Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Tuesday, May 19, 2020

MENJAWAB SATU PERSATU TUDUHAN WAHHABI YANG MENGATAKAN SEMUA BID`AH ADALAH SESAT DAN TIDAK ADA BID`AH HASANAH

MENJAWAB SATU PERSATU TUDUHAN WAHHABI YANG MENGATAKAN SEMUA BID`AH ADALAH SESAT DAN TIDAK ADA BID`AH HASANAH
 
Pendapat Golongan WAHHABI Yang Mengingkari Bid`ah Hasanah:

1.      Golongan yang mengingkari adanya bid`ah hasanah, biasanya berkata: “Bukankah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam di dalam hadith riwayat Abu Dawud dari sahabat al-‘Irbadh Ibn Sariyah telah bersabda:

" كُلُّ مُـحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ، وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ".
 
Terjemahan:
"Setiap yang baharu adalah bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu neraka ". 
 
Ini ertinya bahawa setiap perkara yang secara nyata tidak disebutkan dalam al-Qur’an dan al-hadith atau tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam atau al-Khulafa' al-Rasyidun, maka perkara tersebut dianggap sebagai bid`ah sesat dan haram.
 
JAWAPAN KE ATAS GOLONGAN WAHHABI YANG MENGINGKARI BID`AH HASANAH:
 
Hadith ini haruslah difahami sedalam-dalamnya agar tidak membawa kepada kesilapan dari segi pemahamannya. Ia haruslah difahami melalui beberapa kaedah antaranya Usul al-Fiqh, Ilmu Mantiq dan Ilmu Balaghah.
 
KAEDAH USUL FIQH:
 
Para ulama’ Usul Fiqh memahami pengertian teks hadith ini melalui kaedah:
 
"عَامٌّ مَخْصُوْصٌ".
 
Terjemahan:
"[Ia menunjukkan kepada pengertian] umum yang dikhususkan [`am makhsus] ". 
 
Atau kaedah:
 
"الْعُمُوْمُ بِمَعْنَى الْخُصُوْصِ".
 
Terjemahan:
"Umum dengan [membawa] makna yang khusus ". 
 
Untuk lebih jelas, para ulama’ membahaskan “Am makhsus” atau “Al-`Umum bi Ma`na al-Khusus” ini dalam 2 perkara:

Adakah makna Muhdath/Muhadathah [perkara baru] di dalam ini mutlak [tanpa ada pengecualian]?

Jawapan: Ia bukanlah bersifat mutlak. Ia adalah hanya perkara baru dalam masalah agama yang sesat [mazmumah], yang tidak ada dasarnya dalam syara`. Itulah yang dilarang. Adapun perkara baru yang ada dasar daripada syara`, maka ia dianggap sebagai suatu sunnah [ajaran] Khulafa al-Rasyidin dan para imam yang selalu mendapat petunjuk.

Dan adakah pengertian “Kullu” [semua] juga bersifat mutlak [tanpa ada pengecualian]?

Jawapan: Tidak!!!. Perkataan “Kullu” tidak semestinya hanya bermaksud meliputi semua sekali tanpa ada pengecualian. Ia boleh juga bermaksud “hampir keseluruhan” atau “kebanyakkan” atau “sebahagian”.
Oleh itu, cara memahami hadith adalah memahami bahawa lafaznya umum tetapi maknanya khusus dan cara yang terbaik dalam memahami hadith yang umum ialah apabila ia ditafsirkan atau ditakhsiskan [dikhususkan] oleh hadith-hadith yang lain. Ertinya apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dengan bid`ah tersebut adalah bid`ah sayyi-ah, iaitu setiap perkara baru yang menyalahi al-Qur’an, al-Sunnah, ijma` atau athar.
 
Al-Imam al-Nawawi rahimahullah telah mensyarahkan hadith tersebut dengan menyatakan[1]:
 
"الْمُرَادُ بِقَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، هَذَا عَامٌّ مَـخْصُوْصٌ وَالْمُرَادُ غَالِبُ الْبِدَعِ".
 
Terjemahan:
"Yang dimaksudkan dengan sabda Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, setiap bid`ah itu sesat, ini adalah kaedah umum yang membawa maksud khusus dan ia bermakna kebiasaannya bid`ah adalah sesat ".
 
Kemudian al-Imam al-Nawawi membahagikan bid`ah menjadi lima bahagian. Beliau berkata:
 
“Jika telah difahami apa yang telah aku tuturkan, maka dapat diketahui bahawa hadith ini termasuk hadith umum yang telah dikhususkan. Demikian juga pemahamannya dengan beberapa hadith yang serupa dengan ini. Apa yang saya katakan ini berdasarkan perkataan `Umar Ibn al-Khaththab tentang solat Tarawih, beliau berkata: “Ia (Solat Tarawih dengan berjama`ah) adalah sebaik-baiknya bid`ah”.
 
Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani juga menyatakan bahawa[2]:
 
“Hadith sahih yang umum hendaklah difahami dengan melihat hadith lain yang berkaitan agar apa yang umum dapat dikhususkan [[يَحْمَلُ مُطْلَقُهَا عَلَى مُقَيِّدِهَا agar amalan itu tepat dan selari dengan mafhum hadith secara keseluruhannya”.
 
Al-Syeikh Ibn Allan al-Siddiqi[3]:
 
"فَعُلِمَ أَنَّ قَوْلُهُ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ عَامٌّ أُرِيْدَ بِهِ خَاصٌّ إِذْ فِيْ سُنَّةِ الْـخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ مِنْهَا مَعَ أَنَّا أُمِرْنَا بِاتِّبَاعِهَا لِرُجُوْعِهَا إِلَى أَصْلٍ شَرْعِيٍّ".
 
Terjemahan:
"Maka, dapatlah diketahui bahawa sabda baginda: Setiap bid`ah itu sesat, adalah sesuatu yang umum yang dimaksudkan dengan [perlunya kepada] pengkhususan kerana pada sunnah Khulafa’ al-Rasyidin pun termasuk bid`ah sedangkan kita disuruh untuk mengikutinya kerana rujukannya kepada asal syari`at ". 
 
Beliau berkata lagi[4]:
 
"فَقَوْلُهُ كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ عَامٌّ مَخْصُوْصٌ".
 
Terjemahan:
"Maka sabda Nabi setiap bid`ah itu sesat adalah umum yang dikhususkan ".
 
Dalam penegasan al-Imam al-Nawawi, meskipun hadith riwayat Abu Dawud tersebut di atas menggunakan perkataan: “Kullu” sebagai ta’kid, namun bukan bererti sudah tidak mungkin lagi di-takhshishkan. Melainkan ia tetap dapat di-takhshishkan. Contoh seperti ini, firman Allah ta`ala:
 
((تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِأَمْرِ رَبِّـهَا فَأَصْبَحُواْ لَا يُرَى إِلَّا مَسَاكِنُهُمْ كَذَلِكَ نَـجْزِى الْقَوْمَ الْـمُجْرِمِيْنَ)).
 
Terjemahan:
"Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya". (setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) - tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.
 
                                                                                              (Surah al-Ahqaf: 25)
 
Makna ayat ini ialah bahawa angin yang merupakan azab ke atas kaum `Ad telah menghancurkan kaum tersebut dan segala harta benda yang mereka miliki. Bukan ertinya bahawa angin tersebut menghancurkan segala sesuatu secara keseluruhan, kerana terbukti hingga sekarang langit dan bumi masih utuh. Padahal dalam ayat ini menggunakan perkataan “Kull”. 
 
firman Allah ta`ala:
 
((وَلَوْ شِئْنَا لَاتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَـــٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّى لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْـجَنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ)).
 
Terjemahan:
"Dan (bagi menolak rayuan itu Allah ta`ala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha daripada diri mereka masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat) tetapi telah tetap hukuman seksa daripada-Ku: Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".
                                                                                              (Surah al-Sajadah: 13)
 
Al-Imam al-Suyuthi telah mentafsirkan hadith tersebut dengan menggunakan ayat al-Quran di atas iaitu[5]:
 
“Mengenai hadith bid`ah sesat ini bermakna `Ammum Makhsus [sesuatu yang umum yang ada pengecualiannya], seperti firman Allah subhanahu wata`ala: “Yang menghancurkan segala sesuatu” [Surah al-Ahqaf: 25] dan kenyataannya tidak segalanya hancur”. Atau ayat: “Sungguh telah kupastikan ketentuan-Ku untuk memenuhi jahanam dengan jin dan manusia keseluruhannya” [Surah al-Sajadah: 13]. Dan pada hakikatnya bukan semua manusia masuk neraka, tapi ayat itu bukan bermakna keseluruhan tetapi bermakna seluruh musyrikin dan orang zalim”. 
 
Adapun dalil-dalil yang mentakhshishkan [mengkhususkan] hadith “Wa Kullu Bid`ah Dhalalah” riwayat Abu Dawud ini adalah hadith-hadith dan athar-athar yang telah disebutkan dalam dalil-dalil adanya bid`ah hasanah.
 
Di antara ayat al-Quran lain yang menggunakan perkataan “KULL” tetapi tidak membawa maksud keseluruhan iaitulah seperti berikut:
 
Firman Allah ta`ala:
 
((فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِـمَآ أُوتُواْ أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُوْنَ)).
 
Terjemahan:
"Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka ketika itu mereka terdiam berputus asa".
                                                                                             (Surah al-An`am: 44)
 
Keterangan: Walaupun orang kafirkan dibukakan untuk mereka segala kemewahan pintu-pintu kesenangan tetapi masih ada juga orang kafir yang tidak mendapat kemewahan dan kesenangan. Selain itu, pintu rahmat juga tidak dibuka kepada mereka.
 
Firman Allah ta`ala:
 
((إِنِّي وَجَدتُّ امْرَأَةً تَـمْلِكُهُمْ وَأُوْتِيَتْ مِن كُلِّ شَيْءٍ وَلَـهَا عَرْشٌ عَظِيْمٌ)).
 
Terjemahan:
"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari segala sesuatu  dan ia pula mempunyai Arasy yang agung".
                                                                                     (Surah al-Naml: 23)
 
Keterangannya: Walaupun Ratu Balqis dianugerahkan dengan pelbagai kemewahan tetapi dia tidak diberikan singgah sana Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan bukan semua Ratu Balqis dapat.
 
Firman Allah ta`ala:
 
((أَمَّا السَّفِيْنَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِيْنَ يَعْمَلُوْنَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيْبَهَا وَكَانَ وَرَآءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِيْنَةٍ غَصْبًا)).
 
Terjemahan:
 “Adapun perahu itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut dan aku bertujuan menrosakkan perahu itu kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap perahu dengan keras”.
                                                                                      (Surah al-Kahfi: 79)
 
Keterangannya: “TIAP-TIAP PERAHU” di dalam ayat ini bukanlah bererti raja tersebut merampas semua perahu, tetapi hanya perahu yang cantik dan bagus sahaja.
 
Di antara contoh-contoh di dalam hadith yang menggunakan perkataan “Kullu” tetapi tidak bermakna “semua” atau “keseluruhan” ialah seperti berikut.
 
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda[6]:
 
"كُلُّ اِبْنِ آدَمَ يَأْكُلُهُ التُّرَابُ إِلَّا عَجْبَ الذَّنَبِ".
 
Terjemahan:
"Setiap anak Adam akan dimakan  oleh bumi kecuali tulang sulbi [`ajab al-Zanb]".
 
Keterangannya: Ibn `Abd al-Barr mentafsirkan hadith tersebut dengan menyatakan[7]:
 
“Ungkapan hadith ini secara umumnya seolah-olah memberi gambaran bahawa semua manusia tanpa terkecuali, namun di sana ada hadith lain yang menyebut bahawa jasad Nabi dan para Syuhada’ tidak dimakan bumi”.
 
Hadith tersebut sepertimana sabda Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam[8]:
 
"إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَنْ تَأْكُلَ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ".
 
Terjemahan:
"Sesungguhnya Allah `azza wajalla mengharamkan ke atas bumi untuk memakan jasad-jasad para Nabi".
 
Sabda Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam lagi[9]:
 
"الْحَبَّةُ السَّوْدَاءُ شِفَاءٌ لِكُلِّ دَاءٍ إِلَّا الْمَوْتَ".
 
Terjemahan:
"Habbah al-Sauda’ [biji hitam] adalah ubat bagi segala penyakit kecuali".
 
Keterangannya: Sepakat ulama’ mufassir menegaskan bahawa kalimah “umum” yang digunakan dalam hadith ini merujuk kepada sesuatu yang “khusus”. Maksud hadith ini sebenarnya ialah “banyak” penyakit boleh disembuh dengan habbah al-Sauda’.
 
Faedah: Walaupun kalimah “kull” di dalam ayat-ayat dan hadith-hadith yang telah dinyatakan seolah-olah membawa pengertian “semua” atau “keseluruhan”, namun ia juga membawa maksud “kebanyakkan” atau “selalunya”. Keumumnan kalimah “kull” ini, sebenarnya terdapat pengecualian.
 
KAEDAH DALAM ILMU MANTIQ:
 
Di dalam Ilmu Mantiq, kalimah “Kullu” terbahagi kepada 2 iaitu:
 
Pertama: Kullu Majmu` كُلُّ مَجْمُوْعٍ iaitu “Kullu” yang bererti sebahagian atau sekumpulan, bukan bererti setiap atau keseluruha. Ia juga disebut dalam bab “Kulli”. Sebagai contoh:
 
"كُلُّ رَجُلٍ مِنْ بَنِيْ تَمِيْمٍ يَحْمِلُ الصَّخْرَةَ الْعَظِيْمَةَ".
 
Terjemahan:
"Sebahagian/sekumpulan orang daripada Bani Tamim membawa batu yang besar". 
 
Perkataan “Kullu” di atas hendaklah diterjemahkan dengan “sebahagian/sekumpulan” kerana tidak semua orang daripada Bani Tamim membawa batu besar kerana pada umumnya mesti ada yang tidak membawanya.
 
Kedua: Kullu Jami` كُلُّ جَامِعٍ iaitu “Kullu” yang bererti semua, setiap atau keseluruhan. Ia juga disebut dalam bab “Kulliyyah”. Sebagai contohnya:
 
 "كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ".
 
Terjemahan:
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati ". 
 
Perkataan Kullu di atas diterjemahkan dengan “setiap” kerana melalui dalil dan realitinya, semua yang bernyawa akan mati akhirnya.
 
Bagi membuktikan adanya 2 jenis “Kullu” ini di dalam Ilmu Mantiq disebutkan di sini 2 baity syair di dalam kitab Ilmu Mantiq, Sullah Munauraq karangan al-Syeikh al-Akhdari yang telah disyarahkan oleh al-Syeikh Ahmad al-Malawi dan diberi Hasyiah oleh al-Syeikh Muhammad bin `Ali al-Shabban:
 
"الْكُلُّ حُكْمُنَا عَلَى الْمَجْمُوْعِ
                             كَكُلِّ ذَاكَ لَيْسَ ذَا وُقُوْع[10]
وَحَيْثُمَا لِكُلِّ فَرْدٍ حُكِمَا
                                   فَإِنَّهُ كُلِّيَّةٌ قَدْ عُلِمَا".
Terjemahan:
 
"Kullu itu kita hukumkan untuk majmu` [sebahagian]
                         Seperti: Sebahagian itu tidak pernah terjadi
Dan kita hukumkan untuk tiap-tiap satunya
                             Maka ia adalah kulliyyah [keseluruhan] yang sudah dimaklum".
 
Dalam perbahasan Ilmu Mantiq juga, ada yang menyebutkan:
 
"شَكْلٌ أَوَّلٌ ضَرْبٌ ثَالِثٌ".
 
Oleh kerana keadaan “Kullu [semua/keseluruhan]” tadi, boleh menjadi makna “Ba`dhu [sebahagian]”, maka dalam Ilmu Mantiq dikatakan:
 
"كُلُّ (أَيْ بَعْصُ) بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ".
 
Terjemahan:
"Semua bid`ah [maknanya sebahagian] bid`ah adalah sesat ".
 
"كُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ (أَيْ بَعْضُ الْبِدْعَةِ فِي النَّارِ)".
 
Terjemahan:
"Semua yang sesat ke neraka (maknanya sebahagian pelaku bid`ah ke neraka) ". 
 
Contoh lain dalam Ilmu Mantiq iaitulah[11]:
 
"بَعْضُ الظَّنِّ إِثْمٌ، كُلُّ إِثْمٍ يَجِبُ التَّبَاعُدُ عَنْهُ، بَعْضُ الظَّنِّ يَجِبُ التَّبَاعُدُ عَنْهُ".
 
Terjemahan:
"Sebahagian [Ba`dhu] syak wasangka itu dosa, setiap dosa wajiblah menjauhkan diri daripadanya, [maka ia akan menjadi] sebahagian syak wasangka itu wajiblah menjauhkan diri daripadanya ". 

No comments: