MENJAWAB KRITIKAN SEORANG DR.PhD-SENI HADITH YANG EGO DAN TIDAK BERADAB :
Perbahasan: Status Hadith “Jazallaahu ‘anna Muhammadan bi-ma huwa ahluhu”: Satu Analisis
ARG dapati masalah bermula adalah apabila wahhabi menganggap mereka yang menyampaikan riwayat ini sebagai “tidak tahu” status hadith tersebut seolah-olah orang yang meriwayatkan hadith ini sebagai jumud, buruk perangai dan bodoh dalam disiplin ilmu hadith. Hakikatnya, ulama-ulama telah lama membahaskan hadith ini secara terperinci dan kompleks. Namun, kaum Wahhabi yang singkat pembacaannya dan kurang kritikal pemikirannya, akhirnya seringkali mengambil jalan pintas dalam memahami konsep status sesuatu hadith yang bercanggah dengan disiplin ilmu hadith yang dihujungnya akhirnya melahirkan penuntut ilmu yang merasakan diri mereka pandai tetapi sangat jauh dari pandai. Dalam Artikel kali ini Pihak ARG akan membuat analisis terhadap status hadith ini.
1. Hadith ini bermula dari riwayat Imam Abu Nu’am dalam Hilyah al-Auliya dan Imam Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Mu’jam al-Ausath. Dan berikut adalah teks riwayat dalam al-Mu’jam:
حدثنا أحمد بن رشدين قال حدثنا هانئ بن المتوكل قال حدثنا معاوية بن صالح عن جعفر بن محمد عن عكرمة عن ابن عباس قال قال رسول الله من قال جزى الله عنا محمدا بما هو أهله أتعب سبعين كاتبا ألف صباح لم يرو هذا الحديث عن عكرمة إلا جعفر بن محمد ولا عن جعفر بن محمد إلا معاوية بن صالح تفرد به هانئ بن المتوكل
“Ahmad bin Rasydin menceritakan kepada kami. Dia berkata: “Hani’ bin al-Mutawakkil menceritakan kepada kami”. Dia berkata: “Mu’awiyah bin Shalih menceritakan kepada kami”. Dari Ja’far bin Muhammad, dari Ikrimah, dari Ibn Abbas. Dia berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca: “Jazallaahu ‘anna Muhammadan bi-ma huwa ahluhu”, maka itu memenatkan 70 malaikat yang menulis selama 1000 waktu shubuh”. Tidak meriwayatkan Hadith ini dari Ikrimah kecuali Ja’far bin Muhammad. Tidak meriwayatkan dari Ja’far kecuali Mu’awiyah bin Shalih. Hani’ bin al-Mutawakkil menyendiri (berasingan) dalam meriwayatkan”.
Hani’ bin al-Mutawakkil yang menyendiri (tafarrud) inilah yang dimaksudkan Ibn Hibban bahwa Hadithnya “munkar”, bukan munkar bermakna perawi dhaif yang menyelisihi perawi tsiqah yang dhaif jiddan.
2. Ibn Hibban, sebagaimana dalam banyak sekali nukilan, mengatakan tentang Hani’ bin al-Mutawakkil berikut:
كان تدخل عليه المناكير، وكثرت، فلا يجوز الاحتجاج به بحال
“Masuk kepada Hani’ bin al-Mutawakkil Hadith-Hadith munkar (meriwayatkan Hadith munkar) dan itu banyak, maka dia tidak boleh dibuat hujjah dalam keadaan apa pun”.
3. Ucapan ini bermakna, ketika perawi meriwayatkan Hadith-Hadith munkar dan itu banyak kali, maka ia jatuh sebagai perawi yang “munkarul Hadith” dan Hadithnya ditinggalkan. Dan Hani’ bin al-Mutawakkil, menurut Ibn Hibban telah memenuhi unsur tersebut, sehingga ia sangat lemah. Dalam hal ini, as-Sakhawi berkata:
ابن دقيق العيد في شرح الالمام قولهم روى مناكير لا يقتضي بمجرده ترك روايته حتى تكثر المناكير في روايته وينتهي الى ان يقال فيه منكر الحديث لان منكر الحديث وصف في الرجل يستحق به الترك لحديثه
“Ibn Daqiq al-Id dalam Syarah al-Ilmam berkata: “Ucapan ulama: “Meriwayatkan Hadith-Hadith munkar” tidak bermakna ditinggalkan riwayatnya, hingga ia memperbanyak riwayat munkar, dan sampai kepada penilaian munkarul Hadith. kerana munkarul Hadith adalah sifat untuk perawi yang Hadithnya ditinggalkan”.
Dengan demikian, dalam pandangan Ibn Hibban, Hadith di atas adalah Hadith munkar atau gharib (istilah dalam Hilyah) dalam erti sendirian (terasing) dan Hani’ bin al-Mutawakkil sendiri adalah perawi yang sangat lemah, kerana seringnya meriwayatkan Hadith munkar.
4. Hadith diatas, sebagaimana dikatakan Thabarani, Ibn Hibban, Abu Nu’aim adalah tafarrud (terasing atau menyendiri) yang kemudian dipersetujui oleh ulama Hadith lain, seperti al-Hafizh Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan. Dan status Hadith di atas adalah “Hadith munkar” atau “gharib” atau “tafarrud”, bukan bermakna munkar kerana perawinya dhaif yang menyelisihi perawi-perawi tsiqah yang Hadithnya jatuh dhaif sekali.
5. Imam at-Tahanawi dalam Qawaid fi Ulum al-Hadith yang menukil ucapan Al-Hafizh Ibn Hajar dalam Muqaddimah Fath al-Bari berkata:
قال الحافظ في مقدمة الفتح في ترجمة محمد بن ابراهيم التيمي بعد ذكر قول أحمد فيه يروي أحاديث مناكير قلت : المنكر اطلقه احمد بن حنبل وجماعة على الحديث الفرد الذي لا متابع له
“Al-Hafizh Ibn Hajar dalam muqaddimah Fathul Bari, ketika menjelaskan biografi Muhammad bin Ibrahim at-Taimi, setelah menyebutkan ucapan Imam Ahmad tentangnya yang meriwayatkan Hadith-Hadith munkar, berkata: “Hadith munkar diucapkan Ahmad bin Hanbal dan segolongan ulama atas Hadith yang menyendiri (terasing) yang tidak mutabi’-nya (kerana sendirian)”.
Inilah maksud “munkar” pada Hadith Hani’ bin al-Mutwakkil di atas. Dengan demikian, jika kita ingin menilai status Hadith ini, maka semestinya adalah menilai dari status Hani’ bin al-Mutawakkil, bukan status munkarnya, kerana munkarnya hanya bermakna terasing, bukan munkar yang bermakna sangat lemah.
6. Di atas telah kami jelaskan status perawi Hani’ bin al-Mutawakkil yang menurut Ibn Hibban adalah perawi yang dhaif sekali. Tetapi apakah semua ulama menilainya demikian? Yang kami temukan, Imam Ibn Qaththan hanya menilai dia “tidak diketahui keadaannya”.
Dalam Lisan al-Mizan, al-Hafizh Ibn Hajar menukil ucapan Ibn Qaththan:
وأما هانئ فقال ابن القطان لا يعرف حاله
“Ada pun Hani’, maka kata Ibn Qaththan, dia tidak diketahui keadaannya”.
Menjelaskan istilah Ibn Qaththan ini, Imam al-Luknawi berkata:
ان ابن القطان يتكلم في كل من لم يقل فيه امام عاصر ذلك الرجل او اخذ عمن عاصره ما يدل على عدالته وفي الصحيحين من هذا النمط كثيرون ما ضعفهم احد ولا هم بمجاهيل انتهى
“Ibn Qaththan membincangkan setiap perawi yang tidak dinilai apa pun oleh Imam Hadith dizaman perawi tersebut atau diambil daripada orang yang semasa yang menunjukkan keadilannya. Dan dalam “Shahihain” banyak perawi yang seperti ini; tidak didhaifkan siapa pun dan mereka bukan perawi majhul”.
7. Jika penjelasan ini diterima, maka Hani’ bin al-Mutawakkil menurut Ibn Qaththan bukan perawi yang dhaif sekali. Paling tidak adalah dhaif yang ringan. Andai pun dia adalah perawi majhul, maka perawi majhul Hadithnya adalah dhaif ringan.
Al-Hafizh Ibn Hajar dalam Fathul Bari berkata:
وقال ابن العربي هذا الحديث وإن كان فيه مجهول لكن يستحب العمل به
“Ibn al-Arabi berkata: “Hadith ini, walaupun terdapat perawi yang majhul, tetapi sunat diamalkan”.
8. Jika kita bertolak dari penilaian Ibn Qaththan bahawa Hani’ bin al-Mutawakkil bukan dhaif berat, dan riwayat yang ia bawakan adalah gharib atau tafarrud, maka dengan mutabi’ jalur lain yang dibawakan al-Hafizh as-Sakhawi (nanti akan kami nukilkan) dapat menguatkan posisinya. Dan yang demikian dapat mengangkat derajatnya. Paling tidak dhaif ringan yang mendekati hasan.
9. Jalur riwayat lain yang disampaikan oleh al-Hafizh as-Sakhawi dalam “al-Qaul al-Badi’”, setelah menyampaikan riwayat jalur Hani’ bin al-Mutawallil, beliau berkata:
وأخرجه أبو القاسم التيمي في ترغيبه وعنه أبو القاسم ابن عساكر ومن طريقه أبو اليمن من غير طريق هانئ لكن فيه رشدين بن سعد ضعيف أيضا وتابعهم أحمد بن حماد وغيره كلهم عن معاوية بن صالح والحديث مشهور به كما قال ابو اليمن
“Hadith di atas juga dikeluarkan oleh Abul Qasim at-Taimi dalam Targhib-nya. Dan daripadanya Abu Qasim Ibn Asakir. Dan dari jalurnya terdapat Abul Yaman dari jalur selain Hani’, tetapi didalamnya ada Risydin bin Sa’ad yang juga dhaif. Dan mutaba’ah atas mereka adalah Ahmad bin Hammad dan yang lain dan semuanya melalui jalur Mu’awiyah bin Shalih”.
Dengan nukilan tersebut, paling tidak menurut as-Sakhawi Hadith ini terdapat dua jalur, iaitu melalui Hani’ bin al-Mutawakkil sebagaimana di atas dan jalur lain oleh Abul Qasim at-Taimi. Dan kini tinggal kita memperjelaskan kedudukan Hadith di atas.
10. Jika kita mengikut pendapat bahawa Hani’ bin al-Mutwakkil adalah dhaif jiddan, maka kita boleh menggunakan jalur lain yang dibawakan as-Sakhawi yang tidak melalui jalur Hani’ bin Mutawakkil. Dan masalah selesai serta tidak perlu lagi diperdebatkan.
11. Jika kita mengikuti pendapat Hani’ bin al-Mutawakkil adalah dhaif ringan sebagaimana Ibn Qaththan, maka perbincangan juga telah selesai, kerana dhaif ringan dapat diamalkan dalam fadhilah amal. Apatah lagi terdapat mutabi’ dari jalur lain.
12. Jalur lain yang dibawakan as-Sakhawi terdapat perawi yang bernama Risydin bin Sa’ad. Dan bagaimana penilaian ulama’ tentang dia?
Al-Hafizh al-Haitsami dalam Majma’ Zawaid berkata tentangnya:
وفيه رشدين بن سعد وثقه هيثم بن خارجة وأحمد بن حنبل في رواية وضعفه آخرون
“Didalam sanadnya terdapat Risydin bin Sa’ad yang ditsiqahkan Haitsam bin Kharijah dan Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat. Dan didhaifkan oleh ulama yang lain”.
13. Perawi yang bernama Mu’awiyah bin Shalih juga masih diperselisihkan ulama, tetapi ramai sekali yang men-tautsiq (menilai tsiqah) beliau, seperti Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Abu Zur’ah, an-Nasa’i dan lain-lain.
Jika ada yang mengatakan “Andai pun mutaba’ah riwayat as-Sakhawi diterima, tapi Mu’awiyah bin Shalih tetap tafarrud sehingga tetap disebut Hadith munkar” maka itu adalah hujah yang tertolak. Kerana tafarrud atau gharib tidak serta merta automatik Hadithnya adalah lemah.
14. Apakah mutaba’ah dari kitab ajza’ Hadithiyah dari ulama mutaakhirin tidak boleh menjadi mutaba’ah? Kami sendiri tidak tahu sumber ucapan itu, kerana dalam kitab-kitab musthalah Hadith yang kami teliti belum kami temukan ucapan seperti itu, tetapi pada ucapan as-Sakhawi yang menyebut “mutaba’ah” bagi kami sudah lebih daripada cukup. Jika pun betul ada perkataan yang katanya datang dari Ibn Shalah yang menolak, maka kemungkinannya adalah khilaf atau boleh dipadukan (jam’u). Wallahualam.
Disediakan Oleh:
Unit Penyelidikan
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)
No comments:
Post a Comment