Perbahasan yang lanjut dinyatakan dalam banyak kitab lama, perbahasan sifat 20 memerlukan kemahiran guru yang benar-benar ahli dan mursyid, jika tidak dikhuatiri akan berlaku penyelewengan oleh golongan tidak bertanggungjawab.
Pernah menjadi isu apabila golongan 'pak wahab' menolak sistem pengajian sifat 20 ini kerana tidak terdapat dalam nas al-Quran dan tidak pula Nabi SAW menggunakan sifat 20 bagi mengajar sahabat.
Ya! Betul bukan sifat 20 ini daripada Nabi SAW tetapi perlu difahami pemahaman Nabi SAW dan sahabat amat kukuh dan tidak perlu kepada pengajian sifat 20 ini, hal ini berbeza kerana pemahaman masyarakat zaman Nabi SAW dengan pemahaman masyarakat zaman kita ini. Selayaknya ulama menyusun kaedah bagi memudahkan masyarakat memahami apa itu agama bukan bermakna ulama mereka-reka agama.
Sifat 20 juga bukanlah berasal daripada Imam Abu Hassan Asy'ari iaitu pemula pemahaman asya'irah tetapi sifat 20 adalah kesinambungan daripada perbahasan tauhid Imam Asy'ari melalui penyusun pengajian sifat 20 iaitu Imam Sanusi dalam kitabnya Umm- Al-Barahin.
Imam Sanusi mengambil perbahasan tauhid oleh Imam Abu Hassan Asy'ari dan Abu Mansur Al-Maturidi lalu dimuatkan dalam kitab tersebut sebagai suatu khulasoh ataupun ringkasan daripada perbahasan yang lalu.
Maka di situ bermula peranan sifat 20 bagi menolak segala dakwaan yang batil seperti contoh:-
1) Golongan mujassimah mendakwa ALLAH itu duduk atas 'Arasy dengan maksud ALLAH perlu kepada 'Arasy seperti manusia perlu kepada tempat tinggal. Ini adalah dakwaan batil dan menyalahi bagi sifat ALLAH.
Lalu dijawab dengan sifat 20 yang menyatakan sifat salbiah ALLAH iaitu (qiyamuhu binafsihi) kata almarhum tuan guru Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir Al-Fathoni atau dikenali Pak Da 'Eil melalui tulisannya yang masyhur iaitu Bakuroh Al-Amani mentafsirkan (qiyamuhu binafsihi) dengan maksud ada ALLAH sendiri-sendiri atau sebahagian anak muridnya menyatakan ALLAH ada dengan sendiri-Nya atau kata sebahagian ulama jawi yang lain ada ALLAH dengan cara-Nya tersendiri.
Maka apakah yang dimaksudkan bagi kita sebagai orang awam bagi memahami maksud qiyamuhu binafsihi maka maksudnya ALLAH itu ada dengan cara-Nya tersendiri bermakna ALLAH itu tidak berhajat atau berharap kepada apa-apa pun kerana Dia adalah ALLAH adalah Tuhan yang sempurna tiada sebarang zarah kecacatan yang kecil mahupun besar pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya.
Maka terjawab dakwaan golongan mujassimah tadi yang mengatakan ALLAH itu perlu kepada sesuatu. Begitulah peranan sifat 20 dalam menolak hujah dan dakwaan yang batil.
2. Golongan musyabihah menggambarkan Tuhan itu seperti berjisim iaitu mempunyai tubuh, tangan, dan lain-lain lalu dijawab dengan sifat 20 melalui istilah mukholafah lil hahawadis iaitu bersalahan ALLAH akan yang baharu iaitu tidak sama ALLAH itu dengan makhluk.
Maka kata ulama, ALLAH itu bukan jirim yakni atom partikel dan bukan jua berjisim seperti jasad yang bertangan dan berkaki bukan jua arodh yakni sifat yang ada pada makhluk seperti kurus, tinggi dan sebagainya. Ternafi bagi ALLAH daripada menyerupai dengan makhluk.
Kata ulama lagi bagi kita memahami hakikat mukholafah lil hawadis ini adalah dengan tidak beranggapan ALLAH itu sekian-sekian biarpun dibayangkan sekalipun ALLAH bukan seperti yang dibayangkan oleh akal.
Demikian peranan pengajian sifat 20 dalam menyanggah dakwaan batil. Tetapi timbul pula isu ketidakrelevanan pengajian sifat 20 ini dengan beranggapan ALLAH itu bersifat dengan 20 sifat sahaja. Pernyataan ini adalah salah sama sekali kalau diteliti kalam-kalam dan tulisan ulama seperti Umm-Albarohin dan Kitab Bakuroh Al-Amani oleh Pak Da 'Eil itu sendiri, kesemuanya menyatakan ALLAH itu bersifat dengan sifat kamaliah iaitu bersifat dengan seluruh sifat kesempurnaan.
Tetapi pengajian sifat 20 ini adalah sebagai pemula ilmu tauhid dengan menyatakan sifat wajib bagi ALLAH sebagai syarat ketuhanan dan wajib diketahui sebagai Muslim.
Perlu diketahui sifat 20 membahaskan mengenai zat ALLAH dan 20 sifat ini wajib diketahui (ia sebagai syarat ketuhanan). Manakala Asma'ul Husna pula membicarakan sifat ALLAH pada af'al (perbuatan). Sifat af'al ini jika ALLAH bersifat dengan salah satu sifat tersebut akan ternafi sifat yang lawan dengan asalnya.
Contoh ALLAH bersifat dengan al-Muhyi (yang menghidupkan) maka ternafi al-Mumit (yang mematikan). Apabila ALLAH bersifat dengan sifat yang menghidupkan maka hilang sifat yang mematikan.
Namun apabila ALLAH bersifat dengan al-Mumit (yang mematikan) maka ternafi (al-Muhyi) Apabila ALLAH bersifat dengan sifat yang mematikan maka hilang sifat menghidupkan. Demikian perbahasan ulama dan mutakallimin bagi membicarakan kedudukan sifat 20 sebagai sifat zat atau syart al-uluhiyyah (syarat ketuhanan) dan Asma'ul Husna sebagai sifat af'alullah (sifat perbuatan ALLAH)
Bagi mengenali Tuhan adalah melalui jalan pengajian tradisionalis atau fundamentalis kerana pengajian seperti ini bersambungan dari bawah hingga ke atas dengan kaedah talaqqi dan bersemuka dengan tok guru serta mendapat berkat dan rahmat ALLAH.
Justeru, perlulah dipertahankan sistem pengajian ini bagi menjadi benteng akidah ahli sunnah wal-jamaah. Mudah-mudahan ALLAH memberi kita ruang untuk mempelajari dan memahami agama-Nya dengan jalan yang diredai-Nya.
Kaedah: "Jahil mengenai sifat (ALLAH) membawa kepada jahil dengan yang mempunyai sifat (ALLAH), sesiapa yang tidak mengenal sifat ALLAH, tidak mengenal ALLAH."
RUJUKAN:
RUJUKAN:
1. Al-Hafiz Al-Bayhaqi (1959), op.cit., h. 15, 21 dan 22; Abu Mansur Abdul Qahir Al-Baghdadi (1981), Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah, h. 122-125
2. Hasan al-Ayyub (2003), Tabsit al-`Aqaid al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Salam, h. 17
3. Lihat pernyataan Hujjatul Islam mam al-Ghazali tentang tujuan mempelajari ilmu kalam menerusi kitabnya al-Munqidz min al-Dhalal, lihat al-Ghazzali (1998), al-Munqidz min al-Dhalal, Abdul Halim Mahmud (ed.), Kaherah: Dar al-Ma`arif, h. 36
No comments:
Post a Comment