Apa hukum taqlid atau itba’ mazhab?
Taqlid atau Itba’ dari segi bahasa bermakna meniru dan mengikut orang lain.
Setiap orang yang mengikut atau meniru orang lain, maka ia dinamakan Muqallid
atau Muttabi’. Ada di kalangan Ulamak membezakan antara Taklid dan Itba’ di mana
taklid ialah mengikut orang lain tanpa memerhati dalil dan hujjah, adapun Itba’
ialah mengikuti orang lain berdasarkan dalil dan hujahnya. Jika perbezaan ini
dapat dibenarkan, maka Muttabi’ adalah lebih baik dari Muqallid. Sama ada harus
atau tidaknya taklid atau itba’ di sisi agama bergantung kepada kemampuan
seseorang;
1. Seorang yang mampu berijtihad sendiri dari al-Quran dan as-Sunnah, atasnya
haram taklid kerana ia seorang Mujtahid.
2. Seorang yang tidak mampu berijtihad, maka ia wajib mengikuti atau
mengambil panduan dari ulamak yang mujtahid. Kewajipan ini berpandukan firman
Allah (yang bermaksud); “…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang yang
berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui” (an-Nahl: 43). Begitu juga,
Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “Sesungguhnya ubat bagi orang yang
jahil ialah bertanya” (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni).
Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; “Seorang mujtahid hendaklah memperolehi
hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad.
Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib
atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak).
Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara
musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di
dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan
mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi
orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf
dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh…”.
(Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh)
3. Orang yang tidak sampai darjat mujtahid, tetapi ia mampu menilai pandangan
para mujtahid, dalil-dalil dan jalan-jalan istinbat mereka. Bagi orang ini, ia
hendaklah berusaha mengetahui dan memahami dalil ulamak mujtahid yang diikutinya.
Inilah yang dapat kita fahami dari salah satu taujihad Imam Hasan al-Banna dalam
Usul ‘Isyrinnya; “Setiap orang Islam yang belum sampai tahap kemampuan memerhati/mengkaji
sendiri dalil-dalil bagi hukum-hakam Syarak dalam masalah furu’ (cabang)
hendaklah ia mengikut salah seorang Imam dari Imam-Imam (mujtahid) dalam agama
ini. Namun adalah lebih baik di samping mengikut itu ia berusaha sedaya mungkin
untuk mengetahui dalil-dalil (yang dipakai oleh Imamnya)…”. (Usul al-’Isyrin,
Risalah at-Ta’alim).
Apa makna talfiq? Adakah harus bertalfiq?
Talfiq bermaksud : seseorang itu mengikut / bertaqlid satu mazhab tertentu
dalam ibadahnya, kemudian dalam satu keadaan atau bahagian-bahagian tertentu ia
mengikuti / bertaqlid pula kepada mazhab atau pandangan yang lain. Adakah
perbuatan ini harus? Menurut ulama, sekalipun seorang itu bertaqlid kepada suatu
mazhab, tidak haram baginya untuk berpindah mazhab secara keseluruhannya atau
pada masalah-masalah tertentu.Tetapi keharusan itu tertakhluk dengan
syarat-syarat berikut:
1. Hendaklah mazhab yang diikuti merupakan mazhab yang masyhur khususnya
mazhab-mazhab yang empat. Jika pandangan atau tarjih, hendaklah dari ulama yang
diiktiraf dan diakui oleh umat akan keilmuannya.
2. Tidak bertujuan mencari yang mudah-mudah dari pandangan-pandangan mazhab.
3. Tidak membuat himpunan antara mazhab-mazhab dalam bentuk yang membawa
percanggahan dengan pandangan sekalian ulama atau ijma’ mereka.
Contohnya, seorang berkahwin tanpa wali kerana bertaqlid kepada mazhab Imam
Abu Hanifah yang tidak mensyaratkan wali dalam akad perkahwinan, tanpa saksi
kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Malik yang tidak mewajidkan saksi dan tanpa
mas kahwin kerana bertaqlid kepada mazhab Abu Hanifah yang mengharuskan jika
diletakkan syarat oleh pihak lelaki dan dipersetujui oleh pihak perempuan.
Perkahwinan tanpa tiga perkara tersebut tidak dianggap sah oleh sekalian ulama.
Maka talfiq sebegini adalah haram kerana menyalahi ijma’ ulama. (Rujuk Taqrib Al
Usul, Abi Al Qasim al Gharnati halaman 158 ).
Menurut Dr Abd Karim Zaidan; “Harus seorang pengikut mazhab mengikut atau
beramal dengan pandangan mazhab lain asalkan hal tersebut dilakukannya kerana
suatu dalil yang mengajaknya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab lain dalam
masalah-masalah tertentu. Begitu juga harus ia bertanya ulama yang bukan dari
mazhabnya berkenaan suatu hukum syarak dalam suatu masalah dan beramal dengan
fatwa yang diberikan”. ( Al Wajiz Fi Usul – Fiqh; halama 409 )
Kesimpulannya, talfiq diharuskan jika tujuannya bukan untuk
mempermudah-mudahkan agama seperti sengaja mencari pandangan-pandangan yang
senang dan mudah dari mazhab-mazhab yang ada untuk menjadi amalan atau pegangan
agama.Talfiq sebegini akan membawa kepada rosak agama jika dibenarkan.
Apa maksud tarjih? Siapa yang berhak melakukan tarjih?
Tarjih bermaksud membuat penilaian dan pemilihan terhadap dalil-dalil yang
dilihat bertentangan atau terhadap beberapa pandangan yang berlawanan iaitu
dengan menselarikan antara dalil-dalil jika dapat dilakukan atau memastikan
dalil yang mana paling kuat jika tidak dapat diselarikan.
Jika tarjih dibuat terhadap pandangan-pandangan, tujuannya ialah untuk
memastikan pandangan mana yang paling kuat dalilnya atau paling menepati segi
syarak. Pentarjihan harus dilakukan oleh orang-orang berkelayakan samada
mujtahid atau fuqaha’ dan tidak harus sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang
yang jahil atau medakwa alim kerana boleh membawa kepada merosakkan agama.
Proses pentarjihan berjalan sejak dari dulu hingga ke hari ini.Para ulama’
yang menjadi sandaran umat pada zamannya akan membuat tarjih terhadap
pandangan-pandangan yang berbeza oleh ulama’-ulama’ sebelumnya dalam sesuatu kes
supaya orang awamdapat mengetahui dan beramal dengan pandangan yang paling tepat
dengan hukum syarak. Imam Nawawi sebagai contohnya di dalam berdepan dengan
masalah seorang yang terpaksa solat dalam keadaan tidak bersuci kerana tidak ada
air untuk mengambil wudhuk dan tidak da debu untuk bertayammum. Adakah ia wajid
solat juga dan adakah wajib ia mengulangi solatnya? Sebelum beliau ada 4
pandangan ulama’ : 1. Wajib solat dan wajid ulang. 2. Haram solat.Mesti tunggu
hingga dapat bersuci baru tunaikan solat sekalipun di luar waktu. 3. Sunat solat
dan wajib diulangi solat tersebut. 4. Wajib solat dan tidak wajid mengulanginya.
Imam Nawawi dalam tarjih beliau telah memilih pandangan yang keempat kerana
menurut beliau pandangan itu menepati syarak. (lihat Syarah Sahih Muslim).
Itu adalah satu contoh dari ribuan tarjih yang dilakukan ulama’. Kita sebagai
orang awam hendaklah sentiasa mendampingi ulama’ dan beramal dengan tarjih
mereka. Adapun kita hendak memandai-mandai sendiri tidak harus. Pada hari ini,
contoh ulama’ yang mempunyai kelayakan untuk melakukan tarjih ialah Syeikh Dr
Yusuf Qaradhawi. Keilmuan beliau diakui oleh ulama-ulama sezaman dan umat Islam
sendiri. Dalam masalah zakat ke atas produk pertanian sebagai contohnya,
dikalangan ulama-ulama silam ada yang menyempitkan skop pertanian yang wajid
zakat kepada jenis-jenis tertentu sahaja. Mazhab Syafie hanya mewajidkan zakat
pertanian ke atas bijian yang menjadi makanan ruji masyarakat setempat. Namun,
ada ulama yang memperluaskan skop pertanian yang wajid zakat kepada semua jenis
pertanian asalkan memenuhi syarat-syarat dari segi nisab dan sebagainya yang
ditetapkan syarak. Maka, Dr Yusuf Qaradhawi dalam buku Fiqhuz-Zakahnya, beliau
telah mentarjihkan pandangan yang kedua dan tarjih beliau diterima dan diamalkan
oleh keseluruhan negara umat Islam hari ini.
No comments:
Post a Comment