Bangkit dan Berhimpun Untuk Dibicarakan di Mahkamah Allah
Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya):Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? Mereka menjawab: Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, samada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu). (Ibrahim:21)
Allah s.w.t. akan menurunkan hujan air (ma’ul-haya’) bagaikan mani lelaki pekatnya dan berwarna kekuningan seperti air benih perempuan untuk menghidupkan kembali manusia dan makhluknya setelah dimatikan kesemuanya.
Qaf [11]…dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula).
Fatir [9]…..lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula kebangkitan manusia(hidup semula sesudah mati).
Setelah hujan selama sebulan siang dan malam, air masuk ke dalam bumi untuk memulihkan kembali manusia dengan air hujan yang masuk melalui tulang sulbi mereka (yang tidak dihancurkan).
Di hari kiamat semua manusia, jin dan binatang dihimpunkan. Malaikat menyeru mereka ke Padang Mahsyar.
Ta-Ha [108] Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
Walaupun telah bersunat di dunia, namun manusia kembali berkulup setelah dibangkitkan semula. Nabi Ibrahim orang pertama diberi pakaian kerana baginda orang pertama ditelanjangkan oleh musuh Allah dalam menjalankan dakwahnya. Nabi Muhammad s.a.w. pula bangkit dengan kain kapan yang dipakai semasa wafat Baginda.
Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah berdiri berucap kepada kami, sabdanya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu dihimpunkan di padang) Mahsyar dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup”, (kemudian Baginda s.a.w. membaca firman Allah Taala, ertinya:Sebagaimana kami ciptakan manusia pada mulanya, demikian pula Kami ulangi ciptaannya, itulah janji yang sesungguhnya Kami akan lakukan). “Ketahuilah, sesungguhnya orang yang mula-mula sekali diberi pakai pakaian pada – hari qiamat ialah Ibrahim al-Khalil a.s.
Sepertimana perbicaraan di dunia, ia memerlukan bukti dan saksi. Di hari ini bumi, malaikat, anggota badan semuanya menjadi saksi.
Zalzalah [4] Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:
Dari Abu Hurairah ra., katanya, Rasulullah s.a.w., membaca (firman Allah Taala, ertinya: “Pada hari qiamat – itu bumi menerangkan berita-beritanya”); Kemudian Baginda s.a.w., bertanya: “Tahukah kamu apa dia berita perihal bumi itu?” Sahabat-sahabat Baginda menjawab: “Allah dan RasulNya sahajalah yang mengetahui”; Nabi s.a.w., bersabda: “Sesungguhnya berita-beritanya bahawa ia memberi keterangan terhadap tiap-tiap seorang, lelaki atau perempuan, berkenaan apa yang masing-masing lakukan semasa mereka hidup di atasnya, iaitu ia berkata: “Si anu melakukan ini dan ini, pada masa anu-anu.” Baginda s.a.w., selanjutnya bersabda: “Inilah dia berita-beritanya.” (Tirmizi)
Semua nikmat yang diberi akan ditanya, termasuklah air yang kita minum.
At-Takaathur [8] : …..sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
Apabila Allah bertanya mengapa Syaitan menggoda manusia, mereka tidak mengaku mengoda. Sebaliknya Syaitan mengatakan bahawa mereka disesatkan oleh nafsu dalaman mereka sendiri.
Qaf [27] (Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.
No comments:
Post a Comment