Isu Syiah telah hangat di Malaysia, setelah media memberi ruang besar-besaran kepada isu Syiah untuk dibincangkan, rakyat Malaysia sudah semakin jelas tentang isu Syiah. Tidak sukar untuk kita memahami kenapa TV dan akhbar arus perdana memberi fokus isu berkenaan dengan akidah umat Islam, sedangkan mereka sekian lama tidak pernah endah pun isu-isu akidah dalam banyak perkara. Ia adalah kerana ada sentimen politik untuk mengaitkan pemimpin parti bukan parti mereka. Jika ada ahli parti mereka Syiah, mereka akan diamkan sahaja. Namun dari sudut positifnya, rakyat Malaysia sudah sedar hakikat Syiah yang sebenarnya. Sekurang-kurangnya mana-mana yang ingin terpengaruh dengan Syiah, atau berlembut dengan Syiah, sudah dapat mengenali siapa Syiah sebenarnya. Walaupun begitu, ada isu lain yang penting untuk diteliti.
Sejarah Isu Syiah
Isu Syiah bukan baharu di Malaysia. Seingat saya, sejak tahun 90an lagi (atau mungkin 80an), antara tokoh awal yang membangkitkan isu Syiah ialah Maulana Asri Yusuf dan mufti WP Dato Wan Zahidi Wan Teh bermati-matian menerangkan kepada masyarakat tentang bahaya Syiah. Sedangkan betapa ramai para ahli akademik, para mufti, para ulama’ para ustaz masih menganggap Syiah adalah mazhab kelima. Ini berikutan sentimen revolusi ‘Islam’ Iran yang dijaja secara besar-besaran oleh media dan para ustaz. Iran dijadikan model negara Islam. Iran dijadikan contoh pelaksanaan hukum hudud. Kalau Mat Sabu terpengaruh dengan Iran, tidaklah menjadi isu kerana boleh dikatakan pengaruh ‘Islam’ versi Iran menyeluruh masuk ke dalam masyarakat, dan tidak dihiraukan pun oleh para agamawan. Tokoh-tokoh yang berbuih mulut menerangkan isu Syiah dan ‘tipudaya’ Iran, dilihat sebagai tokoh yang ekstrem dan keras. Krisis Syiria sebenarnya yang banyak mengubah persepsi masyarakat kita terhadap Iran. Bahkan sekitar tahun 2008, saya pernah dengar seorang ahli akademik di salah sebuah IPTA sewaktu bersembang teh di cafe, mengkritik tokoh seperti Maulana Asri Yusuf yang baginya amat keras terhadap Syiah, tetapi sekitar tahun 2012, akhirnya beliau sendiri menyertai forum awam menjelaskan kesesatan Syiah.
Jelas, bahawa krisis di Syria membuka pekung Iran selama ini. Ada yang tidak mahu membangkitkan isu sektariat, isu mazhab, di Syria itu terpulanglah kepada analisi masing-masing, tapi realitinya penduduk Syria yang mengetahui. Tidak kurang ada yang menganalisis krisis Syria dari sudut politik atau ‘real-politik’ atau tapi realiti yang berlaku, hanya sunni yang dibunuh kejam di sana. Dan Iranlah yang membantu. Akhirnya media malaysia highlight isu Syiah dan masyarakat kita sudah berbeza pandagannya tentang Syiah.
Syiah
Sebenarnya Syiah yang dimaksudkan berbeza dengan Islam ialah Syiah yang mendakwa Quran itu telah ditokok tambah, para sahabat semua kafir kecuali beberapa orang, mereka mengutuk dan mencerca sahabat seperti Abu Bakar, Umar, dan Muawiyah dan isteri baginda Rasulullah SAW, Aisyah. Mereka mendakwa Imam-imam mereka maksum dan boleh mengetahui perkara ghaib, juga mendakwa Allah kadang-kala tahu dan kadang-kala tidak tahu, tentang masa depan. Mengapa kita tidak boleh menerima mereka sebahagian daripada Islam? Sebab mereka telah menghancurkan sumber utama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Mendakwa Quran hari ini tidak betul, tidak smpurna, ertinya tiadalah lagi rujukan umat Islam yang utama. Mendakwa sahabat Rasulullah SAW termasuk isteri baginda kafir, merobohkan sumber al-Sunnah, kerana sunnah tidak datang kepada kita kecuali daripada jalan sahabat. Saya percaya, masyarakat hari ini semua tahu perkara ini walaupun suatu ketika dulu maklumat ini amat janggal. Yang menjadi masalah ialah prinsip utama Syiah adalah bertaqiyyah, iaitu mereka tidak akan mengaku Syiah, terutama jika ia memberi kelebihan stretegik kepada mereka.
Bagimana Berinteraksi Dengan Taqiyyah?
Prinsip ahli sunnah ialah tidak mengkafirkan mereka yang mengucap dua kalimah Syahadah dan mengaku Islam. Dalam hadis yang sahih, Rasulullah SAW berpesan:
“قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من صلى صلاتنا واستقبل قبلتنا وأكل ذبيحتنا فذلك المسلم الذي له ذمة الله وذمة رسوله”
“Sesiapa yang sembahyang dengan sembahyang kita (menyembah Allah) dan mengadap ke arah kiblat kita, dan memakan sembelihan kita, maka mereka itu adalah MUSLIM dan baginya tanggungan daripada Allah dan RasulNya.”
Hadis ini dengan kata lain tidak membenarkan kita untuk mengkafirkan seseorang yang mengaku dirinya Islam. Jika seseorang mengaku Syiah tetapi dia berkata dia mengiktiraf Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, juga tidak menafikan al-Quran, tidak mengkafirkan sahabat, tidak mencerca para isteri Nabi, kita tidak boleh menuduhnya sebagai Syiah yang terkeluar daripada agama, walaupun dia bertaqiyyah, selagi kita tidak ada bukti bahawa dia bertaqiyyah.
Bahkan secara realitinya, tidak semua rakyat Iran atau mereka yang dilahirkan Syiah mereka tahu prinsip-prinsip Syiah yang mengkafirkan sahabat. Ada antara Syiah yang tak tahu pun prinsip sahabat itu kafir, mereka hidup secara ‘sekular’, bersembahyang cara biasa, baca Quran cara biasa bahkan mungkin kadang-kala tidak sembahyang pun. Jadi tidaklah kita boleh hukum peribadi seseorang kafir atau terkeluar daripada Islam dengan mudah.
Begitu juga para sarjana yang terpengaruh dengan khomenisme di Malaysia, termasuklah pemimpin parti politik. Walaupun simptom Khomenisme memberi impak besar kepada perkembangan ajaran Syiah, tetapi kita tidak boleh menuduh mereka Syiah hanya kerana mereka pro khomenisme. Mereka mungkin terkeliru, sebagaimana para ulama Malaysia kita yang begitu ramai terkeliru dengan Syiah. Usahkan Malaysia, betapa ramai sarjana di dunia ini dipermainkan oleh Syiah, hatta Yusuf al-Qaradawi pun akhirnya mengaku serik dengan mainan Syiah. Qaradawi sendiri mengaku menyesal usaha-usaha mendekatkan Sunni Syiah sekadar menjadi mainan politik Syiah terutama Iran.
Kita menolak Syiah, bukan kerana namanya Syiah, tapi kerana kandungannya yang bercanggah dengan asas-asas Islam. Falsafah Syiah yang lahir daripada dendam amat berbeza dengan falsafah Islam sebagai agama kasih sayang sekalian alam. Namun, untuk menuduh seseorang itu berfahaman Syiah yang sesat, kita perlukan bukti pengakuan daripadanya sendiri, jika dia tidak mengaku, ertinya kita sekadar boleh kata pro-Syiah atau tidak memahami Syiah. Dan ia perlu diperincikan. Tidak semudah itu menuduh seseorang itu Syiah
Menangani Isu Syiah Dalam Konteks Negara
Syiah sebuah aliran yang lahir daripada dendam dan nostalgia yang tidak habis. Mereka asyik membangkitkan dendam lama yang kononnya akibat pertumpahan darah Husayn oleh Yazid. Setiap tahun mereka memaki mencerca Yazid dan Aisyah isteri Rasulullah kerana kononnya memerangi Ali. Dendam ini berterusan hingga ke hari kiamat. Mereka menghalalkan darah sunni untuk dibunuh. Inilah yang menjadi ancaman kepada sesebuah negara. Di mana ada Syiah, bila membiak, akan huru-haralah negara. Akan berlakulah pemberontakan. Tidak ada dalam sejarah negara Islam, mereka boleh aman damai, kecuali ketika Syiah itu sedikit.
Sesetengah para intelektual, atau kononnya intelektual yang terbuka, tidak bersetuju dengan cara pemerintah melakukan tindakan sekatan undang-undang terhadap Syiah atas pelbagai alasan. Membodohkan rakyat, menyekat kebebasan intelek, isu hak warganegara penganut Syiah dan pelbagai alasan. Ya, pada dasarnya kita bersetuju, dialog ilmiah, secara terbuka dianjurkan. Kita bersetuju penerangan secara besar-besaran melalui media cetak dan elektronik secara wacana terbuka. Dan kita juga bersetuju, dalam beberapa kes perlu ada sekatan undang-undang. Tidak pelik saranan untuk sekadar berwacana intelek, dalam menangani Syiah lahir daripada golongan intelektual, kerana hidup mereka cuba berinteraksi dengan buku. Mereka tidak berinteraksi dengan realiti. Betul, hak warga negara tidak boleh dipersoalkan, tapi Syiah perlu kita faham, mereka bukan aliran biasa yang sekadar tidak bersetuju dengan ahli Sunnah, tetapi mereka mengutuk mencerca, membangkit kemarahan ahli mereka terhadap para sahabat dan ahli sunnah. Hidup mereka penuh hasutan. Ini bukan tuduhan tetapi boleh dilihat di Youtube sambutan 10 Muharam mereka penuh dengan ‘air mata darah’. Ini yang menjadi masalah. Hak warga negara apa yang kita perkatakan? Hak terhadap penghasut dan pencerca aliran orang lain? Ahli sunnah tidak sesekali mengkafirkan Syiah. Yang menjadikan mereka kafir ialah kerana mereka sendiri menuduh para sahabat Rasulullah SAW kafir. Jika kita yang sealiran dengan para sahabat Rasulullah dituduh kafir, jadi mereka itu siapa?
Justeru, wacana ilmiah secara terbuka perlu dijelaskan kepada masyarakat. Agar masyarakat jelas tentang Syiah, tentang taqiyyah mereka. Tetapi pada masa yang sama tidak mudah menuduh secara personal orang itu Syiah dan sebagainya. Kecuali jika mereka mengaku berpegang dengan pegangan-pegangan mereka yang menyeleweng. Untuk menguji mereka bertaqiyyah bukanlah susah. Berbicara dengan mereka lebih 3 jam, pusingkan soalan, akhirnya terkeluarlah laknat-laknat mereka terhadap para sahabat Nabi. Antara pantang mereka ialah memuji isteri Rasulullah SAW, Aisyah, juga memuji kehebatan Sayyidina Umar al-Khattab.
Kesimpulan
Walaupun Syiah yang wujud di dunia sekarang ini ideologinya dikuasai oleh aliran Syiah Imamiyah mengandungi unsur yang menyalahi akidah Islam, adalah tidak semudah itu kita boleh menuduh seseorang itu sebagai Syiah. Walaupun kita tidak suka dengan mereka yang pro Khomeini, tetapi tidaklah boleh kita tuduh mereka Syiah. Walau boleh nasihat, maka nasihatkanlah. Unsur taqiyyah pula kita kena buktikan dia bertaqiyyah. Jika tidak dapat buktikan, tidaklah kita boleh tuduh sembarangan kerana Rasulullah melarang mengkafirkan orang lain. Prinsip Syariah, kita Cuma menilai yang zahir sahaja. Lain-lain, serah kepada Allah. Pada masa yang sama, wacana ilmiah dan penjelasan hakikat Syiah perlu diteruskan. Sekurang-kurangnya mereka yang pro khomeini mungkin suatu masa akan memahami hakikat itu. Penganut Syiah sendiri pun ada pelbagai, ada yang tidak bersetuju dengan prinsip mengkafirkan sahabat. Bagi mereka ini, tidaklah kita menuduh mereka terkeluar daripada Islam selagi mereka sendiri tidak mengeluarkan mereka daripada kelompok sahabat Nabi.
No comments:
Post a Comment