Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Saturday, July 16, 2016

Syaikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Syaikh Abdullah Fahim

Syaikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Syaikh Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 - 1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib 'Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau berdamping dan berguru dengan ramai ulama, menurut riwayatnya guru beliau di Makkah dan Madinah tidak kurang 42 orang.

Di antara guru-gurunya ialah:-
Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
Syaikh Muhammad Sa`id BabShil;
Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani; dan
Syaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.

Syaikh Abdullah Fahim selain alim dalam ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima. Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak Syaikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya, cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi Perdana Menteri ke-5 Malaysiadapat memartabatkan lagi Islam di persada dunia umumnya dan Nusantara khususnya.

Wasiat Syeikh Abdullah Fahim I

Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Syaikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:-
Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.
Syadid jugak Tok Wan Pak Lah ni. Dan saudara lihat juga bagaimana Tok Syaikh Abdullah Fahim mengisytihar Ibnu Qayyim sebagai seorang khawarij sebagaimana pernah dihukumkan oleh ulama-ulama sebelum beliau terhadap puak Wahhabi. Apa tidak khawarijnya, selain mereka semua tak betul, semua bid`ah, semua sesat, semua masuk neraka. Aku harap Pak Lah pegang dengan wasiat Tok Wan dia ni. Hadhari hadhari jugak, tapi carilah mana dia al-Ghazali, mana dia asy-Syafi`i. Imam asy-Syafi`i dan Hujjatul Islam al-Ghazali pergi meninggalkan warisan bernilai tinggi berupa kitab-kitab dan juga murid-murid yang berkesinambungan sehingga ke masa kita ini, alhamdulillah.Para ulama Syafi`i yang muktabar semuanya bersambung sanad dan silsilah keilmuan dengan mereka, jadi kalau nak cari mereka pergi kat ulama mazhab, bukan kepada ulama khawarij seperti kata Tok Wan tadi.
Yang aku pelik sekarang, kenapa masih ada ustaz bila orang awam bertanya mengenai sesuatu hukum, maka jawapan yang diberi bersandarkan kepada pendapat Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim, sedangkan yang bertanya tu umumnya bermazhab Syafi`i. Sejak bila Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim atau al-Qardhawi jadi ulama sandaran dalam Mazhab Syafi`i ? Bawalah keterangan ulama-ulama Syafi`i kita, Imam Ibnu Hajar ke, Syaikh Ramli ke atau sebagainya. Ini yang menyebabkan orang awam keliru dan pening kepala. Ini yang jadi punca qunut jadi bid`ah, talqin jadi bid`ah, talaffuz bin niyyah jadi bid`ah.
Aku rasa pihak Mufti Pulau Pinang dengan Jabatan Agamanya sekarang kena buat pemantauan terhadap perkembangan dakyah pencinta dan pentaksub Ibnu Qayyim yang berpusat di sana. Siap buat dewan pengajian atas nama Ibnu Qayyim. Besar sangat ke jasa Ibnu Qayyim kat bangsa Melayu Islam kat rantau ini ? Jagalah amanah Mufti pertama Pulau Pinang di atas.

Wasiat Syeikh Abdullah Fahim II
Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).

Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.

Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.

Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya, bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah yang sewajarnya ditangani dengan lapang dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah, sesat menyesat dan sebagainya.

ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him adalah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.
Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim’ yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham’.

Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.

Ayahnya adalah seorang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.
Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.
Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.

Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I’anah at-Thalibin)
Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya adalah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla’ al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum’ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.
Antara mereka adalah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy’ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim adalah seorang yang gigih mengajar masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.
Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk adalah salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad atau Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Antaranya yang berasal dariMalaysia adalah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.

Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.
Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.

Termasuk juga di dalamnya adalah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.
Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.
Antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).
Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.
Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, antaranya beliau beliau menulis:
“Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie … “
Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang dalam Mazhab Syafie ialah, “Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya … “

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.
Kitab-kitab yang beliau sebut adalah, “Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla’ al-Badrain dan lainnya”
Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, “Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy’ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah … “
Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, “Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.
Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu (Jawi) yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, antaranya adalah Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, “Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya’ Ulumid Din …”
Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, “Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin”.
Abdullah Fahim menegaskan, “Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla’, diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.”

Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.
Antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula adalah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Sumber : Diambil daripada Ulama Nusantara

No comments: