Diriwayatkan hadith daripada Omar bin Khattab (r.a) berkata: ‘Pada suatu hari kami duduk beserta Rasulallah (s.a.w), datang kepada kami seorang lelaki yang memakai pakaian serba putih (yang bersih) dan rambutnya sungguh hitam. Tidak kelihatan tanda-tanda dia dalam perjalanan (yakni, orang bermusafir) dan tidak seorangpun dari kalangan kami mengenali dia. Dia kemudian duduk hampir dengan Rasulallah (s.a.w), dan meletakkan kepala lututnya dekat peha Rasulallah (s.a.w), seraya berkata: ‘Wahai Muhammad (s.a.w)! Beritahu aku tentang ‘Islam’. Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Islam’ itu bahawa kamu naik saksi (bersyahadah) bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah (a.w) dan Muhammad (s.a.w) itu Pesuruh Allah (a.w), dan kamu hendaklah mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji di Baitullah (Kaabah), jika kamu dapat mencari jalan kepadanya (yakni, mempunyai kemampuan untuk perjalanan ke Mekah, yakni datang naik haji).’ Dia (Jibril) menjawab: ‘Benar kata engkau.’ Kami (kata Omar) sungguh hairan kerana dia yang bertanyakan pada Rasulallah (s.a.w) dan kemudian dia pula membenarkannya (jawapan Rasulallah (s.a.w)). Kemudian dia (Jibril) bertanya pula: ‘Beritahu kepadaku tentang ‘Iman.’ Maka Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Iman’ itu bahawa kamu yakin (percaya) dengan wujudnya Allah (a.w), para malaikatNya, kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya, hari akhirat dan qadar (baik dan buruk).’ Dia (Jibril) berkata: ‘Benar kata engkau itu.’ Kemudian dia (Jibril) bertanya pula: ‘Beritahu aku apa dia ‘ikhsan’? Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Ikhsan’ itu bahawa kamu mengabdikan diri kepada Allah (a.w) seolah-olah kamu dapat melihat Dia (Allah (a.w)), kerana walaupun kamu tidak dapat melihatNya, Dia (Allah (a.w)) melihat kamu.’ Kemudian dia (Jibril) bertanya: ‘Beritahu aku tahu tentang bila akan terjadi Qiamat.’ Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Mengenai bila Qiamat itu, orang yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada orang yang menanya.’ Kemudian dia bertanya: ‘Beritahu kepadaku apakah tanda-tanda akan terjadi Qiamat?’ Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Akan terjadi Qiamat itu apabila hamba sahaya perempuan melahirkan anak tuannya, engkau akan melihat orang-orang yang berkaki ayam, yang bogel, yang melarat, gembala kambing bersaing-saingan (yakni, berlumba-lumba) mendirikan (i.e. membangunkan) bangunan-bangunan yang tinggi (mencakar langit).’ Orang itupun (Jibril) beredar (yakni, pergi).
Aku (Omar berkata) menunggu beberapa ketika (atau, hari)(di dalam hadith lain disebutkan bahawa Omar (r.a) sering ingin bertanya kepada Rasulallah (s.a.w) siapa gerangan orang yang datang tersebut). Selepas tiga hari berlalu dia menemui Rasulallah (s.a.w)), kemudian Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Wahai Omar (r.a)! Tahukah engkau siapa yang bertanya itu?’ Lalu menjawab (Omar (r.a)): ‘Hanya Allah (a.w) dan RasulNya sahaja yang tahu.’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dialah Jibril (a.s). Dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu.’ [Hadith Muslim & at-Termidzi, dll]
No comments:
Post a Comment