KAWAN, JIKA KAMU TIDAK NAMPAK AKU DI SYURGA
TOLONGLAH TANYA KEPADA ALLAH TENTANG AKU,
DAN, CARILAH AKU DI NERAKA...
Menziarahi seorang teman yang telah tenat sakitnya, dia menggenggam erat tangan saya lalu menariknya ke mukanya untuk membisikkan sesuatu ketika saya ingin meminta diri untuk balik. Air matanya tergenang. Dalam lafaz yang tersangkut-sangkut dia berkata, "Jika Hang tidak nampak aku di syurga, tanyalah Allah di mana aku, tolonglah aku ketika itu... "Dia langsung teresak menangis lalu saya memeluknya dan meletakkan muka saya di bahunya. Saya membisikkan: "INSYA ALLAH, INSYA ALLAH, aku juga mohon kepada Hang jika sebaliknya Hang tidak nampak aku disyurga. "Kami menangis bersama, entah berapa lama.
Bila saya meninggalkan wad hospital, saya terkenang pesanannya. Sebenarnya pesanan itu pernah dipesan oleh seorang ulamak besar Ibnu Jauzi, yang berkata kepada sahabatnya sambil menangis: "Jika kamu tidak menemui aku di syurga bersama kamu, maka tolonglah tanya kepada Allah tentang aku: "Wahai Tuhan kami, Si Fulan sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang Engkau, maka masukkanlah ia bersama kami di syurga.
Ibnu Jauzi berpesan begini bersandar kepada sebuah Hadis: "Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga lalu mereka tidak menemukan sahabat sahabat mereka yg selalu bersama mereka dahulu di dunia. Maka mereka pun bertanya kepada Allah: "Ya Rabb! kami tidak melihat sahabat sahabat kami yang sewaktu di dunia bersolat bersama kami, berpuasa bersama kami dan berjuang bersama kami..."maka Allah berfirman, "Pergilah ke neraka, lalu keluarkan sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman walau hanya sebesar zarrah (Ibnu Mubarak dlm kitab Az Zuhd)
Maka pilihlah untuk bersahabat yang boleh membantu bukan setakat dunia tetapi hingga akhirat dengan sifat utamanya berbuat ibadat berjamaah bersolat, berpuasa dan sentiasa berpesan kearah keimanan, berjuang untuk menegakkan kebenaran agama. Carilah teman yg mengajak ke majlis ilmu, mengajak berbuat kebaikan, bermuafakat untuk kerja kebajikan, selalu berpesan dengan kebenaran.
Teman yang dicari kerana semata-mata mencari urusan dunia, teman tengok bola, teman tengok TV, teman melepak, teman memancing, teman berkonvoi tayang motor dan kereta hebat, teman facebook untuk bercerita makan apa hari ni, teman whatsApp untuk bersembang hal dunia akan berpisah pada garis mati dan membawa diri sendiri. Tetapi teman yang bertakwa, akan mencari kita disyurga. Semaklah pada diri kita, apakah ada teman yang sebegini pada keliling kita, atau yang ada mungkin lebih teruk dari kita.
Ayuh bertindak, kurangkan masa dengan teman yang pada garis dunia, carilah teman dan kawan dengan mereka yang akan mencari kita disyurga, kerana kita tidak boleh mengharap ibadat kita sahaja untuk menjengah syurga ALLAH, pelbagaikanlah usaha dan harapan, moga satu darinya akan tersangkut ke pintu syurga. Al-Hasan Al-Bashri berkata: “Perbanyaklah sahabat-sahabat mukminmu karena mereka memiliki syafaat pada hari kiamat”. Pejam mata, carilah siapa agaknya yang akan mencari kita disyurga, jika tiada, mulakan hari ini mencari teman kesyurga sebagai suatu misi peribadi.
No comments:
Post a Comment