Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Wednesday, April 4, 2018

Perbahasan Isu Kalam Allah Menurut Tohawi.

Perbahasan Isu Kalam Allah Menurut Tohawi....
Huraian Berkenaan Isu Kalam Allah menurut aliran at-Tohawiyyah, As-Sanusiyyah dan al-Asyairah.

Imam Tohawi berkata;

Dan bahawasanya Quran itu perkataan Allah Taala, daripadanya nyata ia sebagai berkata, dan menurunkan ia akan dia atas pesuruhnya sebagai wahyu, dan membenarkan akan dia oleh sekalian yang beriman atas demikian itu sebenar, dan yakin mereka itu akan bahawa Quran itu perkataan Allah Taala dengan sebenar, tiada ada ia makhluk seperti perkataan makhluk, maka barang siapa mendengar ia akan dia maka menyangka ia akan bahawasanya perkataan manusia maka sungguhnya telah kafir ia. Dan sesungguhnya  telah mencela akan dia akan dia oleh Allah Taala dan mencacatkan ia akan dia dan menjanjikan ia akan dia dengan api neraka Saqar kerana berfirman oleh Allah Taala : Selagi aku masukkan akan dia ke dalam  api neraka yang bernama Saqar (Surah Al Muddathir:25). Maka tatkala menjanjikan Allah Taala dengan api neraka Saqar akan mereka itu yang berkata :tiada ini Quran melainkan perkataan manusia(Surah Al Muddtahir;26). Nescaya mengetahui kita dan yakin kita akan bahawasanya Quran itu perkataan  tuhan yang menjadikan manusia, dan tiada menyerupai ia akan perkataan manusia. (rujuk kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf, Sheikh Abdul Qadir Al Mandili 1961)
------------------------------------------------------
Untuk memahami lagi isu ini secara terperinci marilah kita merenung pulalirik kumpulan Nasyid Mawaddah.

Diantara sifat Tuhan yang Wajib lagi Mulia,
Kalam namanya, Ertinya tuhan berkata-kata,
Dengan bahasa tersendiri,
Bahasanya tidak sama,
Dengan Bahasa makhluknya,
Bahasa makhluk, Tuhan yang ciptakan.

Ia sudah ada di azali, tidak diikuti,
Dengan bahasa dan zaman,
Sepertinya zatnya adalah dalil,
Bahasa Qadim lagi azali.

Bahasa Allah, rata tersendiri,
Tidak dapat difikir,
Tidak dapat dibayangkan,
Tidak sama dengan bahasa makhluk ciptaan Tuhan,
Tuhan bercakap tidak terbatas,
Tidak berhuruf,
Tidak bersuara.
Tuturannya tiada ada yang dahulu dan tidak ada yang kemudian,

Maha Suci Tuhan bahawasanya
Tidak dapat digambarkan

Al Quran adalah bahasa malaikat, bahasa Rasul,
Terjemahan bahasa Tuhan,
Kita hanya dapat faham bahasa Tuhan dari bahasa Al Quran
Bahasa Tuhan tidak macam bahasa Al Quran,
Maha suci Tuhan bahasanya sedemikian,

Jika kita tidak dapat fikirkan dan bayangkan,
Sudah tentu itu mengikut pegangannya,
Jangan diubah lagi keyakinan mengikut sangkaan…
--------------------------------------------------------------------
Baik untuk lebih jelas dan faham bahawa Al Quran itu bukan makhluk dan akan tetapi bukanlah bahasa Allah Taala yang hakiki, maka saya bawakan pula matan Aqidah An Najin karangan Al A'lamah Sheikh Zainul Abidin Bin Muhammad Al Fatani Rahimahumullah.
Beliau berkata :

Kalam adalah sifat yang Qadim yang ada pada zat Allah dan dinamakan dengan beberapa macam nama sesuai dengan kita bacakan Kalamullah yang ertinya makhluk Allah namun bukan karangan makhluk. Dan yang  ditulis oleh Sheikh as Sanusi dan beberapa ulama' lain yang mengatakan huruf-huruf Al Quran itu adalah Madlul kalamullah (petunjuk atau dalil adanya kalam Allah) yang azali yang ada pada Zat-Nya. Kerana itulah Al Quran dinamakan Kalamullah kerana ia menunjukkan maksud Kalam  yang ada pada zat Allah. Ahli salaf sepakat (bahawa) haram mengatakan  Al Quran itu makhluk dan yang dikehendaki lafaz yang diturunkan kepada Nabi SAW, melainkan saat belajar dan mengajar agar tidak menimbulkan prasangka tentang kebaharuan sifat yang ada pada Zat-Nya. Orang yang mengatakan Al Quran itu makhluk adalah fasiq namun tidak sampai kafir, dan orang yang dapat katakan kafir adalah orang yang mengatakan Kalamullah yang ada pada zat Allah itu makhluk…..

Berkata lagi beliau:
…….Dan Kalamullah yang Qadim itu tidak bercerai dari Zat-Nya yang Qadim yang tiada berhuruf dan tiada bersuara seperti yang disebutkan di atas dan Kalamullah tidak termasuk ke dalam Kitab Al Quran, Taurat, Zabur dan Injil kerana Kalamullah selamanya tidak bercerai dari Zatnya.

Sheikh zainal Abidin kembali menerangkan pendapat Imam As Sanusi:

Para ulama' sepakat bahawa kalamullah itu tidak terdapat pada 2 zat, tidak diucap oleh 2 orang dan tiada yang berkata Kalamullah itu melainkan Allah jua. Kerana itu hubungan Tilawah dan Qiraah bagi Kalamullah seperti hubungan bayang-bayang dengan empunya bayang-bayang. Tentunya tilawah(bacaan Al Quran) itulah Kalamullah dan siapa yang mengatakan bayang-bayang itulah yang empunya bayang-bayang, tentulah tilawah itulah Kalamullah dan siapa yang mengatakan  bayang-bayang bukan yang empunya bayang-bayang hanya menunjukkan adanya yang mempunyai bayang-bayang, ia mengatakan tilawah hanya menunjukkan KalamullahPara ulama' Ahlu Sunnah menyatakan Al Quran itu Kalamullah yang Qadim bukan makhluk kerana khuatir akan menimbulkan kesamaran. Kalau dikatakan Al Quran itu baharu  dapat mengakibatkan ada yang mengatakan kalamullah yang ada pada zat Allah itu juga baharu seperti yang dikemukakan terdahulu bhawa iktiqad sebegitu kafir.

Sheikh Zainal Abidin menegaskan lagi berkenaan cara traksaksi kalam Allah kepada Malaikat dan seterusnya kepada umat para nabi-nabi :

Semua kitab Allah yang diturunkan dalam bahasa Arab kemudiannya dari Bahasa Arab itu diterjemahkan oleh setiap Nabi untuk umatnya ke bahasa umat masing-masing. Jibrail yang mendengar  Kalamullah yang tidak mempunyai huruf dan suara dan tidak mempunyai arah tertentu, dan dari Kalamullah itulah diambil makna Al Quran kemudian Allah memrintahkan Israfil mengambil lafaznya dari Luh Mahfuzd. Maka setiap huruf Al Quran di Luh Mahfuzd itu seperti gunung Qaf dan pada  setiap huruf mempunyai beberapa makna yang tidak diketahui semuanya  oleh makhluk melainkan Allah jua mengetahui. Maka lafaz dan makna itu yang diturunkan kepada Nabi SAW yang diambil oleh Jibrail dari Luh mhafuzd dan kemudian diimlakkan  kepada malaikat yang bernama Safrah. Yang dimaksudkan dengan diimlakkan yakni diberikan lafaz satu demi satu agar ditulis dan malaikat Safrah itu berada di Baitul Izzah pda langit dunia dan kemudian dicantumkan ke dalam Suhuf. Kalau Allah ingin menurunkan satu daripadanya kepada Nabi SAW, maka Allah berfirman kepadanya tanpa huruf dan suara dan tidak mempunyai bentuk bahasa tertentu diturunkan kepada Nabi SAW sedikit demi sedikit sehingga seluruhnya diturunkan dalam waktu sekitar 20 tahun.

Perbahasan:

Perlu diketahui bahawa  ulama' ilmu aqidah aliran Khalaf yang berteraskan disiplin keilmuan kalam (ilmu hujah) telah mendefinasikan kalam kepada 4 bahagian yang berbeza.

1)      Kalam Ismi : iaitulah ilmu tentang kalam Allah yang ada pada diri Allah itu sendiri. Keilmuan ini dibahaskan oleh ulama' aliran salaf dan khalaf keduanya. Mereka sependapat bahawa Kalam Allah tiada huruf, tidak bersuara dan tiada struktur yang sama seperti bahasa manusia kerana haram meyerupakan bahasa Allah dengan bahasa kita.
2)      Kalam Masdari : Iaiatulah taaluq Kalam Allah atau disebut fungsi kalam Allah. Jika tiada fungsi bermakna kalam Allah tiada makna dan tidak bermanfaat. Mustahil bagi Allah berkata-kata benda yang tidak bermanfaat.
3)      Kalam Nafsani : Keadaan bercadang untuk bercakap. Tetapi selalunya belum dizahirkan. Cadangan berkata-kata inilah Taaluq Suluhi Qadim iaitu kemampuan Allah berkata-kata sejak azali walaupun tiada makhluk diciptakan lagi. Allah tidak bersifat spontan untuk bercakap melainkan berkemampuan untuk berkata-kata lebih awal lagi.
4)      Ma Hasala Bil Masdari : Iaitulah hasil daripada fungsi kalam. Fungsi kalam adalah untuk memandu makhluk, memerintah dan mengarahkan mereka, maka disinilah hasilnya adalah bayang-bayang kalam Allah iaitu Al Quran dan kitab-kitab samawi yang lain. Pendengaran Nabi Musa kepada kata-kata Allah juga adalah Ma Hasala Bil Masdari iaitu keberhasilan Musa untuk berkata-kata dengan Allah adalah kerana limpah kurniaan Nya bukanlah menunjukkan Nabi Musa terlali hebat setanding dengan Allah SWT.

Kesimpulannya :
Kita memahami bahawa Al Quran bukanlah bahasa Allah yang sebenarnya. Ia hanya dalil dan petunjuk bahawa Allah itu mampu berkata-kata, boleh mengarah, memberi ingat dan panduan kepada manusia menurut bahasa makhluk. Ia umpama bayang-bayang kalam Allah pada zat-Nya yang Maha Agung. Kalam yang sebenar-benarnya Qadim adalah kalam pada Zat-Nya. Tetapi Kitab Al Quran yang ditulis hari ini kita katakan sebagai Qadim juga adalah kerana dikhuatiri manusia mula mengatakan bahawa kata-kata di dalam Al Quran bukan wahyu lagi tetapi adalah bahasa Makhluk. Lantaran itulah kita dilarang mengajar masyarakat awam berkenaan hakikat kalam tanpa keperluan untuk mereka mengetahuinya.  Imam Ahmad mengambil pendekatan bijak dan selamat iaitu terus terang mengatakan bahawa semua daripada kitab samawi adalah bukan Makhluk dan semestinya daripada kata-kata Allah. Jadi jika sudah memahami ilmu ini bolehkah kita mengatakan bahawa Al Quran yang kita baca adalah bahasa Makhluk dan bahasa Allah adalah bahasa Zatnya? Jawapannya adalah kita wajar untuk mendiamkan diri dan hanya mengatakan Al Quran itu Madlul kepada Kalam Allah. Jangan disebut Al Quran itu bahasa makhluk (kecuali dalam keadaan untuk mengajar dan belajar) dan adalah makhluk kerana akan menjerumuskan kita kepada fasiq dan akhirnya kepada kafir. Moga dilindungi.

Diharapkan bahan yang saya sediakan ini bermanfaat bagi pembaca sekalian. Untuk jelas kefahaman, sila rujuk Kitab Perisi Bagi sekalian Mukallaf, Faridatul faraid, Aqidatun Najin, Ummul Barahin dan beberapa kitab Aqidah salaf yang lain. Lagi baik kalau berguru. Semoga usaha ini menimbulkan minat semua untuk mempelajari semula senjata umat Islam peninggalan ulama' Khalaf dan Salaf. Ilmu kalam adalah senjata muslimin bukannya ilmu yang menyusahkan jika kita tahu perletakkan tempatnya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Universiti Malaya
2006

http://munawwarah.blogdrives.com/archive/120.html

No comments: