Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Wednesday, August 22, 2018

Definisi Balaghah

Definisi Balaghah

Saya ingin mengajak pembaca mendalami seni bicara ini dalam konteks balaghah. Sebelum itu mari kita selami perbahasan etimologi balaghah agar pembaca mudah faham hala tuju perbahasan.

Balaghah didefinisikan oleh para ahli dalam bidang ini dengan definisi yang pelbagai. Antaranya ialah:-

1-    Menurut Ali jarim dan Musthafa Amin dalam Balaghatul Wadhihah[1]
Adapun Balaghah itu adalah mengungkapkan makna yang estetik dengan jelas mempergunakan ungkapan yang benar, berpengaruh dalam jiwa, menjaga relevansi setiap kalimatnya dengan tempat diucapkannya ungkapan itu, serta memperhatikan kesesuainnya dengan pihak yang diajak bicara”.

2-    Menurut Dr. Abdullah Syahhatah[2]
Definisi yang benar untuk terma Balaghah dalam kalimat adalah keberhasilan si pembicara dalam menyampaikan apa yang dikehendakinya ke dalam jiwa pendengar (penerima), dengan tepat mengena ke sasaran yang ditandai dengan kepuasan akal dan perasaannya”.

3-    Menurut Khatib al-Qazwini yang dikutip oleh Prof. Dr. Abdul Fattah Lasyin[3]
Balaghah adalah keserasian antara ungkapan dengan tuntutan situasi disamping ungkapan itu sendiri sudah fasih.”

Dari beberapa definisi di atas, dapat disimpulkan bahawa inti dari balaghah adalah penyampaian sesuatu ucapan dengan menggunakan ungkapan yang indah, relevan antara lafaz dan maksudnya, memperhatikan situasi dan kondisi pengungkapannya, menjaga kepentingan pihak pendengar, serta memiliki pengaruh yang signifikan dalam diri pendengar tersebut. Ilmu balaghah juga bererti suatu kajian yang berisi teori-teori dan materi-materi yang berkaitan dengan cara-cara penyampaian ucapan dan ungkapan yang bernilai.

Sebagai contoh jika kita ingin memberitahu tentang kecantikan wajah seseorang, kita akan menggunakan kata-kata seperti “…wajah kau sangat cantik”. Kata-kata seperti ini sangat literal dan tidak mempunyai sedikit pun unsur balaghah dan nilai padanya. Jika kita menggunakan unsur mubalaghah (hiperbola) dalam kata-kata ini, struktur ayat tersebut boleh berubah kepada “…bulan berselindung dibalik awan kerana malu melihat wajahmu”. Digambarkan disini bahawa bulan sangat malu apabila melihat kecantikkan wajah si fulan sehingga berselindung dibalik awan. Ini juga berlaku kepada sebahagian daripada kita apabila melihat wanita cantik atau lelaki tampan sehingga kita berasa malu berhadapan dengannya. Walaupun struktur ayat tersebut bersifat hiperbola namun ia tetap membawa maksud yang sama iaitu menyatakan kecantikkan wajah seseorang.

Balaghah terbahagi kepada tiga cabang ilmu iaitu ilmu bayan, ilmu ma’ani dan ilmu badi’. Saya hanya akan menyentuh tentang ilmu ma’ani dan ilmu badi’ sahaja. Dibawah ilmu ma’ani pula saya akan menyentuh dua tajuk iaitu Ijaz dan Ithnab manakala dibawah ilmu badi’ saya akan menyentuh dua tajuk iaitu Muqobalah dan Tauriah.

Ijaz (إجاز)

Maksud Ijaz dari sudut istilah ialah penggunaan lafaz yang sedikit serta jelas dan tepat tetapi membawa makna yang banyak[4]. Al Quran mempunyai sifat Ijaz kerana lafaz-lafaz yang terdapat dalam al-Quran adalah sedikit tetapi dapat memberi makna yang banyak. Begitu juga dengan junjungan besar rasulullah s.a.w yang merupakan contoh terbaik untuk diikuti kerana baginda sering menggunakan lafaz yang sedikit ketika berbicara dan berkhutbah namun dapat memberikan makna yang banyak. Ini memudahkan para sahabat mengingati apa yang disampaikan oleh baginda.

Antara contoh Ijaz yang terdapat dalam hadis ialah seperti sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiallahu anhu berkata, “Dahulu Rasulullah saw suka bercanda dengan kami, bahkan terhadap adik saya yang masih kecil dia bekata
يا أبا عمير ما فعل النغير
"Wahai Abu Umair, apa yang dilakukan nughair?[5]

Abu Umair merupakan kuniyah (nama panggilan) yang diberikan Rasulullah pada seoang anak kecil yang bersedih atas kematian burung kesayangannya. Burung dipanggil Nughar dalam bahasa Arab. Agar sepadan dengan kata "Umair", maka kata 'nughar' baginda sebut dengan kata "nughair" yang dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah tashgir (lebih kecil).
            Jika kita perhatikan dalam hadis diatas, Rasulullah hanya menggunakan enam patah perkataan sahaja. Namun ahli hadis telah berjaya mengeluarkan puluhan cabang ilmu hanya melalui hadis ini. Berikut saya senaraikan beberapa makna yang dapat difahami melalui hadis ini:-
1-    Dibenarkan memberi gelaran Abu yang bererti bapa kepada seseorang yang belum lagi mempunyai anak
2-    Dibenarkan memberi mainan berupa burung kepada anak kecil
3-    Galakan menceriakan hati orang yang bersedih
4-    Boleh bergurau senda
5-    Jangan menganggap remeh perasaan anak kecil
6-    Tidak lupa akan orang bawah
7-    Dan lain-lain

Selain itu, terdapat satu lagi hadis yang mempunyai makna yang banyak hanya dengan menggunakan lafaz yang sedikit iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Umar al Khattab:
بالنيات الأعمال إنما
Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niatnya” [6]
Imam Syafie menyebutkan bahawa terdapat 70 bab ilmu yang dapat dicungkil melalui hadis ini[7]. Lihatlah betapa hebatnya bicara rasulullah sehingga baginda dapat menyampaikan banyak perkara hanya melalui lafaz yang sedikit. Ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Saidina Hasan bin Ali “Aku bertanya kepada pakcikku Hindun bin Abi Halah. Beliau adalah orang yang mengetahui banyak perkara mengenai Rasulullah. Aku berkata:

صف لي منطق رسول الله صلى الله عليه و سلم. قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم متواصل الأحزان دائم الفكرة ليست له راحة طويل السكت لا يتكلم في غير حاجة يفتتح الكلام ويختمه باسم الله تعالى ويتكلم بجوامع الكلم كلامه ولا تقصير
“Beritahulah kepadaku bagaimanakah cara Rasulullah berbicara! Hindun menjawab: Rasulullah adalah seorang yang selalu bersedih (semasa mengadu kepada Tuhannya dan menyaksikan kebesaran Nya, bukan kerana keduniaan). Beliau tidak pernah berhenti berfikir, lebih banyak diam, tidak berbicara hal yang sia-sia. Beliau memulakan dan mengakhiri bicara dengan menyebut nama Allah. Beliau berbicara dengan ringkas namun penuh makna. Kata-kata beliau terperinci, tidak berlebihan dan tidak dikurangkan.” (HR Tirmizi) [8]

Selain itu, penggunaan Ijaz dalam bicara sangat penting bagi meraikan pendengar. Dari sudut psikologinya, pendengar hanya mampu memberi fokus pada penceramah sekitar 30 minit yang pertama sahaja. Kemudian mereka akan mula hilang fokus dan merasa bosan. Penceramah yang baik ialah mereka yang dapat menggunakan elemen Ijaz dengan baik semasa berbicara iaitu dengan sebolehnya meringkaskan bicara tanpa mengurangkan sedikitpun isi penting yang ingin disampaikan. Penceramah tidak seharusnya menceritakan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan tajuk perbahasan melainkan untuk menarik kembali perhatian pendengar sahaja.

Sebahagian daripada kita tentu pernah merasa kecewa menghadiri forum atau wacana kerana hasil diskusi tidak seperti apa yang kita harapkan. Terkadang forum yang berlansung selama tiga jam hanya memberikan impak ilmu 30 minit sahaja jika panelis tidak bijak menggunakan masa dengan baik. Sebahagian panelis hanya banyak berbicara berkenaan luar tajuk dan menyentuh perkara-perkara dasar sahaja tanpa memperincikan isi-isi ucapan. Natijahnya kualiti dan kuantiti ilmu yang dapat disampaikan hanya sedikit sahaja.

Ithnab (اطناب)

Ithnab pula merupakan lawan bagi Ijaz. Ithnab bermaksud penggunaan lafaz tambahan bagi menyampaikan sesuatu maksud. Lafaz tambahan tersebut pula mestilah memberikan faedah dan bukannya bersifat sia-sia[9]. Secara mudahnya, Ithnab ialah bicara yang panjang bagi menerangkan maksud sesuatu isi samaada dengan mengulang semula lafaz, menghuraikan isi atau menggunakan lafaz yang berbeza tetapi membawa maksud yang sama.
Unsur Ithnab juga terdapat dalam Al-Quran sepertimana firman Allah dalam surah Al-Takathur:

ألهكم التكاثر (1)  حتى زرتم المقابر (2) كلا سوف تعلمون (3) ثم كلا سوف تعلمون (4)
“Perbuatan bermegah-megahan dan berlumba-lumba telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk kedalam kubur. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui”

Terdapat pengulangan lafaz pada ayat ketiga dan keempat dalam surah ini. Menurut ulama tafsir dan ulama lughoh, tujuan ayat ini diulang ialah bertujuan sebagai taukid (penegasan) kepada mereka yang bermegah-megah bahawasanya kelak mereka akan mengetahui akibat perbuatan mereka itu dan azab yang telah Allah sebutkan dalam al-Quran. Terdapat banyak lagi contoh unsur Ithnab yang terdapat dalam al-Quran yang tidak diceritakan disini.

Rasulullah juga sering menggunakan elemen Ithnab dalam bicaranya seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعيد الكلمة ثلاثا لتعقل عنه
“Rasulullah mengulangi percakapan beliau sehingga tiga kali supaya difahami (oleh mereka yang mendengar)”  [9]

            Jika kita perhatikan hadis diatas, rasulullah sentiasa mengulangi percakapan baginda supaya para sahabat mudah faham dan mudah mengingati apa yang disampaikan baginda. Selain itu, pengulangan juga penting bagi melambatkan tempo bicara supaya akal pendengar dapat memproses apa yang diterima. Ini selari dengan apa yang dipraktikkan rasulullah seperti yang diriwayatkan dalam hadis sahih oleh Saidatina Aishah:

ما كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يسرد سردكم هذا ولكنه كان بكلام بين فصل يحفظه من جلس إليه
“Rasulullah tidak pernah bercakap dengan laju seperti kamu semua. Beliau selalu bercakap dengan jelas dan terperinci, sehingga orang yang mendengar dapat menghafal apa yang mereka dengar.” (HR Tirmizi dan Abu Daud) [10]

            Selain daripada bentuk pengulangan, Ithnab juga boleh digunakan dengan bentuk penghuraian. Lafaz tambahan perlu disertakan bagi menghuraikan isi yang sukar difahami dengan sekali lafaz. Ucapan boleh dipanjangkan bagi menerangkan sesuatu isi ucapan selagimana ianya tidak terkeluar dari kerangka tajuk dan lafaz-lafaz tambahan pula mestilah memberi faedah. Jika lafaz tambahan itu bersifat sia-sia dan tidak membantu memahamkan pendengar, maka hilanglah unsur Ithnab padanya.

            Bentuk yang ketiga pula ialah menggunakan lafaz yang berbeza tetapi membawa maksud yang hampir sama atau menyebutkan lafaz khas selepas lafaz am. Sebagai contoh Allah berfirman dalam surah al-Qadr:

تنزل الملئكة والروح فيها
“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan ruh”  (Al-Qadar:4)

Lafaz malaikat merupakan lafaz yang umum sementara lafaz ruh merupakan lafaz yang khusus kerana maksud ruh disini adalah malaikat Jibril alaihissalam. Malaikat dan ruh merupakan lafaz yang berbeza tetapi memberikan maksud yang hampir sama. Malaikat-malaikat yang dimaksudkan pada ayat tersebut ialah malaikat rahmat yang membawa segala rahmat dan keberkatan pada malam lailatul qadar. Banyaknya malaikat turun menandakan banyaknya keberkatan dan rahmat turun pada malam al-Qadr. Lafaz malaikat ini membezakan diantara malaikat rahmat dan malaikat Jibril.

Bersambung….


Senarai rujukan
[4] Rabithah. (2004). الخلاصة في البلاغة . Johor: Maahad Johor.
[5],[6] HR Bukhari dan Muslim
[8] HR Tirmizi (no 218) dalam kitabnya Syamail Muhammadiyah
[9] HR Bukhari dan Tirmizi  (no 217) dalam kitab Syamail Muhammadiyah

[10] HR Abu Dawud dan Tirmizi (no 216) dalam kitab Syamail Muhammadiyah

http://abuharithah23.blogspot.com/2013/11/seni-bicara-dalam-ilmu-balaghah-part-1.html

http://mubtada10.blogspot.com/2012/03/pengertian-balaghah-dan-bidang_10.html

No comments: