Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Sunday, June 21, 2020

Bolehkah mengulang sebut perkataan Iblis Syaitan dan Firaun dengan niat membaca al-Quran

Bolehkah mengulang sebut perkataan Iblis, Syaitan dan Firaun dengan niat membaca al-Quran?

Oleh : Dr Khafidz Soroni (KUIS)

1. Pos saya yang bertajuk: Kelebihan pahala menyebut “Allah” tujuan asalnya adalah sebagai catatan pinggir saja kepada beberapa artikel ilmuwan ASWJ yang telah pun mengupas dan memberi respon mengenai isu zikir ‘Ism az-Zat’ tersebut dengan baik. Namun, yang agak mengejutkan apabila respon balas pihak yang tidak berpuas hati itu kelihatan begitu ‘ekstrim’. Saya tidak pasti mereka nak mempersendakan saya, atau nak mempersendakan dan menghina hadis Nabi SAW...?

2. Saya katakan: Hadis tersebut adalah dalil fadhilat al-Quran yang jelas, bukan dalil umum yang samar dan tidak ada yang silap dalam menggunakannya sebagai dalil. Orang yang membaca al-Quran untuk beribadah kepada Allah SWT, jelas akan diberi ganjaran pahala, walaupun satu huruf sekalipun, seperti ن dalam Surah al-Qalam. Ini kerana memang sifat al-Quran itu dapat menjadi ibadah dengan membacanya (المتعبَّد بتلاوته) menurut ijmak ulama.

3. Ya, jika dia menyebut lafaz: الشيطان، فرعون، إبليس dengan niat membaca al-Quran untuk beribadah kepada Allah SWT, maka ia mendapat pahala, secara zahirnya. Namun persoalannya, untuk apa dia menyebut nama-nama itu sahaja? Apakah niatnya benar-benar ikhlas untuk membaca al-Quran demi beribadah kepada Allah SWT, sedangkan itu adalah jelas nama-nama musuh-Nya yang Allah SWT sendiri sebutkan dalam al-Quran supaya dihindari dan dibenci? Maka, sudah tentu perbuatannya itu umpama melakukan ‘waqaf qabih’ (cara berhenti yang buruk/keji), bahkan ‘aqbah’ (paling buruk/keji) dalam membaca al-Quran (rujuk nota pinggir di bawah).*

4. Jika dia mengulang lafaz-lafaz tersebut pula, konon dengan niat membaca al-Quran, sudah tentu niatnya itu boleh dicurigai. Maka, dia akan termasuk seperti yang disebut dalam hadis Nabi SAW:

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "إن الله يرفع بهذا الكتاب أقواما ويضع به آخرين" رواه مسلم.

Daripada ‘Umar bin al-Khattab RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat (memuliakan) dengan sebab al-Quran ini sebilangan kaum dan akan merendahkan (menghinakan) dengan sebabnya sebilangan yang lain”. (HR Muslim)

5. Orang yang waras sudah tentu tidak redha untuk dirinya melakukan perbuatan yang akalnya rasa elok, namun menyalahi dalil-dalil dan hakikatnya sia-sia di sisi Allah SWT, iaitu dia membaca al-Quran, tetapi mendapat kehinaan daripada Allah subhanahu wa Ta'ala. (Saya ucapkan terima kasihlah kepada yang ‘menyindir’ kerana telah menambahkan lagi kefahaman saya terhadap hadis Saidina ‘Umar bin al-Khattab radiyaLlahu 'anhu di atas) 

6. Adapun menyebut lafaz: الله, maka dia tidak melakukan ‘waqaf qabih’ kerana al-Quran itu adalah milik-Nya dan kalam-Nya, dan الله itu adalah nama-Nya, bukan yang lain. Malah, keseluruhan al-Quran itu hakikatnya adalah mengisyaratkan kepada-Nya jua سبحانه وتعالى. Justeru, amat banyak perintah dan anjuran di dalam kalam-Nya itu sendiri supaya hamba-Nya berzikir mengingati-Nya, sepertimana dalil-dalil yang telah disebutkan dalam banyak artikel ilmuwan ASWJ mengenai hal ini. Tidak perlu untuk saya ulangi semuanya. Antaranya seperti kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala yang jelas secara zahir menyuruh orang beriman agar berzikir dengan menyebut kalimah "Allah" iaitu:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرٗا كَثِيرٗا

“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab: 41).

Juga seperti kalam-Nya yang secara zahir membenarkan kita menyeru nama “Allah” iaitu:

قُلِ ٱدۡعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدۡعُواْ ٱلرَّحۡمَٰنَۖ أَيّٗا مَّا تَدۡعُواْ فَلَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ

“Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama "Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". (al-Isra’: 110)

7. Dalam pada membicarakan al-Quran sebagai kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala, sudah pasti pernyataan-pernyataan provokasi seperti “Syaitan pun ayat quran gak. Jom pakat sebut.” hakikatnya boleh menunjukkan adab buruk yang serius terhadap kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala serta mempermain-mainkan hadis Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Kerana sudah jelas banyak dalil perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam al-Quran dan hadis Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam untuk berzikir mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala, namun tiada dalil perintah untuk berzikir mengingati Iblis, Syaitan, Firaun, etc. Semoga mereka dan kita diberi petunjuk dan pancaran nur basirah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Nota pinggir:

وإن لم يتم الكلام كان الوقف عليه اضطراريا وهو المسمى بالقبيح، لا يجوز تعمد الوقف عليه إلا لضرورة من انقطاع نفس ونحوه لعدم الفائدة أو لفساد المعنى نحو: {صراط الذين}. وقد يكون بعضه أقبح من بعض نحو: {فلها النصف ولأبويه} لإبهامه أنهما مع البنت شركاء في النصف. وأقبح منه نحو: {إن الله لا يستحيي} {فويل للمصلين} {لا تقربوا الصلاة}. (راجع: الإتقان في علوم القرآن للإمام جلال الدين السيوطي 1/ 291)

No comments: