Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Wednesday, March 4, 2015

Dakyah Wahabi berjaya menarik ramai pengikut kerana slogan menarik mereka yang menyeru konon-kononnya

SIAPAKAH WAHABI?

Wahabi bukan kerana mereka tidak membaca Qunut Subuh lalu mereka dipanggil Wahabi, kerana tiga Mazhab ASWJ lain tidak pun membaca Qunut Subuh, itu perbezaan pandangan (khilafiyah) di kalangan para Imam Mazhab Empat; bukan juga kerana tidak membuat kenduri arwah kerana ada satu qawl dalam mazhab shafie yg tidak menggalakkannya, bukan juga kerana itu dan ini tetapi Wahabi adalah satu cara berfikir yang salah yang membentuk satu gerakan ekstrem yang boleh memecahbelah masyarakat. Kemuncak ekstrem dan radikal Wahabisme boleh sehingga membawa pertumpahan darah seperti IS,ISIL, ISIS, al-Qaeda, Taliban...semua itu adalah didikan Wahabi.

Dakyah Wahabi berjaya menarik ramai pengikut kerana slogan menarik mereka yang menyeru konon-kononnya:

-- jangan "taqlid"
-- jangan "mengikut membuta tuli"
-- jangan "taksub Mazhab"
-- "kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah"
dan banyak lagi...

[1] Wahabi sebenarnya adalah gerakan MEMBIDAAHKAN amalan orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka dan merasakan hanya amalan mereka sahaja yang betul. Hanya mereka sahaja kononnya mengikut "Sunnah". Mereka kelompok manusia yang tidak boleh berbeza pandangan, tidak menghormati ikhtilaf atau khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ulamak). Wahabi menolak bahawa Bid'aah ada dua bentuk (i) Baik (Hasanah) dan (ii) Sesat (Dolalah). Bagi Wahabi semua Bid'aah sesat dan masuk neraka. Oleh itu setiap Bid'aah adalah mungkar dan bagi mereka wajib ditentang. Lalu mereka menentang semua Bid'aah walaupun Bid'aah Hasanah, mereka membesarkan perbezaan pendapat dan membikin kecoh seantero dunia tanpa boleh berlapang dada.
Pra-syarat menjadi Wahabi nampaknya macam kena memperbanyak menuturkan "BID'AAH" terhadap amalan orang lain dan menjadikan ianya "wirid" harian.

[2] Wahabi MELARANG BERAMAL apabila tiada nas khusus untuk amalan tersebut walaupun di sana ada perintah umum daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Bagi Wahabi setiap ibadat kena ada nas dan dalil, walhal perintah yang bersifat umum sudah ada namun mereka menolaknya. Wahabi marah membaca Surah Yasin malam Jumaat kerana tiada nas. Bukankah perintah memperbanyakkan membaca al-Quran sudah cukup banyak dan memadai? Adakah nas melarang membaca Yasin malam Jumaat? Tiada larangan. Lalu apa salahnya membaca?

[3] Wahabi adalah gerakan MENSYIRIKKAN orang lain: tawassul bagi mereka syirik kecuali tawassul dengan amalan soleh, dan dengan Asmaul Husna saja. Walhal para Sahabat dan Salafus Soleh bertawassul dengan pelbagai bentuk lain;

[4] Wahabi gerakan MENTAJSIMKAN Allah SWT mensifatkan Allah "bertangan", "duduk" atas Arasy, "ketawa", "Allah di atas langit" dan lain-lain. Wahabi menolak takwil yang dibawa oleh manhaj Asha'irah dan Maturidiyyah sedangkan manhaj Asha'irah itu lebih selamat daripada mensifatkan Allah dengan sifat makhluk.

[5] Wahabi juga gerakan MENTADHA'IFKAN hadith dan MEMARDUDKAN hadith dhaif, menolak penggunaan hadith-hadith dhaif dan membakulsampahkan semua hadith-hadith dhaif. Sedangkan sejak seribu tahun lebih para ulama hadith membenarkan penggunaan hadith dhaif dalam hal fadhailul 'amal dan targhib wa tarhib. Kiblat rujukan hadith Wahabi ialah Sheikh Nasruddin Al-Albani. Mereka tidak sedar mereka bertaqlid dan mengikut membuta tuli apa sahaja takhrij hadith oleh al-Albani. Ulama rujukan Wahabi pula ialah sekalian "kibarul ulama" Saudi hari ini manakala kitab-kitab rujukan Wahabi ialah kitab karangan Muhammad Abdul Wahab. Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga apabila didatangkan hujah daripada para ulamak lain yang muktabar namun tidak sealiran dengan mereka.

[6] Wahabi gerakan MEMBURUKKAN ahli Sufi dan Tasawuf. Mereka secara terpilih memetik yang mana sesuai dengan fikrah mereka kitab-kitab Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Al-Dhahabi, al-Syawkani khususnya di bab memburuk dan mencemuh para Sufi kerana Wahabi gerakan anti-Sufi. Walhal Ibn Taymiyyah sendiri adalah pengikut tarekat Qadiriyyah. Wahabi Malaysia ada yang mengatakan tasawuf lebih kotor dan jijik daripada air longkang. Sedangkan Sufi ada yang baik dan ada yang sesat sepertimana umat Islam yang lain juga amnya: ada yang Soleh, ada Munafik dan ada yang berdosa. Sufi juga tidak maksum. Bahkan Imam Ghazali RA sendiri turut mengkritik "Sufi palsu" walaupun beliau sendiri seorang ahli Sufi.

[7] Wahabi MENOLAK Imam al-Ghazali RA dan amat jarang sekali kita mendengar mereka mengutip kalam Imam al-Ghazali RA. Bagi mereka Imam al-Ghazali RA Hujjatul Islam itu jahil hadith dan Sufi.

[8] Wahabi TIDAK BERPEGANG KEPADA MAZHAB. Kata mereka zaman Nabi SAW mana ada mazhab. Mereka mendakwa berpegang terus kepada "Al-Quran dan As-Sunnah". Lalu kita bertanya Empat Mazhab ASWJ itu berpegang kepada apa jika bukan kepada al-Qur'an dan Al-Sunnah?

Itulah antara ciri-ciri utama Wahabi (masih banyak lagi) dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam. Sandaran ilmiah bukan tempatnya di ruangan terbatas ini dan boleh dirujuk buku-buku yang banyak berada di pasaran. Ini hanyalah sekadar panduan umum untuk orang awam yang ringkas dan pantas bagi mengenali Wahabi agar tiada lagi yang terkeliru dengan suara-suara membela Wahabi dan mahukan penjelasan "Siapakah Wahabi" sebenarnya.

Pendokong Wahabi malu mengaku diri mereka Wahabi kerana nama Wahabi begitu jijik apabila mereka melakukan kekejaman membunuh orang yang tidak sealiran mereka sejak dahulu lagi. Mereka malu mengaku Wahabi lalu mendakwa mereka kononnya mengikut manhaj Salafus Soleh, merekalah kononnya "SALAFI". Hari ini jangan dicari orang yang mengaku Wahabi, tiada akan anda temui, namun ciri-ciri Wahabi di atas ada pada mereka walaupun mereka cuba berselindung atas pelbagai nama lain.

Ada ketikanya mereka cuba menyembunyikan punca kenapa mereka digelar Wahabi, kononnya Wahabi itu "hantu", "momok" dan tidak wujud. Kenal dulu ciri-ciri Wahabi maka tahulah anda siapa pendokong mereka dan adakah Wahabi wujud di kawasan anda atau hanya sekadar "hantu".

Kalau ada yang melenting apabila Majlis Fatwa Negeri Sembilan mengharamkan penyebaran ajaran Wahabi, maka hampir pasti merekalah sebenarnya pendokong tegar Wahabi (yang malu mengaku). Hati-hati dengan mereka ini walaupun petah berbicara dan mulut penuh dengan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith. Ada Wahabi Malaysia yang sangat terkenal dan bicara memukau sehingga ramai orang awam tertipu. Ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith ditafsir mengikut kesesuaian fikrah mereka. Mereka mengajar kitab-kitab imam-imam Ahlu Sunnah wal Jamaah, misalnya kitab Hadith Empat Puluh Imam Nawawi RA, tetapi menafsirkan atau mensyarahkan mengikut fikrah Wahabi mereka.
Dengan pengharaman Wahabi di Negeri Sembilan dan Perak, moga-moga makin ramai yang sedar dan makin jelas siapa pendokong Wahabi sebenar yang bertopeng dan begitu licik selama ini. Jangan terkejut jika ustaz yang anda kagumi selama ini itu sebenarnya mungkin pendokong Wahabi. Kita mengharapkan semua negeri-negeri lain akan turut sama mengharamkan penyebaran faham Wahabisme ini kerana mereka memecahbelah dan menimbul keresahan masyarakat.

Apabila kita mengetahui manhaj benar ASWJ, maka senanglah kita memahami kebatilan fikrah yang lain. Kenali kebenaran itu dahulu, maka kamu akan kenal ahli-ahlinya seperti ungkapan Sayyidina Ali RA:

لا يعرف الحق بالرجال اعرف الحق تعرف اهله

Dengan kaedah yang sama, kenal dulu ciri-ciri Wahabi maka tahulah anda siapa pendokong mereka.

Moga-moga Allah SWT membimbing kita semua dan mereka mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang diredhaiNya dan mempersatukan umat Islam yang semakin parah berpecah. Amin.
Wallahu'alam

No comments: