Membaca al-Quran Bagi Mereka Yang Meninggal Dunia Dan Sedekah Pahala Kepada Kedua IbuBapa
1. Apakah hukumnya pembacaan al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia?
2. Bolehkah kita sedekahkan pahala bacaan al-quran untuk ibu bapa kita yang masih hidup?
Jawapan: jawapan 1:
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Membaca al-Quran untuk orang Islam yang telah meninggal dunia digalakkan dalam Islam dan sesuatu yang tidak bercanggah dengan akidah Islam.
Allah ta^ala berfirman:
وَافْعَلُوا الْخَيْرَ
Maknanya: "Dan kamu lakukanlah kebaikan". [Surah al-Hajj: 77]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda:
اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس
Maknanya: "Kamu bacalah Surah Yasin untuk orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu". [Diriwayatkan dan disahihkan oleh Ibn Hibban]
Ahlu`l-Haqq (Ulama Ahli`s-Sunnah wa`l Jama^ah) berijma^ bahawa pembacaan al-Quran untuk orang yang telah meninggal dunia dibolehkan dan ada manfaatnya.
Al-Imam al-Shafi^i berkata:
لَوْ قَرَءُوا عِندَ قَبْرِهِ شَيْئًا مِنَ الْقُرْءَانِ كَانَ حَسَنًا وَلَوْ قَرَءُوا الْقُرْءَانَ كُلَّهُ كَانَ أَحْسَنَ
Maknanya: "Jika mereka membaca sesuatu dari al-Quran di sisi kubur seorang muslim maka itu suatu perkara yang baik. Jika mereka membaca seluruh al-Quran maka itu lebih baik". [Dinaqalkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitab beliau Riyadu`s Salihin]
والله أعلم وأحكم
Jawapan 2:
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Membaca al-Quran dan doa untuk ibu bapa muslim yang masih hidup adalah sesuatu yang dibenarkan oleh ajaran Islam. Dan sesiapa yang melakukannya mendapat ganjaran pahala di sisi Allah taala. Allah taala berfirman berhubung nabi nuh dalam surah nuh ayat 28:
Mafhumnya :"Wahai Tuhanku! ampunkanlah daku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa saja yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan".
Ini menunjukkan seseorang itu dibenarkan mendoakan ibubapa mereka sama ada mereka masih lagi hidup atau setelah mereka meninggal dunia. Begitu juga mendoakan saudara-saudara seislamnya yang lain. Terutamanya jika doa yang dilakukan itu untuk orang tidak berada di hadapan kita.
والله أعلم وأحكم
https://www.facebook.com/notes/mohamad-zakuwan/membaca-al-quran-bagi-mereka-yang-meninggal-dunia-dan-sedekah-pahala-kepada-kedu/671389656242650
No comments:
Post a Comment