Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Sunday, October 30, 2016

AQIDAH SALAF AL-IMAM AL-TOBARI AQIDAH AHLIS-SUNNAH WAL-JAMA'AH BUKAN SEBAGAIMANA DISELEWENGKAN

AQIDAH SALAF AL-IMAM AL-TOBARI AQIDAH AHLIS-SUNNAH WAL-JAMA'AH BUKAN SEBAGAIMANA DISELEWENGKAN

Al-Imam al-Tobari adalah tokoh Ahlus-Sunnah wal-Jama'ah yang agung, tidak seperti dicanangkan oleh golongan al-Musyabbihah. Beliau tidak menjisimkan Allah taala dengan makhlukNya, tidak menyandarkan anggota badan kepada Allah, menyakini Allah taala maha suci daripada, tempat, arah, gerak dan diam, dan sebagainya daripada sifat-sifat makhluk.

Hal tersebut jelas jika diamati betul-betul dalam perbahasan berikut :

1.  Al-Imam Abu Ja'far Muhammad bin Jarir al-Tobari (w. 310 H) menyebut di dalam kitabnya Jami'ul-Bayan (Darul-Fikr, jil. 1 hlm. 191-192) bahawa istiwa pada pertuturan orang Arab hendaklah dipalingkan maknanya kepada beberapa makna yang antaranya ihtiraz (Arasy di bawah milikan Allah), istila’(menguasai). Kemudian dia telah mentakwilkan firman Allah ta'ala : “ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاء” katanya:

*"علا عليها علو ملك وسلطان لا علو انتقال وزوال"*. اهـ

Maksudnya: “Dia meninggi ke atas Arasy sebagai tingginya kekuasaan, bukan tinggi perpindahan dan tidak disifatkan berpindah".

Penjelasan al-Tobari ini jelas mentanzihkan Allah dari arah dan tempat, dari sifat menetap, duduk, bersetentangan dan apa jua sifat makhluk. Juga kita lihat beliau jelas mentakwilkan ayat mutasyabihat tersebut tidak sebagaimana yang disebut oleh golongan al-Musyabbihah.

2. Al-Tobari berkata dalam mentafsirkan ayat al-Kursi (jld 3 hlm. 13); firman Allah "العلي" bermaksud “Yang mempunyai ketinggian di atas hamba-Nya dengan kekuasaan-Nya.

Begitu juga firman Allah "العظيم" iaitu yang mempunyai keagungan yang besar. Semua selainnya tidak sampai ke tahap itu. Tiada sesuatupun yang lebih agung daripada-Nya.

Kata beliau lagi dalam (jld 27, hlm. 215): "هو الاول" [Surah al-Hadid] Dialah yang tanpa permulaan sebelum sesuatu tanpa ada sebarang batasan saiz". Intaha.

Kemudian berkata: "Maka tiada suatupun yang mengetahui tentang suatu yang lain lebih daripada-Nya". Intaha.

3.  Al-Imam al-Tobari berkata dalam muqaddimah Tarikh al-Rusul wal-Muluk_oleh Abu Ja'far al-Tobari (jld 1, hlm. 3) mengenai Allah ta'ala:

*"لا تحيط به الأوهام، ولا تحويه الأقطار، ولا تدركه الأبصار"*.اهـ

Bermaksud: "Allah tidak diketahui dengan waham, tidak diliputi oleh kawasan (tempat), tidak boleh dicapai oleh penglihatan (iaitu sesungguhnya penglihatan tidak dapat mengetahui tentang hakikat Allah)". Intaha.

Dan dia berkata lagi (hlm. 28):

*"ومن لا يجوز عليه الاجتماع والافتراق، وهو الواحد القادر الجامع بين المختلفات، الذي لا يشبهه شىء، وهو على كل شىء قدير"*. اهـ

Bermaksud: "Dan tidak harus ke atas-Nya berhimpun dan berpisah, dan Dialah yang maha esa, maha berkuasa, yang menghimpun perkara-perkara yang berbeza, yang tiada suatupun menyerupai-Nya, dan Dialah yang berkuasa ke atas setiap sesuatu". Intaha.

Abu Bakr al-Razi (wafat selepas tahun 691 H) berkata dalam kitabnya _Mukhtarus-Sihhah_ pada bab huruf "qof" (Maktabah Lubnan, hlm. 226):

*"والقُطْرُ بالضم الناحية والجانب وجمعه أقْطَار"*. اهـ

Maksudnya: "al-Qutr -huruf qof dibaris hadapankan- bermakna kawasan dan sudut serta kata jamaknya ialah أقطار". Intaha.

4. Ibn 'Atiyyah al-Andalusi (w. 541 H) dalam kitab tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz (Dar Ibn Hazm, hlm. 70) menyebut:

*"قال قوم معناه: علا دون تكييف ولا تحديد، وهذا اختيار الطبري، والتقدير: علا أمره وقدرته وسلطانه"*. اهـ

Maksudnya: "Satu golongan berkata tentang maknanya: Allah tertinggi martabat-Nya tanpa takyif (berkuasa tanpa disifatkan dengan apa jua sifat makhluk) dan tanpa sebarang penentuan. Inilah pendapat yang dipilih oleh al-Tobari. Dengan kata lain; "Tertinggi perintahnya, kekuasaannya dan pemerintahannya".

5. Al-Hafiz al-Suyuti (w. 911 H) dalam kitabnya Tahzir al-Khawwas Min Ahadith al-Qassos (manuskrip, hlm. 15):

*"وفي بعض المجاميع أن قاصا جلس ببغداد فروى في تفسير قوله تعالى [عَسَى أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا] أنه يجلسه معه على عرشه فبلغ ذلك الإمام محمد بن جرير الطبري فاحتد من ذلك وبالغ في انكاره وكتب على باب داره (سبحان من ليس له أنيس ** *ولا له في عرشه جليس)"* اهـ

"Ada di sesetengah himpunan cerita menyebut bahawa tukang cerita duduk di Baghdad lalu dia meriwayatkan bahawa Allah duduk bersamanya di atas Arasy ketika mentafsir firman Allah ta'ala ini:

*عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا*

Perkara ini sampai ke pengetahuan *al-Imam Muhammad ibn Jarir al-Tobari*, maka beliau mengeraskan perkataannya kerana marah lantaran perkara tersebut dan beliau mengingkarinya dengan tegas serta beliau menulis di atas pintu rumahnya:

*سبحان من ليس له أنيس* *** *ولا له في عرشه جليس*

"Maha suci Tuhan yang tiada bagi-Nya teman *** dan tidak duduk atas Arasy dengan suatu".

6. Ketika menceritakan biodata al-Imam Muhammad ibn Jarir al-Tobari syaikh bagi para mufassirin, Yaqut al-Hamawi (w. 626H) telah menyebut dalam kitabnya Mu'jam al-Udaba', (Dar al-Gharb al-Islami, jil. 6, hlm. 2450) bahawa al-Imam al-Tobari berkata:

*إن الإمام الطبري قال: وأما حديث الجلوس على العرش فمحال، ثم أنشد:  سبحان من ليس له أنيس *** ولا له في عرشه جليس"* اهـ.

"Adapun hadith tentang duduk di atas Arsy itu maka ia adalah mustahil. Kemudian dia menyebut sebuah bait puisi Arab:

*سبحان من ليس له أنيس *** ولا له في عرشه جليس*

"Maha suci Tuhan yang tiada bagi-Nya teman *** dan tidak duduk atas Arasy dengan suatu". Intaha.

7. Adapun al-Dhahabi yang golongan mujassimah suka merujuk kepadanya, beliau telah menyebut di dalam kitabnya al-'Uluww(jil. 1, hlm. 170):

*"فأما قضية قعود نبينا على العرش فلم يثبت في ذلك نص بل في الباب حديث واه"*

“Adapun masalah duduknya Nabi kita di atas Arasy, maka ia tidak ada sebarang nas pun yang thabit pada perkara tersebut bahkan dalam bab ini ada hadith yang *wāhin* (hadith yang lemah)”.Intaha.

Katanya lagi (jil. 1, hlm. 131):

*"ويروى مرفوعا وهو باطل"*.اهـ

”Diriwayatkan hadith secara marfu' dan ia adalah batil”. Intaha.

*Kesimpulan*

Berdasarkan perkara tersebut, jelas kepada kita  bahawa akidah al-Tobari adalah sebagaimana imam-imam yang lain, tidak bercanggah dengan akidah majoriti umat Islam dalam kalangan Ahlis Sunnah Wal Jamaah sama ada al-Asyairah atau al-Maturidiyyah.

✒Disediakan oleh :
Kajian Ilmiah Ahlis-Sunnah (KIAS)

والله اعلم واحكم

No comments: