Inilah Jalan Sufi Headline Animator

Whatsap Saya

Pencerahan Bid'ah

Tuesday, December 16, 2014

Peringatan Para Ulamak Terhadap bahayanya Wahabi

Peringatan Para Ulamak Terhadap bahayanya Wahabi

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir merasakan perlu mahasiswa yang merupakan golongan cendiakawan diberikan penjelasan yang jelas mengenai isu Wahhabi supaya jangan membuat satu2 kenyataan terburu-buru dan hanya berlandaskan beberapa kitab sahaja, tidak melihat kitab-kitab yang lebih muktabar dan lebih dekat dengan Zaman Wahhabi itu sendiri...


Sepatutnya Persatuan Mahasiswa Islam UTM tidak perlu terburu-buru mengeluarkan kenyataan sehingga seolah-olah Wahhabi ini tiada yang salahnya. Sebagai seorang mahasiswa , perlulah manjalankan kajian yang mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan, bukan berlandaskan satu dua kitab sahaja.

Ketahuilah bahawa yang menceritakan bahayanya Wahhabi bukanlah calang-calang ulama - mereka terdiri dari ulama-ulama muktabar di zaman mereka dari kempat-empat mazhab. Adalah satu perkara yang menyedihkan melihat zaman sekarang ini yang ramai menjadi pemidato (berucap atau mengeluarkan kenyataan) tetapi tidak betul2 tahu dan mengkaji.

Al-Imam Muhammad Abu Zahrah r.anhu merupakan pakar Usul Fiqh dan Ulama Besar Al-Azhar, beliau menjalankan kajian terperinci mengenai fahaman Wahhabi, dan apa yang disimpulkan oleh beliau adalah "Kalau Wahhabi ni sesama mereka, tidak ada apa-apa, tetapi kalau fahaman mereka menyebar di tempat lain, berhati-hatilah". Ini dapat dilihat di dalam kitab-kitab beliau seperti Tarikh Al-Najdi.

Al-Imam Sayyid Ahmad Zaini Dahlan r.anhu, Syaikhul Haram merangkap Mufti Mazhab As-Syafi'eyah di Mekkah Al-Mukarramah mengarang begitu banyak kitab menjelaskan tentang penyimpangan Wahhabi di dalam kitabnya "Fitnatul Wahhabiyah", "Al-Futuhatul Islamiyah", "Ad-Durarus San'iyah Fi Ar'Radd 'Ala Wahhabiyah" dan banyak lagi. Sepatutnya sebelum saudara mengeluarkan kenyataan, mengkaji terlebih dahulu mengapa para ulama r.anhum menolak Wahhabi ini.

Demikian juga Al-Imam Ahmad Sowi Al-Maliki r.anhu , alim besar mazhab Maliki yang mengarang kitab tafsir Tafsir Ahmad Sowi Hasyiah 'Ala Tafsir Jalalain. Dalam tafsirnya menyebut, Wahhabi adalah Mazhab Syaitan, mereka menyangka berada di atas kebenaran padahal Syaitan menipu dan menyesatkan mereka. Inilah yang termaktub di dalam kitab tafsir Ahmad Sowi pada cetakan pertama, kedua dan ketiga seperti Cetakan Maktabah wa Matba'ah Isa Al-Babil Halabi wa Syurqa wa Auladuhu Bi Misra (Mesir). Tetapi bila sampai pada cetakan keempat di cetak oleh syarikat percetakan yang ada kepentingan Wahhabi , dibuang kata-kata Imam Ahmad Sowi r.anhu tentang Wahhabi. Satu jenayah ilmiah yang cukup jijik iatu mengubah, menokok nambah atau membuang kata2 pengarang asal kitab. Saudara boleh melihat dengan lebih lanjut pada kitab An-Nasiha Li Ikhwanina Fi Ulama Najd (An Advice To Our Brothers Scholars In Najd) Karangan Al-Faqih Syaikh Sayyid Yusof Hasyim Ar-Rifa'e rah. yang juga merupakan bekas menteri Jordan. Boleh dapatkan softcopy di sinihttp://www.rifaieonline.com/advice.htm .

Dan Akhir sekali, ana bawakkan kitab siap discan karangan Al-Qadhi Al-Muhaqqiq Syaikh Yusoff bin Ismail An-Nabhani rah (Sape tak kenal boleh klik). (Zaman sekarang ini ramai dah tak kenal ulamak. Hanya kenal yang kat surat khabar, dan TV sahaja. Cukup memalukan bagi mahasiswa sekiranya bersikap seperti ini). Kitab beliau Syawahidul Haq Li Istighathah Bil Khairil Anam SAW. merupakan kitab yang patut dipelajari untuk mengenali Wahhabi. Ini kerana kitab ini telah ditahkik dan diperakui oleh 9 Ulamak-Ulamak Besar Al-Azhar. Mari sama-sama renungkan.







Dikarang akan kitab ini oleh Al-Qadhi Al-Syeikh Yusuf ibn Ismail Al-Nabhani al-Shaf'e rah. (wafat 1350 H). Kitab ini juga telah disemak serta di puji oleh :

1) Al-Allamah Sayyid Ali al-Bablawi al-Maliki - Sheikh Jami' al-Azhar

2) Sheikh Masyaikh al-Hanafiyah Syeikh Abd Qadir al-Rafi'e - Mantan Mufti Mesir
3)Syaikh al-Islam al-Sheikh Abd Rahman al-Sharbini - Sheikh Jami' al-Azhar
4) Hadrah al-Fadhilah al-Fahhamah al-Syaikh Muhammad Bakri al-Sadafi - Mufti Mesir dan ketua ulama Mazhab Hanafi
5) al-Allamah al-Sayyid Ahmad Bek al-Husayni - Alim Mazhab Syafi'e
6) Al-Allamah al-Sheikh Sulayman al-Abd al-Shibrawi - Alim Syafi'e al-Azhar
7) Al-Allamah al-Syeikh Ahmad Hasanain al-Bulaqi - Ulama Syafi'e al-Azhar
8) Al-Allamah al-Sheikh Said al-Muji - Ulama al-Syafi'e al-Azhar
9) Al-Allamah al-Sheikh Muhammad al-Halabi - Ulama al-Syafi'e al-Azhar

Persaksian para ulama terulung ini menunjukkan kedudukan kitab yang dikarang oleh Syaikh Yusuf An-Nabhani rah. . Allah s.w.t. meletakkan kesaksian ulama pada kitab beliau.

Di sini faqir sediakan terjemahan pada m/s 53 kitab ini

peringatan kesembilan

Ketahuilah (saudara pembaca sekalian), bahawa dengan mengemukakan bukti-bukti yang banyak di dalm kitab ini berkaitan pensyariatan Istighathah dan amalan bermusafir untuk menziarahi (maqam) Penghulu segala rasul (alahimus solah was salam) dan membuktikan bahawa ia (ziarah) adalah di antara sedekat-dekat amalan yang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. , di antara sebaik-baik kebaikan, di antara seafdhal-afdhal kebajikan , di antara ketaatan yang paling sempurna dan di antara seagung-agung wasilah yang diterima di sisi Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. . Aku tidak bermaksud untuk memuaskan dengannya( dalil-dalil ini) pengikut-pengikut Ibnu Taimiyyah daripada kalangan al-Wahabiyyah dan sesiapa yang telah diberi susu bid'ah mereka sejak kecil lagi di kalangan mereka yang mengagumi mereka itu dari golongan-golongan yang ganjil dari mazhab-mazhab yang lain. Sesungguhnya berkenaan mereka itu, hampir-hampir tiada harapan lagi untuk mereka berjaya selepas bid'ah yang buruk ini bercampur dengan darah dan daging mereka dan mengalir bid'ah itu di dalam diri mereka umpama penyakit anjing gila yang terkena pada pesakitnya. Dan Syaitan telah berjaya menguasai mereka seperti seorang budak pintar yang menguasai bola dan bermain dengan bola tersebut sesuka hatinya. Maka bagi orang-orang seumpama itu, tidak dapat digambarkan bahawa apabila mereka mendengar perbahasan (kitabku) ini dalam perkara ini melainkan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk berdebat dan bermusuh dan bagaimana untuk menolak hujah-hujah ini dengan dalil-dalil dan tidak terlintas di dalm hati mereka untuk menerima hujah-hujah ini selamanya. Dan hal ini serupa sepertimana yang dikatakan para ulama berkenaan imam mereka Ibnu Taimiyyah dan dua anak muridnya Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Abd al-Hadi, dan kamu akan tahu hakikat ini dengan melihat kepada kata-kata mereka -semoga Allah mengafiatkan kita daripada mereka.
Dan sesiapa yang membaca kitab-kitab mereka dengan sifat yang adil dalam perbahasan bid'ah-bid'ah mereka akan menerima hakikat bahawa itulah akhlak mereka dalam perkara ini dan itulah tabiat mereka dan kata-kata mereka itu dalam satu bentuk yang sama dengan tamwih (pemalsuan), talbis (menghias perkara batil), takhyil (mengkhayalkan), tawhim (membuat prasangka) dan tahwil (menakutkan); barangsiapa yang datang selepas mereka dan mengagumi mereka dan berjalan di atas bid'ah-bid'ah mereka, lebih-lebih lagi sekiranya mereka itu dari ahli mazhab mereka seperti golongan al-Wahhabiyyah, bagaimanakah mungkin mereka kembali setelah didirikan hujah ke atas mereka; sesungguhnya bagi hal ini tiada jalan untuknya dan tiadalah bagiku dan bagi selain daripadaku harapan (agar mereka kembali kepada kebenaran);
Ini adalah sepertimana yang dinukilkan oleh al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan di dalam kitabnya yang bertajuk : (Khulasoh al-Kalam fi bayan umara' al-balad al-haram) (yang bermaksud Rumusan Kata-kata pada Menerangkan Pemerintah-pemerintah Baladil Haram) dari al-‘Allamah al-Sayyid Alawi Ibn Ahmad Ibn al-Quthb Abdullah Ibn ‘Alawi al-Haddad yang menyebutnya di dalam kitab yang dikarangnya untuk menolak al-Wahhabiyyah yang dinamakan : (Jala' al-Dhullam fi al-radd ‘ala al-Najdi allazi adhalla al-'Awam) (Terangkatnya Kegelapan dalam Menolak al-Najdi (Muhammad Ibn Abdul Wahhab) yang menyesatkan orang awam), dia menyebut:


“Apabila aku sampai ke Thaif untuk menziarahi maqam Sayyidina Abdullah Ibn ‘Abbas r.anhuma, aku bertemu dengan al-Allamah al-Sheikh Thahir Sunbul Al-hanafi, anak kepada al-‘Allamah al-Sheikh Muhammad Sunbul al-Shafie. Maka dia memberitahuku bahawa dia ada mengarang kitab untuk menolak bid'ah golongan (Wahhabiyyah) ini dan dia menamakan kitab tersebut sebagai: (Al-Intisar li al-Awliya’ al-Abrar) (Kemenangan bagi Wali-wali Allah Yang Soleh), dan dia berkata kepadaku: “Semoga Allah memanfaatkan buku ini sesiapa sahaja yang belum masuk bid’ah al-Najdi (al-Wahhabi) ke dalam hatinya. Dan adapun sesiapa yang telah masuk bid’ah itu ke dalam hatinya, maka tidak diharapkan kejayaannya kerana Sabdaan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: (Mereka terpancar keluar daripada agama dan kemudian tidak kembali lagi)”. Selesai kata-kata al-Allamah al-Sheikh Thahir Sunbul Al-hanafi.



Dan Imam al-Ghazali telah berkata dalam kitab Ilmu di dalam Ihya’ Ulum al-Din: Dan ahli bid’ah itu apabila dia telah mengetahui perdebatan (bagi mempertahankan bid’ahnya) walaupun sedikit, maka perbincangan dengannya sangat sedikit manfaatnya, sesungguhnya apabila kamu berjaya mendiamkan dia dengan hujah kamu, dia tidak akan meninggalkan mazhabnya, bahkan dia akan mengatakan bahawa itu adalah kerana kekurangan dirinya dan dia menganggap bahawa orang lain (daripada mazhab bid’ahnya itu) mempunyai jawapan yang dia tidak mampu jawab; engkau tidak lain hanyalah mampu mengalahkannya dengan kekuatan perdebatan. Adapun orang yang diberi afiat (keselematan oleh Allah) itu, ialah orang yang terpesong daripada kebenaran dengan sedikit perdebatan, namun dia masih boleh diselamatkan sebelum bertambah kuat taksubnya yang mengikut hawa nafsu, maka apabila bertambah kuat taksubnya, terjadilah putus harapan untuk menyelamatkannya kerana sifat taksub itu menjadi sebab bertambah kukuhnya akidah-akidah sesat dalam diri manusia . Selesai kata-kata Imam al-Ghazali.


Maka dengan sebab itulah, bukan niatku waktu mengarang kitab ini untuk memberi hidayah kepada golongan al-Wahhabiyyah dan golongan seumpama dengannya yang telah bercampur bid’ah yang kotor ini dengan daging dan darah mereka; akan tetapi satu-satunya niatku adalah untuk memberi kefahaman kepada orang-orang Islam daripada mazhab fiqh yang tiga (Hanafi, Maliki & Shafie) secara umum dan orang bermazhab Hanbali yang bukan al-Wahhabiyyah bahawa bid’ah ini adalah bertentangan dengan pegangan jumhur umat Muhammad SAW. Dan aku telah nukilkan pendapat daripada ulama’ mazhab yang empat penolakan dan kejian mereka ke atas Ibn Taymiyyah, bahkan sebahagian daripada ulama’2 yang ulung telah mengkafirkan beliau, walaupun (pengkafiran) itu bukanlah sesuatu yang diredhai dan diterima.
Maka apabila kamu mengetahui perkara ini wahai Muslim Ahli Sunnah daripada mazhab-mazhab Islam (yang muktabar), maka berhati-hatilah kamu daripada penipuan Syaitan atau salah seorang daripada pembantu-pembantunya (Syaitan) yang telah tertahqiq ke atas mereka azab kerugian, dan sungguh ramai golongan yang demikian pada zaman ini; dan mereka menghias bagi kamu bid'ah Taymiyyah Wahhabiyyah yang buruk ini dengan dakwaan-dakwaan ijtihad mutlaq dan meninggalkan taqlid dengan mazhab-mazhab (muktabar) dalam hukum ahkam Syariat; sesungguhnya dalam hal ini ada kemusnahan agama kamu wahai si miskin. Maka bertaqwalah kepada Allah pada diri kamu, dan mintalah pertolongan dari-Nya daripada (tipu daya) Syaitan-syaitan dan sedara-sedara Syaitan.
Dan cukuplah bagi kami Allah, dan Dialah sebaik-baik pemelihara dan Dia-lah yang berfirman dengan kebenaran dan Dia lah yang menunjukkan jalan petunjuk."Selesai petikan kitab .

Barangsiapa yang kurang berpuas hati lagi, boleh berjumpa dengan fakir untuk sama-sama kita bahaskan dalam suasana ukhwah dan atas niat mencari kebenaran. Suka ana ingatkan bahawa jangan jadikan PMIUTM sebagai medium menyampaikan pendapat segelintir orang sahaja (kerana sahabat-sahabat ana dari PMI sendiri pun tidak bersetuju dengan kenyataan yang keluar dari blog PMI). 

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.

Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments: