Di mana akhlakmu wahai pendakwah
Tarikh: 27 Julai 2016
Makanan sedap, tapi kotor
Jika sesuai analogi ini digunakan, penulis ingin kiaskan dengan dakwah. Dakwah ialah tugas suci warisan para nabi. Semua nabi dan rasul diutus di atas misi penting ini. Firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (surah Yusuf:108)
Mereka yang melaksanakan tugas dakwah sebenarnya sedang melakukan tugas yang paling baik di atas muka bumi. Firman Allah: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Surah Fussilat: 33)
Oleh itu, dakwah bukanlah dilaksanakan hanya bagi mengisi masa lapang. Tidak juga dilakukan sekadar suka-suka. Bukan untuk mencari nama dan kemasyhuran. Apatah lagi semata-mata mencari habuan harta kebendaan. Dakwah adalah kewajipan ke atas setiap mukmin yang telah diwariskan oleh para nabi kepada pengikutnya. Para nabi dan umat terdahulu mendapat kemuliaan kerana mereka melaksanakan tanggungjawab ini.
Apabila menceburkan diri di dalam arena dakwah, kita perlu sedar bahawa kita sedang menelusuri jalan yang telah pun dilalui oleh para nabi. Simpang siurnya telah ditandakan. Arah petunjuk telah disediakan. Amaran dan larangan telah diperingatkan. Jika kita ingin melalui jalan ini dan sampai ke destinasi dengan selamat, maka ikutlah sahaja panduan yang ditinggalkan.
Namun, jika dakwah yang “lazat” ini dihidangkan secara tidak kemas, bahkan dibiarkan pula dicemari oleh kotoran, caci maki, herdikan dan kebencian, maka jangan hairan jika ia sukar untuk diterima. Sebaliknya, jika ajaran agama lain walaupun ternyata ia salah, tetapi jika dihidangkan dengan kemas, penuh kasih sayang, meraikan perasaan insan, maka jangan pelik jika ada yang mengikutnya.
Oleh itu, isi kandungan dakwah yang baik apabila disampaikan pula dengan cara yang baik ia menjadi daya tarikan berganda untuk dakwah diterima. Justeru, perilaku pendakwah tidak boleh dianggap remeh.
Ketempangan dakwah
Sering diungkapkan kata-kata “lihatlah kepada APA yang dikatakan, jangan melihat kepada SIAPA yang berkata”.
Kata-kata ini ada kebenarannya dari satu sudut. Tetapi, ia juga boleh disalahgunakan. Seorang pendakwah tidak wajar kiranya menjadikan kata-kata ini bagi melepaskan dirinya untuk tidak berkelakuan baik. Patutkah seorang pendakwah yang mengajak orang lain berbuat baik atau melarang berbuat jahat, dalam masa yang sama kelakuan, sikap dan perkataannya tidak menggambarkan apa yang diseru olehnya. Apabila ditegur, maka tidak wajar dia berkata: “lihatlah apa yang ana sampaikan, jangan lihat apa yang ana buat”.
Inilah ketempangan dalam dakwah. Apabila dakwah dan akhlak dianggap dua perkara yang berasingan. Kadang-kadang seruan dakwah tidak diterima bukan kerana isi kandungannya tidak betul, tetapi pendengar tidak boleh menerima sikap, kelakuan dan akhlak penyampainya.
Pendakwah yang menyarung jubah, serban dan kopiah, dipanggil pula dengan gelaran “ustaz”, berjabat salam dicium tangan, itu semua belum tentu menjamin dia disenangi masyarakat jika akhlaknya “ke laut”.
Lebih menyedihkan apabila ruang-ruang kuliah agama dipenuhi dengan mencaci maki pendakwah lain hanya kerana perbezaan dalam masalah fiqh. Tapi, pada saat dia mencaci maki, memfitnah dan memperlekehkan pendakwah lain, dia tidak rasa bersalah kerana semua itu dilakukan di dalam sesi kuliah di masjid dan di atas nama dakwah. Bukan setakat itu sahaja, bahkan sampai ke tahap mengkafirkan pendakwah lain.
Akhlak pendakwah sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat Islam malah boleh memberikan tanggapan buruk dan salah faham kepada masyarakat bukan Islam. Mungkin terlintas di benak fikiran mereka “Begini ajaran Islam?!
Kisah benar di Mekah
Teringat saya satu peristiwa di depan Maktabah Makkah (Perpustakaan Mekah), berdekatan Masjid al-Haram, pada musim haji 2006. Suatu petang, selesai daripada tugas sebagai penterjemah di Bukit Thur, saya pergi ke Masjid al-Haram. Memandangkan waktu solat masih lama lagi, saya terus ke Maktabah Makkah (yang dikatakan tempat kelahiran Nabi s.a.w). Di sana, ada beberapa orang teman dari Rabitah al-Alam Islami, Mekah (Muslim World League), yang juga ditugaskan sebagai penterjemah sempena musim haji. Sementara ada di situ, saya juga turut membantu mereka untuk memberi penerangan kepada orang ramai yang datang melihat tempat tersebut.
Diringkaskan cerita, dalam ramai-ramai orang yang datang melawat tempat tersebut, ada seorang lelaki - kalau tidak silap dari India- yang datang menghampiri bangunan maktabah ini lalu mengusap dindingnya dengan tangan dan terus menyapu di badannya. Kebetulan perbuatan lelaki ini dilihat oleh salah seorang pegawai dari Jabatan Amar Makruf Nahi Mungkar –jabatan ini mungkin seperti JAKIM atau jabatan agama Islam di Malaysia-.Tanpa memberi peluang, dengan perasaan penuh “tanggungjawab” untuk mencegah kemungkaran, pegawai ini terus datang dan bertanya kepada lelaki ini dengan suara yang tinggi (dan saya rasakan yang bahasa pegawai ini tidak difahami oleh lelaki tersebut). Pegawai itu bertanya (dalam bahasa Arab pasar): “Eshh anta??!! Anta majnun??!!” (Apa kau buat ni?? Kau gila??). Kemudian pegawai ini terus menghalau dengan menolak lelaki tersebut supaya beredar dari situ (Rooh! Rooh! (Pergi! Pergi!)
Saya yang menyaksikan adegan ini, menggelengkan kepala. Perasaan bercampur baur. Bingung, kecewa, geram dan luntur semangat. Lantas bertanya kepada diri sendiri, beginikah cara dakwah yang baik?
Apakah begini caranya mencegah kemungkaran? Apakah begini cara dakwah manhaj salaf al-soleh? Apakah tiada ruang langsung untuk berlembut di dalam mencegah kemungkaran? Apakah tidak boleh jika ditanya terlebih dahulu dan diterangkan dengan baik kesalahan lelaki tersebut?. Sekurang-kurangnya dia akan tahu yang perbuatannya tidak betul dan tahu juga apakah sebab-sebabnya. Saya merasakan yang lelaki tadi pergi dengan tidak mendapat sebarang mesej pun daripada pegawai tadi kecuali yang dia faham bahawa ustaz tersebut memang keras dan kasar cara dakwahnya.
HIKMAH – Kecuaian pendakwah
Oleh sebab itu, antara kecuaian utama para pendakwah ialah apabila tidak meraikan prinsip hikmah di dalam dakwah mereka. Sedangkan HIKMAH merupakan paksi utama dakwah. Perhatikan ayat berikut: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik…”. (al-Nahl: ayat 125)
Menurut Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam bukunya al-Madkhal ila Ilm al-Da’wah, hikmah itu ialah: “ketepatan di dalam percakapan dan perbuatan”. Syaikh Said bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani pula di dalam bukunya “Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah”, memberikan takrifan berikut: “Betul dan tepat di dalam percakapan dan perbuatan, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya”.
Oleh itu, terdapat beberapa etika, prinsip dan disiplin yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah agar dakwahnya benar-benar memenuhi maksud hikmah ini.
Antaranya adalah:
Berikan khabar gembira (al-tabsyir) dan tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang semakin menjauhi dakwah (al-tanfir).
Sandaran penting di dalam prinsip ini ialah nasihat Rasulullah s.a.w kepada dua orang sahabat yang diutus untuk berdakwah di Yaman; Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal: “Serulah manusia, hendaklah kamu berdua memberi khabar gembira dan jangan melakukan sesuatu yang menjauhkan manusia daripada kamu, permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan sesuatu perkara”.(al-Bukhari & Muslim).
Bagaimanakah untuk menggembirakan sasaran dakwah kita dan membuatkan mereka minat dengan dakwah yang kita sampaikan?
Dua tip yang boleh diamalkan, iaitu:
1) Berlembut di dalam percakapan dan mesra di dalam pergaulan.
Tiada lagi yang lebih jelas di dalam menerangkan tip ini selain daripada saranan Allah SWT kepada dua orang rasulNya; Musa dan Harun yang diutuskan bagi menyampaikan dakwah kepada Fir ‘aun: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut)) (surah Taaha: 43-44).
2) Jadikan hadiah pengikat mahabbah.
Hadiah merupakan sesuatu yang dapat menjalin ikatan kasih sayang, kemesraan dan menjauhkan perasaan benci dan buruk di dalam sangkaan. Sebab itulah Nabi s.a.w menyarankan: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ia nya akan menyebabkan kamu saling berkasih sayang”. (al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad).
Bagaimanakah pula untuk menjadikan orang ramai tidak menjauhi dakwah kita?
Beberapa tip ini boleh dipraktikkan:
1) Elakkan berdepan dengan mereka dengan cara yang tidak disukai; seperti menyebut kesalahan dan menyandarkan kesalahan tersebut kepada mereka atau menyebut nama-nama mereka yang melakukan kesalahan.
Rasulullah jika ingin menegur sesuatu kesalahan atau maksiat, Baginda tidak akan menyebut nama mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Perhatikan perkataan yang dipilih dan digunakan oleh baginda: “Apa kena dengan salah seorang daripada kamu yang berdiri menghadap Tuhannya, lalu meludah ke arah hadapannya (semasa solat)? Apakah ada di antara kamu semua yang suka jika ada seseorang yang berdiri menghadapnya lalu di ludah ke arah mukanya? Jika ada di antara kamu yang ingin meludah, maka hendaklah dia ludah ke arah kirinya ke bawah kaki…”. (al-Bukhari & Muslim)
2) Bersabarlah menghadapi kelemahan dan kesalahan yang ada pada diri mereka. Jangan suka dan terlalu cepat menghukum di dalam semua perkara.
3) Jauhkan setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan sangka buruk terhadap dakwah, walau pun perkara tersebut adalah harus untuk dilakukan.
Ikuti contoh hikmah seperti yang diceritakan oleh ‘Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: “Apakah kamu tidak tahu yang kaum mu telah membina semula Kaabah tidak di atas tapak yang dibina oleh Ibrahim? ‘Aisyah menjawab: Ya Rasulullah, apakah kamu tidak mahu kembalikannya semula di atas tapak yang dibina Ibrahim? Baginda s.a.w menjawab: “Kalaulah tidak disebabkan kaum mu yang masih di atas kekufuran, akan aku lakukannya”. (al-Bukhari & Muslim).
Ibn Hajar berkata: “…melalui hadis ini dapat diambil pengajaran bahawa perlunya untuk meninggalkan perkara yang maslahah (mendatangkan kebaikan) dengan tujuan mengelakkan jatuh ke dalam mafsadah (perkara yang buruk), dan juga tinggalkan urusan mencegah kemungkaran, takut akan jatuh ke dalam kemungkaran yang lebih dahsyat”. (Fath al-Bari 1/225)
Akhlak merupakan salah satu teras penting dalam agama. Justeru, dalam berdakwah, akhlak tidak boleh dikesampingkan. Rasulullah, insan yang kita laungkan sebagai contoh tauladan terbaik dan kita lakukan dakwah ini pun sebagai meneladani baginda, lihatlah bagaimana akhlak baginda. Allah memuji baginda Rasulullah: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia”. (Surah Nun: 4).
Sufyan al-Thauri berkata: “Tidak mengajak perkara yang baik dan mencegah perkara mungkar kecuali sesiapa yang memiliki tiga sifat: berlembut dalam perkara yang dia mengajak dan berlembut juga di dalam perkara yang dia melarang, bersikap adil terhadap perkara yang dia mengajak dan adil juga di dalam perkara yang dia melarang, mempunyai pengetahuan terhadap perkara yang diajak dan tahu juga perkara yang dia melarang”.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “(Pendakwah) mesti memiliki tiga perkara: ilmu, sifat berlemah lembut dan bersabar. Ilmu sebelum mengajak dan melarang sesuatu, berlemah lembut disertakan bersama, dan bersabar selepas daripada itu. Sekali pun sebenarnya ketiga-tiga perkara ini mesti ada seiringan dalam sesuatu keadaan”. (Lihat: Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani, al-Hikmah fi al-Da’wah, m/s 122)
http://www.karangkraf.com/nurani/di-mana-akhlakmu-wahai-pendakwah-1.545751
No comments:
Post a Comment