KITA PERLU KENALI DUNIA AGAR KITA TIDAK TERTIPU DENGANNYA
Posted: July 19, 2012 in Uncategorized
Saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat mengenal dunia agar kita tidak tertipu dengannya.
Allah SWT pernah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”(Surah Al-Ankabut 64).
Ketika saya bertemu dengan anak-anak muda dalam setiap usrah santai anak muda yang saya hadiri, pasti saya akan menyentuh skitar perbicaraan berkenaan apa ertinya kita hidup di atas muka bumi ini.
Sidang pembaca, semasa hidup di dunia inilah kita dapat menilai dengan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Apakah bekalan yang kita akan bawa ke negeri akhirat yang kekal abadi. Apakah kita bakal mendapat rahmat atau azab di alam barzakh dan di alam akhirat nanti. Jika kita termasuk di dalam golongan yang mendapat azab, maka tidak berguna sesalan di waktu itu. Walaupun kita menangis mengeluarkan air mata darah sekalipun, kita tidak lagi akan diberi peluang hidup kembali ke alam dunia ini.
Oleh itu, sepatutnya kita sentiasa mengingati mati, kerana Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:- Ertinya: Perbanyakan olehmu mengingati perkara yang memutuskan kesedapan iaitu mati.
Nabi Muhammad S.A.W mengingatkan kita supaya jangan kita lalai dengan kesedapan dunia sehingga kita lupakan mati. Mati itu akan memutuskan segala kelazatan dunia. Jika kita lupakan mati, kita juga akan lupakan persiapan dan bekalan yang akan kita bawa sesudah mati. Mengingati mati adalah di antara ubat yang mujarab untuk kita sentiasa dalam keadaan bermuhasabah diri dan bersedia untuk mencari bekalan untuk dimanfaatkan sesudah mati.
Mengingati mati juga akan menjadikan kita tidak tamakkan dunia dan haloba di atas mengumpulkannya. Serta kita boleh pendekkan angan-angan untuk meluaskan kekayaan diri dan boleh memendekkan cita-cita untuk mengejarkan segala perkara yang boleh mendatangkan lalai kepada perintah Allah SWT. Juga agar tidak dihinggapi penyakit cintakan dunia ke dalam hati kita.
KITA PERLU KENALI DUNIA AGAR KITA TIDAK TERTIPU DENGANNYA
Dunia itu ialah sesuatu yang tidak ada manfaat di akhirat. Adalah seorang yang amat rugi sekiranya anggota zahirnya bergelumang dengan dunia tetapi dia menyangka dunia itu tidak memberikan kesan kepada hatinya. Orang yang menyangka seperti demikian itu adalah orang yang tertipu walaupun dia beramal dengan amalan apa sekalipun. Walaupun kita sering kali tertewas di dalam peperangan melawan nafsu, tetapi kita mesti memahami bahawa setiap perkara maksiat itu akan mengelapkan hati.
Kita mestilah menerima hakikat ini walaupun ia terkena pada diri kita sekalipun. Jatuh bangun di dalam perjalanan adalah satu lumrah kepada orang-orang yang berjalan menunju akhirat. Janganlah kita merasa ujub dengan amalan sendiri tetapi terimalah hakikat bahawa kita hanyalah makhluk yang tidak dapat tidak mesti bergantung harap kepada Al Khalik, iaitu Allah SWT . Nabi Muhammad S.A.W bersabda:-
Ertinya:- Jikalau dunia itu menyamai di sisi Allah SWT dengan sebelah sayap nyamuk, nescaya tidak akan diberi minum orang – orang kafir walau seteguk air.
Hadis ini telah menggambarkan betapa hinanya dunia ini di sisi Allah SWT, Sesiapa yang mengambil sekadar hajat untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah SWT , maka dia tidak tertipu dengan dunia dan barangsiapa yang mengambilnya berlebih-lebihan dengan kadar hajatnya sehingga ia lalai daripada beribadat kepada Allah SWT maka dia adalah orang yang tertipu dengan dunia.
Dunia ini terlalu memperdayakan manusia kerana elok rupa zahirnya. Tidaklah para anbia’ dan aulia’ bergantung dengan dunia melainkan sekadar menolong mereka untuk beribadah kepada Allah SWT.
Marilah sedaya upaya kita berusaha untuk mencontohi kehidupan para anbia’ dan aulia’ yang mana mereka itu menjadikan dunia hanyalah sebagai alat bukanya matlamat. Oleh sebab itu, kita perlu sedar bahawa di hujung kehidupan ini adalah kematian. Kematian yang entah bila akan muncul. Jika kita sentiasa sedar bahawa di hujung kehidupan ini adalah kematian, kita tidak akan menjadi orang yang terlalu sibuk menghimpunkan harta dan tidak terlalu tamak terhadap dunia.
Ingatlah empat perkara-perkara menjadi racun pembunuh dan Ingatlah ubat-ubatnya
Sesungguhnya :
1. Dunia itu racun yang membunuh, zuhud itulah ubatnya.
2. Harta itu racun yang membunuh, zakat itu adalah ubatnya.
3. Berkata-berkata yang sia-sia itu racun yang membunuh, taat itulah ubatnya.
4. Sekalian tahun itu racun yang membunuh, bulan Ramadhan itulah ubatnya.
Jika kita dapat menggunakan ubat ubat itu dengan baik maka kita akan berjaya melepaskan diri daripada racun- racun yang membunuh itu.
Bisa racun- racun itu merosakkan jiwa dan seterusnya akan membunuhnya. Sehingga hati menjadi mati. Apabila hati sudah mati maka kebenaran dan kebatilan adalah sama sahaja di sisinya. Sudah tidak ada bezanya di antara dosa dan pahala yang penting memuaskan nafsu syahwat. Inilah di antara gambaran dunia yang fana ini. Moga-moga Allah SWT mencampakkan ke dalam hati kita sifat zuhud. Agar tidak terpedaya dengan godaan dunia.
Para Ulama’ menyatakan jika kita ada di rumah, biarlah rumah di atas tapaknya tidak masuk ke dalam hati. Kalau kita ada kereta, biarlah kereta itu ada di bangsalnya tidak dapat masuk ke dalam hati. Kalau kita ada harta biarlah harta itu di tempatnya dan tidak masuk ke dalam hati.
Itulah zuhud pada maknanya, orang-orang berharta juga boleh berzuhud dengan dunia, maka zuhud itu masalah hati. Semoga Allah SWT membimbing kita di dalam menjalani kehidupan di akhirat.
KITA PERLU SABAR MENGHADAPI UJIAN DUNIA
Sebelum kita menemui kematian kita akan tempuhi pelbagai ujian dan dugaan di dalam dunia ini. Dunia ini adalah tempat ujian . Tidak ada manusia yang tidak menempuhnya. Maka sabar adalah senjata utama menghadapi segala ujian di dunia ini. Semoga Allah SWT menjadikan kita dari kalangan hambaNya yang sabar.
Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada sesuatu yang tidak disukai seperti ditimpa musibah. Sabar juga adalah dapat menahan lidah dari mengadu sesuatu kesusahan kepada orang lain terlebih dahulu sebelum mengadu kepada Allah SWT. Di antara penghalang kepada seseorang untuk bersabar adalah sifat besar diri atau ego. Orang yang bersifat ego ini tidak akan mampu untuk menahan sabar, Contohnya seorang yang berjawatan tinggi, apabila kedudukannya diganti oleh orang lain, dia tidak boleh menerimanya kerana menganggap dirinya lebih layak. Maka dia tidak akan mampu bersabar.
Sayyidina Ali R.A menyatakan bersabar itu ada tiga jenis :
Pertama : sabar di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Kedua : sabar menahan diri daripada melakukan maksiat.
Ketiga : sabar ketika menerima musibah.
Sesiapa yang sabar di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT . Maka Allah SWT akan memberikan kepadanya seratus darjat yang mana setiap darjat jauhnya antara langit dan bumi. Demikian jugalah sabar dalam meninggalkan maksiat. Sesiapa yang bersabar ketika menerima musibah maka Allah SWT akan mengurniakannya pahala yang tidak terhitung. Semua kurniaan ini akan kita dapati di akhirat kelak.
Biarlah kita susah sedikit di dunia ini, bersabar sedaya upaya yang mampu, kerana kita tidak akan mampu bersabar dengan azab Allah SWT di dalam kubur dan alam akhirat. Sungguh penting sekali sifat sabar bagi kita yang sedang berjalan ke alam akhirat, kerana di dalam perjalanan ini kita akan berdepan dengan ranjau dan duri serta halangan-halangan yang boleh merosakkan diri dan jiwa kita. Bersama-samalah kita memohon pertolongan Allah SWT.
Semoga segala panduan di atas dapat kita amalkan dan yang paling utama, jangan kita lupa untuk meminta pada Allah agar dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat kita. Semoga Allah bersama kita sentiasa.
Saya mendoakan agar kita semua terus diberi hidayah dari Allah SWT, agar dapat kita menjadi pemuda yang dicintai Allah SWT.
InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.
https://mhafezsabri.wordpress.com/2012/07/19/kita-perlu-kenali-dunia-agar-kita-tidak-tertipu-dengannya/
No comments:
Post a Comment