Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Sunday, February 22, 2015

KENALI SYIAH !!!

KENALI SYIAH !!!


Sabda Nabi SAW;
افترقت اليهود على إحدى و سبعين فرقة ، فواحدة في الجنة و سبعين في النار ، و افترقت النصارى على اثنين و سبعين فرقة فواحدة في الجنة و إحدى و سبعين في النار ، والذي نفسي بيده لتفترقن أمتي على ثلاث و سبعين فرقة ، فواحدة في الجنة ، و ثنتين و سبعين في النار ، قيل : يا رسول الله من هم ؟ قال : هم الجماعة
Maksudnya;
“Berpecah yahudi kepada 71 puak, satu puak didalam syurga dan 70 lagi didalam neraka. Berpecah Nasrani kepada 72 puak, satu puak didalam syurga dan 71 puak lagi di dalam neraka. Demi Nyawaku di tangan-Nya, lagi akan berpecah umat ini kepada 73 puak, satu puak sahaja di dalam syurga dan 72 puak didalam neraka. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Berkata Nabi : mereka adalah Jamaah[2]
Ciri-ciri puak yang masuk neraka yang dimaksudkan didalam hadis di atas adalah, mereka menghalalkan perkara yang Allah haramkan dan mengharamkan perkara yang Allah halalkan.[3]
Dalilnya adalah hadis yang meriwayatkannya oleh At-Tibrani didalam kitab “Al-Mu’jam Al-Kabir”;
عَنْ عَدِيِّ بن حَاتِمٍ، قَالَ: أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِي صَلِيبٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَقَالَ:”يَا عَدِيُّ اطْرَحْ هَذَا الْوَثَنَ مِنْ عُنُقِكَ”، فَطَرَحْتُهُ، فَانْتَهَيْتُ إِلَيْهِ وَهُوَ يَقْرَأُ سُورَةَ بَرَاءَةٌ، فَقَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ: “اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ” حَتَّى فَرَغَ مِنْهَا، فَقُلْتُ: إِنَّا لَسْنَا نَعْبُدُهُمْ، فَقَالَ:”أَلَيْسَ يُحَرِّمُونَ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فَتُحَرِّمُونَهُ وَيُحِلُّونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ، فَتَسْتَحِلُّونَهُ؟”قُلْتُ: بَلَى، قَالَ:”فَتِلْكَ عِبَادَتُهُمْ”
Maksudnya;
“Daripada ‘Adi bin Hatim berkata; Aku berjumpa dengan Nabi SAW, ketika itu, di tengkokku ada satu salib daripada Emas. Lalu berkata Nabi SAW; wahai Adi, buangkan berhala di tengkok kamu itu. Aku membuangnya dan terus Aku bersama Nabi sehingga Baginda membaca surah Al-Baraah (at-taubah), lalu Baginda membaca ayat ini yang bermaksud “Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah[4]” hingga selesai daripadanya, aku berkata; Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka. Menjawab Baginda SAW; adakah tidak mereka mengharamkan perkara yang Allah halalkan, lalu kamu mengharamkannya, dan menghalalkan perkara yang Allah haramkan, lalu kamu menghalalkannya? Aku berkata : benar. Berkata Baginda SAW; maka itulah ibadat kamu kepada mereka[5]
SYIAH
Definisi Syiah dari sudut bahasa adalah “pengikut[6]
Adapun definisi Syiah dari sudut istilah adalah;
“kumpulan yang mendakwa menjadi pengikut Ali bin Abi Talib secara khusus[7]
SIAPAKAH SYIAH?
Seperti definisi di atas, difahami bahawa Syiah adalah puak yang mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang mengikut Saidina Ali RA.
Didalam kumpulan mereka itu pula terbahagi kepada beberapa puak yang dari kalangan mereka ada golongan yang melampau dan sederhana.
Antara golongan yang sederhana seperti Syiah Zaidiyyah, Imamiyyah, Al-Baqiriyyah, Al-Jaafariyyah, Al-Mausawiyyah, Al-Fadhliyyah dan Al-Isma’iliyyah Al-Waqifah.
Syiah-syiah yang tersebut di atas, di perselisih dikalangan ulama tentang terkeluarnya mereka daripada Islam.
Di sana juga adalah syiah yang melampau, yang seluruh ulama sepakat menyatakan bahawa mereka sudah terkeluar daripada Islam.
Antaranya adalah Syiah As-Sabaiyyah, Al-Ismailiyyah, Al-Batiniyyah, Qaramitah, Duruz, Rafidhah, Al-Kibsaniyyah, Al-Hasyimiyyah, Ar-Ruzamiyyah, Al-Karbiyyah, Al-Kamiliyyah, Muhammadiyyah, Isyamah, Az-Zurariyyah, Al-Yunusiyyah dan As-Syaitaniyyah.[8]
Menurut ceritanya, syiah bermula dari seorang yang beragama yahudi yang bernama Abdullah bin saba’ yang telah masuk Islam, kemudian membuat pembelaan terhadap Saidina Ali RA.
Semasa dia beragama yahudi, dia telah mendakwa secara melampau bahawa Yusya’ bin nun ialah pengganti Nabi Musa. Lalu semasa dia sudah Islam, dia mendakwa bahawa Ali adalah pengganti Nabi SAW.[9]
Kemudian daripada itu, maka berbagai-bagai kekarutan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Saba’, seperti mendakwa bahawa Ali tidak mati lagi, bahkan Ali masih hidup lagi, tinggal di awan. Apabila suara guruh berbunyi, maka itu merupakan suaranya dan apabila kilat memancar, maka itu adalah senyumannya[10].
Dan lagi, dia membawa fahaman “at-Tanasukh” (التناسخ), iaitu fahaman yang menyatakan bahawa apabila seseorang mati, maka rohnya akan berpindah ke jasad manusia lain, kemudian dia mendakwa bahawa Tuhan menjelma kedalam diri Imam-imam yang dilantik selepas Saidina Ali RA[11].
KEKARUTAN SYIAH
Antara kekarutan syiah adalah seperti berikut[12];
a. Mushaf Fatimah.
Mereka mendakwa bahawa di sana ada Al-Quran yang lain dari Al-Quran yang dipegang oleh umat Islam.
Kenyataan sebegini bercanggah dengan Islam, kerana menyalahi tugas nabi yang bersifat “At-Tabligh” iaitu menyampaikan Islam, dan juga menafikan kesempurnaan agama ini, seperti yang difirmankan oleh Allah;
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya;
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”
(surah Al-Maidah : 3)
Juga, Allah menyatakan didalam firmannya;
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya;
“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”
(Surah Al-Hijr : 9)
b. Pendapat Imam adalah sunnah.
Syiah mendakwa bahawa perkataan imam adalah sunnah yang wajib di taati. Mengingkari perkataan imam sudah layak di isytihar sebagai kafir mengikut pemahaman Syiah.
c. Imamah.
Menurut Syiah, Imam mempunyai kedudukan sepertimana kedudukan nabi. Mereka beri’tiqad bahawa Imam boleh mendapat wahyu daripada jibril.
I’tiqad sebegini bercanggah dengan islam kerana firman Allah;
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya;
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”
(surah Al-Maidah : 3)
d. Imam Ma’sum
Syiah beri’tiqad bahawa semua imam mereka adalah ma’sum. Kata-kata imam mereka menyamai dengan firman Allah dan Sabda Nabi SAW.
Menurut Syaik Muhibuddin Al-Khatib : orang pertama yang mencipta aqidah sesat ini (imam Ma’sum) adalah Syaitan At-Tooq atau di kenali dikalangan syiah sebagai mu’min at-Tooq[13].
e. At-Taqiyyah.
At-Taqiyyah ialah “menyembunyikan kebenaran dan aqidah pegangan kerana kemudharatan yang menimpa agama atau dunia”[14]. At-Taqiyyah pada hakikatnya ialah berdusta dan berbohong[15].
Ustaz Asri Yusuf menukilkan riwayat Al-Kulaini dalam kitabnya “Al-Kafi” bahawa Jaafar As-Sadiq berkata;
“Taqiyyah adalah antara ajaran agamaku dan agama nenek moyangku. Tiada agama bagi orang yang tidak mengamalkan At-Taqiyyah”(Al-Kafi : 2/223)[16]
Ada dari kalangan syiah berdalilkan kepada kisah Ammar bin Yasir yang di izinkan menyebut kalimah kufur dikala di seksa oleh kuffar quraish. Sehinggakan Allah menyebut didalam firmannya;
مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya;
“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar”
Bagi menjawab kepada dakwaan mereka; di benarkan kepada ‘Ammar bin Yasir[17] untuk menyebut kalimah kufur di kala terpaksa. Adapun syiah At-Taqiyyah bukan di gunakan di kala terpaksa, tetapi di gunakan untuk berdolak dalik.
f. Ar-Raj’ah.
Ar-raj’ah bermaksud;
“Kembangkitan semula para imam sebelum kiamat untuk menghukum orang yang menentang dan memusuhi Ahl Bait[18]
Syiah mendakwa, tujuan Raj’ah adalah imam Mahdi membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka terutamanya dendam terhadap Abu Bakar dan Umar.[19]
g. Al-Bada’.
Al-Bada’ bermaksud “nyata atau jelas sesuatu setelah tersembunyi”. Adapun Al-Bada’ mengikut pemahaman Syiah adalah “Jahil, tidak mempunyai ilmu yang meliputi”.
Orang Syiah beraqidah bahawa Allah bersifat dengan Al-Bada’[20]. Mereka berdalilkan kepada firman Allah;
وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ
Maksudnya;
“Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot”
(Surah Al-Baqarah : 143)
Dari ayat ini mereka mendakwa bahawa Allah itu mengetahui sesuatu yang sudah berlaku, adapun sesuatu yang belum berlaku, Allah tidak mengetahui. Jika Allah sudah mengetahui, mengapakah Allah menguji manusia untuk mengetahui siapakah yang mengikuti Rasul dan mereka yang membelakangkan Rasul.
Ayat ini tidak mengandungi pemahaman seperti yang mereka fahami. Tujuan Allah mencuba manusia adalah untuk memastikan manusia yang beriman itu mengenali manusia yang mengingkari rasul dan manusia yang mengikuti Rasul.
Pemahaman syiah terhadap aqidah bada’ ini sebenarnya menyalahi firman Allah;
وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا
Maksudnya;
“sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
(surah At-Talaq : 12)
h. Al-Ghaibah.
“Al-Ghaibah” bermaksud “ghaib” atau “tersembunyi”.
Al-Ghaibah merupakan aqidah asas bagi syiah Imamiyyah. Ini kerana, mereka mendakwa bahawa dunia ini, setiap masa tidak sunyi daripada Imam.
Oleh yang demikian, setelah kematian Abu Muhammad Al-Hassan Ali Al-Askari (imam yang kedua belas, maninggal pada 260 hijrah) Abu Muhammad tidak meninggalkan anak-anak sebagai penggantinya, maka dengan demikian, terputuslah imam.
Bagi menyelamatkan keadaan, mereka mula membuat rekaan bahawa di sana ada satu aqidah yang bernama “Al-Ghaibah”, iaitu imam yang bersembunyi. Maka dengan demikian, mereka menyatakan, imam tidak terputus, tetapi imam bersembunyi bagi menegaskan bahawa dunia ini tidak sunyi daripada Imam.[21]
Berbagai-bagai alasan syiah bagi menyatakan mengapakah “imam tersebut bersembunyi”. Ada dari kalangan mereka mendakwa bahawa imam tersebut takut di bunuh.
i. Kahwin mutaah
Islam menjaga institusi nasab dengan mewajibkan kepada penganutnya berkahwin atau bernikah. Nikah atau kahwin adalah bertujuan untuk memberikan kemurnian hidup dan tanggungjawab didalam berkeluarga.
Perkara ini menyalahi dengan amalan syiah yang telah menghalalkan amalan jahiliyyah yang bernama “nikah mutaah”.
Nikah mutaah adalah nikah yang tidak perlu kepada wali dan dua orang saksi. Adapun nikah syarii, diwajibkan wali dan dua orang saksi yang Adil kesemuanya.[22]
Nikah Mutaah merupakan amalan jahiliyyah yang telah diharamkan oleh Islam dengan firman-Nya;
فأنكحوهن بإذن أهلهن
Maksudnya;
“kawinilah mereka dengan seizin tuan mereka”
(surah An-Nisa’ : 25)
Kahwin mutaah tidak perlukan wali dan saksi, sedangkan dalam firman Allah ini, Allah mewajibkan mendapat keizinan dari wali. Maka dengan demikian, ayat ini menjadi dalil atas pengharamkan kahwin mutaah.
Syiah menghalalkan mutaah, antara buktinya adalah kenyataan Ustaz Asri yusuf yang menukilkan kata “Al-Khomaini” didalam bukunya “Tahrir Al-Wasilah” yang bermaksud;
“ia (nikah mutaah) di bolehkah berlaku antara seorang perempuan dengan seorang lelaki di mana-mana sahaja. Boleh dilakukan bersama perempuan majusi, nasrani dan yahudi, hatta bersama perempuan pelacur sekalipun[23]
j. Mengkafirkan sebahagian daripada sahabat Nabi.
Antara amalan syiah adalah mereka mentakfirkan sebahagian besar dari sahabat. Mereka mengiktiraf keislaman sebahagian kecil sahaja dari kalangan sahabat RA.
Syiah mendakwa bahawa, semua para sahabat murtad selepas kewafatan nabi melainkan tiga orang sahaja, iaitu Miqdad bin Aswad, Abu Zar Al-Ghiffari dan Salman Al-Farisi[24].
Dakwaan syiah ini adalah bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah Taala didalam firman-Nya;
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya;
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar”
(Surah At-Taubah : 100)
Ayat ini telah memberi gambaran sebenar tentang keredhaan Allah terhadap golongan sahabat RA. Sekiranya Allah memberi keredhaan-Nya kepada para sahabat, maka sewajibnya kita juga meredhai mereka.
Adapun syiah telah menyalahi firman Allah ini, maka dengan sebab itu, syiah sudah dikira sebagai golongan yang terkeluar daripada Islam.
PENUTUP
Tidak dinafikan, dunia kini dikejutkan dengan serangan musuh-musuh Islam, samada dari Amerika, Israel dan sebagainya. Lalu dengan kejadian sebegini, dilihat golongan syiah telah menjuarai isu-isu tersebut sebagai mewakili dari pihak umat Islam.
Menjuarai isu-isu tersebut, bukanlah bermakna syiah itu adalah satu pegangan yang benar, sehinggakan ada dari kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan mereka dengan mengambil aqidah mereka yang menyesatkan itu.
Mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan muslim yang terselamat dari kesesatan yang nyata ini.
Wallahu ‘Alam.
BIBLIOGRAFI
a. As-silsilah As-Sahihah : Muhammad Nasiruddin Albani : Maktabah Al-Islami : bairut : cetakan ketiga 1413 : 1993.
b. Zakhirah Al-Huffaz : Muhammad bin Tahir Al-Muqaddasi : Dar An-Nasyr : Dar As-Salaf – Riyadh – 1416 Hijrah – 1996 masihi : cetakan pertama : tahqiq Dr Abd Ar-Rahman Al-Faryuwayi.
c. Al-Mu’jam Al-Kabir : Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub Abu Al-Qasim At-Tibrani : Dar An-Nasyr : maktabah Az-Zahra’ – Al-Mausal – 1404 – 1983 : cetakan kedua : Tahqiq : Humaidi bin Abd Al-Majid As-Salafi. Sahih wa Doif sunan at-Tirmizi
d. Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang : Darul Huda Interprise : 1999. cetakkan pertama.
e. kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara : Ustaz Asri bin Yusuf
f. kertas kerja : Syiah : antara kesederhanaan dan ekstrem : Ustaz Zaharuddin bin Muhammad
g. Al-Burhan fi Tabriah Abi Hurairah min Al-Buhtan : Abdullah bin Abd Al-Aziz bin ‘Ali An-Nasir : Dar An-nasr li At-Tabaah wa an-Nasyr – Kaherah : cetakan pertama : 1419 : 1998.
h. Tafsir Al-Quran Al-‘Azim : Ismail bin Omar bin Kathir Ad-Dimasyqi Abu Al-Fida’ : Dar An-Nasyr : Dar Al-Fikw : Bairut : 1401.
i. Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran : Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi : Dar An-Nasyr : Dar As-Sya’b : kaherah .
[1] Kertas kerja ini telah di bentang di Markaz PAS Cawangan Kubu Gajah, di bawah kawasan Subang. Pada 22 febuari 2007 bersamaan 4 safar 1428.
[2] As-silsilah As-Sahihah : 4/66 : hadis no : 1496.
[3] Zakhirah Al-Huffaz : 1/427.
[4] Surah At-Taubah : 31.
[5] Al-Mu’jam Al-Kabir : 7/12. hadis ini telah di pandang hasan oleh As-Syaik Albani didalam kitabnya “Sahih wa Doif sunan at-Tirmizi : 7/95.
[6] Syiah : antara kesederhaan dan ekstrem : m/s 1.
[7] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 30.
[8] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 31-60.
[9] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 41. kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) ; m/s 3.
[10] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 41.
[11] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 42.
[12] Syiah : antara kesederhanaan dan ekstrem : m/s 1-4.
[13] Nama sebenar Syaitan At-Tooq adalah Muhammad Ali bin Nu’man Al-Ahwal. Lihat kertas kerja : Syiah : antara kesederhaan dan ekstrem : m/s 2. & Al-Burhan fi Tabriah Abi Hurairah min Al-Buhtan : m/s 66. Adapun didalam buku : lahirnya beberapa firqah dikalangan umat Islam : nama sebenar Syaitan At-Tooq adalah “Abu Jaafar bin Nu’man Al-Ahwal Ar-Rafidhi. m/s 59.
[14] Syiah : antara kesederhanaan dan ekstrem : m/s 2.
[15] kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) : m/s 24.
[16] kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) : m/s 24.
[17] Tafsir Ibni kathir : 2/588.
[18] Kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) : m/s 17
[19] Kertas kerja : Syiah : antara kesederhaan dan ekstrem : m/s 3.
[20] kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) : m/s 11.
[21] Kertas kerja : syiah : antara kesederhanaan dan ekstrem : m/s 3.
[22] Tafsir Al-Qurtubi : 5/130.
[23] Kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) : m/s 17.
[24] Kata tersebut diriwayatkan daripada Hannan bin Sadir, daripada ayahnya, daripada Abu Jaafar. Sila lihat dalam kitab “Al-Burhan fi Tabriah Abi Hurairah min Al-buhtan” : m/s 80 & Kertas kerja : Bahaya Syiah kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara (Asri Yusuf) : m/s 24



AT-TASAMUH DENGAN WAHABI, AT-TAHALUF DENGAN SYIAH

17042007
TASAMUH DENGAN WAHABI, AT-TAHALUF DENGAN SYIAH:
MANAKAH YANG PERLU DIUTAMAKAN?
Membaca tulisan saudara Reformasimuda yang menulis satu article yang bertajuk “salahkan kalau saya menyokong Al-Arqam mahupun Syiah” baru-baru ini, diri ini terpanggil untuk menulis satu tulisan yang perlu di lontarkan kepada masyarakat Islam bagi mencari titik pertemuan yang perlu dilakukan bagi melihat kejayaan islam di dunia Islam, khususnya di Negara ini.
Mengikut tulisan Reformasi muda tersebut, didapati dia mengambil sikap menghentam golongan yang didakwa sebagai wahabi, tetapi agak menyokong tindakan dari kelompok yang dinamakan sebagai Al-Arqam dan Syiah.
WAHABI
Mengikut pendefinisian terhadap wahabi, pelbagai respon dari berbagai-bagai kelompok manusia tentangnya. Antara definisi Wahabi mengikut dakwaan manusia adalah seperti berikut;
a. Wahabi adalah satu kelompok manusia yang taassub dan “Ghuluw” kepada Muhammad Abdul Wahab, adapun mereka yang mengikut pendapat Muhammad Abdul Wahab tanpa “ghuluw”, tidak dikira sebagai wahabi.
b. Wahabi juga diberikan kepada kelompok manusia yang membawa panji-panji gerakan Muhammad Abdul Wahab.
c. Wahabi adalah golongan yang mengikut jejak langkah Muhammad Abdul Wahab yang telah sanggup menjadi “Barua” kepada penjajah.
d. Wahabi adalah kelompok manusia yang mudah membidaahkan.
Melihat kepada kepelbagaian definisi ini, aku merasakan, sebelum sikap kita menyerang gerakan wahabi ini, sesuatu perbahasan yang perlu di perhatikan terlebih dahulu.
Setelah dihayati, didapati bahawa serangan yang kebiasaan dilakukan terhadap gerakkan wahabi, bukanlah kepada kesalahan mereka didalam mengistinbatkan aqidah dan syariah. Ini kerana, jika dilihat kepada jalan usaha gerakan beliau, gerakan tersebut adalah sebagai penerus kepada dakwah yang didokong oleh Ibnu Taimiyyah[1].
Maka dengan demikian, perbahasan aqidah dan syariah dalam gerakan Wahabi ini, mempunyai kesamaan dengan ulasan yang didapati didalam aqidah dan syariah mengikut perbahasan manhaj Ibnu Taimiyyah.
Asas perjuangan mereka adalah seperti perjuangan yang di dokong oleh Hanabillah, iaitu membawa aqidah yang tidak mahu menta’wilkan ayat-ayat Allah yang mutasyabihat, disertai mereka mensifatkan Allah tanpa disertai dengan tasybih dan tajsim[2].
Adapun dari sudut syariahnya pula, mereka adalah kelompok manusia yang berpegang dengan jalan manusia yang bermazhab Hanbali, tetapi disebalik pegangan mereka itu, mereka tidak mensyaratkan kepada “ketaassuban” kepada mazhab Hanbali yang mereka pegang sendiri.
Melihat kepada perbahasan “Aqidah” dan “Syariah” yang menjadi pegangan Wahabi ini, didapati bahawa, wahabi juga adalah kelompok yang dikatakan sebagai “ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah”. Dakwaan ini telah diakui sendiri oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang didalam bukunya yang bertajuk “lahirnya beberapa firqah dikalangan umat Islam”[3].
Tetapi, yang menjadi perbincangannya adalah masalah “sikap” yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab dan pengikut-pengikutnya. Iaitu sikap yang menjadi “barua” kepada penjajah dan sebagainya.
Secara fakta, aku tidak dapat memastikan kebenaran dakwaan yang menyatakan bahawa Muhammad Abdul Wahab merupakan barua kepada penjajah, tetapi mengikut pembacaan buku-buku yang di tulis oleh kebanyakkan tulisan menyatakan demikian. Walaubagaimanapun, aku mengambil sikap untuk “tidak membenarkan dan tidak menafikan” tulisan tersebut.
Juga, antara perkara yang sering diperbincangkan adalah berkenaan sikap wahabi yang mudah membidaahkan amalan-amalan yang berbentuk khilafiyyah dan sebagainya.
ISU WAHABI ADALAH SIKAP, BUKAN PERINSIP
Melihat kepada situasi ini, didapati bahawa kesilapan yang perlu di perbetulkan pada wahabi adalah pada sikap, bukan pada perinsipnya.
Ini kerana, secara perinsip, mereka masih lagi berada atas landasan “Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah”. Adapun perbuatan yang menjadi “barua” kepada penjajah, dan mudah membidaahkan amalan-amalan khilafiyyah merupakan isu sikap yang selayaknya dijauhkan dari amalan umat islam.
KELAHIRAN JEMAAH TABDI’ MERUPAKAN BIDAAH YANG TIDAK DISEDARI
Kelahiran satu jemaah yang dinamakan sebagai “Jemaah At-Tabdi’” atau jemaah yang mudah membidaahkan manusia merupakan satu amalan bidaah yang wajib di hindarkan dikalangan umat Islam.
Baginda SAW sendiri tidak pernah membidaahkan sesuatu amalan tanpa bertanyakan dahulu amalan-amalan yang dilakukan oleh para sahabat RA, walaupun amalan tersebut dilakukan sebelum dilakukan oleh Nabi SAW.
Antara hadis bagi menguatkan hujjah ini adalah seperti berikut;
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ قَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ الْقَائِلُ كَلِمَةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ عَجِبْتُ لَهَا فُتِحَتْ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ : قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَمَا تَرَكْتُهُنَّ مُنْذُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ذَلِكَ
Maksudnya;
“Daripada Ibni Omar berkata; ketika kami menunaikan solat bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki berkata; “اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا”, lalu Rasulullah SAW berkata; siapakah yang berkata kalimah begian-begian? Berkata lelaki tersebut; Aku Wahai Rasulullah. Lalu bersabda Nabi SAW; aku merasa megah dengannya, dibukakan pintu langit untuknya (kalimah tersebut). berkata Ibnu Omar, semenjak aku mendengar perkataan Nabi itu, aku tidak pernah meninggalkannya (membacanya didalam solat)[4]
Dari hadis ini, lelaki yang membaca kalimah takbir didalam solat tersebut tidaklah mendengar bacaan Nabi terlebih dahulu, tetapi dia membacanya mendahului perbuatan nabi. Ketika baginda SAW mendengar bacaan lelaki tersebut, Rasulullah tidak mudah membidaahkannya, tetapi baginda bertanya dahulu. ini menandakan bahawa amalan mudah membidaahkan sebelum diselidiki merupakan amalan yang bukan dari Rasulullah SAW.
Dan juga hadis;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ عَطَسَ شَابٌّ مِنْ الْأَنْصَارِ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ حَتَّى يَرْضَى رَبُّنَا وَبَعْدَمَا يَرْضَى مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ فَلَمَّا انْصَرَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ الْقَائِلُ الْكَلِمَةَ قَالَ فَسَكَتَ الشَّابُّ ثُمَّ قَالَ مَنْ الْقَائِلُ الْكَلِمَةَ فَإِنَّهُ لَمْ يَقُلْ بَأْسًا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا قُلْتُهَا لَمْ أُرِدْ بِهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَ مَا تَنَاهَتْ دُونَ عَرْشِ الرَّحْمَنِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى
Maksudnya;
“daripada Abdillah bin ‘Amir bin Rabiah, daripada bapanya, berkata; seorang pemuda dari ansar telah bersin di belakang nabi SAW, yang ketika itu sedang menunaikan solat. Dia (pemuda ansar) berkata; “الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ حَتَّى يَرْضَى رَبُّنَا وَبَعْدَمَا يَرْضَى مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ”, ketika selesai Nabi Saw dari solat, baginda SAW bertanya; siapakah yang berkata kalimah tadi? Lelaki itu senyap. Kemudian Rasulullah bertanya lagi; siapakah yang berkata kalimah tadi? Sesungguhnya tidak mengapa (tidak menjadi kesalahan) dia mengatakan kalimah tadi. Lalu berkata pemuda ansar; Saya Wahai Rasulullah SAW, sayalah yang berkata kalimah tadi, tetapi saya tidak kehendaki melainkan kebaikan. Bersabda Nabi SAW; tiada sesuatu pun dapat menegah dari kalimah itu sampai ke ‘Arasyh Allah yang maha Rahman[5]
Hadis ini juga mempunyai gambaran yang seakan-akan sama dengan kejadian pada hadis yang pertama, iaitu tindakan nabi yang tidak mudah membidaahkan sesuatu amalan yang di buat tanpa pengetahuan nabi terlebih dahulu, tetapi baginda akan bertanyakan kepada pelaku amalan tersebut terlebih dahulu sebelum menyatakan hukumnya.
Melihat kepada pemahaman dari dua hadis ini, amalan mudah membidaahkan merupakan satu amalan yang tidak selayaknya berlaku dikalangan umat Islam di seluruh dunia.
Jika di perhatikan di Negara ini, jemaah tabdiiyyah ini sudah menular masuk kedalam pemikiran umat Islam di sini. Mereka mudah membidaahkan sesuatu amalan, tanpa mengambil tindakan “usul periksa” yang sehinggakan melahirkan perbalahan dan “masam muka” dikalangan mereka.
Semasa di Mesir, seorang lelaki yang mendakwa seorang “salafi” telah membidaahkan amalan zikir 1000 kali yang diwajibkan; yang telah di anjurkan oleh seorang Syaikh, dengan alasan amalan tersebut tidak pernah diwajibkan oleh nabi SAW. Lalu Syaikh tersebut bertanyakan kepadanya tentang tentang kelebihan antara amalan wajib dan sunnat.
Si “salafi” tersebut menyatakan, jika di bandingkan, amalan wajib itu mengandungi kelebihan berbanding dengan amalan yang sunat.
Syaikh tersebut itu bertanya lagi, apakah hukum zikir yang telah dinazarkan? Si “salafi” tersebut menyatakan bahawa hukum zikir tersebut adalah wajib.
Maka Syaikh tersebut menyatakan, sebab itulah dia mewajibkan kepada murid-muridnya berzikir sebanyak 1000 kali, dan amalan tersebut adalah yang lebih afdhal kerana amalan itu dilakukan oleh muridnya dalam keadaan dinazarkannya.
Mendengar jawapan Syaikh tersebut, si “salafi” tersebut tergamam dan mengakui kesilapannya yang mudah membidaahkan amalan zikir 1000 kali yang dibidaahkannya tadi.
Dari hadis dan pengajaran di sebalik kisah yang dinukilkan ini, tidak selayaknya kelahiran “jemaah At-Tabdi” ini wujud di seluruh dunia Islam, ini kerana, kelahirannya berpunca dari sikap yang mampu memporak perandakan perpaduan umat Islam di mana-mana.
SYIAH
Syiah adalah satu puak yang dikenali di seluruh dunia Islam. Kenalnya dunia Islam kepada syiah adalah selepas dari revolosi iran yang di kepalai oleh seorang bapa revolosi yang merupakan tokoh syiah yang disayangi oleh kebanyakan penganut-penganut syiah, iaitu Ayatullah Khomaini.
Kehebatan yang ada pada Ayatullah Khomaini melawan penjajah adalah sesuatu yang membanggakan, tetapi kehebatan tersebut tidak bermakna aqidah syiah yang menjadi pegangan Ayatullah tersebut berada di pihak yang benar.
Ramai tokoh-tokoh Islam mempertikaikan aqidah ayatollah Khomaini. Antara tokoh ulama yang terkenal di dunia Islam yang mempertikaikan aqidah dan pendirian Ayatullah adalah Said Hawa[6], salah seorang tokoh Ikhwan Muslimin yang berasal dari Syria.
Beliau ada mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Al-Khumaini : syuzuz fi Al-‘Aqaid, Syuzuz fi Al-Mawaqif” yang menerangkan tentang aqidah dan pendirian khumaini yang dilihat pelik pada kacamata Al-Quran dan As-Sunnah.
Di dalam buku tersebut, As-Syaikh Said Hawa mendatangkan bukti dakwaan Al-Khumaini yang dirujuk dari kitab karangan Al-Khumaini sendiri yang bertajuk “Al-Hukumah Al-Islamiyyah” dan “kasyf Al-Asrar”.
Antara dakwaan Al-Khumaini yang pelik adalah seperti berikut;
a. Imam mempunyai darjat yang tinggi melebihi malaikat muqarrabin dan nabi yang di utuskan[7].
b. Mendakwa Al-Quran yang ada di tangan umat Islam kini tidak sempurna, ini kerana telah di selewengkan oleh Saidina Osman. Bahkan syiah Imamiyyah (Syiah yang di dokong oleh Ayatullah Khomaini) mengkafirkan kepada manusia yang mengingkari dakwaan ini[8].
c. Mengkafirkan sebahagian besar sahabat-sahabat Nabi SAW melainkan 3 orang sahabat sahaja, iaitu Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghiffari dan Salman Al-Farisi.[9]
d. Khumaini mendakwa perjuangannya adalah untuk penyatuan Umat Islam, tetapi hakikatnya melakukan dakyah kepada fahaman syiah.[10]
e. Dakwaan Khomaini didalam kitabnya “Kasyf Al-Asrar” bahawa Abu Bakar As-Siddiq telah memalsukan hadis.[11] Begitujuga, didalam kitabnya “Al-hukumah Al-Islamiyyah” yang mendakwa bahawa seorang sahabat besar yang bernama Samurah bin Jundab adalah seorang pemalsu hadis[12].
f. Dakwaan “ghuluw’” terhadap Fatimah Az-Zahra’ sehinggakan mendakwa bahawa Fatimah mendapat wahyu selepas kewafatan Rasulullah SAW.[13]
Banyak lagi dakwaan-dakwaan pelik dari Al-Khumaini, yang apabila melihat kepada dakwaan sebegini, memaksudkan bahawa aqidah yang diperjuangkan oleh syiah adalah aqidah yang sesat yang menyesatkan.
Maka dengan itu, tidak hairanlah As-Syaikh Said Hawa, seorang tokoh gerakan Islam di dunia telah mengkritik Al-Khumaini dengan mengarang sebuah kitab khusus atas kritikan tersebut.
Apa yang menggambarkan betapa bimbangnya As-Syaikh Said Hawa atas kesesatan ini, di akhir kitab beliau, beliau menulis satu doa yang ianya adalah seperti berikut;
اللهم إنى أبراء إليك من الخمينى و الخمينية
Maksudnya;
“Ya Allah, Sesungguhnya Aku bebas daripada Al-Khumaini dan Al-Khumainiyyah”[14]
ISU SYIAH ADALAH PERINSIP, BUKAN SIKAP
Melihat kepada ulasan di atas, difahami bahawa isu yang di pertikaikan terhadap syiah, tidaklah seperti isu yang dipertikai terhadap wahabi.
Golongan wahabi, dilihat mempunyai kesalahan dari sudut sikap yang perlu di robah, yang memungkin berlakunya “at-tasamuh” di kalangan wahabi dengan tujuan memenangkan Islam di seluruh dunia.
Tetapi isu yang dipertikaikan terhadap syiah adalah isu aqidah yang merupakan perinsip didalam agama ini. Adapun dari sudut sikap, syiah tidaklah terlalu “terbabas” dari kehendak Islam, ini kerana, didalam dunia kini, iran yang bermazhab syiah telah menjuarai isu untuk melawan amerika (mengikut pandangan kasar). Maka dengan demikian, dari sudut sikap inilah, perlunya Negara-negara umat Islam di dunia mengambil contoh atas keberanian Iran menentang musuh Islam antarabangsa ini.
Walaupunbegitu, tidak semua syiah mempunyai sikap yang boleh ditauladani. Ini kerana, secara faktanya, dunia Islam telah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan kerajaan osmaniyyah di turki pada tahun 1924 adalah berpunca dari syiah juga. Ini di buktikan dengan satu dokumen yang mengandungi kenyataan Aga Khan, seorang pemimpin syiah di India yang menyokong Britain dalam peperangan menyerang kerajaan Turki Osmaniyyah[15].
Justeru itu, tidak semua sikap syiah perlu ditauladani, tetapi ada sikap yang boleh ditauladani dari mereka dan ada sikap yang perlu dibuang dari jiwa umat Islam.
PENUTUP
Dari ulasan ini, secara peribadinya, aku perpendapat bahawa wahabi tidak perlu diserang sangat dalam mencapai kejayaan umat Islam di dunia, tetapi perkara yang perlu dilakukan adalah usaha kearah untuk menyatukan pemikiran dengan mengadakan satu tindakan “at-tasamuh” bersama mereka.
Adapun syiah, melihat kepada aqidah mereka, tindakan yang perlu di ambil adalah dengan mengambil pendekatan “At-tahaluf” yang dipenuhi pemerhatian dan bersikap “hati-hati”, ini kerana dibimbangi mereka melakukan dakyah aqidah mereka di kalangan penyokong dan pendokong sesuatu gerakan islam.
Sekian
P/s : tulisan ini berdasarkan pandangan peribadi penulis sahaja, tidak berkait dengan pandangan mana-mana tokoh dan keputusan gerakan islam didunia.
Wallahu ‘Alam
barangsiapa yang ingin mendalami pengajian fiqh, hadis, tafsir dan aqidah, sila layari http://one-g.blogspot.com
[1] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 28
[2] Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah : m/s 177.
[3] Lahirnya beberapa firqah dikalangan umat Islam : m/s 29.
[4] Muslim : 3/267 : hadis no : 943 dan At-Tirmizi : 12/17 : hadis no : 3516. Hadis ini sahih mengikut kiraan Albani didalam kitabnya “sahih At-Targhib wa At-Tarhib : 1/125 : 518
[5] Abu Daud : 2/425 : hadis no : 657.
[6] Said Hawa adalah naqib kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa menuntut di Universiti Madinah sekitar tahun akhir 60 an. (jihad dalam politik & persoalan Negara Islam mengikut pandangan Said Hawa : m/s 14)
[7] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 7. As-Syaikh Said Hawa menukilkan dari kitab “Al-Hukumah Al-Islamiyyah” karangan Al-Khumaini : m/s 52.
[8] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 9.
[9] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 13.
[10] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 14.
[11] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 11. As-Syaikh Said Hawa menukilkan dari kitab “Kasyf Al-Asrar” karangan Al-Khumaini : m/s 112
[12] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 12. As-Syaikh Said Hawa menukilkan dari kitab “Al-hukumah Al-Islamiyyah” karangan Al-Khumaini : m/s 71
[13] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 21.
[14] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 31.
[15] Tok Janggut : pejuang atau penderhaka? : m/s 108



MENGAPA MESTI “TAHALUF” DENGAN SYIAH ?

17042007
Sesuatu tulisan itu tidak semestinya diterima pakai oleh semua pembaca-pembaca, ini kerana, sesuatu tulisan itu kadangkala bersifat pandangan peribadi penulis sahaja.
Begitujuga tulisanku yang sering terbit diruangan Blog “laptopdarulfiqh” atau laman “Tranungkite.net”, ini kerana, tulisanku itu kebanyakan adalah tulisan yang bersifat pandangan peribadiku. Walaupunbegitu, kebanyakan tulisanku itu akan menyandarkan kepada fakta-fakta yang dinukilkan daripada Al-Quran, hadis, kitab-kitab dan juga pandangan-pandangan ulama.
Maka dengan itu, aku tidak mengendahkan sangat kritikan-kritikan terhadap tulisanku, jika tulisan tersebut lebih bersifat emosi, tidak rasional, tidak mendatangkan bukti-bukti kritikan mereka terhadap tulisanku.
Ada sebilangan pengkritik mendakwa tulisanku itu tidak memenuhi kehendak tulisan ilmiyyah, ini adalah kerana mereka melihat dari tulisanku yang terlalu tidak memberi ruang kepada aqidah syiah. Mungkin pengkritik-pengkritik itu lupa, kritikanku kepada syiah bukanlah hasil dari “mimpi” dan “angan-anganku”, tetapi tulisan itu dinukilkan dari pendapat ulama-ulama yang dikenali umum, seperti As-Syaikh Said Hawa, juga tulisan itu dinukilkan dari buku-buku tulisan ulama syiah sendiri, yang sempat aku beli semasa belajar di Pakistan dahulu.
Setelah revolusi Iran, Iran menjadi sumber rujukan pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Dengan ini, ramai dari pejuang-pejuang Islam telah terpengaruhi dengan aqidah syiah.
Hakikatnya, setelah ziarah yang dilakukan As-Syaikh Said Hawa ke Iran, juga diskusi ilmiyyah kerajaan Iran di India yang dihadiri oleh Tuan Guru Haji Harun Taib bersama Ustaz Yahya Osman setelah kejadian revolusi Iran, didapati ulama-ulama sebegini mengambil satu penilaian bahawa aqidah syiah adalah satu pegangan yang berbahaya kepada aqidah umat Islam. Walaupun begitu, tidak dinafikan iran mempunyai keberanian melawan musuh-musuh utama islam di abad ini.
Hasil dari itu, As-Syaikh Said Hawa menulis sebuah kitab yang bertajuk “Al-Khumaini : Syuzuz Fi Al-‘Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif” (Al-Kumaini : kepelikan pada aqidah, kepelikan pada pendirian), juga Tuan Guru Haji Harun Taib sendiri pernah menyampaikan satu pendedahan tentang kejahatan Syiah di Iran dalam akhir tahun 2006 yang lalu.
Selalunya, golongan yang terpengaruh dengan syiah adalah golongan yang tidak mempunyai pendirian ilmu yang kuat. Mereka adalah golongan yang tidak masuk usrah, tamrin dan sebagainya. Jika masuk pun, usrah mereka tidak mengikut cirri-ciri usrah yang sebenar, bahkan usrah yang mereka hadiri lebih bersifat seperti “ceramah politik”, dan memberi semangat perjuangan semata, tanpa menanam kefahaman islam yang sebenar.
Sebagai seorang bekas pelajar di Pakistan, mata kepala ini sendiri melihat bagaimana kejahatan dan permusuhan Syiah terhadap sunni. Jika mereka berbaik-baik dengan sunni pun, bukan keikhlasan hati mereka yang ingin berbaik, tetapi mengambil sikap “At-Taqiyyah” yang merupakan salah satu dari ajaran-ajaran syiah yang menyesatkan itu.
Maka dengan sebab itulah, menyayangi PAS daripada dimasuki unsur-unsur syiah ini, aku mula melakukan serangan kepada mereka yang beraqidah syiah dengan tujuan untuk membersihkan fahaman syiah yang wujud didalam Negara ini.
PERLEMBAGAAN PAS BERCANGGAH DENGAN AQIDAH SYIAH
Seranganku kepada syiah didalam tulisan-tulisan lepas, sebenarnya mengikut kehendak kandungan perlembagaan PAS, ini kerana, didalam perlembagaan PAS menyatakan bahawa;
“Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata.[1]
Kandungan perlembagaan PAS ini menyatakan bahawa hukum tertinggi adalah Al-Quran dan As-sunnah, Ijmak dan Qias. Ini mengandungi maksud, segala perkara yang hendak dihukumkan perlu kepada dalil-dalil yang merujuk kepada empat perkara yang tersebut.
HUKUM TERTINGGI SYIAH
Adapun Syiah, hukum tertinggi bagi mereka bukan Al-Quran dan As-Sunnah, Ijmak dan Qias, ini kerana, syiah menganggap bahawa hukum yang tertinggi disisi mereka adalah Al-Imamah.
Kenyataan ini dibuktikan dengan merujuk kitab syiah yang bernama “Hayat Al-Qulub” karangan ulama syiah yang bernama “Al-‘Alamah Al-Majlisi” dengan katanya;
إن الإمامة أعلى مرتبة من النبوة
Maksudnya;
“Sesungguhnya Imamah itu lebih tinggi martabat berbanding kenabian[2]
Begitujuga, pada syiah, sesuatu hukum yang hendak dikatakan halal atau haram, perlu merujuk kepada Imam syiah. Hal ini dibuktikan dengan kata-kata Al-Kulaini didalam kitab “Al-Kafi” dengan katanya;
فهم يحلوم ما يشاؤون و يحرمون ما يشاؤون
Maksudnya;
“Mereka (para imam) boleh menghalalkan perkara yang mereka mahu dan mengharamkan perkara yang mereka mahu[3]
SYIAH DAN AL-QURAN
Hakikatnya, syiah tidak berpegang teguh dengan Al-Quran. Al-Quran yang digunakan pakai oleh syiah tidak sama dengan Al-Quran diguna pakai oleh sunni. Ini jelas dengan kenyataan Al-Kulaini yang disandarkan kepada ‘Jaafar bin Muhammad Sadiq” yang berkata;
إن عندنا مصحف فاطمة عليها السلام , وما يدريهم ما مصحف فاطمة …. مصحف فيه مثل قرءانكم هذا ثلاث مرات
Maksudnya;
“Sesungguhnya kami mempunyai mashaf Fatimah R.A. Apakah Mashaf fatimah ? .. Mashaf yang mempunyai kandungan lebih tiga kali ganda dari mashaf kamu[4]
SYIAH DAN SUNNAH
Syiah juga tidak berpegang dengan Sunnah. Mana mungkin mereka beriman dengan sunnah, sekiranya ramai dari sahabat-sahabat nabi yang dikafirkan oleh mereka.
Ini di buktikan dengan merujuk kitab syiah yang bernama “Al-Kafi” dengan dakwaan kitab itu dinukil dari kata-kata Jaafar bin Muhammad As-Sadiq;
كان الناس أهل ردة بعد النبى صلى الله عليه و سلم إلا ثلاثة , فقلت من الثلاثة ؟ : فقال : المقداد بن الأسود وأبو ذر الغفارى و سلمان الفارسى
Maksudnya;
“semua manusia murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW melainkan tiga orang. Ditanya; siapakah tiga orang itu? : dijawab; Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghiffari dan Salman Al-farisi[5]
Bukan itu sahaja, mereka sanggup menyatakan bahawa sahabat besar yang bernama Abu Bakar As-Siddiq[6] dan Samurah bin Jundab[7] adalah orang yang memaudukkan (memalsukan) hadis. Hal ini boleh di rujuk didalam kitab karangan Al-Khumaini sendiri, iaitu kitab “kasyf Al-Asrar” di halaman 112 dan kitab “Al-Hukumah Al-Islamiyyah” di halaman 17.
SYIAH DAN IJMAK
Syiah tidak mengikut ijmak ulama, sedangkan mengikut ijmak merupakan perkara yang wajib dan disepakati oleh ulama atas mengikutinya.
Ini didalikan kepada firman Allah;
وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
Maksudnya;
“dan sesiapa Yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan (kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
(Surah An-Nisa’ : 115)
Adapun syiah, mereka melanggari kewajipan ini. Antaranya adalah mereka menghalalkan kahwin mutaah yang telah diharamkan oleh Allah berdasarkan kepada Ijmak Ulama.
Antara bukti penghalalan kahwin mutaah ini adalah berdasarkan kepada kenyataan Al-Khumaini sendiri didalam kitab karangannya yang bernama “Tahrir Al-wasilah”;
“tidak perlu ditanya kepada perempuan yang hendak di mutaahkan, samada ianya sudah bersuami atau tidak[8]
Ijmak muslimin mengatakan pengharaman Kahwin mutaah. Termasuk juga yang mengharamkan kahwin mutaah adalah ‘Ali bin Abi Talib.[9]
AT-TAHALUF DENGAN SYIAH
Tahaluf “تحالف” berasal dari kalimah hilf “حلف” (berbaris kasrah) yang bermaksud al-‘ahd “العهد”[10] atau “perjanjian / kasih sayang / kesejahteraan / aman”[11].
Adapun tahaluf “تحالف” membawa maksud “bersumpah setia untuk saling membantu[12]
Menurut buku “Daurah Tadribiyyah PAS[13]” tahaluf ialah “perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan Bantu membantu untuk menghadapi lawan”.
DALIL-DALIL TAHALUF
a. Daripada ‘Asim bin Sulaiman, berkata ia;
قلت لأنس أبلغك أن النبي (ص) قال لا حلف في الإسلام قال قد حالف النبي (ص) بين قريش والأنصار في داري
Maksudnya;
“Aku berkata kepada Anas; ‘Aku sampaikan kepada kamu, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, tiada pakatan didalam Islam. Lalu berkata ia (Anas), sesungguhnya Rasulullah SAW telah melakukan pakatan diantara Qurash dan Ansar di rumahku[14]
Ibnu Hajar mengulas hadis ini didalam kitabnya yang bertajuk “Fath Al-bari” bahawa ucapan anas didalam hadis ini terkandung menginkari penafian pakatan di dalam Islam, bahkan ianya mengisbatkan lagi atas kewujudan pakatan itu.
Daripada hadis ini, memungkinkan kepada kita menghimpunkan maksud kedua-duanya dengan bahawa, maksud لا حلف فى الإسلام ialah larangan pakatan berlaku di dalam jahiliyyah, ini kerana, orang-orang jahiliyyah ketika itu terlalu zalim, dan apabila dilakukan pakatan, seakan mengandungi maksud, islam juga akan berpakat dalam melakukan kezaliman.
Adapun maksud kata Anas قد حالف النبى (ص) بين قريش و الأنصار , memberi maksud kebenaran selepas dari jahiliyyah, kerana ianya mengandungi maksud memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi, melaksanakan ajaran agama dan yang seumpama dengannya[15].
Didalam kitab “‘Umdah Al-Qari” menyebut, maksud pada penafian pakatan didalam hadis yang pertama memberi maksud, larangan atas melakukan pakatan jahiliyyah. Adapun mengisbatkan pakatan didalam hadis anas pula adalah mengandungi maksud persaudaraan dalam melakukan ketaatan kepada Allah[16].
b. Daripada Talhah bin Abdillah bin Auf;
أن رسول الله (ص) قال لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعم ولو ادعى به في الإسلام لاجبت
Maksudnya;
“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya Aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an akan satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya dizaman Islam, nescaya aku menyahutinya[17]
Berkata Al-Qutaibi : seperti yang disampaikan kepadaku, bahawa sebab berlakunya pakatan itu adalah, Quraish telah melakukan kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin Jad’an dan Zubair bin Abdul Muttalib mengajak mereka kepada pakatan atas melakukan pertolongan dan mengambil orang yang dizalimi dari tangan orang zalim. Ajakan itu telah disahut oleh Bani Hasyim dan setengah kabilah daripada Qurash[18].
Menurut Ibnu Ishaq bin Yasar, setengah kabilah Quraish itu adalah, Bani Hashim bin Abdul Manaf, Bani Al-Muttalib bin Abdul Manaf, Bani Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qusai, Bani Zuhrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah.
Mereka melakukan pakatan itu di rumah Abdullah bin Jad’an, dan mereka menamakan pakatan itu dengan Half Al-Fudhul “حلف الفضول”[19].
PENUTUP
Setelah difahami dari maksud At-tahaluf yang telah di ulas di atas, di fahami bahawa, maksud disebalik tahaluf tidak bercanggah dengan maksud “Taqrib mazahib” yang dicetuskan oleh ulama-ulama.
Jika fikrah taqrib mazahib adalah untuk menyatukan pendirian Sunni dan syiah dalam menyerang musuh Allah yang sedang melakukan kezaliman terhadap umat Islam, maka fikrah tahaluf pula mengandungi maksud yang sama.
Jika Rasulullah SAW memuji “tahaluf” yang berlaku di zaman Jahiliyyah yang diasaskan atas tujuan hendak memberi penjagaan terhadap manusia yang dizalimi, maka apa salahnya jika melakukan tahaluf antara sunni dan syiah untuk menentang amerika dan sekutu-sekutunya yang sedang hebat menghina dan menghancurkan islam.
Walaubagaimanapun, sikap at-tahaluf tersebut hendaklah berdasarkan fikrah “bersatu atas perkara yang boleh bersatu”, adapun dalam perkara aqidah, “tidak ada tahaluf” sesama sunni dan syiah, ini kerana, fikrah menkafirkan sahabat adalah aqidah syiah yang sama sekali tidak boleh diselarikan dengan aqidah sunni.
Wallahu ‘Alam
One_G
sesiapa yang ingin mendalami pengajian Fiqh, Hadis, Tafsir dan Aqidah, sila layari : http://one-g.blogspot.com
p/s : ulasan ini adalah dari pandangan peribadi penulis, tidak berkait dengan mana-mana pandangan gerakan islam di dunia.
[1] Perlembagaan Parti islam Semalaysia (PAS) Pindaan 1993 : fasal 7 (1). m/s 4.
[2] Hayat Al-Qulub : 3/10.
[3] Usul Al-Kafi : m/s 287.
[4] Al-Kafi :1/239-241.
[5] Al-Kafi : 3/85.
[6] Kasyf Al-Asrar : m/s 112
[7] Al-hukumah Al-Islamiyyah : m/s 71.
[8] Tahrir Al-Wasilah : 2/292.
[9] Al-Khumaini : Syuzuz Fi Al-‘Aqaid, Syuzuz fi Al-Mawaqif : m/s 18.
[10] Mukhtar As-Sahah : 1/63.
[11] Kamus tullab : hlmn 727.
[12] Kamus tullab : hlmn 262.
[13] Hlmn 157. buku ini diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan latihan kepimpinan PAS Pusat pada tahun 2001.
[14] Al-Jam’u Baina As-Sahihain : 2/597. hadis no : 1985
[15] Fath Al-bari Syarah Sahih Al-bukhari : 10/502.
[16] ‘Umdah Al-Qari : 22/147.
[17] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367 . hadis no : 12859.
[18] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367
[19] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367

https://syahid86.wordpress.com/category/syiah/

No comments: