Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Friday, May 8, 2020

BERSUNGGUH-SUNGGUH MENDALAMI ILMU AGAMA

BERSUNGGUH-SUNGGUH MENDALAMI ILMU AGAMA




            Kadang-kala berlabuh juga perasaan malu di hati  kerana  memaksa diri untuk mendalami  ilmu agama pada usia senja. Sebenarnya dalam agama tidak ada istilah malu atau seumpamanya kalau kita bertekad untuk mempelajarinya. Sikap yakin mesti ditanam sepenuhnya dalam diri bahawa inilah masa yang terbaik untuk melaksanakan niat setelah sekian lama tertangguh.

Faktor umur  usah dijadikan alasan untuk  mengelakkan diri dari  mempelajari ilmu agama. Ingatlah bahawa tempoh masa untuk kita tidak terhad dan terbatas. Islam menetapkan untuk kita bertanyakan sesuatu yang kita tidak tahu dalam hal agama kepada mereka yang lebih tahu. Firman Allah  yang bermaksud"..... bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').

            Apa yang lebih utama ialah perbetulkan niat untuk mempelajari ilmu agama seikhlasnya demi kerana Allah dan Rasulnya. Ingat akan tujuan sebenar kita menuntut ilmu iaitu keluar dari kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya. Apatah lagi menuntuk ilmu itu adalah diwajibkan kepada setiap lelaki dan perempuan. Dari Anas bin Malik RA katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda "Menuntut ilmu adalah satufardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.( Riwayat  Ibnu Majah)

            Kisah tiga orang lelaki dalam majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah SAW boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami ilmu agama. Dan khabar yang dibawa oleh Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dalam proses pencarian ilmu keagamaan.

           

Dari Abi Waaqid Allaithy  RA menceritakan sewaktu Rasulullah  SAW berada di dalam masjid  bersama-sama dengan para sahabatnya dalam majlis ilmu, tiba-tiba datang tiga orang lelaki, lalu dua orang terus menyertai majlis ilmu tersebut manakala  seorang lagi  berlalu begitu sahaja (tanpa menyertainya).  Sewaktu kedua-dua orang itu berada dekat halaqah, salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang. Lelaki yang ketiga beredar.

Apabila Rasulullah  SAW selesai mengendalikan  pengajian lalu Baginda bersabda “ Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu ( tidak bersungguh-sungguh) maka Allah juga malu daripadanya ( yakni tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).           

Dari Abi Musa, dari Rasulullah SAW telah bersabda "Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).

Yang demikian itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku". (Hadis Sahih, Muttafaq 'Alaihi)

Di antara ilmu-ilmu agama yang utama ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala dengan dua tujuan iaitu Pertamanya, kerana mengaturkan hubungan manusia  sesama manusia dan mengatur hubungan manusia dengan Allah Taala. Dengan ilmu agama ini Allah mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah dia dalam keluarganya, saudara-saudaranya dan seluruh masyarakat dalam keadaan berkasih sayang dan terhindar darinya perasaan hasad dengki dan iri hati.

Keduanya, dengan ilmu agama ini  diajarkan adab  dan peraturan yang mesti diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Allah demi  mencapai keredhaanNya. Matlamatnya amat jelas untuk kebahagiaan di dunia iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Letakkan niat yang baik akan tujuan  kita mempelajari ilmu agama.Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri. Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah diri kearah yang lebih baik dengan menambah pengetahuan dalam ilmu agama bagi memudahkan  urusan amal ibadah kita.

Sebenarnya ilmu agama yang dipelajari memudahkan kita berhubung dengan manusia dan  berhubung dengan  Maha Pencipta. Allah berfirman yang bermaksud “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-’Ankabuut, ayat  29)

Jangan sesekali tersalah meletakkan niat  sewaktu kita mendalami ilmu agama. Ada ingin bermegah-megah dengan ilmu yang dimiliknya, bukan untuk membetulkan kesilapan tetapi untuk mencari pengaruh dan populariti diri serta kedudukannya sahaja. Allah maha mengetahui akan hati dan niat  yang tersembunyi dalam hati kita.

Daripada Ka'ab bin Malik RA katanya “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) bertujuan  untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Yakinlah bahawa dengan ilmu agama akan memudahkan kita mengerjakan amal ibadah dan dengan ilmu agama jugalah kita mengenal kebaikan dan kejahatan, dengan ilmu juga kita mengetahui soal-soal duniawi dan ukhrawi. Wajib kita bersyukur atas nikmat yang tidak  terhingga yang dikurniakan Allah kepada kita iaitu iaitu nikmat  kesihatan, akal dan keamanan yang wujud dalam negara.

Dari Ibnu Mas'ud  RA dari Rasulullah SAW telah bersabda " Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai,  pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai,  pelajarilah Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang (dikalangan) mereka tidak ada seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu ". (Riwayat Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni)

Contohilah kegigihan Imam Bukhari dan kesungguhan Imam Syafi’ie dalam mencari ilmu agama sebagaimana pengalaman  hidup dua orang tokoh terkemuka itu untuk dikongsi bersama.

 Diceritakan bahawa Imam Bukhari telah keluar mengembara untuk mendalami ilmu pengetahuannya pada tahun 216 Hijrah setelah sudah belajar dengan guru-guru di daerah kelahirannya. Oleh kerana ayahnya telah meninggal dunia, beliau tidak sanggup meninggalkan ibunya seorang diri. Justeru, beliau turut membawa ibunya bersama-sama beliau dalam perjalanan yang jauh ke Balkhi, Baghdad, Mekah, Kufah, Asqalan, Hims dan Damsyik.

Begitu juga dengan kesungguhan Imam Syafi’ie dalam menuntut ilmu telah pun dapat dikesan sewaktu beliau masih kanak-kanak lagi. Beliau terkenal kerana ketelitiannya dalam mengambil ilmu yang disampaikan gurunya. Beliau pernah berkata, “Sesiapa belajar ilmu, maka hendaklah ia berlaku teliti supaya jangan kehilangan ilmu-ilmu yang paling kecil sekalipun.”

Imam Syafi’ie pernah ditanya, “Bagaimana keinginanan tuan terhadap ilmu?” Dia menjawab, “Saya mendengar sesuatu menggunakan huruf yang saya sendiri tulis kerana ia mampu mendengar apa yang telinga saya tidak boleh mendengar.

Dan anggota badan saya yang lain terasa ingin sangat mempunyai telinga agar ia juga boleh merasakan apa yang didengar oleh telinga.”

Lalu beliau ditanya lagi, “Bagaimana kesungguhan tuan terhadap ilmu?” Beliau menjawab, “Seperti orang yang haus terhadap harta, seperti itu juga kehausanku terhadap ilmu.” Beliau  ditanya lagi, “Bagaimana cara tuan menuntut ilmu itu?” Beliau menjawab, “Seperti seorang perempuan yang sedang mencari anaknya  yang hilang. Begitu pula kesungguhan saya dalam mencari ilmu.”

Pepatah Arab ada menyebut bahawa ‘ilmu itu dicari dan ia tidak mencari kita’. Sedarilah bahawa minda kecil itu hanya mampu berbicara tentang manusia, minda sederhana hanya berbicara tentang peristiwa dan minda besar itu layak berbicara tentang idea.

No comments: