Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Saturday, January 10, 2015

Mengenali Syeikh Ja'far Al Barzanji

Syeikh Ja'far al Barzanji..( Sohibul Maulid )



Assalamualaikum...

Maulidur Rasul makin menghampiri...maka ramailah yg akan membaca maulid Berzanji sepanjang bulan Maulid itu nanti. Tetapi berapa ramaikah yang mengenali sohibul maulid ini. Jesteru, tidak tahu dan tidak mengenali beliau, beberapa dari ummat Muhammad dengan pantasnya mencerca keilmuan beliau. Mungkin juga tidak bersependapat dengan pemgamalan maulid, lantas menzalimi beliau dengan tuduhan tidak bernas dan menyakiti diri beliau dengan tuduhan peribadi....

Dengan itu, kami sertakan biodata beliau buat tatapan. Maka dengan kenal menghadirkan cinta. Al Fatihah buat beliau...

_______________________________________

Sayyid Ja'far Al-Barzanji

Sayyid Ja'far bin Sayyid Hasan bin Sayyid 'Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji adalah seorang ulama besar keturunan Junjungan Nabi s.a.w. dari keluarga Saadah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1126H.

Segala usul Sayyid Ja'far semuanya merupakan ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesholehan. Habib Prof. Dr. Muhammad bin 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki (jika ada orang berbangga-bangga dengan gelar Dr.nya dalam bidang hadits, maka aku nyatakan bahawa al-Habib Muhammad al-Maliki ini juga telah meraih gelar Dukturahnya dalam bidang hadits pada usianya 25 tahun dari Harvard dan Oxfordnya dunia Islam iaitu Universiti al-Azhar asy-Syarif, oleh itu jika kamu berbangga-bangga dengan kesarjanaan versi dukturah ini, maka simpanlah dulu Dr. kamu tu dalam poket) dalam "Haul Ihtifaal bi dzikra al-Mawlid an-Nabawi asy-Syarif" menulis pada halaman 99 :-

Al-'Allaamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji adalah MUFTI ASY-SYAFI`IYYAH di Kota Madinah al-Munawwarah. Telah berlaku perselisihan tentang tarikh kewafatannya, di mana sebahagiannya menyebut yang beliau meninggal pada tahun 1177H. Imam az-Zubaidi dalam "al-Mu'jam al-Mukhtash" menulis bahawa beliau wafat tahun1184H, di mana Imam az-Zubaidi pernah berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia.

Beliau adalah pengarang kitab mawlid yang masyhur dan terkenal dengan nama "Mawlid al-Barzanji". Sebahagian ulama menyatakan bahawa nama karangannya tersebut sebagai "I'qdul Jawhar fi mawlid an-Nabiyyil Azhar". Mawlid karangan beliau ini adalah di antara kitab mawlid yang paling tersohor dan paling luas tersebar ke pelosok negeri 'Arab dan Islam, baik di Timur maupun di Barat. Bahkan ramai kalangan 'Arab dan 'Ajam yang menghafalnya dan mereka membacanya dalam perhimpunan-perhimpunan agama yang munasabah. Kandungannya merupakan khulaashah (ringkasan) sirah nabawiyyah yang meliputi kisah lahir baginda, perutusan baginda sebagai rasul, hijrah, akhlak, peperangan sehingga kewafatan baginda................

Kitab "Mawlid al-Barzanji" ini telah disyarahkan oleh al-'Allaamah al-Faqih asy-Syaikh Abu 'Abdullah Muhammad bin Ahmad yang terkenal dengan panggilan Ba`ilisy yang wafat tahun 1299H dengan satu syarah yang memadai, cukup elok dan bermanfaat yang dinamakan "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji" yang telah banyak kali diulang cetaknya di Mesir.

Ikhwah lihat, bagaimana Habib Muhammad menyatakan bahawa Sayyid Ja'far adalah seorang 'allaamah, seorang muhaddits lagi musnid yang menjadi sanad dan sandaran umat. Jadi bagaimana kita tergamak membuka mulut kita dan menggerakkan lidah kita yang tidak bertulang untuk mencemoh dan merendah-rendahkan pribadi seperti Sayyid Ja'far, Mufti Syafi`iyyah di Kota Madinah. Allahu ... Allah.

Sebagaimana dinyatakan oleh Buya al-Maliki di atas, mawlid Sidi Ja'far al-Barzanji ini telah disyarahkan pula oleh para ulama kenamaan umat ini.

Antara yang masyhur mensyarahkannya ialah Syaikh Muhammad bin Ahmad 'Ilyisy al-Maaliki al-'Asy'ari asy-Syadzili al-Azhari yang mengarang kitab "al-Qawl al-Munji 'ala Mawlid al-Barzanji". Beliau ini adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif, bermazhab Maliki lagi Asy`ari dan menjalankan Thoriqah asy-Syadziliyyah. Beliau lahir pada tahun 1217H (1802M) dan wafat pada tahun 1299H (1882M). Beliau bukanlah calang-calang ulama pula, ketinggian ilmunya dapat dilihat dalam kitab-kitab karangannya yang bernilai tinggi, antaranya : "Hidaayatul Muriid li 'Aqiidati Ahlit Tauhiid", "Syarah al-'Aqaa-idul Kubra lis Sanusi", "Haasyiah 'ala Syarhish Shoghir lid-Dardiir", "Minhul Jaliil 'ala Mukhtashar Khaliil" dan "Hidaayatus Saalik ila Aqrabil Masaalik fi Furu`il Fiqhil Maaliki".

Selain Syaikh Ba`ilisy, ulama kita kelahiran Banten, Pulau Jawa, yang terkenal sebagai ulama dan penulis yang produktif dengan banyak karangannya.

Sayyidul 'Ulama-il Hijaz,

an-Nawawi ats-Tsani,

Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi turut menulis syarah yang lathifah bagi "Mawlid al-Barzanji" dan karangannya itu dinamakannya "Madaarijush Shu`uud ila Iktisaa-il Buruud".

Manakala, seorang keturunan Sayyid Ja'far al-Barzanji yang mempunyai nama yang sama dengan beliau, iaitu Sayyid Ja'far bin Sayyid Isma`il bin Sayyid Zainal 'Abidin bin Sayyid Muhammad al-Hadi bin Sayyid Zain yang merupakan suami kepada satu-satunya anak Sayyid Ja'far al-Barzanji, telah juga menulis syarah bagi "Mawlid al-Barzanji" tersebut yang dinamakannya "al-Kawkabul Anwar 'ala 'Iqdil Jawhar fi Mawlidin Nabiyil Azhar".

Sayyid Ja'far ini juga adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif. Beliau juga merupakan seorang Mufti Syafi`iyyah.

Karangan-karangan beliau antaranya: 

1. "Syawaahidul Ghufraan 'ala Jaliyal Ahzan fi Fadhaa-il Ramadhan",

2. "Mashaabiihul Ghurar 'ala Jaliyal Kadar"

3. "Taajul Ibtihaaj 'ala Dhau-il Wahhaaj fi Israa` wal Mi'raaj".

Beliau juga telah menulis sebuah manaqib yang menceritakan perjalanan hidup dan ketinggian nendanya Sayyid Ja'far al-Barzanji dengan jodol "ar-Raudhul A'thar fi Manaqib as-Sayyid Ja'far".

Latar Belakang Pendidikannya


Beliau dibesarkan di bawah didikan dan asuhan ayahandanya. Beliau mempelajari al Quran daripada Syeikh Ismail al Yamani radiyaLlahu 'anhu. Kemudian mempelajari ilmu tajwid daripada syeikh Yusuf al Sa'idi radiyaLLahu 'anhu dan Syeikh Syams al din al Misri radiyaLlahu 'anhu. Di antara guru-gurunya di Madinah ialah :

1. Sayyid Abdul Karim Haidar al Barzanji radiyaLlahu 'anhu

2. Sayyid Yusuf al Kurdi radiyaLLahu 'anhu

3. Sayyid 'AtiyyatuLlah al Hindi radiyaLlahu 'anhu

Setelah itu, beliau mendalami ilmunya dengan ulama' yang berada di Makkah dan menetap di sana selama 5 tahun. Di antara guru-gurunya di Makkah ialah :

1. Syeikh 'AtaiLlah ibn Ahmad al Azhari

2. Syeikh Abdul Wahhab al Tontowi al Ahmadi

3. Syeikh Ahmad al Asybuli dan lain-lain lagi.

Oleh kerana kepakarannya yang tinggi di dalam persada ilmu, beliau telah diijazahkan dengan sanad-sanad ilmu oleh masyaikh pada zamannya. Di antara guru-gurunya yang pernah menganugerahkan sanad kepadanya ialah :

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi

2. Sayyid Ahmad al Tobari

3. Syeikh Muhammad ibn Hasan al 'Ujaimi

4. Sayyid Mustafa al Bakari

5. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri

Beliau telah belajar daripada mereka pelbagai ilmu pengetahuan. Di antaranya ilmu saraf, nahu. mantiq, ma'ani, bayan, adab, fiqh, usul fiqh, faraidh, matematik, hadith, mustalah hadith, tafsir, dakwah, kejuruteraan, arudh, kalam, bahasa, sirah, qiraat, suluk, tasawwuf dan sebagainya.

Apa yang berlaku pada zaman mutakhir ini, sesetengah ahli masyarakat melemparkan tuduhan bahawa beliau bukan seorang ilmuwan Islam. Anggapan yang tidak berasas ini, menyebabkan kitab maulid karangannya yang selama ini diterimapakai di dalam Majlis Sambutan Maulid Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam di kebanyakan negara Islam dituduh mengandungi banyak perkara khurafat dan bertentangan dengan Al Quran dan Hadith.

Oleh kerana itu, untuk meneutralkan tanggapan negatif ini, adalah wajar diketengahkan sanad beliau yang menghubungkan ilmunya dengan dua buah kitab hadith yang muktabar; al Bukhari dan Muslim sehingga kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bagi membuka mata dan meyakinkan kita bahawa pengarang Kitab Maulid Barzanji yang kita baca selama ini bukanlah calang-calang ulama.

Sanad Jami' Al Sahih Imam Bukhari

Sayyid Ja'far al Barzanji belajar daripada,

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi, belajar daripada

2. Syeikh Ibrahim al Dir'i, belajar daripada

3. Syeikhah Fatimah binti SyukriLLah al Uthmaniyyah, bonda nendanya Sayyid Muhammad ibn Abdur Rasul, belajar daripada

4. Al Syams Muhammad ibn Ahmad al Ramli, belajar daripada

5. Syeikh al Islam al Qadhi Zakaria ibn Muhammad al Ansari, belajar daripada

6. al Hafiz Ahmad ibn Ali ibn Hajar al Asqalani, belajar daripada

7. Syeikh Ibrahim ibn Ahmad al Tanukhi, belajar daripada

8. Syeikh Abi al Abbas Ahmad ibn Abi Talib al Hajjar al Dimasyqi, belajar daripada

9. al Siraj al Husain al Mubarak al Zaibidi, belajar daripada

10. Abdil awwal ibn Isa al Harawi, belajar daripada

11. Abdir Rahman ibn Muzaffar al Dawudi, belajar daripada

12. Abi Muhammad AbduLLah ibn Hamawih al Sarkhasi, belajar daripada

13. Syeikh Abdi AbdiLlah Muhammad ibn Yusuf ibn Matar al Farabri, belajar daripada

Pengumpulnya, Amirul Mukminin al Imam al Hafiz al Hujjah Abu AbdiLLah Muhammad ibn Ismail al Bukhari.

Sanad Sohih Muslim

Sayyid Ja'far al Barzanji, belajar daripada

1. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri, daripada

2. Syeikh Muhammad Zurqani ibn Abdul Baqi al Maliki al Azhari, daripada

3. Al Hafiz Muhammad ibn 'Ala' al Babili, daripada

4. Syeikh Abi al Naja Salim ibn Muhammad al Sanhuri, daripada

5. Al Najm Muhammad ibn Ahmad al Ghaiti, daripada

6. Syeikh al Islam Zakaria ibn Muhammad al Ansari, daripada

7. Abi al Nu'aim Ridhwan ibn Muhammad, daripada

8. Syeikh Abi Tahir Muhammad ibn Muhammad, daripada

9. Abi al Faraj Abdur Rahman ibn Abdul Hamid al Maqdisi, daripada

10. Syeikh Abi al Abbas Ahmad ibn Abdud Daim al Nablusi, daripada

11. Syeikh Muhammad ibn Ali al Harani, daripada

12. Faqih al Haram Muhammad ibn al Fadhl al Farawi, daripada

13. Syeikh Abi al Husain Abdul Ghafir ibn Muhammad al Farisi, daripada

14. Abi Ahmad Muhammad ibn Isa al Jaludi, daripada

15. Syeikh Abi Ishaq Ibrahim ibn Muhammad ibn Sufyan al Zahid, daripada

Pengumpulnya al Imam al Hujjah Muslim ibn al Hajjaj al Qusyairi al Naisaburi.

Kepakarannya di dalam bidang keilmuwan telah menarik ramai orang datang menemuinya untuk mempelajari ilmu. Beliau mengikuti dan menyelami jalan ahli tasawwuf dan meninggalkan kerehatan dan tidur lebih dari 20 tahun sehingga beliau mempunyai kemahiran di dalam ilmu naqli (berasaskan al Quran dan Sunnah) dan aqli. Beliau pernah mengambil tariqat daripada Sayyid 'AtiyatuLlah al Hindi dan Sayyid Mustafa al Bakari.

Beliau telah mengarang banyak kitab yang menakjubkan dan bermanfaat. Di antaranya ialah kitab Maulid Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang tidak pernah ditulis oleh pengarang sebelumnya yang dinamakan dengan 'Iqd al Jauhar fi Maulid al Nabi al Azhar sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Hubungan Sosial

Beliau juga mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat sehingga dilantik sebagai Mufti Mazhab Syafie radiyaLLahu 'anhu di al Madinah al Munawwarah. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kewafatannya dan dianugerahkan dengan kebesaran yang tinggi sehingga kata-katanya diperkenankan dan dilaksanakan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di Haramain (Makkah dan Madinah), Mesir, Syam, Rom dan sebagainya.

Kata-katanya juga diterimapakai oleh Jemaah Menteri Kerajaan Uthmaniyyah dan pembesar-pembesar negara tersebut. Suaranya tersebar seperti burung yang berterbangan di seluruh pelusuk dunia hingga hampir tiada sesiapa yang tidak mengenalinya. Karyanya tersebar luas dan kelebihan kitabnya tiada tolok bandingnya pada zamannya.

Akhlaknya


Beliau mempunyai akhlak yang mulia, bersifat tawadhu', hati yang bersih, cepat memaafkan orang lain dan tidak mengabaikan hak orang lain. Beliau merupakan keturunan dari keluarga RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan di kalangan ketua yang menjadi tempat rujukan keturunan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam pada zamannya. Beliau juga merupakan seorang yang zuhud, wara', berpegang dengan al Quran dan Sunnah, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mengorbankan harta dan jiwa untuk melakukan kebaikan serta banyak bersedekah sehingga dikenali sebagai seorang dermawan.

Beliau juga mempunyai karamah yang dizahirkan oleh ALlah subahanahu wa Ta'ala. Di antaranya, beliau pernah dipanggil dari tempat solatnya pada Hari Jumaat menaiki mimbar RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Pada masa tersebut, sedang berlaku kemarau yang panjang. Maka orang bertawassul dengannya supaya diturunkan hujan. Dengan kehendak ALlah subahanahu wa Ta'ala, maka hujan pun turun dengan lebatnya dan tanah yang kering kontang menjadi subur. Ramai di kalangan ulama' yang memujinya sebagaimana yang dirakamkan di dalam syair gubahan mereka. Di antaranya :
سقى الفاروق بالعباس قدما
و نحن بجعفر غيثا سقينا

وسيلنا إمام العارفينا

"Dahulu sayyiduna Umar RadiyaLlahu 'anhu pernah bertawassul meminta hujan dengan Sayyiduna al Abbas radiyaLLahu 'anhu, dan kini kami bertawassul dengan Ja'far radiyaLlahu 'anhu, maka diturunkan hujan kepada kami"



Khalifah Umar ibn al Khattab radiyaLlahu 'anhu sepertimana yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim daripada Anas radiyaLlahu 'anhu pernah bertawassul dengan bapa saudara Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, iaitu Abbas ibn Abdul Muttalib ketika berlaku musim kemarau. Umar RadiyaLlahu 'anhu berdoa :
Quote

اللهم إنا كنا إذا قحطنا توسلنا إليك بنبينا فتسقنا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا محمد صلى الله عليه وسلم فاسقنا, قال : فيسقون

Ya ALlah! Sesungguhnya apabila kami menghadapi kemarau, kami bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami (Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam) maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Dan sekarang ini, kami bertawassul kepada Engkau dengan bapa saudara Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam, maka turunkanlah hujan jepada kami." Anas radiyaLlahu 'anhu menyebut, "Maka hujan pun diturunkan ke atas mereka."



Berbalik kepada Sidi Ja'far al-Barzanji, selain dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan bahawa satu ketika di musim kemarau, sedang beliau sedang menyampaikan khutbah Jumaatnya, seseorang telah meminta beliau beristisqa` memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan, dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Junjungan Nabi s.a.w. dahulu. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebahagian ulama pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:-

سقى الفروق بالعباس قدما * و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك و سيلة لهم و هذا * وسيلتنا إمام العارفينا

Dahulu al-Faruuq dengan al-'Abbas beristisqa` memohon hujan
Dan kami dengan Ja'far pula beristisqa` memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang 'aarifin

Sidi Ja'far al-Barzanji wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi`, sebelah bawah maqam nenda-nenda beliau dari kalangan anak-anak perempuan Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah. Bertuah sungguh Sayyid Ja'far. Karangannya membawa umat ingatkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat kasihkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat rindukan Junjungan Nabi s.a.w. Setiap kali karangannya dibaca, pasti sholawat dan salam dilantunkan buat Junjungan Nabi s.a.w. Juga umat tidak lupa mendoakan Sayyid Ja'far yang telah berjasa menyebarkan keharuman pribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia keturunan Adnan. Allahu ... Allah.

اللهم اغفر لناسج هذه البرود المحبرة المولدية
سيدنا جعفر من إلى البرزنج نسبته و منتماه
و حقق له الفوز بقربك و الرجاء و الأمنية
و اجعل مع المقربين مقيله و سكناه
و استرله عيبه و عجزه و حصره و عيه
و كاتبها و قارئها و من اصاخ إليه سمعه و اصغاه

Ya Allah ampunkan pengarang jalinan mawlid indah nyata
Sayyidina Ja'far kepada Barzanj ternisbah dirinya
Kejayaan berdamping denganMu hasilkan baginya
Juga kabul segala harapan dan cita-cita
Jadikanlah dia bersama muqarrabin berkediaman dalam syurga
Tutupkan segala keaiban dan kelemahannya
Segala kekurangan dan kekeliruannya
Seumpamanya Ya Allah harap dikurnia juga
Bagi penulis, pembaca serta pendengarnya

Kegigihan beliau menuntut ilmu:

Semasa kecilnya beliau telah belajar Al-Quran dari Syeikh Ismail Al-Yamani, dan belajar tajwid serta membaiki bacaan dengan Syeikh Yusof As-So’iedi dan Syeikh Syamsuddin Al-Misri.

Antara guru-guru beliau dalam ilmu agama dan syariat:-

- Syed Abdul Karim Haidar Al-Barzanji
- Syeikh Yusuf Al-Kurdi
- Syed Athiyatullah Al-Hindi.

Beliau kemudiannya berhijrah dan menetap di Mekah selama lima tahun. Di sana beliau telah belajar daripada ulamak-ulamak terkenal, antaranya:-

- Syeikh Athaallah ibn Ahmad Al-Azhari
- Syeikh Abdul Wahab At-Thanthowi Al-Ahmadi
- Syeikh Ahmad Al-Asybuli
Beliau juga telah diijazahkan oleh sebahagian ulama’, antaranya:-
- Syeikh Muhammad At-Thoyib Al-Fasi
- Syed Muhammad At-Thobari
- Syeikh Muhammad ibn Hasan Al-A’jimi
- Syed Musthofa Al-Bakri
- Syeikh Abdullah As-Syubrawi Al-Misri

Ilmu yang dikuasai :

Syed Ja’far Al-Barzanji telah menguasai banyak cabang ilmu, antaranya: Shoraf, Nahu, Manthiq, Ma’ani, Bayan, Adab, Fiqh, Usul Fiqh, Faraidh, Hisab, Usuluddin, Hadis, Usul Hadis, Tafsir, Hikmah, Handasah, A’rudh, Kalam, Lughah, Sirah, Qiraat, Suluk, Tasawuf, Kutub Ahkam, Rijal, Mustholah...

Karangan beliau:

- البر العاجل بإجابة الشيخ محمد غافل
- جالية الكدر بأسماء أصحاب سيد الملائك والبشر
- جالية الكرب بأسماء سيد العجم والعرب في أسماء البدريين والأحديين
- الجني الداني في مناقب الشيخ عبد القادر
- الروض المعطار فيما يحدي السيد محمد من الأشعار
- الشقائق الأترجية في مناقب الأشراف البرزنجية
- الطوالع الأسعدية من المطالع المشرقية
- العرين لأسماء الصحابة البدريين
- فتح الرحمن على أجوبة السيد رمضان
- الفيض اللطيف بإجابة نائب الشرع الشريف
- النفح الفرجي في فتح جته جي في التاريخ
- نهوض الليث لجواب أبي الغيث
- عقد الجوهر في مولد النبي الأزهر صلى الله عليه وسلم (kitab maulid yang dikenali dengan Maulid Barzanji)

Kemasyhuran beliau:

Beliau telah diiktiraf dan mendapat kedudukan di sisi pembesar Mekah dan Madinah, serta menteri-menteri Kerajaan Uthmaniah. Tersebarlah kemasyhuran dan kehebatan beliau keseluruh pelusuk dunia Islam, sehinggakan beliau dikenali ramai. Karangan-karangan beliau telah diterima dan dipuji oleh ulama’-ulama’ sezaman denganya sehingga tersebarnya tulisan beliau dikalangan penuntut ilmu.

Sifat-sifat beliau:


Mempunyai akhlak yang terpuji, jiwa yang bersih, sangat pemaaf dan pengampun, zuhud, amat berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah, wara’, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mendahului dalam membuat kebajikan bersedekah,dan s pemurah,...

Dari riwayat hidup Syed Ja’far Al-Barzanji di atas, jelas kepada kita bahawa beliau bukannya calang-calang orang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Bahkan beliau menjawat jawatan Mufti Madinah Munawwarah sekian lama yang menunjukkan kepada kita ketinggian ilmu beliau dan kesolehan beliau.

Harapan penulis agar kita tidak terburu-buru mengutuk dan merendahkan ulama’-ulama’ Islam. Walaupun kita tidak bersetuju pada sesetengah perkara yang khilafiah, janganlah kita terus menghentam dan membidaahkan lawan kita. Selagi mana perkara tersebut ijtihadiah, contohnya pada menghukumkan hadis atau beramal dengannya, sepatutnya kita mengikut kaedah fiqh (الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد)- Ijtihad tidak dapat membatalkan ijtihad yang lain. Semoga segala yang baik daripada tulisan ini dapat diambil manfaatnya, dan jika ada kesilapan, sama-samalah kita perbetulkannya.

Rujukan:

1. Al-Kawakib Al-Anwar syarh Al-Maulid An-Nabawi, karangan Syed Ja’far ibn Al-Barzanji (keturunan Syed Ja’far Al-Barzanji pengarang Maulid), wafat pada tahun 1317 H bersamaan 1899 M, tahqiq Nada Farj Darwisy, disemak oleh Institut Pengkajian Akademik Universiti Azhar, cetakan Markaz ibn Al-Athar litthurath, muka surat 647-650.
2. Kasyfuz Zunun ‘an Asami Al-Kutub wal Funun, karangan Haji Khalifah, cetakan 1999 M Darul Fikr, Beirut, bab jim ‘ja’far’, jilid 5, muka surat 211.
3. Al-Asybah wan Nazhair, Jaluddin As-Suyuthy, cetakan ketiga 2005 M Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut, jilid 2, muka surat 225.

No comments: