Campur Aduk Antara Mazhab
Salam
1) Bolehkah kita mencampur aduk mazhab seperti contohnya, kita ambil wuduk cara syafei, batal wuduk cara hanafi dll.
2) bolehkah kita mengambil pendapat yang paling mudah dalam semua masalah sehingga tercampur semua pendapat2 mazhab.
_________________
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
1) Seseorang muqallid yang mencampur aduk pendapat beberapa mazhab dalam satu masalah yang mempunyai beberapa cabang yang berkait, dinamakan sebagai talfiq.
Majmak Feqah Islamiy dalam persidangannya pada tahun 1414H di Brunei, membuat ketetapan bahawa talfiq dilarang dalam situasi berikut:
- untuk mengambil pendapat yang mudah semata-mata kerana hawa nafsu, atau menyebabkan terabai prinsip yang digariskan untuk mengamalkan rukhsah.
- menyebabkan ia berlawanan dengan hukum qadha'.
- menyebabkan berlawanan dengan suatu yang telah diamalkan secara taqlid, dalam satu-satu kes.
- menyebabkan berlawanan dengan ijmak.
- menyebabkan terjadinya satu keadaan campur aduk yang tidak pernah dipersetujui oleh mana-mana mujtahid pun.
Adapun mengikut beberapa mazhab kerana melihat kepada kekuatan dalil, dengan tidak membawa kepada talfiq, bukan satu kesalahan.
2- Berkenaan mengambil pendapat yang paling mudah dalam semua masalah, ia jelas ditegah.
Dalam kitab 'Jamik Bayan al-Ilm Wa Fadhlih' karya Ibn Abdil Barr, dinukilkan kata-kata Sulaiman al-Taimiy, "Jika kamu mengambil pendapat mudah dari setiap orang alim, maka terhimpunlah segala keburukan pada kamu". (2/91).
Kemudian, Ibn Abdil Barr membuat komentar, "Perkara ini adalah ijmak yang aku tidak mengetahui ada perselisihan padanya".
Wallahu A'lam.
Hukum Pindah Mazhab Apabila orang awam berpegang kepada suatu mazhab (mengikut muftinya), maka diwajibkan bersesuaian dengannya. Kalau tidak, maka diwajibkan mengikuti salah satu mazhab yang tertentu di antara 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali), bukan yang lain.
Kemudian, jika telah mengamalkan mazhab pertama, maka ia diperbolehkan pindah ke mazhab yang lain secara keseluruhan atau dalam beberapa masalah, dengan syarat tidak memilih-milih perkara yang ringan dari setiap mazhab (tatabbu' al-rukhas) yang dengan tindakannya itu akan dihukumkan fasik (berdosa), menurut beberapa wajah. Demikian sebagaimana yang diterangkan dalam kitab Fathul Mu'in.
Menurut penyusun kitab Fathul Mu'in lagi, antara contoh-contoh pengamalan dua mazhab ialah, apabila seorang lelaki berwuduk dan menyentuh kulit wanita sebagai taklid (mengikut) mazhab Hanafi, lalu ia berbekam sebagai taklid mazhab Syafie, kemudian solat, maka solatnya tidak sah (batal), kerana adanya kesepakatan dua Imam tersebut pada batalnya wuduk.
Demikian pula apabila wuduk dan menyentuh kulit wanita tanpa syahwat sebagai mengikut mazhab Imam Malik (Maliki) dan tidak menggosok ketika berwuduk sebagai taklid kepada mazhab Syafie, kemudian solat, maka solatnya batal, kerana kesepakatan 2 imam pada batalnya wuduk orang tersebut.
Lain halnya apabila penggabungan itu terjadi pada 2 penerapan dalam ibadah, maka yang zahir bahawa hal itu tidak merosakkan sahnya taklid (tersebut), contohnya seperti seseorang berwuduk dengan mengusap sebahagian kepalanya (mengikut mazhab Syafie) kemudian solat dengan menghadap arah-arah Kaabah sebagai taklid kepada Abu Hanifah (Mazhab Hanafi), maka yang zahirnya solat itu tetap sah, kerana kedua imam tersebut tidak sepakat dalam menghukumi batalnya wuduk orang itu. Sebahagian orang tertanya-tanya tentang hukum pindah mazhab.
Sebelum mereka mendapat jawapan bagi hukum tersebut, maka terlebih dahulu mereka mesti menjawab soalan ini, "Bolehkah anda pindah sekolah?". Jawapannya adalah ya, boleh. Begitulah jawapan bagi persoalan pindah mazhab. Namun, hendaklah ia mengikuti salah satu mazhab tertentu yang telah masyhur dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah (Hanafi, Maliki, Syafie atau Hanbali). Setiap sekolah mempunyai metod tersendiri dalam pelajaran, jika ia tidak mengikuti metod yang telah ditetapkan tersebut, maka ia tidak dinilai lulus dalam sekolah itu.
Begitu juga dengan mazhab, jika seseorang bermazhab Maliki, namun ia tidak menerima pendapat ahli Madinah, maka ia tidak dikira lulus dalam mazhab tersebut, adalah lebih baik pindah sekolah atau mazhab kepada Syafie, yang tidak menggunakan pendapat ahli Madinah sebagai sumber hukum yang dapat berdiri dengan sendiri.
No comments:
Post a Comment