Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Friday, March 23, 2018

TUAN GURU AWANG LANAI


Cahaya Kehidupan Tauhid
TUAN GURU AWANG LANAI
Tuan Guru Hj Awang Lanai atau nama sebenar beliau Abdul Wahab Hasan telah diputerakan pada 26 Julai 1938 Masihi bersamaan 28 Jamadil Awal 1357 Hijriah, di Kampung Tupai, Sik, Kedah. Beliau merupakan anak keenam dari sembilan adik beradik kepada pasangan Hj Hasan bin Saman dan Hjh Siti Halimah Mat Thoha. Selain menetap di Kampung Tupai, keluarga ini juga pernah menetap di Kampung Bukit Endoi.
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Rendah Melayu Kampung Tupai. Setelah tamat sekolah rendah, beliau menyambung pengajian di Pondok Batu 8 dengan berguru kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim Bin Yaakob, selama 2 tahun.
Setelah itu beliau berkelana ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk menuntut ilmu di Pondok Bunut Payung yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Thohir. Bagaimanapun selepas setahun di Kelantan, beliau kembali semula ke Utara Tanah Air menuntut di Pondok Penanti selama 2 tahun 8 bulan di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Mutholib Bin Haji Puteh yang juga menantu kepada Tuan Guru Haji Syaikh Osman Jalaluddin.
Pada tahun 1959, beliau kembali ke kampung halamannya untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Omar Zuhdi yang merupakan pengasas Pondok Lanai sehinggalah Tuan Guru Omar meninggal dunia.
Pada tahun itu juga dalam usia 21 tahun beliau bertemu jodoh dengan gadis pilihan hatinya Hajjah Siti Mariam Binti Mat Daud dan dikurniakan sepuluh cahaya mata iaitu Siti Fauziah, Siti Sofor, Siti Fadhillah, Mohd Sayuthi, Nasibah, Hamdan Dhiauddin, Fadhuli, Mohd Azra’ie, Mardhiah dan terakhir Othman. Beliau sekali lagi bertemu jodoh untuk kali kedua pada tahun 1995 dengan Hajjah Norlia.
Tuan Guru Awang Lanai mula menjadi ahli PAS pada tahun 1969. Dalam penglibatan politik itu, beliau juga pernah diberi kepercayaan menerusi pelantikan sebagai Ahli Majlis Daerah Baling semasa Pakatan Rakyat memerintah Kedah.
Tuan Guru juga merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan paling lama apabila menerajui PAS Kawasan Baling selama 26 tahun yakni dari 1984 hingga 2010. Di samping itu beliau turut menganggotai Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah. Sebagai YDP yang lama memimpin PAS Kawasan Baling, beliau pernah berada di bawah kepimpinan tiga Pesuruhjaya PAS Kedah iaitu Almarhum Ustaz Azhari Abd Razak, Almarhum Dato’ Ust Fadzil Mohd Nor dan Almarhum Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Beliau pernah bertanding sebagai calon PAS di DUN Kupang pada tahun 1986 melawan calon BN Ust Zainol Md Isa, namun tewas lebih 2,000 undi.
Dalam masyarakat setempat, beliau merupakan Pengerusi Qariah bagi Kampung Parit Panjang dan Imam Masjid Parit Panjang sejak 1972.
Selain mengajar di surau pondok, beliau juga banyak mengajar di masjid-masjid dalam negeri Kedah, Pulau Pinang dan juga Perak.
Tuan Guru telah menyumbangkan jasa yang amat besar khasnya kepada masyarakat Kampung Parit Panjang dan juga kepada masyarakat Baling umumnya terutama dalam menyebarkan ilmu agama.
Beliau antara individu yang telah mewujudkan Maahad Tahfiz al-Quran ( ABADA ) di Parit Panjang yang ditubuh pada 17 RA 1417 bersamaan 2 Ogos 1996. Tuan Guru telah dilantik sebagai Nazir Tahfiz bersama Mudir Tahfiz itu sendiri iaitu Ustaz Haji Alias Nasri Bin Haji Mahmud.
Beliau jugalah yang menubuhkan Madrasah Tahzib An nufus pada 17 Ogos 1988 bersamaan 4 Muharram 1409 dengan menampilkan moto atau prinsip asas pondok tersebut iaitu “Hidup mestilah berlandaskan Islam”, Sesuai dengan makna madrasahnya itu yang bererti “Sekolah yang mendidik jiwa-jiwa”.
Antara ilmu yang diajarkan sendiri oleh Tuan Guru Haji Abdul Wahab di pondok ini adalah :
1. Usuluddin ( Matan Jauharah Tauhid, Asasul I’tiqad, dan banyak lagi ),
2. Feqah ( Mathlai’l badrain, Iqna, Kanzul Minaan, Fathul Wahhab, ’I’anatut Tholibin, Sulam Mubtadi dan lain2 ),
3. Tasawwuf ( Penawar Bagi Hati, Minhajul A’bidin, Hikam Jawi, Ihya U’lumuddin, al-Wali, Tajul urus),
4. Tafsir ( Tafsir Jalalain, Tafsir Ibnu Abbas, Tafsir Nasafi, Tafsir Baidhowi ),
5. Hadis ( Riyadhus Solihin, Irsyadul ‘Ibad, Dalilul Falihin, Mukhtasar ibnu Abi Jamrah ),
6. Nahwu ( Matan al-Jurmiyyah, Matan al-Fiyah, Kawakib ad-Dhurriyyah,, Qatrunnada, Kitabul Azhari, Yasin al-Fakihi, Muktassar Jiddan),
7. Sorof ( Matan Bina’, Syarah Kailani ), serta banyak lagi kitab-kitab lain yang masih diajarkan sampailah pada hari ini.
Sehingga ke hari ini pusat pengajian tradisional tersebut masih berdiri kukuh seiring dengan perubahan zaman. Tuan Guru di bantu dengan anaknya yang keenam iaitu Ustaz Hamdan Dhiauddin, terus mencurahkan ilmu agama untuk pelajar-pelajar pondok dan juga masyarakat sekitar. Pihak pentadbiran pondok ini tidak mengambil sebarang bayaran pengajian kecuali bayaran untuk tempat tinggal (pondok).
Antara peristiwa penting dan besar dalam hidupnya adalah Tragedi Memali yang berlaku semasa beliau sebagai YDP PAS Baling. Pernah kerana beliau bertanding pada pilihan raya, Tuan Guru didesak oleh pihak Umno untuk meletakkan jawatan selaku Imam dan Pengerusi Kariah Masjid Parit Panjang.
Bagaimanapun selepas itu, penduduk memintanya kembali menerajui semula amanah tersebut hingga rayuan mereka itu dibawa kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah.
Tuan Guru dijemput bertemu empat mata dengan Tuanku Sultan di pejabat baginda di Alor Setar. Saat pertemuan itu jugalah beliau berkesempatan bercerita kepada Tuanku mengenai kejadian Memali hingga Tuanku sebak menitiskan air mata. Beberapa ketika selepas itu, Tuanku berkenan mencemar duli menyiram air mawar di pusara para syuhada Memali.
Menurut Tuan Guru, Umno kini sibuk menimbulkan isu mengenai bangsa Melayu, namun huruf bangsa Melayu yakni jawi pun tidak mampu dipertahankan. Sedangkan katanya, bangsa Siam di Thailand sudah lebih 2,500 tahun belajar menggunakan tulisan huruf mereka untuk sebarang mata pelajaran.

No comments: