Wahai yang tidak aku kenali ku panjat gunung yang tinggi sangkaku Engkau berada di puncaknya namun tidak ku temui Engkau di sana.Lalu aku terjun dari puncak gunung jika Engkau ada pasti Engkau tidak membiarkan daku. Tangan Kudrat Iradat-Mu menyambar ku aku terbang dengan sayap Rahmani-Mu mengembara ke seluruh alam maya namun tidak ku temui Engkau di dalam alam. Hatiku mengatakan Engkau ada lalu aku keluar daripada alam dan aku terjun ke dalam hatiku. Di sana aku temui kebodohanku bodohnya aku menyangka akulah Aku sedangkan Dia jualah Aku dan aku tiada beserta Dia. Bila aku tiada beserta Dia tinggallah Dia sendirian rindulah Dia kepada diriku lalu Dia terjun ke dalam hatinya di sana Dia berjumpa Aku Aku menyambutnya dengan tersenyum. Aku dan Dia Dia dan Aku bukan dua dan bukan Satu satu masih berbentuk masih berjarak titik atas dengan bawah sedangkan Aku dan Dia tiada antara bukan juga titik yang halus titik yang halus masih menempati ruang sedangkan Aku dan Dia tiada rupa tiada bentuk tiada ruang tiada zaman. Aku adalah Dia Dia adalah Aku tiada beza antara Aku dan Dia bila aku cuba mengenali Dia aku tidak kenal lagi diriku aku tidak kenal lagi diri Dia bila dia cuba mengenali diriku dia tidak kenal lagi dirinya dia tidak kenal lagi diriku. Tiada lagi kenyataan tiada juga keghaiban. Pengenalan sebenar adalah tidak kenal pengetahuan sebenar adalah tidak tahu. Aku adalah rahsia Dia Dia adalah rahsia Aku usah diganggu rahsia ini. |
Paling aku tidak mengerti bagaimana mahu menyeru-Mu jika nama juga hijab antara Engkau dengan aku.Engkau esa tiada hijab menemani Mu mana mungkin Engkau terhijab. Berapa banyak hati sudah hancur luluh dalam merindui Mu berapa banyak fikiran telah berkecai dalam mencari Mu. Engkau dekat tetapi bila didekati Engkau menjauh bila berhenti Engkau melambai bila dikejar Engkau menjauh kembali. Bila aku di tangga rumah Mu Engkau menutup pintu bila aku undur Engkau membuka jendela bila aku mengintai Engkau melabuhkan langsir. Dalam kepayahan ini daku perlukan penawar penawar itu ada pada tangan Mu namun aku malu menghulurkan tanganku yang cemar untuk disambut oleh tangan Mu yang suci. Aku tidak tergamak meminta Engkau menjadi teman kerana aku tidak pernah membuktikan kesetiaan sebagai sahabat namun hatiku gila kepada Mu tetapi aku malu memanggil Engkau kekasih kerana aku tersangat hodoh dan hina. Janganlah Engkau murka lantaran si hodoh dan hina ini mengasihi Mu. Wajahku yang hodoh dan hina tidak layak Engkau tatapi Wajah Mu yang cantik berseri tidak layak aku tatapi di atas tangga rumah Mu aku terlena dengan harapan mataku tidak terbuka lagi kerana aku tidak tahan merindui Mu. Izinkan daku bermalam di tangga rumah Mu dan memejam mataku di situ agar apabila Engkau membuka pintu Engkau memandang kepada ku walaupun daku tidak memandang kepada Mu. |
Daku terbang mencari Mu lalu aku dipanah oleh pemanah cederalah dadaku adakah begini nasib si pencari Mu?Jika Engkau bertanya apakah yang daku mahu jawapanku hanya satu: Engkau, semata-mata Engkau. Selamatkan daku dari anak panah supaya aku terus kuat terbang kepada Mu. Engkau Pemilik keteguhan masukkan daku ke dalam benteng keteguhan Mu agar daku menjadi teguh tiada anak panah mencederakan daku. Janganlah sesiapa menggangu daku biarkan daku bersama yang ku kasih sehingga Dia mengizinkan daku menyertai kalian. |
Daku terbang dengan sayap Rahmani Mu Menggalas ilmu di atas belakang Agar daku tidak sesat di jalanan Tapi ilmu ini amat membebankan daku Hingga daku tidak terdaya terbang tinggi Izinkan daku mencampakkan ilmu ke bumi Biar sayap Rahmani Mu sendiri membawa ku pergi Sesuka dan semahu Mu.Engkau ciptakan daku hanya untuk Mu Maksud dan tujuan ku hanyalah Engkau Sampaikan daku kepada tujuan penciptaan dan matlamat ku. |
Aku kumpulkan sekalian dosa-dosa ku yang menghimpit jiwaku aku melihat seluruh dunia adalah dosa izinkan daku meletakkan segala dosa di bawah tapak kaki ku.Aku hadapkan pandangan kepada kebaikan bila daku melihat diriku yang baik berdatangan diri-diri lain menghijab izinkan daku meletakkan segala kebaikan di bawah dosa-dosa. Aku berhadapan dengan keinginan-keinginan tanpa dosa jiwa belum tenang keinginan-keinginan mengheret kepada kegelisahan tidak sabar. Wajah keinginan memperlihatkan ego diri takutkan kesusahan dan kehinaan. Keinginan adalah dosa sebenar dosa-dosa lain adalah anak-anaknya walaupun anak-anak dikuburkan ibu akan terus melahirkan anak-anak baharu. Bagaimana menghapuskan keinginan bukankah ia adalah diriku sendiri. Aku melihat kepada diriku terasa kesamaran di sebalik diri yang berkeinginan dalam kesamaran itu wujud diri yang suci murni tanpa keinginan. Ia tidak dikurung oleh jasad tiada ruang tiada zaman. Ia sentiasa damai dan tenteram namun ia tidak diberi kesempatan untuk memperlihatkan wajahnya. Kuburkan diri yang berkeinginan! begitulah ucapan Mu yang ku dengar. Bila daku mendengar ucapan Mu aku melihat diri ku berada di tengah-tengah di antara Engkau dan diri yang berkeinginan aku melihat diri yang berkeinginan itu bukanlah diriku yang sejati ia hanyalah bayang-bayang yang muncul dari pancaran cahaya Mu kepadaku yang terhijab mengapa kepada bayang penglihatan ku tertuju sedangkan Engkau adalah cahaya dan aku yang menerima cahaya bayang adalah kegelapan mengapa terpesona dengan kegelapan. Engkau terangi daku dengan cahaya Mu untuk ku kenali diriku agar pengenalan itu membuatku melihat cahaya Mu dan mengetahui bahawa cahaya Mu yang paling nyata sedangkan aku dan lain-lainnya adalah zarah-zarah yang terapung-apung di dalam angkasa raya cahaya Mu. Cahaya Mu yang tanpa warna tanpa rupa adalah kebijaksanaan tanpa tara dengannya segala menjadi nyata. Sekalian wajah-wajah adalah cermin wajah Mu cermin itu adalah keindahan keindahan adalah bayangan wajah Mu keindahan adalah rasa hati bukan bentuk bukan rupa apabila hati mesra di dalam keindahan Mu itulah penatapan wajah Mu bulat, leper, atau panjang putih, kuning atau hijau kelmarin, hari ini atau esok semuanya tidak menjadi soal pada hati yang melihat keindahan wajah Mu. Hati itulah rahsia besar. Pandanglah Tuhan tanpa menggunakan mata Dia tidak pernah bersembunyi dengarlah ucapan tanpa menggunakan telinga Dia tidak pernah berhenti berkata-kata. |
Engkau ajukan pertanyaan: mengapa fikiranmu bersimpang siur mengapa dukacita tidak terlepas daripadamu.Wahai Pelindung diriku apabila aku mendatangi Mu dengan diriku aku kecundang fikiranku tidak bisa menjurus jiwaku tidak bias tenang keraguan tidak terpisah dari diriku. Pengalaman ini membuatku mengerti mengenali Mu bukanlah dengan diriku pengenalan Mu adalah dengan Diri Mu. Cahaya Mu yang menyatukan segala fikiran cahaya Mu yang membakar segala kerisauan. Daku bukakan hatiku sambil memohon: wahai ar-Rahman! penuhilah hatiku dengan cahaya Mu tanpa cahaya Mu mana mungkin daku melihat Mu. |
Bagaimana hendak ku serahkan zat rahsiaku kepada-Mu? ini adalah persoalan besar.Engkau ucapkan: katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku. Rahsia adalah rahsia mana boleh diterka hanya daku perlu meyakini ia adalah urusan Tuhanku mengapa aku cuba memikul urusan Tuhan serahkan hak Tuhan kepada Tuhan.. Wahai Tuhanku Engkau mengetahui zat rahsiaku daku sendiri tidak mengetahuinya tanpa pengetahuanku tentangnya daku serahkannya kepada Mu terimalah, terimalah, terimalah daku tidak hairan bagaimana Engkau menerima zat rahsiaku kerana Engkau yang paling rahsia Pemilik segala rahsia. |
Engkau berdiri dengan sendiri Engkau mutlak tiada yang lain mampu mempengaruhi-Mu.Engkau Maha Perkasa Engkau kembangkan payung keperkasaan-Mu melindungi yang lemah dan tidak berdaya akulah yang lemah dan tidak berdaya itu di bawah paying keperkasaan-Mu daku bernaung Engkau sekali-kali tidak akan menolak para hamba yang menyerah diri kepada-Mu. Alangkah mudahnya bila segala sesuatu diserahkan kepada-Mu dan yakin Engkau menerimanya Engkau tidak pernah letih atau lalai tidak mengantuk tidak tidur tidak bosan menguruskan hal hamba-hamba-Mu. Wahai Pelindung diriku penyerahan adalah kelapangan penyerahan adalah kedamaian penyerahan adalah Kesejahteraan. Wahai Pelindung diriku penuhilah hatiku dengan yakin agar sekaliannya kembali kepada-Mu tanpa sebarang sisa pada diriku. Engkau gemar mendengar tutur-kata hamba-hamba-Mu Engkau tidak jemu mendengar daku membebel tiap ucapanku Engkau jawab dengan kelembutan-Mu wahai al-Latiff kami para hamba sangat Engkau manjai dengan kemaha-lembutan-Mu. |
Mereka berkata alam menjadi dalil wujud Allah aku pandang pada alam Allah tidak kelihatan mana mungkin ada kekuatan alam mempamer wujud Tuhan bukankah Allah tidak memerlukan alam Dia yang zahir dan Dia yang batin Dia yang awal dan Dia yang akhir.Aku pandang ke dalam hatiku zat rahsiaku diterangi Rahsia Ilahi kemudian akau pandang kepada alam baharu aku melihat Cahaya-Nya meliputi alam aku pandang lagi kepada alam cahaya-Nya kembali terhijab dari pandangan lalu aku pindahkan alam ke dalam hatiku aku kembali melihat Cahaya Ilahi meliputi alam. Cahaya-Nya hanya boleh dipandang oleh zat rahsiaku apabila aku menyatu dengan zat rahsiaku tanpa takwil tanpa hujah tanpa terka tanpa ulasan tanpa kupasan tanpa huraian hanya yakin dan larut di dalam keyakinan bahawa aku tidak terpisah daripada zat rahsiaku baharu dapat aku saksikan Cahaya-Nya tanpa rupa tanpa warna hanya jelira di dalam yakin sesungguhnya Cahaya Engkau yang aku pandang. Apa jua yang nyata bila aku halakan pandangan ke sana daku tidak melihat wujud di situ hinggalah akau halakan pandangan ke dalam hati baharulah aku melihat wujud menyertainya. |
Daku menyaksikan Engkau jualah yang berbuat segala-galanya Engkau hadir dalam terang dan menyamar Sering daku terpedaya oleh penyamaran-Mu.Daku panjatkan doa Angkatkan tabir hijab Agar daku sentiasa melihat-Mu Tatkala Engkau hadir dalam nyata atau menyamar Tetapkan penglihatanku kepada-Mu Ambillah pandangan majazi ini Kurniakan daku Cahaya Mu sebagai penglihatan Agar tidak ada yang daku pandang Melainkan Engkau jua yang kelihatan. |
Engkau ciptakan Firaun, Haman dan Qarun Mereka adalah sebesar-besar penderhaka terhadap-Mu Namun Engkau kurniakan dunia seluruhnya kepada mereka Itulah tandanya Dunia ini tidak melebihi sebelah sayap nyamuk pada sisi-Mu Tapi nafsu kami masih juga terliur Melihat keagungan Firaun, kepintaran Haman dan kekayaan Qarun Nafsu kami masih inginkan Sayap nyamuk yang sebelah itu.Nafsu sangat sabar menyembunyikan laparnya Sesekali ia menghantar isyarat Jika Engkau menjawab ia akan bangun Di kala itu Engkau akan tertawan. Nafsu umpama sebuah kenderaan Enjinnya ialah tamak Rodanya ialah dengki dan khianat Seteringnya ialah tipudaya Bila kenderaan ini berjalan Ia meninggalkan asap kotor di belakang Tetapi si pemandu asyik memandang ke hadapan Tidak pernah melihat pencemaran yang ditinggalkan. Nafsu adalah sebahagian daripada dirimu Ia boleh diam dan tidur tetapi tidak berputus asa Perlulah engkau sentiasa berwaspada. |
Bila kerinduan terhadap-Mu menguasai hati Sirnalah segala yang maujud Tiada lagi yang dapat memberi kepuasan. |
Burung-burung terbang di udara tidak jatuh Itulah Selawat dan salam-Mu ke atas Muhammad s.a.w Perahu-perahu terapung dipermukaan laut tidak tenggelam Itulah Selawat dan salam-Mu ke atas Muhammad s.a.w Hujan membasahi bumi suburlah tumbuh-tumbuhan Itulah Selawat dan salam-Mu ke atas Muhammad s.a.w Matahari menyinarkan cahayanya segarlah segala penghidupan Itulah Selawat dan salam-Mu ke atas Muhammad s.a.w.Engkau sentiasa berselawat dan salam Ke atas kekasih-Mu, Muhamamd s.a.w Wahai Saidina Muhammad s.a.w Pada tanganmu jua terdapat cangkir air penghidupan Air yang membasahi tengkuk yang dahagakan kasih Ilahi. |
Ada yang mengatakan ujian adalah kesusahan pada tubuh badan kesusahan pada jiwa apa untungnya Allah menyusahkan jasad dan jiwa bukankah ia tidak menambahkan keagungan dan kemuliaan-Nya apalagi Dia Maha Mengasihani Maha Sopan-santun.Pandanglah ujian dengan hatimu ujian adalah perbuatan Tuhanmu bukan untuk menghancurkan tetapi untuk meneguhkanmu bila kamu memperolehi keteguhan baharu kamu menjadi pilihan bila sudah lulus dan dipilih Dia bangga memperkenalkan kamu kepada makhluk-Nya keteguhan kamu melintasi ujian menjadi dalil pilihan-Nya adalah tepat inilah keadilan-Nya. Ujian ditujukan kepada rohani bukan kepada jasad atau jiwa tujuannya untuk mengukur tauhid bukan sekadar untuk kesabaran apakah nilai sabar tanpa tauhid bukankah sabar juga bersama si kafir. Ujian yang diterima dengan iman meneguhkan tauhid menambahkan kekuatan pandangan hati tidak berkelip memandang kepada Tuhan sehingga kepedihan ujian menjadi kemanisan. Ujian adalah pentas sandiwara mempamerkan kebijaksanaan Tuan Pengarah bila engkau diberi watak menderita hingga berjaya membuat penonton menangis ketahuilah engkau adalah pelakun penting diasuh untuk menjadi bintang bakal menerima ganjaran lumayan. Apabila engkau menjadi pelakun apa bezanya watak gembira dengan watak duka skrip di tangan Tuan Pengarah. |
Diriku telah hilang ghaib di dalam gua yang dalam gelap gulita puasku mencarinya namun tidak ku temui sesekali gelibatnya melintasi di hadapan ku bila aku cuba memegang dia kembali menghalang.Wahai Yang Maha Melihat lihatlah betapa kasih aku kepada diriku bila Engkau memisahkan daku daripadanya masih juga daku mencari-carinya. Maulaya, Wahai Pelindung diriku selamatkan daku daripada fitnah diriku sendiri janganlah Engkau lepaskan daku kepada sesuatu selain-Mu walau sekelip mata jua ikatkan daku dengan rantai ubudiah sepanjang hayatku agar Engkau sentiasa esa tiada sesuatu menggangu keesaan-Mu. |
Bila makhluk bertanya siapakah yang paling mulia aku menjawab: akulah yang paling mulia aku sangat berbangga kerana Allah adalah Tuhanku Muhammad s.a.w adalah penghuluku ini sudah cukup membuatku berasa kaya dan mulia.Bila Engkau bertanya maka aku menjawab: aku adalah yang paling hina, daif dan jahil inilah hamba yang faqir. Janganlah Engkau murka lantaran daku berbangga di hadapan makhluk-Mu bila mereka berbangga dengan pangkat, harta dan keturunan izinkan daku berbangga sebagai hamba-Mu. |
No comments:
Post a Comment