Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Monday, July 16, 2018

Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili ketuai Pas di Makkah

Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili ketuai Pas di Makkah
HARAKAH BIL:1548
Salah seorang ulama Melayu yang aktif di Makkah dan terkemuka kerana pemikiran-pemikiran politik ketemporarianya ialah Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili. Ketika kebanyakan ulama di Masjidil Haram masih bercakap soal isu-isu biasa agama, Sheikh Abdul Qadir telah memperkatakan tentang masalah menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris, kewajipan menegakkan negara Islam, kewajipan menyertai parti Islam.
Masalah memilih pemimpin bukan Islam dan juga isu judi loteri yang dianjurkan oleh Umno pada dekad 1950-an. Fatwa-fatwa tegas beliau menyebabkan berlakunya polemik hukum dengan ulama Umno dan akhirnya karya beliau diharamkan di negara ini. Kerana kesedaran yang sama juga, Sheikh Abdul Qadir telah menubuhkan PAS cawangan Makkah pada 1954 yang dianggotai oleh orang-orang Melayu di Makkah dengan beliau sendiri mengetuainya.
Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Mutallib bin Hassan adalah seorang ulama besar kelahiran Sigalangang, Tapanuli Selatan iaitu sebuah wilayah di Sumatera Utara. Dikenali sebagai Al-Mandili kerana berketurunan Mendailing. Beliau lahir pada 1910 dalam keluarga petani dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada 1917 dan lulus darjah Lima pada 1923. Pada 1924, beliau berhijrah ke Kedah kerana mendalami ilmu agama.
Pada mulanya beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Bakar Tobiar, di Pondok Penyarum, Pendang, kemudian berpindah ke Pondok Air Hitam di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada 1926, Sheikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang ketika itu baru diambil alih oleh Sheikh Wan Ibrahim Abdul Qadir (Pak Chu Him) yang terkenal itu. Beliau berguru dengan Pak Chu Him selama 10 tahun sehingga diterima sebagai guru pembantu di pondok ini sekitar 1934. Sesudah 10 tahun di Titi Gajah, Sheikh Abdul Qadir berhasrat untuk berguru dengan abang Pak Chu Him, Sheikh Wan Ismail Abdul Qadir (Pak Da ‘Ali), seorang ulama besar di Makkah ketika itu. Pada 1936, beliau bertolak ke Makkah dan berguru dengan beberapa ulama besar seperti Pak Da ‘Ali Al-Fathani, Sheikh Al-Maliki, Sheikh Hassan Al-Mashat, Sheikh Muhammad Al-Arabi, Sheikh Syed Al-Alawi dan Sheikh Mohamad Ahyad. Turut menjadi gugu beliau ialah Sheikh Hasan Yamani, Sheikh Mohamad Nur Saif, Sheikh Yasin Isa Al-Fadani, Sheikh Abdullah Lahji dan Sheikh Zakarian Abdullah Bela. Akhirnya, beliau diterima sebagai guru di Masjidil Haram dan dikatakan sebagai seorang ulama ”yang bersangatan alim” dan digelar oleh Tuan Guru Haji Husein Che Dol sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan keilmuan beliau.
Sepanjang menjadi guru di Masjidil Haram selama hampir 30 tahun, Sheikh Abdul Qadir terkenal kerana alim dalam perbagai cabang ilmu sehingga beliau pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno pernah menawarkan kepada beliau sebagai Mufti Indonesia, manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadi Al-Qudat dengan gaji yang besar, tetapi beliau menolak kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajaran di Masjidil Haram. Ini sesuai dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam talabah al-ilmu as-syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.
Selain mengajar, satu keistimewaan Sheikh Abdul Qadir adalah kebolehan beliau menghasilkan karya-karya agama. Sepanjang mengajar di Makkah, beliau berkarya menghasilkan 24 buah karya dalam bahasa Melayu dan Arab, termasuk enam buah karya terjemahan. Tulisan beliau mencakupi bidang usuludin, fiqh, politik, pendidikan, perundangan dan akhlak.
Antara karya kontemporari beliau ialah “Risalah Pokok Qadyani” yang mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani. Beliau turut mengkritik pemikiran Kaum Muda dalam bukunya “ Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari” (1958) dan “al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab” (1958). Sheikh Abdul Qadir juga menghasilkan sebuah buku “Siasah dan Loteri dan Alim Ulama” (1962) untuk menjelaskan hukum berkaitan judi loteri anjuran Umno dan juga Loteri Kebajikan Masyarakat yang ditaja oleh kerajaan Perikatan ketika itu untuk mengutip dana bagi membina masjid dan sekolah agama. Oleh kerana ketika zaman kemasyuran beliau itu, Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan, Sheikh Abdul Qadir turut menulis tentang undang-undang, politik dan kenegaraan Islam. Beliau telah menghasilkan sebuah buku “Islam: Agama dan Kedaulatan (1959) untuk menjelaskan tentang pemikiran politik dan kenegaraan Islam. Buku ini diterbitkan semula oleh Pak Chu Him pada 1962 selepas beberapa polemik dengan Abdul Rahman Merbok, seorang ulama Umno. Fatwa-fatwa politik beliau juga disiarkan dalam buku ini, termasuk polemik yang timbul itu.
Sebelum itu pada 1956, Sheikh Abdul Qadir mendahului ulama-ulama lain apabila memperkatakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam. Persoalan ni diperkatakan dalam buku terjemahannya, “Pendirian Agama Islam” (1956). Dalam cetakan kedua buku ini pada 1957, beberapa ulama telah memuji tindakan Sheikh Abdul Qadir dalam menyelamatkan aqidah umat Islam ini.
Ketika orang Melayu sedang sibuk memperkatakan tentang pengisian kemerdekaan, Sheikh Abdul Qadir pada 1961 talah membuat lonjakan besar dalam bidang kenegaraan apabila menghasilkan sebuah karya yang menolak undang-undang Barat untuk dikuatkuasakan ke atas umat Islam. Karyanya bertajuk “Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961)” cuba menjelaskan kepada orang Melayu tentang keadilan dan kebaikan undang-undang Allah serta masalah kemasukan dan penerimaan undang-undang penjajah di negara ini.
Buku lain yang ditulis oleh beliau adalah “Senjata Tok Haji dan Tok Lebai” (1949), “Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati” (1950), “Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim” (1952), “Bekal Orang Yang Menunaikan Haji” (1953) dan banyak lagi penulisan sehigga tahun 1962.
Dengan pemikiran politik beliau yang begitu terkehadapan berbanding para ulama yang lain, Sheikh Abdul Qadir bukan sahaja berjaya menghasilkan karya-karya politik, pemikiran Islam dan fiqh semasa, tetapi turut terlibat secara langsung dalam gerakan politik Islam. Sheikh Abdul Qadir telah mempengaruhi murid-muridnya di Makkah supaya menolak pemikiran nasionalsme, menolak undang-undang penjajah, menolak kepemimpinan bukan Islam, mewajibkan perjuangan menegakkan negara Islam serta mewajibkan umat Islam menyertai PAS.
Beliau sendiri menyertai PAS Cawangan Makkah pada tahun tersebut ketika Yang Dipertuan Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias memimpin pasukan kesihatan jemaah haji Tanah Melayu pada 1954. Sheikh Abdul Qadir turut dipilih sebagai Ketua PAS Makkah sehingga beliau menghidap penyakit ganjil di kakinya yang membawa kepada kematian beliau pada 18 Rabiulakhir 1385 (1965).
Antara murid beliau yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Sungai Durian, Kelantandan Tuan Guru Haji Umar Daud Meranti. Salah seorang anak beliau, Syeikh Muhammad al-Mandili merupakan guru agama di Masjidil Haram sekarang ini.

No comments: