PERIHAL DUKUN DAN BOMOH DI SISI AHLI SUNNAH WALJAMA`AH
بِسْمِ اللهِ الرَّحْـٰمَنِ الرَّحِيْمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ لَا يَـحْوِيْهِ مَكَانٌ وَلَا يَـجْرِيْ عَلَيْهِ زَمَانٌ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُـحَمَّدٍ طَـــٰهَ الْأَمِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ الطَّيِّبِيْنَ الطَّاهِرِيْنَ، أُذَكِّرُكُمْ وَأُذَكِّرُ نَفْسِيْ بِإِخْلَاصِ النِّيَّةِ لِلَّهِ تَعَالَى،
أَمَّا بَعْدُ:
Segala puji bagi Allah yang tidak bertempat dan tidak terlibat dengan masa, selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad: Thaha dan al-Amin dan ke atas ahli keluarga baginda, para sahabat baginda yang baik dan suci. Saya mengingatkan diri kalian dan diri saya agar mengikhlaskan niat kerana Allah ta`ala. Adapun selepas itu:
Dalam fiqh Islam, setidaknya ada dua istilah yang berkait dengan masalah ini:
1. Al-Kahin: iaitu orang yang mengaku mengetahui pelbagai peristiwa yang akan terjadi di masa akan datang. Biasanya mereka bekerjasama dengan jin-jin fasiq, atau bersandarkan kepada bintang-bintang atau kepada sebab-sebab dan pendahuluan-pendahuluan (muqaddimah) yang mereka buat sendiri.
2. Al-`Arraf: iaitu orang yang mengaku mengetahui sesuatu yang tersembunyi dari perkara-perkara yang telah terjadi, seperti mengaku mengetahui peristiwa kecurian, atau barang-barang yang telah hilang.
Kedua-dua ini, baik al-Kahin atau al-‘Arraf haram untuk dibenarkan dalam perkataan-perkataannya (ramalannya). Dalam sebuah hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam telah bersabda:
"مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَـمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةُ أَرْبَعِيْنَ لَيْلَةً". رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Maksudnya:
“Barangsiapa mendatangi `Arraf dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Diriwayatkan oleh Muslim)
Dalam hadith lain, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:
"مَنْ أَتَى عَرَّافًا أَوْ كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِـمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِـمَا أُنْزِلَ عَلَى مُـحَمَّدٍ". رَوَاهُ الْـحَاكِمُ
Maksudnya:
“Barangsiapa yang mendatangi `Arraf atau Kahin dan membenarkan dengan apa yang dia ucapkan, maka ia telah kafir terhadap apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad”. (Diriwayatkan oleh al-Hakim)
Intisari daripada dua hadith di atas sebagai berikut:
1. Al-`Arraf mahupun al-Kahin, keduanya haram didatangi.
2. Orang yang datang dan bertanya kepada al-`Arraf atau al-Kahin, maka dia telah melakukan dosa. Orang ini tidak diterima solatnya selama 40 hari, dan ia tetap dikira sebagai seorang muslim; kerana ia hanya datang dan bertanya saja, ertinya tidak membenarkan perkataan keduanya. Demikian pula seorang yang datang dan bertanya sahaja, kemudian dalam hatinya mengatakan: "Ucapan al-Kahin atau al-`Arraf ini mungkin benar, mungkin pula tidak", orang ini tetap dikira sebagai muslim. Hanya solatnya sahaja tidak diterima selama 40 hari kerana dia telah datang dan bertanya kepada al-`Arraf atau al-Kahin.
3. Maksud tidak diterima solatnya selama 40 hari adalah solat fardhu yang dia lakukan tidak menghasilkan pahala. Kewajipan menunaikan solat tersebut tetap wajib ke atas dirinya dan mesti dilaksanakan, bukan bererti boleh ditinggalkan solat tersebut.
4. Orang yang datang dan bertanya kemudian membenarkan al-`Arraf atau al-Kahin, maksud membenarkan di sini adalah orang ini menyakini bahawa ucapan al-`Arraf atau al-Kahin tersebut pasti benar, atau dalam keyakinannya bahwa al-`Arraf dan al-Kahin ini mengetahui hal-hal yang ghaib, maka orang tersebut telah menjadi kafir.
5. Seseorang yang sedang berada di tempatnya kemudian datang al-'Arraf atau al-Kahin kepadanya dan berkata: "Akan terjadi peristiwa ini... dan itu... akan menimpa dirimu", kemudian orang tersebut dalam hatinya berkata: "Ucapan kahin ini mungkin benar, mungkin tidak", maka orang ini tidak menjadi kafir, dia tetap dikira sebagai muslim dan diterima solatnya (ertinya solatnya sah selama memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya), kerana dia tidak datang dan tidak bertanya, juga tidak membenarkan perkataan Al-`Arraf atau al-Kahin.
6. Orang yang sedang berada di tempatnya, tidak datang dan tidak bertanya, namun dalam hatinya menyakini bahwa al-`Arraf fulan atau al-Kahin fulan mengetahui segala hal yang ghaib, atau memastikan kebenaran ucapan al-`Arraf atau al-Kahin tersebut, maka orang ini telah menjadi kafir, walaupun dia tidak mendatangi dan tidak bertanya kepada al-`Arraf atau al-Kahin tersebut kerana dia telah meyakini al-`Arraf atau al-Kahin mengetahui perkara yang ghaib.
7. Dengan demikian seseorang yang datang atau bertanya kepada al-`Arraf atau al-Kahin, tidak secara mutlak dikafirkan. Namun dengan diperincikan, iaitu dilihat terhadap keyakinan orang ini, apakah dalam keyakinannya al-‘Arraf atau al-Kahin tersebut mengetahui segala yang ghaib atau tidak.
KAEDAH:
Hanya Allah ta`ala sahaja yang mengetahui segala sesuatu yang ghaib. Adapun sebahagian Nabi Allah ada yang mengetahui beberapa perkara ghaib adalah hanya pada sebahagiannya sahaja, iaitu pada apa yang dikhabarkan oleh Allah ta`ala kepada mereka melalui wahyu-wahyu-Nya.
Dalam hal ini Allah ta`ala berfirman:
"قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللهُ".
Maksudnya:
“Katakanlah [Wahai Muhammad] tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah”. (Surah an-Naml: 65)
- Ibnu Syafie
No comments:
Post a Comment