan mengamalkan ajaran Islam sebaik boleh untuk meluahkan syukur saya ini. Setelah semakin dewasa, saya tahu semuanya telah ditakdirkan tuhan tapi saya tidak tahu, apa takdir saya; yang pasti tuhan memerintahkan saya berusaha dan pelbagai perintah yang baik lagi, perintah itu dianggap baik kerana difahamkan kepada saya melalui syariat yang diturunkan tuhan bahawa ianya baik. Untuk itu saya berusaha untuk menjadi semakin baik, ah.. segala puji bagi Allah yang telah memilih saya termasuk orang yang berusaha untuk menjadi semakin baik. Katakan saya berjaya maka saya tidak akan mempunyai sifat-sifat buruk kerana saya sedar kejayaan ini milik tuhan sebenarnya dan saya belum tentu berjaya untuk selamanya maka saya akan terus memperbaiki dan bersyukur jika terus dipilih olehnya. Katakan pula jika saya gagal maka saya akan sabar kerana saya tahu semuanya dalam takdir Allah sebagi ujian untuk saya. Saya tidak tahu takdir Allah ke atas saya, maka saya akan terus berusaha mengikut perintah syariatnya kemudian bersyukur kerana masih dipilih sebagai orang yang berusaha dan jika gagal lagi saya bersabar begitulah seterusnya hingga saya mati.
Saya redha dengan ketetapannya jika memilih saya masuk ke syurga dengan rahmatnya atau masuk neraka kerana keadilannya. Saya benar-benar redha kerana semua miliknya termasuk saya dan apa yang saya rasakan seolah-olah milik saya sewaktu hidup dalam dunia. Tapi yang pasti saya puas kerana sedar ada Allah dalam hidup saya.
Setelah membaca contoh diatas saya berharap pembaca memahami betapa hebatnya Islam. Kegagalan kita sekarang kerana tidak beraqidah seperti orang Islam tetapi merasakan kitalah yang terbaik dengan agkuh dan gahnya.
Tariqat
Tuan-tuan yang dihormati,
Ulama-ulama besar dari ahli hadis dan fiqah mengatakan bahawa pengikut ahlulsunnah waljamaah adalah orang yang berpegang:
a) Aqidah – mengikuti mazhab Imam Abu Hassan As-syaari dan Imam Abu Mansur Maturudi
b) Fiqah – Wajib taqlid salah satu daripada empat mazhab yang sudah masyur itu.
c) Tasawuf (tariqat) – Mengikut mazhab Imam Junaid
Risalah ini telah disusun penulis bermula dengan fikah diikuti aqidah kemudian tariqat adalah kerana mengikuti pengetahuan kebanyakan orang yang lebih selalu mendengar fikah dari tauhid dan tarikat.
Tarikat adalah amalan wirid tertentu mengikut kaedah tertentu mengikut jenis tarikat. Wirid-wirid ini diturunkan oleh guru yang bergelar mursyid seperti yang diterima dari gurunya dari gurunya sehinggalah sampai ke tempat ambilan asal yakni Nabi Muhammad SAW. Setiap murid yang mengmbil ijazah akan dipantau oleh guru dan wirid dibawa akan berubah mengikut penilaian guru ke atas murid.
Pada masa sekarang terdapat pelbagai jenis tarikat di Malaysia dan malangnya sukar untuk ditentukan yang benar kerana terdapat pelbagai ajaran sesat berselindung disebaliknya. Namun begitu jika kita benar-benar berkehendak mencari Allah nescaya kita akan menjumpai yang benar itu kerana Allah AWT telah berfirman barangsiapa mencari aku pasti akan menjumpai aku.
Pentingnya tarikat pada diri seorang Islam kerana amalan wirid yang disusun bertujuan membolehkan orang Islam meyedari akan kebesaran Allah SWT dan menyedari kedudukan seorang hamba. Selain itu wirid-wirid yang disusun bertujuan untuk mengikis sifat-sifat buruk seperti hasad, riak, takbur dan sifat-sifat buruk lain yang sukar dikesan sendiri kerana sudah sebati dalam diri. Maka amalan-amalan wirid ini akan membentuk peribadi seorang Islam yang mulia.
Penutup
Pelbagai hujah akal, telah dibuat oleh musuh-musuh Islam bagi menolak dasar-dasar yang dijelaskan oleh para ulama ini. Kekeliruan demi kekeliruan ditimbulkan untuk menghakis pegangan ummah. Cara ini saja yang membolehkan pertahanan Islam dapat ditembus dan kejayaan nampaknya sudah mula berpihak kepada mereka. Kekeliruan yang ditimbulkan berasaskan logik fikiran semata-mata ini cenderung diterima oleh masyarakat Islam disebabkan ketandusan ilmu dan terlalu bergantung dan yakin dengan akal yang sejengkal. Saudara- saudaraku Islam bukanlah agama akal fikiran tetapi agama wahyu. Ulama-ulama Islam memperjelaskan hukum kepada kita berdasarkan ilmu wahyu ini dan bukannya dengan hanya logik fikiran semata. Oleh kerana itu amat peliklah jika kita yang mengakui beriman dengan Allah dan hari Akhirat menolak apa yang telah ditetapkan oleh mereka. Penolakkan ini tidak lain tidak bukan adalah semata-mata kerana nafsu semata yang bertujuan untuk memenuhi kepentingan diri sendiri. Begini haluslah konsep yang dibawa oleh musuh-musuh Islam yakni menikam dari dalam sehingga umat Islam yang begini ramai terkeliru dengan kemahuan Islam. Sedikit demi sedikit ia menular dari permasalahan cabang merebak ke permasalahan akidah. Sekiranya dibiarkan berterusan umat Islam akan musnah akidahnya. Islam hanya tinggal nama yakni seperti kulit luar pokok yang bahagian dalamnya makin mereput. Musuh-musuh yang datang bukan sahaja memakai topeng Islam malah menyatakan dirinya sebagai pengganut Islam yang Tulen. Islam tulen yang dipegang oleh Nabi dan Sahabat. Tiket ketulenan Islam ini membolehkan mereka menabur fitnah ke atas ulama-ulama muktabar Islam bagi menghakis keyakinan umat.
Saudara-saudaraku sekalian,
Untuk mengelakkan fitnah-fitnah ini mudah ditaburkan maka ulama Islam telah meletakkan satu garisan yang bila melepasinya barulalah penuntut-penuntut Islam dibenarkan berdakwah mengenai Agama Islam. Ini penting supaya aqidah yang terkeliru tidak menular masuk dalam masyarakat. Antara syaratnya setiap pendakwah mesti menguasai sifat ta’aluk bagi 20 sifat wajib bagi Allah. Bayangkan jika 20 sifat wajib pun tidak diketauhi apatah lagi ta’aluk. Cuba fikirkan jika sifat-sifat wajib tuhan pun tidak diketauhi apa yang didakwahkan oleh mereka.
Saya menutup tulisan ini dengan tafsiran ayat al-quran yang berbunyi:
“ Dan Hendaklah ada daripada kalangan kamu suatu ummat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh berbuat kebajikan dan mencegah berbuat kemungkaran”
Berdasarkan zahir ayat ini timbullah satu golongan sekarang ini yang mengajak manusia konongnya menuju kepada tuhan tanpa mereka sendiri memahami agama. Mereka bercakap dan bercerita tentang aqidah yakni untuk meningkatkan iman kononnya seperti mereka benar-benar memahami agama walhal bila ditanya hukum hakam dalam ibadah yang wajib pun tidak diketauhi oleh mereka dan aqidah mereka sendiri masih bercelaru. Sedangkan wajib bagi mereka mengetauhi sifat taaluk bagi melayakkan mereka menyampaikan dakwah terutama tentang Iman agar mereka tidak sesat dan menyesatkan orang lain. Amat pelik bukan, bolehkah semua orang membedah orang seperti pakar bedah, bolehkah semua orang beraksi di mahkamah-mahkamah sebagai peguam tetapi bagaimana boleh orang berdakwah terutama tentang Iman atau Tauhid atau Aqidah Islam tanpa memenuhi syarat yang diperlukan. Atas sebab ini bertambah rosaklah masyarakat. Mengikut Tafsir Al Munir ayat di atas ditafsirkan seperti berikut:
“Hendaklahlah diadakan di kalangan kamu umat Muhammad satu jemaah, yang manusia mengambil pelajaran daripada mereka itu.
Yang mereka ini mendakwah kepada kebaikkan : Maka seutama-utama dakwah iaitu dakwah kepada mengakui kewujudan zat Allah dan sifat-sifatnya dan mensucikan Allah daripada menyerupai sekalian makluk.
Dan mereka mengajak kepada kebajikan : Dan mengajak kepada kebajikan itu mengikut hukum yang disuruh itu, jika perkara itu wajib maka mengajak itu wajib, jika perkara itu sunat maka mengajak itu sunat.
Dan Mencegah dari mungkar : Maka melarang dari yang mungkar itu wajib semuanya kerana meninggalkan yang haram itu wajib semuanya.
Dan bermula ini perkara dakwah fardu kifayah. Kerana sesungguhnya dakwah itu tidak layak melainkan hanya bagi orang yang alim dalam hal ahwal agama sahaja. Supaya tidak berlaku keaadaan yang menceburkan orang yang disuruh atau dilarang menjadi bertambah rosak.”W