Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda saw.
Daku reda Allah adalah Tuhan, Islam adalah Agama, Nabi Muhammad saw adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah Imam, Kaabah adalah Kiblat dan Mukmin adalah saudara.
Wahai tuhanku! Engkau jualah maksud dan tujuanku dan keredaan Engkau jua yang daku cari. Daku mengharapkan kasih sayang-Mu dan kehampiran-Mu.
Kitab al-Hikam karangan Imam Tajuddin Abu Fadhli Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Assakandary boleh dianggap sebagai buku teks yang perlu dipelajari oleh orang-orang yang mahu mendalami ilmu tauhid / tasauf serta berjalan pada jalan kerohanian. Dalamnya mengandungi kata-kata hikmat yang boleh dijadikan petunjuk jalan menuju Allah s.w.t dan mencapai keredaan-Nya.
Pada mulanya daku mengenali Kitab al-Hikam pada namanya sahaja. Apa yang diperkatakan adalah kitab ini merupakan sebuah kitab yang sukar difahami. Hanya sedikit sahaja bilangan guru-guru yang mampu mengajarkan kitab ini. Anggapan yang telah tertanam dalam fikiranku adalah hanya orang-orang yang khusus sahaja layak mempelajari kitab tersebut. Oleh yang demikian daku tidak pernah mencuba untuk mempelajarinya.
Kehendak Allah s.w.t mengatasi segala perkara. Apabila daku dimasukkan ke dalam bidang kerohanian timbullah minat dan kecenderungan untuk mengetahui isi Kitab al-Hikam. Daku mula mempelajari syarah-syarah kitab tersebut yang boleh didapati di kedai-kedai buku. Sedikit sekali kefahaman yang terbuka kepadaku. Kemudian daku mempelajari kitab-kitab tasauf yang boleh daku dapati dari berbagai-bagai sumber. Berbekalkan sedikit pengetahuan dalam ilmu tasauf, daku mempelajari semula Kitab al-Hikam. Apa yang daku fahamkan itu daku tuliskan sebagai satu cara pembelajaran. Beberapa orang sahabat telah membaca teks yang asal dan memberi teguran yang membina. Hasil dari teguran itu daku tulis semula Syarah al-Hikam ini.
Apa yang daku fahamkan dan perolehi dari khazanah al-Hikam ingin daku kongsikan dengan saudara-saudara Muslimku. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan taufik dan hidayat kepada kita semua.
Penyusun Syarah al-Hikam ini bukanlah seorang yang alim dalam ilmu tasauf, apa lagi ilmu fikah. Oleh itu adalah baik jika saudara-saudara yang membaca kitab ini merujukkan kepada orang yang alim. Jika terdapat perbezaan pendapat di antara isi kitab ini dengan perkataan orang alim, anggaplah kefahaman penyusun telah tersilap dan berpeganglah kepada perkataan orang alim. Penyusun memohon kemaafan di atas kesilapan tersebut. Sekiranya apa yang diperkatakan dalam kitab ini adalah benar, maka sesungguhnya kebenaran itu dari Allah s.w.t. Hanya Dia yang patut menerima pujian. Hanya kepada-Nya kita bersyukur.
Wahai saudara-saudaraku yang daku kasihi.
****
No comments:
Post a Comment