hukum syarak Assyafi'e
Hapiz Kodiang
KENAPA ULAMA SYAFI’IYYAH TERKEMUDIAN TIDAK MEMBACA AL-UMM DAN KITAB-KITAB ASHABUL WUJUH SEBELUM ZAMAN IMAM AL-RAFI’IY DAN IMAM AL-NAWAWI?
Semasa belajar 4 thanawi dahulu, guru-guru pondok memberitahu bukan level kita untuk membaca kitab induk Imam al-Syafi’i. Cukuplah membaca kitab mukhtasarat seperti al-Ghayah wa al-Taqrib, Fathul Qarib, Matan Zubad atau Safinatunjjah saja. Lepas habis itu, boleh baca pula al-Iqna’, Mughniy al-Muhtaj atau Qalyubi wa Umairah. Tidak perlulah membaca al-Majmuk kerana ia adalah kitab rujukan fuqaha maqam tinggi. Tuan Guru pesan, bukan tidak boleh baca al-Umm atau al-Majmuk. Cuma takut hampa tak faham dan tersalah faham.
Selepas berada di pengajian tinggi. saya cuba memahami semula apa maksud “Tak payahlah baca al-Umm dan al-Majmuk?”. Fikir saya, kalau itu adalah kitab induk pembinaan fatwa mazhab Syafi’I, kenapa saya sebagai pengikut mazhab mesti disekat membacanya?... Selepas menelaah sejarah perkembangan mazhab Syafi’i dan cuba belek sikit-sikit usul istinbat mazhab Syafi’i, barulah saya faham kenapa larangan tersebut diwar-warkan. Rupa-rupanya bukan tok-tok guru pondok yang sebut tetapi, para fuqaha mutaa’khirin Syafi’iyyah yang muktabar menyatakannya (al-Kurdi, 2011).
Mazhab Syafie melalui 4 fasa perkembangan bermula zaman kelahiran (ta’sis), periwayatan (naql), suntingan (tahrir) dan kestabilan (istiqrar) mazhab. Zaman kestabilan ialah saat sempurnanya analisis tarjih terhadap semua khazanah fatwa mazhah Syafie yang bercambah dan berikhtilaf sejak zaman ta’sis (fatwa-fatwa Imam al-Syafi’i-qaul jadid/qaul qadim) dan zaman naql (perbezaan fatwa aliran Iraqiyyun vs Khurasaniyyun vs gabungan dua aliran), sebagai qaul atau fatwa muktamad dalam mazhab Syafi’i. Kegiatan ijtihad dalam mazhab Syafie amat progresif dan bagi orang awam (muqallid mazhab), mereka tidak perlu berkhilaf kerana yang diperlukan hanyalah satu keputusan fatwa yang patut diikut. Dengan izin Allah, hasil suntingan (zaman tahrir) Imam al-Rafi’I dan al-Nawawi berjaya menyatupadukan fatwa-fatwa mazhab supaya selaras dan tidak berkecamuk seperti dua fasa sebelumnya.
Perlu ditegaskan bahawa himpunan fatwa-fatwa imam al-Syafi’i sebahagiannya terdapat dalam kitab atas nama beliau seperti al-Umm dan sebahagian lagi dalam catatan mukhtasarat murid-murid beliau seperti al-Buwayti, al-Muzani dan al-Rabi’. Maka sebab itu, bukan semua fatwa beliau dalam al-Umm boleh dianggap muktamad kerana terdapat fatwanya dalam riwayat lain dianggap lebih kuat.
Sebagai contoh pendapat tidak muktamad dalam kitab al-Umm seperti status kesucian anggota manusia yang terpisah ketika hidup.
وإذا كسر للمرأة عظم فطار فلا يجوز أن ترقعه إلا بعظم ما يؤكل لحمه ذكيا وكذلك إن سقطت سنة صارت ميتة فلا يجوز له أن يعيدها بعد ما بانت فلا يعيد سن شيء غير سن ذكي يؤكل لحمه .وإن رقع عظمه بعظم ميتة، أو ذكي لا يؤكل لحمه أو عظم إنسان فهو كالميتة فعليه قلعه وإعادة كل صلاة صلاها وهو عليه
Maksudnya: “Jika patah tulang seorang perempuan lalu hilang, maka dia tidak boleh membaiki(menyambung) ia melainkan dengan tulang yang dimakan dagingnya yang telah disembelih. Begitu juga jika terjatuh giginya maka gigi itu menjadi bangkai, maka dia tidak boleh mengembalikan ia (memasang) semula setelah ternyata ia tercabut. Dia tidak boleh menyambung melainkan dengan gigi binatang boleh dimakan dagingnya yang melalui penyembelihan. Jika seseorang itu membaiki(menyambung) tulangnya dengan tulang bangkai atau binatang yang disembelih tetapi tidak halal dagingnya untuk dimakan atau tulang manusia, maka (hukum)nya seperti bangkai dan dia wajib menanggalkannya dan mengulangi semua solat yang telah dia kerjakan sebelum ini dan ia diwajibkan ke atasnya.”(Al-Syafi’i,1990)
Menurut catatan di atas, fatwa Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa mana-mana anggota tubuh badan manusia yang terpisah dari tuannya ketika hidup dikira sebagai najis maka tidak boleh dimanfaatkan sama sekali.
Sesiapa yang mempelajari fiqh mazhab Syafi’i samada turath (tradisional) atau moden akan mendapati hukum mana-mana anggota badan manusia yang terpisah atau terputus ketika hidup adalah suci, bukan najis. Begitu juga mayat manusia tidak diketogarikan sebagai najis seperti bangkai menurut pendapat muktamad dalam mazhab. Jadi ia menggambarkan bahawa fatwa di atas bukan pendapat yang muktamad (kuat) di dalam mazhab Syafi’i dan perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:
لو انقلعت سنه فردها موضعها قال أصحابنا العراقيون لا يجوز لأنها نجسة وهذا بناء على طريقتهم أن عضو الآدمي المنفصل في حياته نجس وهو المنصوص في الأم ولكن المذهب طهارته وهو الأصح عند الخراسانيين وقد سبق إيضاحه في باب إزالة النجاسة
Maksudnya: “Jika tercabut sebatang gigi lalu dikembalikan(dicantum semula) pada tempat asalnya, maka menurut ulama-ulama kami dari kalangan ahli Iraq bahawa hukumnya tidak boleh kerana ia dikira sebagai najis . Ini berdasarkan riwayat mereka(ahli Iraq) mengenai pandangan mazhab bahawa anggota manusia yang terpisah(tercabut) ketika masih hiduphukumnya adalah najis dan ia termaktub di dalam kitab “al-Umm”. Akan tetapi menurut al-mazhab (pendapat yang muktamad) ia adalah suci dan pendapat ini adalah yang paling sahih di sisi ulama (mazhab Syafi’ie) dari kalangan ahli Khurasan. Perkara ini telah dijelaskan di dalam bab membersihkan najis” (Al-Nawawi, t.t).
Selain itu, terdapat banyak fatwa-fatwa Imam al-Syafi’i di Mesir telah diubah oleh beliau sendiri tetapi tidak sempat dirombak di dalam al-Umm, namun terdapat riwayat-riwayat dari anak murid kanan beliau yang meriwayatkan fatwa-fatwa terbaru Imam al-Syafi’i, kemudian ditambah atau ditulis oleh Imam al-Rabi’ bin Sulaiman di dalam al-Umm sebagai penjelasan. Sebagai contoh:
قال الشافعي : وإذا وجد الرجل المسافر ماء لا يطهر أعضاءه كلها لم يكن عليه أن يغسل منها شيئا. قال الربيع: وله قول آخر أنه يغسل بما معه من الماء بعض أعضاء الوضوء ويتيمم بعد ذلك
Maksudnya: Al-Syafi’i berkata, “Apabila seorang lelaki yang bermusafir menemui air, maka dia tidak perlu menyucikan semua anggota-anggota (wudu’)nya dan dia tidak perlu membasuh sedikit pun atau apa-apa darinya(anggota-anggota)”. Al-Rabi’ berkata, “Terdapat pendapat beliau (Imam al-Syafi’i) yang lain iaitu si musafir itu mesti membasuh sebahagian anggota-anggota wudu’ dengan air yang ada padanya dan bertayammum selepas itu (baki anggota yang tidak dikenakan air wudu’)” (Al-Syafi’i, 1990).
Maksudnya: Al-Syafi’i berkata, “Apabila seorang lelaki yang bermusafir menemui air, maka dia tidak perlu menyucikan semua anggota-anggota (wudu’)nya dan dia tidak perlu membasuh sedikit pun atau apa-apa darinya(anggota-anggota)”. Al-Rabi’ berkata, “Terdapat pendapat beliau (Imam al-Syafi’i) yang lain iaitu si musafir itu mesti membasuh sebahagian anggota-anggota wudu’ dengan air yang ada padanya dan bertayammum selepas itu (baki anggota yang tidak dikenakan air wudu’)” (Al-Syafi’i, 1990).
Berdasarkan kenyataan di atas, pada asalnya Imam al-Syafi’i berfatwa bahawa apabila seseorang hendak mengerjakan solat dan dia mendapati air yang ada padanya cukup untuk menyucikan sebahagian anggota-anggota wuduk sahaja, maka Imam berfatwa tidak perlu menggunakan air itu untuk berwuduk sama sekali walaupun sebahagian anggota, malah hanya terus bertayammum. Kemudian Imam al-Syafi’i telah merubah fatwa tersebut bahawa seseorang itu wajib berwuduk dengan kadar air yang ada padanya walaupun untuk sebahagian anggota wuduk dan bagi anggota yang tidak dapat disucikan dengan air hendaklah digantikan dengan tayammum.
Kita tahu bahawa qaul qadim Imam al-Syafi’I sewaktu di Iraq telah dirujuk dan dihukum marjuh dengan qaul jadidnya sewaktu di Mesir. Namun antara qaul jadid beliau juga wujud percanggahan fakta yang diriwayatkan oleh anak-anak murid beliau di Mesir.
Satu contoh yang dipetik daripada Mukhtasar al-Buwaiti:
قال الشافعي: من تمضمض واستنشق في غرفة واحدة أجزأه ذلك، وتفريقهما أحب إلي
قال الشافعي: من تمضمض واستنشق في غرفة واحدة أجزأه ذلك، وتفريقهما أحب إلي
Maksudnya: “Sesiapa yang berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan satu cedokan maka sah hukumnya, namun mengasingkan kedua-duanya lebih aku sukai” (Al-Buwaiti, 2015: 64).
Manakala di dalam kitab al-Umm mempamerkan fakta yang berlainan, yang mana Imam al-Syafi’i berkata:
وأحب إلي أن یبدأ المتوضئ بعد غسل یدیيه أن یتمضمض ویستنشق ثلاثا یأخذ بكفه غرفة لفيه وأنفه
Maksudnya: “Aku lebih suka seseorang yang berwuduk memulakan wuduk selepas membasuh kedua-dua tangannya dengan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung sebanyak 3 kali iaitu mengambil air dengan satu tapak tangannya untuk mulutnya dan hidungnya” (Al-Syafi’i, 1990).
وأحب إلي أن یبدأ المتوضئ بعد غسل یدیيه أن یتمضمض ویستنشق ثلاثا یأخذ بكفه غرفة لفيه وأنفه
Maksudnya: “Aku lebih suka seseorang yang berwuduk memulakan wuduk selepas membasuh kedua-dua tangannya dengan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung sebanyak 3 kali iaitu mengambil air dengan satu tapak tangannya untuk mulutnya dan hidungnya” (Al-Syafi’i, 1990).
Fakta yang sama seperti di dalam al-Umm juga diriwayatkan oleh al-Muzani daripada gurunya di dalam Mukhtasar beliau (Al-Muzani, 1990). Jelas di sini wujud pertentangan riwayat antara kitab al-Umm dan Mukhtasar, di mana para muhaqqiq mazhab memainkan peranan dalam mentarjihkan antara kedua-dua riwayat.
Hasilnya, qaul yang disebut di dalam Mukhtasar al-Buwaiti ditarjihkan oleh Imam al-Rafi’i (Al-Rafi’i, 1997), manakala qaul yang disebut di dalam kitab al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani ditarjihkan oleh Imam Nawawi (Al-Nawawi, 2005). Justeru, yang muktamad di sisi fuqaha Syafi’iyyah terkemudian, ialah pentarjihan Imam Nawawi kerana kekuatan dalilnya berdasarkan hadis sahih.
Ini antara contoh menunjukkan kenapa orang awam atau belajar fiqh sekerat TIDAK SESUAI membaca al-Umm, begitu juga al-Majmuk. Kerana dikhuatiri menuduh pengikut Syafie hari ini tidak mengikut fatwa imam mereka. Kekeliruan ini biasanya ditimbulkan oleh mereka yang tidak menguasai disiplin syariah khususnya metodologi ijtihad mazhab Syafie. Mereka ini tidak mahu bertaqlid mazhab, tetapi ingin merujuk fatwa-fatwa Syafi’iyyah dan hasilnya sering melakukan tasykik fatwa mazhab Syafie kepada orang ramai.
Nanti saya berikan pula penerangan kenapa rujukan mazhab Syafie tidak bergantung kepada kitab al-Majmuk, syarahan kepada kitab al-Muhazzab (Imam al-Shirazi).
Ini antara subbab yang dibincangkan dalam buku MEMAHAMI PROSES ISTINBAT HUKUM SYARAK EDISI KEMASKINI. Dapatkan bacaan lanjut untuk memahami disiplin pengajian syariah sebenar.
Ini antara subbab yang dibincangkan dalam buku MEMAHAMI PROSES ISTINBAT HUKUM SYARAK EDISI KEMASKINI. Dapatkan bacaan lanjut untuk memahami disiplin pengajian syariah sebenar.
Berikan nama, alamat dan no telefon serta bukti bayaran ke www.wasap.my/60139808191
Kredit : Sebahagian subtajuk ini diadaptasi daripada penulisan sahabat saya al-Fadhil Ust Syed Shahrizan Ben Mohamed.
No comments:
Post a Comment