Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Sunday, September 7, 2014

TAKLUK SIFAT QUDRAT

TAKLUK SIFAT QUDRAT


http://darulihya.blogspot.com/2010/06/takluk-sifat-qudrat.html
1)Cara ta’aluknya.
Disebut ta’aluk ta’thir yang bererti memberi bekas pada menjadikan atau mentiadakan.Ini bermakna apa sahaja yang telah berta’aluk oleh kudrat Allah pada mengadakannya pasti jadi.Begitu juga apa sahaja yang telah berta’aluk oleh kudrat Allah pada mentiadakannya maka pasti tiada menurut kudrat Allah yang tersebut.Firman Allah
ﺇﻧﻤﺎ ﺃﻤﺭﻩ ﺇﺬﺍ ﺃﺭﺍﺪﺷﻴﺋﺎ ﺃﻦ ﻴﻘﻭﻝ ﻟﻪ ﻜﻦ ﻔﻴﻜﻭﻦ
Ertinya : Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi.
Maksud ayat di atas ialah terlalu mudah bagi Allah di dalam menjadikan apa sahaja sehingga apabila telah berta’aluk oleh kudrat iradatNya nescaya sesuatu itu jadi menurut seperti yang dikehendakkinya.
2)Tempat ta’aluknya.
Tempat ta’aluk sifat kudrat adalah ke atas sekelian mumkin.Mumkin ertinya apa sahaja yang bersifat harus yang boleh menerima ada dan tiada.Jika banyak disebut mumkinat.Mumkin terbahagi kepada empat bahagi :-
i)Mumkin adam ba’dal maujud ertinya mumkin yang telah dijadikan dan pada masa sekarang telah tiada.Contohnya orang – orang zaman dahulu , makhluk – makhluk yang terdahulu , masa yang telah lalu dan sebagainya.Maka berta’aluk kudrat atasnya sebagai ta’aluk ta’thir ertinya telah memberi bekas.
ii)Mumkin maujud ba’dal adam ertinya mumkin yang sekarang telah wujud yang mana dahulunya tiada.Contohnya orang – orang di zaman sekarang , makhluk – makhluk yang ada sekarang , masa sekarang dan sebagainya.Maka berta’aluk kudrat atasnya sebagai ta’aluk ma’iyah ertinya ta’aluk yang menyertai.Hakikatnya ianya adalah sebahagian daripada taaluk ta’thir juga.
iii)Mumkin sayujad ertinya mumkin yang belum ada tetapi lagi akan diadakan.Contohnya orang – orang di zaman akan datang , makhluk – makhluk yang akan datang , masa akan datang , hari kiamat dan sebagainya.Maka berta’aluk kudrat atasnya sebagai ta’aluk qabdhah ertinya di dalam genggaman.
iv)Mumkin alimallahu annahu lam yujad ertinya mumkin yang diketahui oleh Allah bahawa ia tidak akan dijadikan samasekali.Contohnya berimannya Firaun , bertaubatnya iblis , berimannya Abu Jahal , masuknya orang yang beriman ke neraka , masuknya orang kafir ke syurga dan sebagainya.Maka berta’aluk kudrat atasnya sebagai ta’aluk bil hukmi ertinya secara hukumnya harus boleh ada atau boleh berlaku jika dikehendakki Allah.Hanya sanya telah diketahui Allah dengan ilmuNya yang azali bahawa mumkin tersebut tidak akan dijadikan sekali – kali.
Kesimpulannya tidak ada satu perkara mumkin pun yang tidak dita’aluk oleh kudrat dan iradat Allah samada mumkin yang telah dijadikan , atau yang sedang dijadikan , atau yang akan dijadikan , atau yang telah diketahui oleh Allah tidak akan dijadikan sekali – kali.Firman Allah
ﺇﻦ ﺍﷲ ﻋﻟﻰ ﻜﻞ ﺸﻴﺊﻘﺪﻴﺭ
Ertinya : Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
“Tiap – tiap sesuatu” bermaksud apa sahaja selagi perkara itu dinamakan mumkin.Telah terdahulu disebutkan bahawa mumkin itu adalah apa sahaja yang boleh menerima ada dan tiada.Tiap – tiap yang boleh menerima ada dan tiada itu mewajibkan keadaannya itu berasal dari ‘tiada’ sejak azali. ‘Ketiadaannya’ sejak azali itu wajib tetapi harus tidak kekal kerana sebagai mumkin ia dapat menerima wujud apabila dikehendakki Allah dan apabila berta’aluk kudrat Allah pada menjadikannya.Hendaklah juga difahami bahawa mustahil kudrat Allah itu berta’aluk kepada yang wujudnya sejak azali iaitu wujud Allah kerana tujuan kudrat itu ialah bertindak mengeluarkan sesuatu yang belum wujud kepada wujud sedangkan zat Allah itu kadim lagi azali yakni sedia wujudnya lagi wajib wujudnya (bukan harus)dan tidak berhajat lagi kepada yang menjadikan yakni yang mengeluarkannya kepada wujud.Begitu juga mustahil kudrat Allah itu berta’aluk bagi mengubah keadaan zat Allah itu kerana sebagai zat yang wajib wujudnya , wujud zat Allah itu wujud yang meliputi lagi maha sempurna dan mustahil menerima perubahan lagi samada perubahan itu dalam bentuk penambahan atau pengurangan atau penafian ketiga– tiganya adalah mustahil dikatakan bagi zat Allah yang suci.Jika zat Allah dapat berubah kepada yang lebih sempurna bererti wujudnya yang dahulu itu kurang sempurna.Maka yang demikian adalah mustahil.Jika zatnya berubah kepada yang kurang sempurna atau daripada wujud kepada penafian wujudnya yakni menjadi tiada maka dengan perubahan ini bererti wujudnya menyamai ketika itu dengan wujud yang harus yakni yang baharu.Ini pun mustahil sepertimana yang telah diketahui pada perbahasan sifat mukhlafatuhu lil hawadis yang lalu.Rasulullah saw bersabda
ﺍﷲ ﺍﻵﻥ ﻛﻣﺎ ﻋﻟﻳﻪﻛﺎﻥ
Ertinya :Allah sekarang adalah seperti Allah dahulu jua.
Yakni tidak menerima sebarang perubahan samasekali kerana wujud Allah itu telah sedia sempurna secara mutlak.Begitu juga kudrat Allah tidak berta’aluk kepada yang mustahil wujudnya seperti mengadakan tuhan – tuhan selain daripada Allah yang mempunyai ketuhanan yang sama denganNya.Sebab , jika kudrat Allah itu berta’aluk kepada yang mustahil wujudnya untuk mengadakan yang mustahil itu , nescaya wujudnya ketika itu tidak lagi dinamakan mustahil.Ini merupakan satu pertukaran pada hakikat mustahil kerana hakikat mustahil ialah sesuatu yang tidak boleh ada samasekali.Jika ditakdirkan wujud juga , maka itu bererti yang dikatakan mustahil itu bukannya mustahil tetapi ialah sesuatu yang harus yang merupakan makhluk bagi Allah dan tidaklah ia bersifat ketuhanan yang menyamai Allah.Kesimpulannya segala sesuatu itu terbahagi kepada tiga perkara sepertimana berikut :-
i)Yang wajib wujudnya iaitu zat Allah – Tidak berta’aluk atasnya oleh kudrat dan iradat Allah.
ii)Yang mustahil wujudnya iaitu tuhan selain Allah dan sebagainya – Ini juga tidak berta’aluk atasnya oleh kudrat dan iradat Allah.
iii)Yang mumkin wujudnya yakni sekelian yang bersifat baharu – Maka hanya inilah yang berta’aluk atasnya oleh kudrat dan iradat Allah tanpa mengira betapa pun keadaan mumkin itu dan berapa banyak sekalipun bilangannya.
Jika ditanya bolehkah Allah dengan kudratnya memasukkan dunia kita ini di dalam sebiji telur.Maka jawabnya , jika yang dimaksudkan oleh orang yang bertanya itu bahawa dibesarkan telur itu hingga terlebih besar dari dunia kita ini , atau dikecilkan dunia kita hingga menjadi lebih kecil dari telur lalu dimasukkan nescaya jawapannya boleh kerana perkara tersebut adalah mumkin yakni harus.Tetapi jika yang dimaksudkan dengan pertanyaan tadi ialah dimasukkan dunia di dalam keadaan besarnya seperti sekarang ke dalam telur yang kecilnya seperti sekarang nescaya tidak boleh berlaku kerana adalah mustahil hukumnya suatu benda yang besar di dalam keadaan besarnya bermasuk – masukan ke dalam benda yang kecil yang di dalam keadaan kecilnya.Ini adalah termasuk di dalam cabang ‘al mumkinat al mutaqabalah’ yang bererti mumkin yang berlawanan di mana tidak harus pada akal dapat berhimpun oleh dua perkara yang berlawanan dan hukumnya mustahil.Adalah maklum bahawa kudrat Allah tidak berta’aluk kepada perkara yang mustahil.Jika dikatakan , bolehkah disifatkan lemah kudrat Allah kerana tidak berta’aluk kepada perkara yang wajib atau mengadakan perkara yang mustahil.Maka jawabnya tidak boleh disifatkan kudrat Allah itu lemah kerana yang demikian itu , sebab memang bukan jalan dan tempat ta’aluknya.Ini samalah seperti mata tidak boleh dikatakan buta jika tidak dapat mendengar dan telinga tidak boleh dikatakan pekak jika tidak dapat melihat kerana memang bukan jalan dan tempatnya.Hendaklah kita mengelak dari menggunakan perkataan atau ungkapan dengan menyebutkan bahawa Allah itu tidak dapat mengadakan yang mustahil atau mentiadakan yang wajib, kerana yang demikian merupakan kesalahan dari segi penggunaan bahasa dan logik sebab sesuatu yang mustahil tidak boleh dinisbatkan kepadanya dapat atau tidak.Sebaliknya hendaklah kita katakan bahawa kudrat Allah itu tidak berta’aluk ke atas yang wajib dan yang mustahil dan ini adalah ketetapan sejak azali.Atas isu inilah sesatnya kaum Nasrani dan yang seumpamanya apabila mereka mengiktikadkan bahawa Isa itu ialah Tuhan yang menjelma menjadi manusia dan menurut mereka Tuhan mampu berbuat demikian dengan alasan Tuhan amat berkuasa melakukan sesuatu termasuklah mengubah dirinya sendiri menjadi manusia.Iktikad seperti ini adalah hasil daripada tidak dapat membezakan antara yang wajib sejak azali, yang harus sejak azali dan yang mustahil sejak azali dan tidak memahami bahawa ta’aluk kudrat Allah itu hanya pada yang harus dan akibat dari ketidakfahaman ini akhirnya menyebabkan mereka menyamakan zat Allah Yang wajibul wujud itu dengan sesuatu yang harus.Jika kudrat Allah boleh berta’aluk kepada zatNya sendiri sepertimana kepercayaan yang mereka dakwakan adakah mereka boleh mempercayai bahawa Allah berkuasa untuk memusnahkan diriNya sendiri hanya dengan alasan Dia berkuasa atas tiap – tiap sesuatu.Iktikad seperti juga adalah terhasil daripada kias (perbandingan) bahawa kuasa yang ada pada makhluk dapat berta’aluk atas diri mereka sendiri seperti dapat menyakiti diri sendiri dengan umpama membunuh diri.Maka kita katakan bahawa kuasa makhluk tidak dapat dibandingkan dengan kuasa Allah kerana kuasa yang ada pada makhluk itu pada hakikatnya adalah kuasa Allah juga.Hanya disandarkan pada makhluk itu majazi (kiasan) semata – mata.Jadi apabila makhluk itu membunuh diri umpamanya pada hakikatnya kuasa Allahlah yang melakukannya.Hanya disandarkan zahirnya makhluk yang melakukan itu secara majazi jua bukan hakikat.Firman Allah
ﻮﻤﺎ ﺮﻤﻴﺕ ﺇﺫﺍ ﺭﻤﻴﺕ ﻮﻠﻛﻦ ﺍﷲ ﺭﻤﻰ
Ertinya :Bukan engkau yang memanah ketika engkau memanah tetapi (pada hakikatnya) Allahlah yang memanah.
“Ungkapan ketika engkau memanah” adalah sebagai isyarat bahawa zahirnya makhluk itu ada perbuatan dan kudrat.Ungkapan “tetapi (hakikatnya) Allahlah yang memanah” adalah sebagai isyarat bahawa pada hakikatnya perbuatan dan kudrat makhluk itu adalah perbuatan dan kudrat Allah jua.Ini bererti tidak ada satu kudrat pun yang berlaku ke atas alam ini baik yang berhubung dengan perkara yang besar atau kecil melainkan pada hakikatnya semuanya dengan kudrat dan iradat Allah.Hanya sanya disandarkan kepada makhluk yang melakukan sesuatu perbuatan dengan zahir dipandang itu , hanyalah sebagai membolehkan makhluk itu menjadi tempat pertanggungjawapan terhadap hukum syarak di mana makhluk itu mendapat pahala dan dosa daripada perbuatan tersebut.Rasulullah saw bersabda
ﻻ ﺘﺗﺣﺭﻙ ﺫﺭﺓ ﺇﻻ ﺑﺈﺫﻥ ﺍﷲ
Ertinya :Tidak bergerak suatu zarah pun melainkan dengan izin Allah.
Ungkapan “tidak bergerak suatu zarah pun” adalah isyarat bahawa zahirnya makhluk itu ada perbuatan.Ungkapan “dengan izin Allah” adalah isyarat bahawa pada hakikatnya bahawa Allahlah yang menggerakkan perbuatan makhluk.Maksud dari semua itu adalah untuk menerangkan bahawa makhluk hanya ada kudrat pada zahirnya sahaja adapun pada hakikatnya mereka tidak punya suatu kudrat pun dan kudrat yang zahir pada mereka itu hakikatnya adalah kudrat Allah.Oleh itu kesimpulannya perbandingan kuasa Allah disamakan dengan kuasa makhluk adalah hasil dari idea syirik bahawa makhluk itu mempunyai kuasanya sendiri dan bukan dari kuasa Allah.Semoga Allah melindungi kita daripada kepercayaan yang seumpama ini.Amin ya Rabbal alamin.
3)Bahagian ta’aluk sifat kudrat
Bahagian ta’aluk sifat kudrat secara kasarnya terbahagi kepada tiga bahagian :-
i)Ta’aluk soluhi kadim.
Ertinya patut dan layak sejak azali Allah Taala mengadakan mumkin.Pada peringkat ini , mumkin belum ada.Tetapi sekelian mumkin itu tetap dalam ta’aluk kudrat sebagai ta’aluk soluhi yakni patut dan layak bagi kudrat Allah jika hendak mengadakannya nescaya boleh ada.
ii)Ta’aluk tanjizi hadith
Ertinya ta’aluk kudrat Allah ke atas mumkin pada waktu mumkin itu diadakan.Peringkat ini ialah peringkat sampai masa dan ketikanya mumkin itu dijadikan maka berta’aluklah kudrat Allah pada menjadikannya sebagai ta’aluk tanjizi hadith.
iii)Ta’aluk qabdhah.
Ertinya dalam genggaman.Yakni mumkin yang telah dijadikan itu sentiasa di dalam genggaman kudrat Allah samada akan dikekalkan wujudnya atau ditiadakan bergantung kepada ketetapan iradat (kehendak) dan ilmu (pengetahuan Allah).

No comments: