Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Tuesday, June 23, 2020

MASALAH ZIKIR MUFRAD

Copy from Ahmad Adnan Fadzil

MASALAH ZIKIR MUFRAD; "الله، الله"
.
Hidup ini bukan hanya ada hitam dan putih sahaja, tetapi banyak lagi warna-warna lain. Masalah orang Melayu ialah; mereka diajar hanya ada satu pandangan sahaja dalam hidup. Makanan boleh berbagai-bagai, tetapi pandangan mesti satu saja. Maka jadilah mereka bangsa yang suka kepelbagaian makanan, tapi tidak suka kepelbagaian pandangan.
.
Masalah zikir mufrad ini terdapat pelbagai pandangan fuqahak tentangnya, namun ada penceramah berceramah seolah-olah hanya ada satu pandangan sahaja, iaitu; tidak warid, bid'ah dan tidak berfaedah (tiada pahala).
.
Seorang ulamak (Syeikh Abdul Fattah al-Yafiie) dalam kajiannya bertajuk "al-Zikr bil Ism al-Mufrad; baina al-Mujizin wa al-Mani'iin" telah menyenaraikan ulamak/fuqahak dari kedua-dua golongan; yang mengharuskan berzikir dengannya dan yang tidak mengharuskannya.
.
Ulamak-ulamak yang mengharuskannya;
1. Imam al-Junaid
2. Imam al-Syibli
3. Imam Abu Yazid al-Bustomi
4. Imam Abu al-Husain al-Nuri
5. Imam Abdul Qadier al-Jilani
6. Imam al-Zabidi
7. Imam al-Ghazali
8. Imam Ibnu al-Muzaffar
9. Imam al-Jariri
10. Imam Abu Usman al-Maghribi
11. Imam Abul Waqti al-Syijzi
12. Imam Fakhruddin al-Razi
13. Imam Sadruddin al-Qunawi
14. Imam Ibnu Amir al-Haj
15. Imam Ibnu 'Abidin
16. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali
17. Imam Abdurrauf al-Munawi
18. Syeikhul-Islam Zakaria al-Ansari 
19. Imam Ibnu Hajar al-Haitami
20. Imam al-Ramli
21. Syeikh Anwar Syah al-Kasymiri
22. Syeikh Sa'id Hawa
.
Adapun ulamak yang tidak mengharuskannya;
1. Imam Ibnu Taimiyah
2. Imam Ibnul Qayyim
3. Imam Izzuddin Ibnu Abdil-Salam
4. Syeikh al-Khatib al-Syirbini
5. Syeikh Ibnu al-Amir al-Son'ani.
.
Hujjah golongan ulamak yang tidak mengharuskannya ialah; tidak ada sebarang nas yang mengajar kita berzikir "الله، الله" dengan lafaz mufrad (tunggal) sebegitu. Yang ada ialah berzikir dengan lafaz "لا أله إ لا الله", "سبحان الله" dan sebagainya.
.
Ulamak yang mengharuskannya menjawab; sekalipun tidak ada nas mengajarnya, tidak bermakna haram melakukannya. Tambahan pula terdapat hadis yang boleh dijadikan andaian bagi keharusannya, antaranya;
.
(1) Nabi SAW mengajar Asma' binti 'Umais RA zikir ketika kesusahan;
اللهُ اللهُ رَبِّى لاَ أُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
"ALLAH, ALLAH, (Dialah) Tuhanku. aku tidak mensyirikkan sesuatupun denganNya" (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah).
.
(2) Nabi SAW bersabda;

لاَ تَقُومُ السَّاعةُ حَتَّى لاَ يُقَالَ فِي الأَرْضِ: الله، الله"
"Tidak akan berlaku kiamat melainkan ketika tidak ada lagi orang yang berkata; ALLAH, ALLAH" (HR Muslim dan al-Tirmizi).
.
Berkata Syeikh Anwar Syah al-Kasymiri yang mensyarahkan hadis dalam Sunan al-Tirmizi; hadis ini menjadi dalil bahawa menyebut kalimah "الله الله" secara mufrad juga merupakan suatu zikir (al-'Urf al-Syaza, 3/413).
.
Terserah kepada kita untuk menyakini mana-mana pandangan berdasarkan hujjah masing-masing, namun dalam masalah khilaf wajib kita berlapang dada. Dan jangan sekali-kali menganggap para ulamak yang tidak sependapat dengan kita mereka jahil kandungan al-Quran dan hadis/sunnah, apatahlagi mendakwa mereka sengaja ingin menyalahi al-Quran dan al-Sunnah atau memandai-mandai mereka hukum agama.
.
Ulamak-ulamak yang kita senaraikan di atas mereka adalah mufassirin, muhaddisin, fuqahak dan mu'allimin. Karya-karya mereka menjadi rujukan umat dari dulu hingga ke hari ini dan mungkin hingga akhir zaman. Adapun ustaz/ulamak/agamawan dalam masyarakat kita hari ini belum ada yang mampu menghasilkan karya lengkap seperti mereka.
.
Perbahasan di atas adalah tentang; harus atau tidak zikr mufrad tersebut. Adapun perbahasan tentang zikir yang terbaik (afdhal), ia di luar perbahasan tersebut. Tiada keraguan dan khilaf bahawa zikir terbaik ialah "لا أله إلا الله" dan zikir-zikir lain yang diajar Nabi SAW.
.
#akidahdanpegangan

No comments: